Sabtu, Februari 06, 2010

Kuasa yang mengatasi segala-galanya... Law of Rejection

Kali ini saya ingin melanjutkan coretan mengenai Ilmu Kekuasaan. Saya terdorong berkongsi mengenainya kerana rasa khuatir yang ada di dalam hati yang saya miliki. Sebab itulah saya ingin berkongsi dengan Anda. Luahan hati seperti ini. Moga-moga adalah keberkatannya. Pada NYA jua saya berserah.

Sudah banyak buku atau ebook barangkali yang membicarakan mengenai Kuasa Minda. Saya tidak menyangkal pelbagai tafsiran yang diluah di dalam ilmu-ilmu yang sedemikian rupa. Izinkanlah pula saya berbicara di luar konteks kebiasaannya. Kerisauan saya seolah-olah penggemar kuasa minda sudah melangkaui segala-galanya. Sebab itulah di dalam lakaran saya dahulu ada berkata-kata mengenainya Kuasa Minda VS Kuasa Allah.

Allah SWT maha berkuasa. Kuasa NYA melebihi segala-galanya. Sebab itulah kita kena sentiasa memohon kepada NYA. Bukan selainnya. Apatah lagi pada minda yang separa sedar sahaja sifatnya. Ada kalanya tersasarlah keupayaannya. Barangkali di dalam minda yang sedar sepenuhnya akan percayalah kekuasaan Tuhan Yang Maha ESA, tetapi bilamana minda separa sedar menguasainya, berkemungkinan perbuatan yang digambarkan adalah sebaliknya.

Termasuklah perbuatan bersembang-sembang dengan minda sendiri seolah-olah hukum alam yang begini bersifat Attraction pada kemahuan yang diingini. Namun, minda sedar saya tetap berkata, orang yang bersembang-sembang dengan diri sendiri seumpama gila barangkali.

Bukankah lebih baik masa yang ada ketika itu digunakan untuk berbicara kepada NYA? sambil-sambil memuji kekuasaan NYA? Tuhan yang Maha ESA yang memiliki segala-galanya. Sememangnya DIA sedang memerhati segala gerak-geri di dunia ini.

Berceritalah dengan NYA kerana DIA sememangnya terlalu dekat dengan diri kita. Itupun kalau Anda mahu merasainya. Perasaan yang begitu dinamakan Keimanan sebenarnya.

Kalau di dalam Ilmu Penarikan atau Law Of Attraction diterangkan keupayaan minda menarik apa sahaja yang dibayangkan, seumpama berkata-kata menggunakan minda dengan alam semesta, nasihat saya usahlah meminta pada alam semesta kerana alam semesta juga diciptakan oleh NYA.

Alam semesta telah diciptakan oleh Tuhan Pencipta Sekelian Alam dan ia tidak mahu memikul tanggungjawab untuk menjadi khalifah di dunia.

Manusialah yang telah bersetuju memikul tanggungjawab ini – menjadi khalifah di dunia.

Mengapa pula tiba-tiba memohon bantuan alam semesta? Apatah lagi bersembang-sembang menggunakan minda dengan alam semesta. Bukankah perbuatan bersembang-sembang dengan minda diistilahkan gila? ;)

Saya tidak memaksa Anda memgikuti nasihat ini kerana kuasa minda yang saya ada sememangnya terlalu terbatas untuk mendorong Anda melakukan sedemikian rupa. Minda saya terlalu takut mengkhayalkan perbuatan yang sedemikian. Pastilah takut pada Tuhan Yang Maha Esa, Allah SWT yang telah menciptakan saya.

Pada saya, lebih baik terus sahaja mengadu kepada Tuhan Pencipta dan memohon pertolongan NYA untuk mengatasi pelbagai masalah dunia. Kelak DIA menunjukkan kekuasaan yang luar biasa, di luar kemampuan minda untuk memikirkannya.

Kalau minda separa sedar sahaja yang diguna, saya khuatir akan adalah tentera-tentera durjana mengiringinya. maklumlah, ianyakan separa sedar sahaja.

Minda separa sedar kelak tidak berupaya memikirkan segala keajaiban dunia yang terhasil oleh kuasa NYA. Berfikir memang boleh, tetapi andai cara berfikir diiringi tentera-tentera durjana, maka sia-sialah buah fikiran yang terhasil.

Selain daripada Law of Attraction, ada juga Law of Rejection. Law of Rejection tidak dinyatakan di dalam buku The Secret. Tetapi saya menyatakannya di sini, di dalam blog Pedoman Hidup agar Anda mengetahui.

Law of Rejection sebenarnya boleh diguna untuk mengenali siapakah sebenarnya diri kita, dicipta untuk memudahkan kita, untuk mencemerlangkan kita bukan setakat di dunia, tetapi melangkaui sehingga ke akhirat, kehidupan yang kekal abadi.

Jika Anda baca Kitab Suci lalu fikirkan sedalam-dalamnya mengapa Law of Rejection ada, pasti mata hati akan terbuka untuk mengenali kehidupan dunia yang sering memperdaya. Kita ada tujuan di sini. Mengapa tidak digali? Adakah kerana kemewahan dan kekuasaan menghijab diri?

Fikiran usahlah bertumpu ke arah satu hala sahaja, tetapi lihatlah menggunakan pandangan yang saya istilahkan tiga dimensi iaitu 3D – pendengaran, penglihatan dan Mata Hati Akal Fikiran supaya kelak melalui 3D ini, kita ditemukan perkara yang baik-baik bukan hanya di dunia, tetapi melangkaui selepas kehidupan ini. Syaratnya, kenalah berpandu pada petunjuk Ilahi.

Law of Rejection adalah respon pada emosi yang cepat dipengaruhi oleh pelbagai perkara. Oleh itu, berusahalah sedaya upaya melakukan yang terbaik buat diri sendiri. Tidak semestinya bila mana memperolehi kebaikan, baiklah namanya. Terkadang bila ditimpa musibah, juga kebaikan sebenarnya. Itupun kalau sudah dimegerti Law of Rejection dan menggunakan minda sempurna untuk memikirkannya dengan sebaiknya. Usah diguna minda separa sedar untuk berfikir, pasti tidak sempurnalah paparannya... ;)

Terkadang bila diberikan sesuatu oleh seseorang, kita merasa kita memperolehi kebaikan, tetapi realitinya, orang yang melakukan pengorbanan dengan memberikan sesuatu kepada kita sebenarnya lebih baik kerana melakukan sesuatu kebaikan untuk menggembirakan saudara atau teman-temannya. Tetapi, kebaikan itu belum cukup baiknya andai dilakukan bukan semata-mata kerana DIA. Pasti sia-sialah perbuatan yang sedemikian rupa.

Bila mana terlalu membayangkan sesuatu perkara, boleh sampai ke tahap mengkhayal sebenarnya. Paling penting, daripada mengkhayal-khayal sebegitu rupa, adalah lebih baik ditekadkan di dalam diri melakukan sesuatu agar tercapai apa yang dimahu.

Ingat! Lakukanlah sesuatu yang dimahu itu adalah semata-mata kerana DIA. Bila mana perbuatan yang dilakukan didorong kerana keimanan iaitu mempercayai bahawa DIA sememangnya sedang memerhati setiap gerak dan tingkah laku ini, saya percaya akan adalah sinar cahaya NYA mengiringi kehidupan ini. Kalau tidak pun di dunia, InsyaAllah, dipenghujung perjalanan dunia, dan moga-moga berterusanlah pula hingga ke akhirat sana.

Untuk membuat Law of Rejection respon pada kemahuan, kenalah sentiasa meredhai segala ketentuan NYA selepas melakukan sedaya upaya usaha untuk menggapai apa yang dicita.

Redhalah dengan ketentuan NYA. Tidak semua apa yang dimahu akan diperolehi andai dimengerti mengenai kehidupan duniawi. Orang berjaya boleh dilihat dengan mata semasa di dunia, tetapi siapa yang melihat kejayaan selepas kehidupan dunia?

Ukuran kejayaan selepas kehidupan dunia tiada siapa yang dapat mengukurnya kecuali DIA, Tuhan yang Maha Esa, Allah SWT.

Perjalanan hidup ini ada tujuannya. Bukan sekadar mencari harta kemewahan atau pangkat kekuasaan, tetapi di sebalik itu semua, kenalah digali bersama kerana ianya tugas masing-masing di antara kita. Mengapakah kita ada di sini – di dunia ini?.

Jawapannya, saya tidak mahu berikannya di sini kerana saya sendiri sebenarnya masih lagi tercari-cari cahaya Ilahi. :(

0 Komen:

Catat Ulasan