Selasa, Mac 30, 2010

Perlukah Tersengih? Anak Luar Nikah

Perlukah saya tersenyum bila diberitahu mengenai statistik sedemikian? Pada tahun 2005, seramai 22,512 orang dilaporkan. Seterusnya empat tahun berikutnya, iaitu tahun 2009, seramai 22,937 orang. Lebih kurang 62 orang sehari yang dilaporkan.

Statistik itu adalah merujuk jumlah anak luar nikah yang didaftarkan di Jabatan Pendaftaran Negara Malaysia. Itu yang dilaporkan oleh blog seorang sahabat saya. Pak Mat namanya.

Manakala yang tidak dilaporkan? Tuhan sahaja yang mengetahuinya.

Apa sudah terjadi pada negaraku tercinta, Malaysia? Mungkinkah ianya sedang dilanda wabak sosial yang amat merbahaya, iaitu melahirkan anak luar nikah. Dalam istilah lain, anak yang dilahirkan tidak mengenali ayahnya sendiri.

Mungkinkah anak-anak ini akan dicemuh oleh masyarakat? menjadi terasing daripada masyarakat dan mereka akan merasa rendah diri?. Mungkinkah perkahwinan anak-anak ini pada masa akan datang kelak dibatalkan oleh pihak pasangan bila mana diketahui bahawa mereka adalah anak luar nikah?. Mungkinkah hidup anak-anak ini akan dipenuhi tekanan dan penghinaan daripada masyarakat?. Adakah mereka akan dapat menjalani kehidupan dengan sempurna?

Kesemua persoalan-persoalan itu, sebenarnya saya tidak mampu menjawabnya. Ada lagi sebenarnya soalan yang paling menakutkan saya, mungkinkah mereka juga akan terdorong mengulangi perbuatan ibu bapa mereka?.

Andai wabak sosial merbahaya sedemikian tidak ditangani sewajarnya dan cepat-cepat diubati, berkemungkinan masyarakat pada masa hadapan akan rosak. Bukan mustahil untuk ianya berterusan berlaku andai tiada tindakan sewajarnya diambil.

Bukan itu sahaja. Malahan berita-berita terkini juga amat menyayat hati. Dilaporkan ada yang sampai tergamak membuang anak-anak ini. Membuangnya ke sampah, longkang, tandas dan pelbagai tempat yang sememangnya tidak wajar bagi seorang bayi yang baru sahaja dilahirkan. MasyaAllah!.

Seolah-olahnya, zaman moden, dunia tanpa sempadan sekarang ini sudah selari dengan zaman jahiliah dahulu kala. Siapakah yang harus dipersalahkan di dalam hal-hal sedemikian? Nak tahu jawapannya daripada saya? Entahlah...

Namun, saya juga harus memberitahu bahawa tuduh-menuduh tidak akan menyelesaikannya. Memang tidak!

Paling penting, sama-samalah kita mengembling tenaga agar bara sedemikian tidak akan menyala di dalam masyarakat pada kemudian hari. Andai tidak berupaya menghalangnya di dalam skala besar, apa salahnya dilakukan pada skala kecil, terutama keluarga sendiri, atau barangkali, diri kita sendiri.

Mudah-mudahan impaknya berupaya menahan bara daripada menyala, seterusnya dapat memadamkan apinya daripada membakar seluruh masyarakat yang menghuni negaraku tercinta, Malaysia.



Baca selanjutnya, Klik di sini...

Sabtu, Mac 27, 2010

Bosan Melakukan Kerja

Ramai orang cepat berasa bosan bila melakukan pekerjaan yang sama sahaja sepanjang masa. Lebih-lebih lagi hasil kerja yang dilakukan seolah-olah tidak diiktiraf oleh sesiapa. Ianya membuatkan perasaan tidak puas hati berlegar-legar di dalam diri sendiri.

Ada kalanya membara di dalam hati. Seterusnya bermain-main di minda dan membuatkan perlakuan pemikiran tidak memfokus pada hasil kerja yang dilakukan.

Ada kala, pemikiran lebih terarah mencari pekerjaan yang lain pula. Bila mendapat pekerjaan baru, sama sahaja sebenarnya. Cepat berasa bosan. Lagi sekali, tidak merasa puas melakukannya. Pada akhirnya, mulalah bermalas-malasan melakukan kerja yang sedia ada. Boleh sampai ke tahap tidak mahu lagi melakukannya.

Bagi yang makan gaji, dek hari-hari melakukan pekerjaan yang sama sahaja, dirasakan kerja yang dilakukan amat membosankan. Pada akhirnya, bermalas-malasan. Sampai ke tahap tidak mahu lagi memikirkan hasil kerja yang dilakukan. Ada kalanya lebih terdorong membuat kerja di luar tugasan hakiki. Lebih parah, ponteng datang kerja.

Begitu juga halnya mereka yang bergelar pelajar. Sama ada di sekolah rendah, di sekolah menengah, juga di universiti. Ada kalanya ditimpa kebosanan melakukan proses pembelajaran, akhirnya lebih terdorong berhibur ke sana-sini. Pembelajaran yang perlu dilakukan sudah tidak dihiraukan lagi.

Berlainan pula bagi mereka yang mencari nafkah sendiri. Berasa bosan bila mana rezeki yang diperolehi seciput sahaja sampai tergamak menipu ke sana-sini. Air biasa dikatakan ubat mujarab mengubati pelbagai penyakit, walaupun realitinya tiada kajian saintifik membuktikan produk sebegitu rupa. Dek ingin menjadi kaya raya, mulalah menjual pelbagai produk yang konon-kononnya berkesan mengubati kesemua penyakit duniawi. Walhal, sebenarnya dia sendiri belum ada keyakinan menggunakannya. Membohong untuk mendapatkan kekayaan dunia yang sementara untuk dikecapi.

Mengapa ini terjadi?

Ponteng datang kerja, ponteng datang sekolah, ponteng datang kuliah, dan lebih parah, berbohong sesama manusia. MasyaAllah!

Nak tanya saya bagaimana mengubatinya? Sebenarnya tergaru-garu kepala saya bila diajukan persoalan sebegitu rupa. Jujur saya beritahu bahawa tiada ubat mujarab yang dapat merawat penyakit sedemikian, kecuali diri sendiri.

Sungguh! diri sendiri sahaja yang berupaya merawatnya dengan melakukan muhasabah. Antara muhasabah yang boleh diajukan ialah bertanya kepada diri ke mana arah tujuan kehidupan duniawi yang sedang dilalui ketika ini. Menuju kepada NYA atau bertentangan daripada petunjuk NYA.

Ketahuilah bahawa sesungguhnya segala rahsia kehidupan duniawi ada pada NYA. Tiada kuasa yang lebih hebat selain DIA, iaitu Tuhan Yang Maha ESA, Allah SWT.

Barangkali boleh juga dikatakan kebosanan melakukan pekerjaan adalah didorong oleh nafsu. Nafsu tidak dikemudi sebaiknya. Nafsu dibiarkan membuat dorongan agar mencapai kepuasan di dalam semua perkara. Nafsu dibiarkan bermaharaja lela mengatasi keupayaan minda sehingga ditimpa mabuk dunia. Terhoyong hayang berjalan di sepanjang kehidupan duniawi. Lupa matlamat hakiki, mengapa ada di dunia ini.

Kehebatan minda dibiarkan lemah untuk menafsir erti kehidupan yang sebenar-benarnya. Pada akhirnya, berasa bosan meneruskan pekerjaan di dalam kehidupan dunia yang bersulamkan pelbagai ujian dari NYA.

Ada kemungkinan juga disebabkan masih belum memahami matlamat hakiki kehidupan ini, maka terdoronglah menikmati keseronokan kehidupan duniawi. Sudah tidak dihiraukan hasil akhirnya. Ke mana arah nak dituju, syurga atau neraka.

Ada kemungkinan juga dek sinar keimanan di dalam hati masih belum memancar sepenuhnya. Mengetahui dan menyakini bahawa pada setiap masa ada dua malaikat berperanan mencatat segala pekerjaan duniawi setiap manusia. Malaikat yang berperanan mencatat segala kebaikan dan mencatat segala keburukan pekerjaan setiap insan.

Teringat pula saya satu kisah di mana Rasulullah didekati oleh seorang lelaki yang hebat penampilannya. Akan saya kongsikannya bersama Anda, InsyaAllah...


Baca selanjutnya, Klik di sini...

Khamis, Mac 25, 2010

Maaf...

Maaf, tak sempat buat entri hari ini. Inilah lemahnya insan bernama Abgbent :(


Sebab itu sudah dikata
Usah diulangi silap yang ada
Mengapa harus berlaku jua
Provokasi emosi saban hari diulangi
Mampukah sang lelaki
Membiarkannya…
Terus merobek bukan hanya hati
Tetapi jiwa manusiawi yang dimiliki
Tidak mengapa andai nama sudah tiada
Kerana hadirnya bukan kerana nama
Tetapi kerana DIA
Pencipta Maha ESA







Baca selanjutnya, Klik di sini...

Rabu, Mac 24, 2010

Informasi Akaun Nuffnang dan Paparan Kata Kuncinya

Tiba-tiba hatiku tersentuh selepas meneliti laman akaun nuffnang untuk blog Pedoman Hidup sebentar tadi. Niat dihati, memang tidak mahu membuat sebarang entri hari ini. Tetapi selepas terlihat paparan informasi di dalam laman akaun nuffnang untuk blog Pedoman Hidup, sanubari saya tiba-tiba tersentuh dan terdorong untuk melakarkan sesuatu saat ini.

Biasanya, kalau ada kelapangan masa, saya akan membuka laman akaun nuffang blog Pedoman Hidup. Saja-saja..., Selain ingin memerhatikan bilangan pelawat yang berziarah ke blog Pedoman Hidup, saya juga ingin mengetahui dari mana negara mereka. Saya juga sering menyelongkar kata kunci yang telah membawa penziarah bertandang ke blog Pedoman Hidup.

Sekarang ini, pelawat blog Pedoman Hidup telah melebihi seratus dalam sehari. Terkadang saya juga tidak memahami mengapa statistik yang dipaparkan oleh online Counter yang terpampang di blog ini berbeza dengan statistik yang dipaparkan di dalam akaun nuffnang. Tapi saya tak kisah sebenarnya. Yang penting Anda sudi menemani saya berbicara.

Oh ya, selain daripada statistik sebegitu, saya juga terdorong untuk mengetahui jumlah wang terkumpul yang ada di dalam akaun nuffnang untuk blog Pedoman Hidup. Sejak minggu lepas lagi, sebenarnya jumlah wang terkumpul di dalam akaun nuffnang untuk blog Pedoman Hidup sudah memenuhi kuota untuk dipohon cek bayarannya daripada pihak nuffnang. Andai saya melakukannya, kira dah masuk kali keempatlah cek daripada pihak nuffnang diterima.

Tapi tak apalah, lebih baik saya membiarkannya sahaja terkumpul di dalam akaun itu. Bila Isteriku Yang Tercinta tergerak hati memberitahu saya untuk menuntutnya, akan saya pohonlah bayaran itu daripada mereka, pastilah daripada pihak Nuffnang Sdn Bhd.

Sebentar tadi hati saya betul-betul tersentuh bila mana terlihat antara kata kunci yang membawa pelawat ke blog Pedoman Hidup ialah “layak untuk universiti mana dengan kelayakan 2 kredit sahaja di dalam SPM“.

Selepas melihatnya, saya berasa betul-betul terpanggil untuk memberitahu mengenainya.

InsyaAllah, esok pada waktu tengahari, andai ada kelapangan masa, akan saya buat lakaran untuk menjelaskannya. Khususnya kepada pencari kata kunci yang saya maksudkan tadi. Mudah-mudahan dia akan mengetahui dan memahaminya, InsyaAllah.

Anda..., saudara yang saya kasihi kerana DIA, dan yang telah menjadi teman karib saya berbicara sepanjang masa, andai ada kefahaman dan pengetahuan mengenainya, apa salahnya berkongsi di sini.

Kalau tidak mahu berkongsi di sini, tidak mengapa, barangkali bolehlah dilakarkan di blog kepunyaan Anda sendiri. Mudah-mudahan, adalah manafaatnya untuk mereka yang ingin mengetahuinya.

Apatah lagi mereka yang berhasrat mengetahuinya itu sebenarnya adalah anak-anak kita yang kelak menjadi pewaris negara tercinta, negaraku Malaysia. Bukankah lebih baik mereka dapat meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi, berbanding merempit sana-sini. Lebih parah lagi, menjadi penagih dadah tak tentu hala atau menjadi penjenayah. Semoga dijauhkan dari itu semua.

Mudah-mudahan kesudian Anda berkongsi akan diberkati dan dilimpahkan keredhaan Ilahi. Amin.


Kata kunci akaun nuffnang blog Pedoman Hidup hari ini memaparkan antaranya, "layak untuk universiti mana dengan kelayakan 2 kredit sahaja di dalam SPM“


Baca selanjutnya, Klik di sini...

Isnin, Mac 22, 2010

Kejayaan Kehidupan

Ramai beranggapan orang yang kaya adalah orang yang berjaya. Begitu jugalah halnya dengan orang yang berpangkat besar, mereka dikategorikan sebagai orang yang telah berjaya.

Kalau tanya saya, memang saya mengiyakan sahaja.

Mereka yang kaya dan berpangkat besar boleh dianggap sebagai orang-orang yang telah berjaya. Tetapi ingat! Kejayaan sedemikian sementara sahaja. Ianya tidak akan kekal selama-lamanya. Realitinya, mereka jua akan mati ditelan bumi.

Belum tentu selepas kehidupan duniawi, mereka kelak mengecapi kejayaan jua. Belum tentu.

Begitu juga Anda yang telah gagal. Kegagalan hidup yang dialami kini belum seratus-peratus dalam kategori orang-orang yang gagal. Belum!

Anda masih ada peluang untuk mengecapi kejayaan. Itupun kalau Anda mahu berusaha bersungguh-sungguh melakukannya, bukan hanya sambil lewa sahaja. Untuk Anda menggapai kejayaan yang sebenar-benarnya, perjalanan hidup ini harus mengarah kepada NYA.

Kejayaan selepas kehidupan dunia tiada siapa yang mengetahuinya kecuali DIA, Tuhan Yang Maha ESA, yang berkuasa di atas segala-galanya. DIA Maha Pencipta.

Belum tentu selepas kehidupan duniawi orang-orang yang telah berjaya akan mengecapi kejayaan. Begitu juga orang-orang yang gagal sekarang, belum tentu akan gagal selama-lamanya.

Itu realiti yang harus kita sedari bersama.

Namun, suka juga saya memberitahu bahawa orang-orang yang berjaya seperti yang dinyatakan di dalam Al-Quran, Kitab Petunjuk Kehidupan ialah;

Mereka itulah yang tetap mendapat petunjuk dari Tuhan mereka dan merekalah orang-orang yang berjaya. (Al-Baqara, 2: 5)

Katakanlah (wahai Muhammad): Tidak sama yang buruk dengan yang baik, walaupun banyaknya yang buruk itu menarik hatimu. Oleh itu bertakwalah kepada Allah wahai orang-orang yang berakal fikiran, supaya kamu berjaya. (Al-Maidah, 5: 100)

Dan timbangan amal pada hari itu adalah benar; maka sesiapa yang berat timbangan amalnya (yang baik), maka mereka itulah orang-orang yang berjaya. (Al--Araf, 7:8)

Adakah kamu merasa ragu-ragu dan hairan tentang datangnya kepada kamu nasihat pengajaran dari Tuhan kamu, melalui seorang lelaki dari golongan kamu, untuk memberi peringatan kepada kamu? Dan kenanglah ketika Allah menjadikan kamu khalifah-khalifah sesudah kaum Nabi Nuh dan Allah telah menambahkan kamu kelebihan (dan kekuatan) pada bentuk kejadian tubuh kamu. Maka kenanglah akan nikmat-nikmat Allah supaya kamu berjaya. (Al-Araf, 7 :69)

Dia menyuruh mereka dengan perkara-perkara yang baik dan melarang mereka daripada melakukan perkara-perkara yang keji dan dia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk dan dia juga menghapuskan dari mereka beban-beban dan belenggu-belenggu yang ada pada mereka. Maka orang-orang yang beriman kepadanya, dan memuliakannya, juga menolongnya, serta mengikut nur (cahaya) yang diturunkan kepadanya (Al-Quran), mereka itulah orang-orang yang berjaya. (Al-Araf, 7: 157)

Banyak lagi kriteria orang-orang yang berjaya yang telah dijelaskan di dalam Al-Quran, Kitab Petunjuk Kehidupan. Marilah bersama-sama menyelaknya satu-persatu. InsyaAllah, akan adalah cahaya NYA menyuluh kehidupan kita.


Baca selanjutnya, Klik di sini...

Sabtu, Mac 20, 2010

Seksualiti Lelaki dan Wanita, Hubungan Kelamin

Ohohohooooo... bukan main lagi kecurigaan Anda mengenai tajuk yang saya berikan di atas yer... Bersemangat betul Anda menelaahnya. Dapat saya umpamakan seolah-olah Anda telah meminum tonik herba pelbagai ramuan yang telah membuatkan tenaga Anda meningkat menjulang-julang tingginya. Sebab itu Anda bersungguh-sungguh ingin mengetahui lakaran yang saya berikan di atas.

Selain itu, dapat juga saya rasai yang Anda sedang terburu-buru menelaah setiap baris ayat yang terlakar di sini. Memang saya dapat merasainya. Sebab itulah juga saya memberitahu yang walaupun saya sedang bersendirian sekarang, sebenarnya terukir sebuah senyuman indah di wajah kacak yang saya miliki.

Ketahuilah bahawa saya sedang tersenyum-senyum ketika menaip contengan ini. Sungguh!. Kalau Anda melihat senyuman yang terpapar di wajah saya ketika ini, pasti Anda juga terikut-ikut senyum dengan saya.

Wow! rupa-rupanya Anda masih berminat meneruskan pembacaan di dalam contengan ini. Sungguh menakjubkan! memang menakjubkan kerana Anda masih lagi terdorong untuk terus membacanya. ;)

Sah! Saya berani mengatakan bahawa Anda masih lagi normal sebagai seorang manusia yang diselimuti nafsu. Sebagai seorang manusia, sememangnya Anda perlu ada nafsu. Tapi ingat! Nafsu yang terpimpin, OK. Itulah harapan saya ketika melakukan contengan sebegini.

Wah! Wah! Wah!, Anda masih lagi terdorong meneruskan pembacaan di dalam coretan bersalut gurauan sebegini ya... Tak per, “direct to the point” sahaja saya lakukan untuk Anda.

Sebenarnya tujuan saya melakarkan coretan bertajuk di atas adalah kerana didorong ingin mengetahui pandangan Anda berkaitan pendidikan seks yang ingin diperkenalkan di sekolah-sekolah Malaysia. Anda bersetuju? Atau barangkali tak mahu?

Saya ada pandangan peribadi ketika ini, tetapi lebih baik saya tanya Anda dahulu. Manalah tahu, pandangan yang Anda berikan membuatkan saya terbuka minda dan menyetujuinya. Sering kali juga saya melakukan perlakuan sedemikian untuk mengetahui kehebatan dan keyakinan diri yang saudara-saudaraku miliki.

Berani mengatakan sesuatu perkara di dalam hal-hal yang difikirkan ada logiknya.

Di dalam situasi-situasi tertentu, sering juga saya bertanya sebelum memuktamadkan pandangan peribadi di dalam hal-hal yang begini. Harap-harap input yang Anda berikan bergunalah untuk dijadikan Pedoman Hidup. Terutama kepada penggubal dasar-dasar pendidikan negara kerana generasi rakyat Malaysia yang terhasil pada masa akan datang adalah cerminan daripada didikan pada masa sekarang.

Kalau bukan di sekolah, pastilah tanggungjawab sebegini perlu juga dilakukan di rumah khususnya untuk membentuk keluarga tercinta yang bahagia agar adalah kelak yang mendoakan kesejahteraan selepas melalui kehidupan duniawi...

OKlah, coretan ini sengaja saya kongsikan dengan Anda kerana sememangnya saya suka bercerita dan bergurau-senda dengan Anda. Ketahuilah juga bahawa Anda sememangnya saya kasihi kerana DIA.


Baca selanjutnya, Klik di sini...

Rabu, Mac 17, 2010

Peranan Wanita Memang Ajaib Kuasanya

Kalau Anda peminat setia filem Tan Sri Dr. P. Ramlee, pasti Anda tidak akan melupai pelbagai gaya lakonannya. Beberapa filem arahannya, memaparkan perasaan sedih dan lebih banyak yang membuatkan kita bergelak ketawa.

Sememangnya bermacam-macam adegan yang dipaparkan di dalam filem-filemnya ada menyimpan khazanah tersirat yang menuntut ditafsir minda sebaiknya. Itupun kalau Anda berusaha memahami dan menafsir adegan yang dipaparkan di dalam karya-karyanya, iaitu bukan sekadar menonton dan menikmati hiburan yang ada pada penglihatan mata sahaja.

Apa salahnya sekali-sekala apabila menontonnya menggunakan minda yang ada untuk memahami apa yang tersirat disebaliknya. ;)

Bagaimanapun, di dalam lakaran ini, saya sebenarnya ingin berkongsi mengenai kehebatan peranan wanita di dalam kehidupan seorang lelaki bersandarkan filem arahannya. Sengaja saya membuka awalan coretan ini dengan bercerita filem lakonan Tan Sri Dr. P. Ramlee kerana ada satu babak yang masih segar diingatan saya khususnya selepas membaca satu laporan berita.

Akan saya beritahu dihujung coretan ini nanti berita yang saya maksudkan itu. Pastilah berkaitan peranan wanita di dalam menyelesaikan masalah seorang lelaki.

Sungguh! Wanita sememangnya hebat bila mana berperanan sebaiknya semasa mengiringi kehidupan seorang lelaki. Apatah lagi lelaki yang ditimpa pelbagai masalah dan kecelaruan minda. Pasti aura kehebatan seorang wanita akan terserlah.

Saya tidak menafikan bahawa kadang kala saya juga menghadapi masalah, tetapi nasib baik juga ada disamping Isteriku Yang Tercinta yang tidak serik-serik untuk terus menemani dan menunjuki kehidupan duniawi yang sedang saya lalui ketika ini. Sebab itulah juga saya amat mengasihi dan menyayangi, Isteriku Yang Tercinta.

Berbalik pada filem Tan Sri Dr. P. Ramlee, Anda nak tahu babak yang saya maksudkan? Ianya terkandung di dalam filem Pendekar Bujang Lapok, babak di mana ketiga-tiga pendekar sedang ditarbiyah oleh Tok Guru mereka agar menjadi seorang lelaki tabah penuh kesabaran di dalam menghadapi pelbagai dugaan dan cabaran.

Sebelum ketiga-tiga bakal pendekar itu bertapa, mereka telah dipesankan oleh Tok Guru agar menghadapi pelbagai ujian dan cabaran dengan penuh kesabaran dan tidak perlu takut dengan pelbagai rintangan. Bila mana menghadapi ketakutan dan masalah, ungkapkan sahaja "Cooobbbaaannn". :)

Babak yang amat menarik perhatian saya ialah bila mana anak Tok Guru ketika berada di rumah telah diculik oleh para musuh. Tok Guru terpaksa memohon bantuan ketiga-tiga bakal pendekar yang juga merupakan anak muridnya yang ketika itu sedang bertafakur di bawah sepohon pokok. Tok Guru menjelaskan kepada mereka bahawa anak perempuannya sudah diculik dan dilarikan oleh para musuhnya dan memohon pertolongan mereka.

Namun, ketiga-tiga bakal pendekar terbabit hanya membalas rayuan Tok Guru mereka dengan mengungkapkan "Cooobbbaaannn". :)

Banyak kali Tok Guru menjelaskannya tetapi tetap dibalas oleh ketiga-tiga anak muridnya dengan ungkapan "Cooobbbaaannnn".

Kehebatan wanita akhirnya diserlahkan oleh Tan Sri P. Ramlee di dalam babak yang saya maksudkan apabila Isteri kepada Tok Guru terpaksa mengambil peranan dan menyebarkan aura kehebatannya dengan menjelaskan satu-persatu kepada ketiga-tiga bakal pendekar terbabit.

Dengan sekali sahaja penjelasan, wanita yang merupakan isteri kepada Tok Guru itu berjaya menyedarkan ketiga-tiganya dari lamunan dan dari ajaran Tok Guru yang tak tentu pasal. :)

Kalau Anda ingin menghayati babak lakonan yang saya maksudkan, tontoni sahaja paparan youtube di bawah;




Coretan ini sengaja saya lakukan selepas membaca satu laporan berita mengenai kelalaian dan kealpaan seorang lelaki yang sudah tersalah tafsir mengenai kehidupan duniawi.

Sebab itulah sering kali saya mengingatkan bukan sahaja Anda, tetapi diri saya juga bahawa peranan minda seharusnya digunakan sebaik-baiknya. Usahlah dianggap semua perkara berkeadaan positif sahaja. Lebih-lebih lagi berkaitan agama, kerana yang negatif juga ada baiknya untuk ditelaah oleh minda sebelum pelbagai tindakan dilaksanakan.

Positif tidak semestinya baik di dalam satu-satu perkara dan begitu juga halnya dengan yang negatif, tidak semestinya buruk hasilan akhirnya. Sememangnya hanya DIA yang mengetahui segala-galanya, rahsia kehidupan duniawi yang harus kita lalui ketika ini.

Opppsss... Apa yang saya ingin katakan ialah sebenarnya peranan seorang wanita terlalu hebat auranya. Itupun seandainya lelaki menghargai dan memahami kehadiran mereka di sisi.

Berita yang saya maksudkan, baca sahaja di sini, "Bapak Budak Kahwin Paksa Kini Tertekan". Moga-moga ianya kelak mengembangkan lagi keupayaan minda yang kita miliki, InsyaAllah.



Baca selanjutnya, Klik di sini...

Selasa, Mac 16, 2010

Diburu Kenangan Silam Dek Cinta Terhalang... Buat Adik Vida84

Cinta memang indah andai difahami sepenuhnya. Orang yang dicintai tidak semestinya hadir di depan mata kerana cinta terletak di dalam hati sanubari. Ramai pengkaji cinta mengkategorikan Cinta melalui pelbagai nama seumpama cinta monyet, cinta buta, cinta dunia dan lain-lain lagi.

Tidak salah untuk diketahui kesemuanya asal sahaja perjalanan kehidupan sentiasa mengarah kepada NYA. Pedulikan orang lain kata, kerana Tuhan Pencipta Alam sememangnya mengetahui segala-galanya. Hatta yang tersembunyi di dalam hati sanubari, DIA pasti mengetahuinya.

Itulah istimewanya kuasa Tuhan Yang Maha Esa melangkaui segala-galanya. Sampai bisikan hati manusia, DIA masih berupaya mengetahuinya.

Walaupun realitinya luaran Anda nampak seolah-olah sudah sempurna, tetapi andai Hati masih kotor, pasti terluah jua kekotorannya. Itu sememangnya kuasa Tuhan Yang Maha Esa. Boleh membongkar segala-galanya.

Aik! tersasar pula lakaran ini ya. Bukankah saya sedang memberitahu kepada Adikku Vida84 yang masih muda remaja berkenaan Cinta Terhalang? Oklah, saya teruskan sahaja.

Usahlah dibazirkan titisan cinta yang adik miliki kepada mereka yang tidak mahu memahami proses akhir berkenaan cinta. Apatah lagi kepada mereka yang tidak mahu langsung berusaha menjelmakan erti cinta yang sebenar-benarnya.

Biarkanlah kenangan silam berlalu pergi kerana orang yang masih tidak memahami proses perjalanan cinta sememangnya tidak layak dihargai. Apatah lagi untuk menambahkan kehebatan perasaan cinta yang selayaknya dicurahkan dengan penuh kehebatan agar terlakarlah kenangan-kenangan indah yang kelak mengukirkan suatu simbol yang amat berharga sepertimana wujudnya adik di dunia ini, Anak.

Kita, yang masih memiliki limpahan perasaan cinta hasil cerminan hati dan perasaan, usahlah pula terikut-ikut dengan mereka yang tidak memahami dan menghargainya. Apatah lagi menyelewengkannya menjadi perasan curiga bersalut benci penuh tipu-daya.

Ketahuilah bahawa curiga, benci dan penuh tipu-daya adalah antara racun duniawi yang harus dihindari. Perasaan sebegitu akan memudahkan musuh-musuh durjana, iaitu para syaitan dan iblis laknatullah berupaya menyelewengkan pelayaran bahtera rumahtangga, lebih tepat lagi, Kehidupan pasangan suami-isteri akan diporak perandakan oleh mereka.

Amat malanglah seandainya perasaan cinta yang adik ada sudah terbalik menjadi curiga, benci dan penuh tipu-daya. Apakah itu yang adik ingin perolehi? Semuanya terserah kepada adik untuk melakarkan cerminan hati yang semulajadinya bersifat tulus dan suci.

Seandainya adik mengetahui betapa indahnya rahsia pasangan suami isteri yang halal, abg pasti adik kelak akan menghargainya, terutama kepada Suami yang telah berjaya menyunting adik menjadi seorang yang bergelar isteri.

Adik perlu memikirkan Matlamat Hidup seorang Isteri kini. Mengapa? Kerana dari situ nanti akan terbitlah kekuatan diri untuk terus berusaha meneruskan perjalanan hidup ini.

Dengan memikirkan Matlamat Hidup seorang Isteri, akan terbitlah pembakar semangat untuk adik terus berusaha menggapai apa yang dicita-citakan bersama suami tercinta.

Andai adik terus-terusan mengingati kekasih silam, ianya berkemungkinan boleh menenggelamkan bahtera rumatangga yang telah tersergam indah. Adik juga akan terus-terusan menikam hati dan perasaan adik sendiri sebenarnya.

Dalam hal ini, sukalah abg memberitahu bahawa kekasih dahulu tiada ertinya lagi kerana adik perlu berperanan sebagai seorang Isteri kini. Itupun kalau adik ingin menggapai Kejayaan Hakiki selepas Kehidupan Duniawi.

Adakah dengan merenung-renung kenangan indah bersama kekasih silam akan membuatkan Matlamat Hidup adik tercapai nanti? Kalau memang begitulah kehendak hati, abg pun tak dapatlah membantu…

Tetapi andai sebaliknya, nasihat abg, usahlah dikenang sejarah silam yang sudah berlalu. Jadikan ianya sebagai Pedoman Hidup agar dapat dijadikan panduan di sepanjang kehidupan.

Abg pasti, tugas kita ke dunia ini bukanlah sekadar mengecapi cinta pasangan kekasih, tetapi lebih jauh daripada itu ialah melakar cinta kepada NYA, Tuhan Yang Maha ESA, Allah SWT. Moga-moga kecintaan itu akan bersemadi di Syurga.

Berusahalah mengukir cinta kepada NYA agar kelak adalah sinar cahaya NYA menyimbah kehidupan kita. Moga-moga pancaran cahaya NYA sentiasa mengiringi sisa-sisa perjalanan hidup yang masih ada…

Hidup di dunia memang sementara. Diumpamakan sehari di Syurga adalah menyamai 1000 tahun di dunia. Pilihlah kehidupan yang adik inginkan. Kebahagian 100 tahun di dunia atau mungkin 100 tahun di Syurga?


Entri tambahan mengenai;

Bicara Soal Cinta

Cinta Terhalang,

Putus Cinta atau Putus Kasih Sayang,

Kasih dan Sayang,

Petua Menyuburkan Kasih Sayang,

Mengenali Cinta.




Baca selanjutnya, Klik di sini...

Ahad, Mac 14, 2010

Pengalaman Selepas Memperolehi Keputusan SPM, Sijil Pelajaran Malaysia...1 (Rahsia Keajaiban Kehidupan Dunia)

Selayaknya segala puji-pujian hanya untuk NYA. Maha suci Tuhan Penguasa Alam yang menguasai segala keajaiban.

Di kesempatan subuh hening ini, masa terluang yang ada saya gunakan bercerita dengan Anda. Maklum sahajalah, sudah dua hari blog Pedoman Hidup tidak diisikan entri terbaru untuk ditelaah.

Ketahuilah bahawa Anda sememangnya saya kasihi kerana DIA. Ketahuilah juga bahawa walau sesibuk manapun diri saya, InsyaAllah, akan saya luangkan masa untuk berkongsi apa sahaja cerita dengan Anda. Pelbagai kisah yang tergambar di ruangan Minda Sedar yang saya ada. Mudah-mudahan adalah manfaatnya.

Alhamdulillah, subuh ini saya ada kekuatan untuk melanjutkan satu lagi lakaran motivasi bersempena keputusan peperiksaan SPM 2009 yang lalu. Seperti mana yang saya telah beritahu di dalam coretan yang lalu – Keputusan SPM 2010 dan Adik Afiq.

Kali ini saya ingin berkongsi pengalaman yang telah saya lalui 20 tahun yang lalu. Pada tahun 1990, saya telah memperolehi keputusan SPM yang tidaklah secemerlang adikku Afiq. Sungguh! Saya hanya memperolehi Pangkat Tiga sahaja. Kalau pada Sijil Pelajaran Malaysia, keputusan begitu memang tidak cemerlang dan dicetak pada sijil memperolehi keputusan Bahagian Tiga.

Sijil Pelajaran Malaysia dulu memaparkan Bahagian Satu adalah yang paling bagus, diikuti Bahagian Dua dan seterusnya Bahagian Tiga. Ketiga-tiga bahagian dipisahkan oleh jumlah unit yang diperolehi selain kelulusan mata pelajaran utama khususnya Bahasa Malaysia dan juga jumlah matapelajaran kredit yang diperolehi.

Bahagian Satu dikategorikan berunit lingkungan kurang daripada 24 unit, Bahagian Dua berunit di antara 25 – 34, manakala Bahagian Tiga berunit 35 ke atas. Penjumlahan unit adalah dikira berdasarkan gred lima matapelajaran berunit terendah. Bagi matapelajaran bergred A, unit yang diberikan bernilai 1, manakala yang bergred E bernilai 9. Selain tiga bahagian keputusan itu, ada juga Sijil Am Pelajaran (SAP) iaitu lulus sebahagian kecil sahaja matapelajaran.

Kalau diikutkan merit, memang saya tidak layak mengikuti mana-mana pengajian di universiti. Apatah lagi memasuki pusat-pusat matrikulasi. Jauh panggang dari api.

Sememangnya keputusan SPM yang saya perolehi tidaklah cemerlang. Sungguh! kalau mengikut kebiasaan, memang tidak layak meneruskan pengajian. Di sebalik itu, saya ingin kongsikan tiga ungkapan ini – Keyakinan, Usaha dan Doa.

Ketahuilah bahawa ketiga-tiga kata kerja itu sering kali berupaya membuka segala Pintu Rahsia Keajaiban Kehidupan Dunia. Itu pun kalau Anda ingin mengetahui dan mengalaminya.

Jujur saya beritahu bahawa selepas mengetahui keputusan SPM, saya belum jelas ke mana arah haluan seterusnya. Mahu meneruskan pembelajaran ke tingkatan enam? Itu adalah antara pilihan yang ada. Namun, ura-ura mengatakan bahawa berdasarkan keputusan yang saya perolehi peluangnya terlalu tipis. Nak masuk universiti? Lagilah… Jauh sekali untuk menjadi realiti.

Satu kisah menyedihkan yang saya tempuhi dan kongsikan di sini ialah pengalaman diejek dan dihina secara sinis. :(

Sungguh! Saya pernah diejek dek tidak layak memohon masuki universiti.

Kalau menurut perhitungan biasa, keputusan yang saya perolehi memang tidak layak meneruskan pengajian akademik ke peringkat yang lebih tinggi. Itu antara yang diyakini oleh kebanyakan rakan-rakan, lebih-lebih lagi keluarga terdekat.

Perlu juga saya beritahu bahawa proses memasuki universiti 20 tahun yang lalu agak terhad dan tertutup. Tidaklah semudah sekarang. Menggunakan online internet sahaja.

Kalau dulu, pelajar yang ingin memohon meneruskan pengajian ke peringkat universiti kenalah melalui birokrasi dipenuhi kroni.

Ooppsss… bila saya ungkapkan birokrasi dipenuhi kroni sebenarnya merujuk kepada kakitangan yang kurang bertanggungjawab melaksanakan amanah yang dipikul sehingga terdorong menyalah-gunakan kuasa yang mereka ada. Namun, saya harus akui bahawa tidak semua kerani berperangai begitu. Kebiasaannya, selepas keputusan SPM diumumkan, penuhlah kaunter-kaunter pejabat pendidikan negeri. Pelbagailah pula ragam para kerani di pejabat pendidikan daerah atau negeri.

Dua puluh tahun dahulu, lepasan SPM perlu membeli borang permohonan memasuki universiti dari Pejabat Pendidikan Daerah atau Negeri. Selain itu, pelajar juga perlu menunjukkan slip keputusan peperiksaan SPM yang dimiliki.

Saya telah berkesempatan mendengar pelbagai umpatan mengenai karenah para kerani yang bertugas di kaunter. Malahan sampai ke tahap memilih orang-orang tertentu sahaja yang layak dijualkan borang kemasukan itu.

Nak dijadikan cerita, dek terdorong mengikut kawan-kawan seusia yang memperolehi keputusan cemerlang, saya telah diejek secara sinis. Kisahnya bermula bila mana saya menunjukkan slip keputusan yang saya perolehi. Kerani yang melihatnya tersenyum lebar dan menembakkan peluru yang agak pedas didengari telinga. Rakan-rakan yang ada di sisi juga mengukirkan senyuman sinis kepada saya.

Syukur juga ketika itu saya masih lagi muda remaja dan masih belum mengerti sepenuhnya hakikat hati yang perlu dijaga kerapuhannya. Kedaifan saya memahami perkara-perkara asas di dalam hal-hal kelayakan merit adalah didorong oleh pemahaman mengenainya yang terlalu rendah.

Maklumlah, ibubapa saya bukannya berpelajaran. Bersekolah pun mereka tidak pernah. Ayah saya bolehlah membaca tetapi merangkak-rangkak bunyinya. Kalau menulis, rupanya macam cakar ayam sahaja. :)

Ibu saya pula langsung tidak pandai membaca. Kalau mengira, bolehlah sikit-sikit. Itulah realiti ibubapa yang saya ada. Namun, saya bersyukur kerana mereka sentiasa memberikan galakan, dorongan dan ada kala paksaan untuk saya meneruskan pembelajaran akademik. Sebab itu saya amat mengasihi dan menyayangi kedua ibubapa saya sehingga kini dan selama-lamanya, InsyaAllah.

Selain itu, di kalangan keluarga terdekat, ramai yang belum faham dan tahu selok-belok permohonan memasuki universiti. Begitu juga orang kampung. Hampir kesemuanya tidak jelas arah seterusnya selepas pembelajaran di peringkat SPM.

Kalau pun ada yang faham, mereka hanya meneruskan pengajian ke tingkatan enam. Memang ramai yang menganuti bahawa selepas SPM, sambung sahaja pengajian ke tingkatan enam. Kalau tak layak, cari sahaja kerja yang bersesuaian dengan keputusan SPM yang ada.

Begitulah kebiasaannya yang berlaku di kalangan orang-orang kampung dan keluarga terdekat saya, dua puluh tahun yang lalu.

Dek keterbatasan pengetahuan itulah, saya telah terdorong megikut kawan-kawan sahaja. Walhal rakan-rakan yang saya ikuti memperolehi keputusan SPM yang bukan calang-calang hebatnya. Berpangkat Satu dan Dua. Belas unit sahaja yang mereka perolehi.

Berbanding saya, hermmm… melebihi 30 unit sebenarnya.

Berbalik pada kisah mengikut kawan, sebenarnya niat saya yang utama ialah untuk mengetahui arah seterusnya untuk saya meneruskan pembelajaran akademik. Tidak kiralah ke mana sahaja. Asalkan bukannnya ke kolej swasta kerana ibubapa saya tidak mampu membayarnya. Sungguh! Ketika itu Ayah saya bekerja sebagai pemandu teksi sahaja dan ibu pula hanyalah surirumah sepanjang masa.


(Akan saya sambung coretan ini, InsyaAllah)

Baca selanjutnya, Klik di sini...

Jumaat, Mac 12, 2010

Keputusan SPM 2010 dan Adik Afiq

Kelmarin, keputusan peperiksaan SPM 2009 atau Sijil Pelajaran Malaysia tahun 2009 telah diumumkan oleh Kementerian Pendidikan. Saya tumpang gembira bila mengetahui adik sepupu berjaya memperolehi 9A dan 1B.

Sebab itulah saya meluangkan sedikit masa subuh ini membuat coretan berlatarkan motivasi. Mudah-mudahan adik-adik yang baru melepasi ujian SPM akan mengerti dan terus mengorak langkah mencari hala tuju kehidupan seterusnya.

Jujur saya beritahu bahawa 21 tahun yang lalu, keputusan SPM yang saya perolehi tidaklah secemerlang itu. Saya sekadar lulus cukup-cukup makan sahaja. Tetapi itu bukanlah penghalang untuk saya terus mengorak langkah mengecapi kehidupan dunia. Memang tidak!. Kepada adik-adik yang memperolehi keputusan SPM kurang cemerlang, InsyaAllah akan saya berkongsi motivasi mengenainya dalam masa terdekat ini.

Tetapi biarlah entri kali ini saya khususkan kepada adik-adik yang telah berjaya memperolehi keputusan cemerlang. Saya juga mengambil kesempatan mengucapkan Tahniah! kepada adik-adik yang telah berjaya. Ucapan itu untuk adik sekeluarga sebenarnya.

Moga-moga dapatlah kita berkongsi kegembiraan itu di sini. Jika ada kesempatan, luahkanlah sedikit kegembiraan itu di sini agar menjadi pembakar semangat kepada adik-adik yang lain pula, InsyaAllah.

Afiq adalah nama adik sepupu saya yang memperolehi keputusan cemerlang, 9A, 1B. Dia kini sedang meneruskan pengajian di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di dalam bidang kejuruteraan. Tak silap saya dah dua bulan lamanya dia di sana. Dia layak diterima masuk ke Universiti Teknologi Malaysia menggunakan keputusan Percubaan SPM.

Afiq adalah seorang remaja yang kacak dan aktif bersukan. Kalau Anda memandang wajahnya, ada kemungkinan Anda akan tergoda, maklumlah kekacakan dan kepintarannya agak-agak barangkali macam saya. Cehhh!

Keputusan SPM yang diperolehinya saya ketahui melalui sms yang dihantarkan oleh Isteriku Yang Tercinta kelmarin, ketika sedang sibuk mempengerusikan satu sesi seminar. Nasib baik juga Isteriku Yang Tercinta memahami kepentingan berita-berita begini dan terus sahaja memberitahu kepada saya melalui khidmat pesanan ringkas, sms.

Bila mana menerima pesanan daripada Isteriku Yang Tercinta, terus sahaja saya segera melayangkan dua sms TAHNIAH! kepada Pakcik dan Makcik yang merupakan orang tua Afiq. Minda Sedar saya masih lagi menyimpan memori 20 tahun yang lalu ketika saya mula-mula memasuki alam Universiti.

Ibubapa Afiqlah yang telah banyak memberikan bimbingan dan menghulurkan pelbagai bantuan. Ketika itu, Afiq belum lagi dilahirkan ke dunia.

Kedua orang tuanya memang banyak memberikan dorongan dan bantuan kepada saya. Maklumlah, Ayahnya merupakan adik kepada Ayah saya. Sebab itulah Ayah Afiq terdorong melakukannya.

Lagipun ketika itu orang tua saya masih tidak memahami berkenaan akademik. Lebih-lebih lagi alam universiti. Memang jauh sekali. Bukan sahaja kedua orang tua saya sebenarnya. Bahkan orang di kampung juga kurang faham dan belum mengerti mengenai akademik dan universiti. Bila mana saya memulakan langkah ke alam universiti, wah! mashyurlah nama ibubapa saya di kampung. Itu 20 tahun yang lalu...

Tetapi kini, orang di kampung sudah berlumba-lumba mengejar kejayaan-kejayaan akademik seperti itu. Malahan sudah ramai pun yang bekelulusan dari universiti. Dua orang adik perempuan saya juga kini sedang berada di universiti awam Malaysia. Sememangnya saya amat gembira di atas kesedaran pencapaian akademik sebegini.

Sejurus selepas sms saya terbangkan kepada Pakcik dan Makcik, balasan daripada mereka saya terima dan memaparkan pesanannya begini;

“Terima kasih... kejayaan ini kejayaan kita bersama... kejayaan ini juga atas doronganmu“

Bilamana saya menerima sms begitu, tiba-tiba jiwa yang saya miliki merasainya dan tak semena-mena kelopak mata saya digenangi sedikit air mata. Nasib baik juga saya sedang mempengerusikan sesi seminar. Kalau tidak, ada kemungkinan genangan itu berubah menjadi aliran yang melimpah-limpah di pipi pula. :)

Syukur Alhamdulillah. Kepada NYA jua saya panjatkan segala puji-pujian sebegitu rupa.

Sekali lagi, saya mengucapkan Tahniah! kepada adik-adik yang telah berjaya jua kepada kesemua ahli keluarga, khususnya Ibu dan Ayah. Tidak dilupa, Anda yang bergelar Cikgu Sekolah Menengah. Tahniah! buat Anda semua kerana hasil didikan Andalah mereka akhirnya berjaya mengecapinya.


Baca selanjutnya, Klik di sini...

Selasa, Mac 09, 2010

Minda Separa Sedar Yang Harus Disedarkan

Sekarang ini sebenarnya saya sedang berehat-rehat sambil meneguk minuman nescafe 3 dalam 1 yang berlabel “mild”pada bungkusannya. Biasalah, petang-petang begini pasti saya akan meluangkan sedikit masa untuk berehat seketika sambil bercerita-cerita dengan Anda. Anda yang menjadi teman saya berbicara sepanjang masa tidak kira di mana jua Anda berada.

Terima kasihlah... kerana masih lagi sudi bertemankan saya yang kerdil lagi lemah ini. Sebab itulah juga saya amat mengasihi Anda. Pastilah kasih yang terluah dek mengingati NYA, Tuhan Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang.

Jujur saya beritahu bahawa saya masih lagi dihimpit bebanan tugas yang banyak, tetapi tidaklah pula bermaksud saya harus melupakan Anda dan tidak mahu lagi berbicara dengan Anda setiap hari. Memang tidak!, InsyaAllah.

Ketika berehat-rehat beginilah saya akan gunakan masa terluang untuk bersembang dengan Anda sebenarnya. Lebih-lebih lagi menjelajah sebentar ke blog yang Anda miliki. Manalah tahu ada yang berkenan di hati, pasti masa rehat dihabiskan membaca entri di dalam blog yang Anda miliki. Itupun saya lakukan sambil-sambil meminum nescafe 3 dalam 1 berlabel mild pada bungkusannya. :)

Sebentar tadi ada juga saya terlihat entri mengenai keupayaan Minda Separa Sedar. Kalau ikutkan nafsu yang saya ada di Minda Sedar ketika ini, nak jugalah meluahkan sedikit komentar mengenainya.

Tetapi dek masa yang terlalu singkat, ditambah pula pelbagai tugasan yang harus diselesaikan dengan segera, maka tak dapatlah berkongsi mengenai perbandingan Minda Sedar dan Minda Separa Sedar.

Bila ada kelapangan masa, akan saya kunjungi semula dan memberikan apa-apa idea yang ada di Minda Sedar saya, InsyaAllah.

Cukuplah setakat saya memberitahu bahawa gunakanlah Minda yang Anda ada sebaiknya kerana dorongannya terlalu ajaib sebenarnya.

Minda Andalah yang akan menunjuki mana satu kerja-kerja duniawi yang harus dipilih. Pilihlah sebaiknya agar diperolehi kebaikan darinya nanti. Sama ada Minda Sedar, Minda Separa Sedar, Minda Super Sedar atau apa sahaja istilah berkenaan Minda, hakikatnya Anda hanya ada satu sahaja Minda yang akan menggambarkan penampilan jiwa yang Anda miliki.

Saya tetap menyakini bahawa kehebatan minda akan terserlah bila mana mendapat petunjuk dan ilham dari NYA. Ilham yang istimewa kehebatannya akan terjelma bila mana kita memohon kepada NYA. Hanya belas ehsan dari NYA kelak menjelmakan pelbagai keajaiban dunia, InsyaAllah

Untuk itu, sebagai penutup entri hari ini, cubalah dengar dendangan lagu yang cukup syahdu ini. Moga-moga akan terzahirlah ilham di minda yang Anda punyai dan seterusnya menjelmakan pelbagai usaha agar sentiasa menuju jalan NYA, InsyaAllah.








Baca selanjutnya, Klik di sini...

Isnin, Mac 08, 2010

Lakaran Buat Anda Yang Bernama Wanita

Aduh!
Kesibukan yang sedang saya hadapi ketika ini seumpama titisan hujan yang turun dari langit. Terlalu banyak yang harus saya tadah. Memanglah tidak akan dapat menadah kesemuanya kerana harus mendahulukan yang mana lebih utama untuk diselesaikan dengan segera. Mudah-mudahan Anda yang sememangnya saya kasihi mengerti di dalam hal-hal sebegini.

Lakaran hari ini saya khususkan kepada Anda yang bergelar Wanita. Saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Hari Wanita Sedunia. Kepada Tuhan Penguasa Alam Semesta jua saya menadah tangan memohon doa agar Anda yang bergelar wanita selamat dunia akhirat. Anda yang telah mendirikan rumahtangga saya doakan semoga senantiasa berbahagia disisi keluarga tercinta. Dan Anda yang masih dara, saya juga doakan semoga bertemu jodoh, InsyaAllah.

Lakaran ini singkat sahaja saya coretkan kerana ada kerja utama yang perlu dibereskan dengan segera. Namun, dek dorongan kasih terhadap Anda, saya tetap meluangkan masa walaupun singkat seperti sekarang. Cukuplah sekadar mengucapkan dan mendoakan agar Anda beroleh kejayaan. Sememangnya saya amat mengasihi Anda kerana DIA.

Mudah-mudahan melalui coretan sebegini Anda akan memahami bahawa saya masih lagi berada di sini. Di blog Pedoman Hidup ini.

Oppsss... Anda yang begelar lelaki usahlah pula terasa dek ucapan sebegini sekadar dikhususkan kepada wanita sahaja. Sememangnya bukan begitu maksud saya. Anda yang bernama lelaki juga saya amat kasihi kerana DIA.

InsyaAllah, ada kelapangan masa di lain kali, bersempena hari lelaki, akan saya buat pula lakaran seperti ini khusus kepada Anda yang bernama Lelaki :)

Baca selanjutnya, Klik di sini...

Jumaat, Mac 05, 2010

Mencurah-curah Air Mata Isteriku Yang Tercinta

Tengahari Jumaat ini saya menggagahkan diri menghasilkan entri untuk ditelaah oleh Anda. Anda yang sememangnya saya kasihi kerana DIA. Terima kasih tidak terhingga kerana Anda masih lagi sudi menemani saya bila-bila masa sahaja, seperti sekarang ini... Ketika saya dilanda rindu pada Isteriku Yang Tercinta.

Semalam, saya telah tidur berjauhan dengannya dek tuntutan kerja yang perlu dilaksanakan demi negaraku tercinta, Malaysia. Sebenarnya entri ini saya lakarkan semasa menunggu penerbangan balik ke kampung halaman selepas melaksanakan kerja yang saya maksudkan.

Kebiasaannya pada hari Jumaat seperti sekarang, saya lebih suka berkongsi tazkirah bersama-sama, tetapi dek kepenatan, saya terdorong berkongsi perasaan yang sedang menyelubungi jiwa yang dimiliki ketika ini --> Merindui Isteriku Yang Tercinta.

Ketika ini, saya masih lagi berada di KLIA, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur. Sebab itulah beberapa hari lepas saya tidak berkesempatan mengisikan sebarang entri di sini, di laman blog Pedoman Hidup.

Begitu juga menziarahi blog Anda. Saya tidak berkesempatan sebenarnya. Maafkanlah saya...

Untuk lakaran kali ini, saya ingin kongsikan mengenai lembutnya hati seorang wanita bergelar isteri bila mana mereka sentiasa dihargai oleh suami. Sungguh! saya memberitahu perkara ini sebab saya sedang mengalaminya.

Ingatkah lagi entri yang saya lakarkan sebelum ini mengenai Coretan Minda Bersalut Emosi Khusus Untuk Isteriku Yang Tercinta? dan Godaan Syaitan Sebelum Bertemu Jodoh?.

Kedua-dua entri itu telah membuatkan Isteriku Yang Tercinta mengalirkan air mata dan terus menghantar sms kepada saya selepas menelitinya.

Nak tahu sms yang dilayangkannya? Begini bunyinya;

Ah! syahdunya...
mencurah-curah air mataku jatuh...
maafkanlah Ayang andai ada perkara yang Ayang buat menyakitkan hati dan perasaan abang... I LOVE U 4 EVER N EVER

Itulah bunyi sms yang dihantarnya. Saya memahaminya dan InsyaAllah sampai sahaja di rumah hari ini, akan saya mencium pipinya. :)

Oklah, itu sahajalah kisah yang saya ingin kongsikan dengan Anda. Moga-moga adalah manafaatnya untuk Anda telaah di sini, kisah mengenai Kasih-Sayang Suami Isteri.

Baca selanjutnya, Klik di sini...

Rabu, Mac 03, 2010

Memadam Dendam Silam Yang Hitam dan Memeritkan!

Waduh! terkesan juga hati saya bila menelaah luahan perasaan daripada Akak dan Adikku sebentar tadi. Salamelekom, wbt duhai Akak dan Adik yang saya kasihi kerana DIA. Izinkanlah saya berkata-kata dari jiwa yang saya miliki ketika ini.

Realitinya, kesalahan seseorang sememangnya amat sukar dimaafkan. Apatah lagi kesalahan yang dilakukannya itu tidak dapat diterima akal. Pasti ianya kekal selama-lamanya. Ada kalanya dibawa sampai ke hujung nyawa. Perbuatan sedemikian boleh juga dinamakan sebagai Dendam Yang Membara... Nau’zubillah.

Alhamdulillah, kerana Akak Comel Berhati Waja masih mempunyai keimanan kepada Allah SWT, sebab itulah berupaya meredhai kepedihan dan tusukan para syaitan durjana. Syabas dan Tahniah! duhai Akak yang saya kasihi kerana DIA. Kalau tidak, entah apa-apa yang boleh berlaku sebenarnya.

Tidak seperti Adik yang masih lagi diselimuti emosi penuh rasa benci, sehingga mengukirkan kata benci besar sebegini --> BENCI!!!.


Realitinya, kita sebagai makhluk NYA yang bergelar manusia, memang akan melakukan pelbagai kesalahan semasa menjalani kehidupan duniawi. Seperti yang Akak nyatakan, menghilangkan barangan peribadi yang amat berharga yang sukar dicari ganti sememangnya amat menyakitkan hati. Sungguh! kalau terkena pada batang hidung sendiri, pastilah terasa kepedihannya menusuk jauh ke lubuk hati sanubari.

Begitu juga dengan Adik yang meluahkan rasa hati akibat dimaki hamun oleh seorang lelaki yang digelarnya sebagai BIADAP!!!, Mangkuk Jamban Rumah Setinggan. :( , Aduh! luahan kebencian sedemikian membuatkan hati sanubari yang saya memiliki merasainya. Sungguh! sebab itulah ada lakaran ini.

Sememangnya tidak mudah dibicarakan kepedihan yang dirasakan oleh mereka berdua. Hanya individu berkenaan yang mengerti dan memahami betapa pedihnya kesalahan yang orang itu telah lakukan. Itulah peranan hati sanubari yang kita miliki. Merasai apa yang kita lalui di sepanjang kehidupan ini.

Di sebalik itu, ada juga terselindung satu lagi elemen penting pada jasad kita yang perlu diketahui. Ianya amat suci. Itu pun kalau ingin dirasai kehadirannya. Nak tahu apa? saya menamakannya sebagai Jiwa Yang Satu.

Ianya berselindung di balik hati sanubari yang kita miliki dan berupaya menterjemahkan apa yang dirasai sehingga ke alam barzakh nanti.

Akak dan Adik boleh merasai kepedihan akibat kesalahan yang orang telah lakukan. Sampai bila-bila pun Akak dan Adik boleh merasainya andai berkehendakkan sedemikian rupa. Sungguh! Akak dan Adik boleh terus merasainya sampai bila-bila. Tiada siapa yang berupaya mengubati kepedihan itu, kecuali Akak dan Adik sendiri.

Memang Akak dan Adik sendiri yang kena merubahnya kerana kesakitan itu hanya Akak dan Adik yang merasainya, bukannya “mereka”. Lagi Akak dan Adik memendam rasa, lagi sukalah “mereka”.

“Mereka” yang saya maksudkan bukanlah mereka yang merosakkan barangan Akak atau yang memaki hamun itu, memang bukan. Yang saya maksudkan ialah mereka yang saya namakan Syaitan Durjana dari keturunan Iblis Laknatullah. Mereka sememangnya bersorak gembira selagi mana memori hitam itu Akak dan Adik masih simpan di dalam hati dan sanubari sendiri.

Sebagaimana mereka gembira melihat Nabi Adam diturunkan ke dunia dari Syurga, begitu jugalah rasanya kegembiraan mereka bila Akak dan Adik terus menyimpan rasa dendam sebegitu rupa. Dendam yang disimpan kadang kala boleh merosakkan fikiran kerana Hati Sanubari yang menyimpannya tidak berupaya melakukan lain-lain perkara sehingga gagal berfungsi sepenuhnya.

Hati Sanubari yang menyimpan dendam akan menggembirakan “mereka” selain memudahkan kerja-kerja “mereka” agar Akak dan Adik sentiasa alpa bila mana berjumpa dengan sesiapa. Sampai bila-bila Akak dan Adik sememangnya berupaya merasai dan memendam kepedihan itu di dalam hati sanubari.

Akak dan Adik juga berupaya meluahkannya bila-bila masa kepada sesiapa sahaja. Memang boleh! nak melaungkannya seantero dunia pun memang boleh. Sampai bila-bila. Selama-lamanya selagi mahu melakukan sedemikian rupa. Tiada siapa yang dapat menghalangnya, kecuali Jiwa yang Akak dan Adik miliki...

Nak mengharapkan mereka berubah? Ketahuilah bahawa itu bukan kuasa Akak dan Adik sebenarnya. Mereka yang didendami juga memiliki Jiwa mereka sendiri. Jiwa mereka akan berfungi menurut kata Hati Sanubari yang mereka miliki. Sebagaimana Akak dan Adik merasai kepedihan yang masih disimpan di dalam Hati Sanubari ketika ini.

Untuk memadamnya, memanglah bukan kerja mudah kerana perasaan insan diciptakan memang begini. Mengingati semua perkara yang diajarkan oleh NYA. Agar dapat diuji sejauh mana Jiwa yang dimiliki menyimpan Keimanan kepada NYA di sebalik khazanah ilmu kehidupan yang amat berharga seperti yang sedang dilalui ketika ini.

Seandainya jiwa mempunyai keimanan yang tinggi, Keimanan yang dapat merasai kehadiran NYA sentiasa di sisi, pasti dengan mudah sahaja memori silam yang hitam dan pedih itu disimpan rapi di dalam hati sanubari. Ianya tidak akan diusik walau sekecil-kecil usikkan pun oleh Jiwa yang dimiliki. Ianya dibiarkan menjadi khazanah ilmu berharga dan disimpan rapi selama-lamanya tanpa usikkan oleh Jiwa yang dipunyai.

Bilamana ianya disimpan berlapikkan keimanan kepada Tuhan, akan muncullah keredhaan yang tiada tolok bandingannya. Keredhaan melepaskan segala macam kemewahan, kekuasaan dan segala macam perasaan yang menjadi hiasan duniawi yang kadang kala boleh mengalpakan tujuan sebenar mengapa kita berada di sini, di dunia ini.

Kita ke sini sememangnya sedang diuji agar dapat menduduki kembali taman-taman indah yang saya menamakannya Taman-Taman Syurgawi. Nabi Adam dan Hawa juga pernah bersalah, tetapi Allah SWT Yang Pemurah memberikan mereka kehidupan duniawi untuk dilalui...

Kita juga boleh kembali ke Syurga, andai Jiwa yang dipunyai memiliki rasa kasih sayang sesama insan bersulamkan Keimanan Yang Tinggi, mempercayai kekuasaan Tuhan Yang Maha Esa, selain meredhai segala macam cabaran dan dugaan yang ditimpakan di sepanjang perjalanan kehidupan duniawi ini.

Hanya Jiwa yang mengerti, cekal dan tabah berupaya melaluinya...

Baca selanjutnya, Klik di sini...

Selasa, Mac 02, 2010

Terima Kasih Pak Mat Yang Baik Hati - As-Syahid Hasan Al-Banna

Alhamdulillah..., akhirnya saya berjaya memperolehi risalah ini. Risalah yang mengandungi himpunan kertas kerja Konvensyen Pemikiran Hasan Al-Banna - Dalam Melakar Agenda Bangsa. Walaupun saya tidak berkesempatan menghadirinya, sekurang-kurangnya seorang insan yang perihatin telah sudi mengirimkannnya untuk saya telaah kandungannya. Akan saya singkap helaian demi helaian, InsyaAllah.

As-Syahid Hasan Al-Banna adalah seorang insan yang saya mula kenali selepas menyelongkar beberapa karya yang memperkatakan tentang dirinya. Saya tertarik dan terus berusaha mengenalinya serta menyingkap pelbagai karya yang ada. Seorang wartawan pernah bertanya tentang dirinya, lalu dijawab oleh As-Syahid Hasan Al-Banna;

"Saya adalah pengembara yang mencari kebenaran. Saya adalah manusia yang mencari erti sebenar kemanusiaan. Saya adalah seorang warganegara yang impikan sebuah negara yang dihormati, merdeka, tenteram dan hidup harmoni di bawah naungan Islam yang murni. Saya hanyalah ibarat seorang yang memahami rahsia hidupnya. Justeru dia berseru: Sembahyangku, ibadatku, hidupku dan matiku hanya untuk Allah, Tuhan sekalian alam, tiada yang mempersekutui-Nya. Inilah yang diperintahkan kepada saya dan saya salah seorang yang menyerah diri."

Selain itu, antara sepuluh wasiatnya yang saya masih ingati ialah yang ke-9 berbunyi, "Berkenal-kenalanlah dengan setiap Muslim yang ditemui kerana asas gerakan dakwah ialah berkenal-kenalan dan berkasih sayang." Kalau Anda ingin mengetahui lebih lanjut mengenainya, klik sahaja di sini, Detik Hidupku - Hasan Al-Banna.

Terima kasih yang tidak terhingga kepada Pak Mat Yang Baik Hati kerana sudi mengirimkan risalah ini. Tiada kata-kata indah yang saya dapat lakarkan selain ucapan itu tadi. Semoga Allah membalas segala jasa yang telah diberi dan semoga dibahagiakan dan dilimpahkan hidayah NYA sepanjang masa, untuk Pak Mat Sekeluarga. Amin... Sampaikan salam saya sekeluarga kepada Isteri dan anak-anak Pak Mat.

Baca selanjutnya, Klik di sini...

Akak Comel Berhati Waja

Waduh! sekali lagi tersentuh hati saya bila menelaah penjelasan Akakku yang dikasihi kerana DIA. Pastilah Akak yang saya gelarkan Wanita Comel Berhati Waja. Fuhhh! indah pula gelaran sebegini kepadanya… ;)

Haáh… Memang betullah. Rupa-rupanya saya tersilap meneliti dan mentafsir apa yang diberikan oleh Akak Comel Berhati Waja. Inilah kelemahan saya semasa menafsir pelbagai perkara di dunia. Saya juga sering kali melakukan kesilapan sebenarnya.

Dan sering kali juga saya berusaha memperbetulkan kesilapan yang ada. Paling kurang pun, memohon maaf seperti sekarang ini. Maafkanlah saya duhai Akakku yang Comel Berhati Waja.

Tika ini, saya juga mengambil kesempatan mendoakan semoga Akak Comel Berhati Waja akan tabah menghadapi segala-galanya... Semoga adalah kekuatan di dalam meneruskan perjalanan dunia yang penuh pancaroba.

Kebenaran akan kelak terjelma atas kehendak NYA jua. Usah dinanti kebenaran itu, kelak membantutkan Matlamat Hakiki perjalanan duniawi. Sememangnya masih banyak lagi yang harus kita terokai bersama dan moga-moga akan diperolehilah sinar cahaya NYA di penghujung perjalanan dunia, InsyaAllah.

Baca selanjutnya, Klik di sini...