Rabu, Oktober 07, 2009

Kehidupan Dunia Ada Peranannya

Tergamam saya membaca lontaran komentar adikku Syira…

Salamelekom, wbt duhai adikku Syira yang dikasihi kerana DIA. Pastilah masalah yang adik sedang alami kini, tidak saya rasai keperitannya.

Betul! Sukar abg menyerap masalah itu sedalam-dalamnya kerana abg khuatir andai diserap semuanya, nanti tidak beres pula kerja-kerja yang abg harus lakukan untuk hari ini.

Hanya lontaran komentar ini yang dapat diberikan, andai ada masa terluang lagi, akan abg kongsikan di blog Pedoman Hidup nanti...


Hidup di dunia tidaklah indah sepanjang masa kerana itu kita perlu mengetahuinya. Terkadang kita gembira, dan kadang-kala juga kita terlalu bersedih. Semuanya ini, akan dirasai di sepanjang kehidupan ini.

Seandainya kehidupan dunia indah sepanjang masa, sudah pasti ianya bukanlah lagi dinamakan kehidupan dunia, barangkali sudah menjadi Kehidupan Syurga. Kehidupan syurga yang dinyatakan sebagai Kekal dan Abadi.

Kehidupan Syurga sememangnya teramat indah!.

Itulah yang telah diberitahu kepada saya oleh-NYA, melalui para Rasul yang dikasihi-NYA. Sememangnya Rasul yang menjadi utusan-NYA memiliki budi pekerti yang terlalu tinggi. Sebab itu mereka menjadi perantara agar dapatlah menyatakan sesuatu mengenai kehidupan. Kehidupan Abadi yang dijelaskan melalui Hati Sanubari yang terlalu bersih dan tidak dicemari oleh nafsu yang sentiasa menginginkan sesuatu, sesuatu yang belum pasti menjadi hak milik kekal abadi.

Sesungguhnya DIA jualah yang berkuasa di atas segala-galanya yang ada di dunia. DIA jualah yang telah menciptakan seluruh isi dan luaran alam. Alam yang zahir, mahupun yang tidak dapat dicapai oleh akal dan fikiran. Itu yang dinamakan sebagai Kepercayaan.

Kepercayaan yang merasakan DIA sememangnya sentiasa ada di samping setiap masa dan ketika, agar terbinalah jejantas untuk melintas.

Melintas menyeberangi lautan pancaroba kehidupan duniawi, agar tercapailah Matlamat Hakiki untuk menduduki Syurgawi Nan Abadi, yang penuh dengan keindahannya yang tersendiri, yang belum pernah kita miliki, semasa kehidupan ini.

Yang pasti, Syurga memang indah, itulah yang dinamakan sebagai Kepercayaan. Percaya pada mereka yang telah memberitahu akannya, pastilah bukan calang-calang orang yang memberitahu, mereka yang digelar Rasul Mulia, memiliki budi pekerti yang terlalu tinggi.

Mengapa kita harus merasai kehidupan dunia ini sebegini? Kalau adikku masih belum mengerti, ketahuilah bahawa inilah yang dinamakan ujian-ujian duniawi yang harus dirasai sebelum kita mengecapi kehidupan syurgawi.

Mengapa pula kita perlu diuji ?

Ermmm…. Sukar juga abg nak meyakinkan semua, tetapi yang pasti, apa yang berlaku ini perlu dilalui agar jiwa yang kita punyai dapat ditapis kekotorannya terutama nafsu yang menguasai hati dan sanubari, apatah lagi akal fikiran yang menjadi pembeza antara manusia dan haiwan.

Mana mungkin kita dapat menduduki kehidupan syurga andai hati masih diselaputi kekotoran yang boleh menjahamkan kehidupan di syurga sana. Mana mungkin kita dapat menduduki syurga andai nafsu yang kita miliki masih berkuasa berbanding akal dan fikiran. Dan mana mungkin kita merasakan kehidupan abadi andai yang mendudukinya berupaya merosakkan keindahannya nanti.

Di sebalik itu semua, pastilah hanya DIA yang memahami mengapa semua kejadian ini kita harus lalui bersama.

Untuk itu, DOA pada-NYA merupakan senjata paling ampuh dan utama di dalam kita melalui liku-liku kehidupan dunia. Andai selepas berdoa dan yang terjadi pula sebaliknya, ketahuilah bahawa penawarnya adalah Redha.

Redha yang dinamakan sebagai kita memahami bahawa apa yang terjadi adalah ujian-NYA semata, sejauh mana kita telah mengerti apa yang dinamakan sebagai kehidupan duniawi. Inilah yang dikenali ketentuan-NYA yang kita harus rasai.

Moga-moga dengan berlapang dada di atas apa yang dilalui, DIA akan melihat dan memahami bahawa kita sedang melalui proses pembersihan organ-organ dalaman yang dinyatakan sebagai nafsu, akal fikiran dan hati sanubari yang semuanya sedang bersembunyi di dalam diri setiap insani.

Nafsu, Akal Fikiran dan Hati Sanubari yang sentiasa mengingati-NYA pastilah akan mendapat bimbingan dari-NYA, apatah lagi dengan Hati Sanubari yang sentiasa mengharap lembayung keredhaan-NYA sepanjang masa, sudah pasti akan memiliki belas ehsan dari-NYA.

Itulah yang dikatakan sebagai mencapai pengertian akan ertinya kehidupan duniawi.

0 Komen:

Catat Ulasan