Ahad, Februari 28, 2010

Godaan Syaitan Sebelum Bertemu Jodoh

Coretan sebelumnya yang terluah dari minda bersalut emosi (di sini) dikhususkan untuk Isteriku Yang Tercinta ingin dilanjutkan untuk Anda, Anda yang saya kasihi kerana DIA. Sebab itulah bila Anda menelaah lakaran emosi sebegini...., ada baiknya lagu indah yang saya selitkan sebelumnya diiringkan sekali lagi. Klik sahaja dibawa agar menjadi halwa telinga semasa menelaah.





Saya ingin meneruskan Coretan Minda bersalut Emosi mengenai Isteriku Yang Tercinta. Tetapi kali ini bersangkut paut pula dengan godaan syaitan durjana. Ianya mengisahkan peranan syaitan yang cuba menganggu gugat perasaan cinta yang terluah dari dua jiwa antara saya dan Isteriku Yang Tercinta. Sungguh! Saya cuba diganggu gugat oleh mereka – para syaitan durjana.

Sebab itulah saya teruja memberitahu kepada Anda bahawa pencarian jodoh pasti diganggu gugat oleh mereka – mereka yang menjadi musuh manusia, Syaitan Durjana.

Bukan sahaja semasa saya mencari-cari jodoh, bahkan gangguan mereka berterusan sehingga ke hari ini, lebih parah lagi setelah kami mendirikan bahtera perkahwinan seperti sekarang.

Syukur Alhamdulillah, kerana Tuhan Penguasa Alam Semesta yang menjadi benteng utama untuk saya berteduh dan memohon restu, sentiasa melebarkan rahmat NYA. Tanpa NYA, berkemungkinan bahtera perkahwinan yang terbina boleh hancur berkecai jadinya.

Perlu saya beritahu bahawa titisan air mata sememangnya berupaya menjadi penawar kepedihan hati yang dirasai. Petunjuk Ilahi pula menjadi pengubat yang amat mujarab di dalam melawan gangguan para syaitan yang ada kalanya berjaya menyusup masuk ke dalam hati sanubari yang dimiliki.

Saya juga tidak boleh menafikan kehebatan Isteriku Yang Tercinta di dalam mengubati luka-luka akibat tikaman para syaitan durjana. Air mata Isteriku Yang Tercinta sentiasa berupaya memadamkan api kepanasan dan melenyapkan tipu daya mereka – Syaitan Durjana. Kalau tersilap cara, boleh juga kecundang sebenarnya dan menyebabkan perkahwinan diakhiri perceraian. Na’uzubillah...

Biasanya perceraian berlaku bila keserasian sudah tiada. Realitinya, pembinaan bahtera rumahtangga perlu dilakukan sebaiknya, iaitu memadu dua jiwa menjadi SATU JIWA. Jiwa Isteri dan suami perlu bersatu erat seerat-eratnya agar usaha para syaitan durjana dapat dilumpuhkan akhirnya.

Andai isteri atau suami terlalai, para syaitan kelak berupaya mengambil kesempatan supaya bercerai berailah satu jiwa yang mengarah kepada NYA. Pembinaan Satu Jiwa perlu mengarah kepada NYA, DIA yang saya imani, Tuhan Penguasa Alam Semesta, Allah SWT.

Bahtera rumahtangga yang dibina akan hancur bercerai andai kedua-duanya, iaitu suami dan isteri ingin berperanan menjadi Nakhoda. Kedua-duanya menjadi keras kepala, tidak mahu mengalah dan masing-masing ingin diikuti kemahuan mereka.

Akhirnya hilanglah arah pelayaran bahtera perkahwinan sehingga terapung-apung tidak keruan tak tentu hala. Dipukul ombak yang dihasilkan oleh para syaitan durjana, dalam sekelip mata sahaja tenggelam ke dalam lautan kehidupan.

Bahtera perkahwinan harus ada seorang sahaja nakhodanya dan perlu berperanan sebaiknya. Andai terlelap seketika, haruslah dikejutkan dengan segera. Tetapi ingat!, kejutkanlah nakhoda secara berhikmah kerana salah satu sifat mereka yang ada, Ego dan berlagak betul di dalam semua perkara. :)

Opppssss… tersasar pula coretan tadi. MasyaAllah!

Saya nak kisahkan di sini tentang diriku digoda syaitan sebelum bernikah. Astagfirullah!. Melebih-lebih pula coretan sebentar tadi...

Tak apalah, saya teruskan lakaran tentang diriku digoda syaitan sebelum bertemu jodoh. Jujur saya beritahu bahawa pada pertemuan pertama dan julung-julung kali dilakukan oleh kedua orang tua saya dan orang tua Isteriku Yang Tercinta, hati saya menidakkannya. Konon-konon Isteriku Yang Tercinta tidak lawa ditambah pula berbadan besar gemuk gedempol.

Sungguh! Itulah naluri lelaki yang dibisikan ke dalam hati dan sanubari yang saya punyai. Pandangan mata memaparkan Isteriku Yang Tercinta tidak lawa, berbadan besar membuatkan saya tawar hati meneruskannya.

Beberapa hari saya berusaha memikirkannya dan berada di dalam dilemma – menerima atau menolak calon isteri yang dicadangkan oleh kedua orang tua saya.

Memang ketika itu Isteriku Yang Tercinta seolah-olahnya tiada seri dipandang mata, khususnya oleh saya. Lelaki pemalu. Cehhh!

Realitinya, majoriti keluarga saya mengatakan Isteriku Yang Tercinta cantik putih berseri membuatkan kebanyakkan lelaki tergila-gila dengannya. Itu menurut keluarga saya. Tetapi pandangan mata saya pula sebaliknya. Melihat bakal isteriku tak lawa ditambah pula berbadan besar gemuk gedempol. :)

Tetapi kini, saya tahu bahawa apa yang saya rasai dan lihat ketika itu adalah hasil bisikan para syaitan durjana. Rupa-rupanya syaitan durjana berusaha agar saya tawar hati meneruskan penyatuan dua jiwa insani.

Dan kini, saya berani mengatakan kepada Anda bahawa selepas bernikah dengan Isteriku Yang Tercinta, semua yang saya lihat dan rasai di dalam hati tentang dirinya terhijab akhirnya. Rupa-rupanya Isteriku Yang Tercinta bukan sahaja Cantik Putih Berseri seperti yang diberitahu oleh kelurga saya sebelum itu. Bahkan kecantikannya melebihi bidadari dari syurgawi, walaupun realitinya saya belum pernah melihat kecantikan bidadari sebenarnya. :)

Realitinya saya sebenarnya ingin memberitahu bahawa Isteriku Yang Tercinta sememangnya sedang bertahta di dalam hati sanubari yang saya miliki. Semoga Tuhan Penguasa Alam Semesta meredhai apa yang sedang kami lalui ketika ini. Lebih-lebih lagi setelah dianugerahkan sepasang cahaya mata bagi menyerikan bahtera perkahwinan yang sedang dilayarkan.

Sesungguhnya kesyukuran yang tidak terhingga saya panjatkan kepada NYA jua, Tuhan Yang Maha Esa, Allah SWT kerana memberikan nikmat sedemikian rupa. Semoga kebahagiaan yang dikecapi kini berkekalan sehingga ke hujung nyawa dan moga-moga berterusan pula sampai ke syurga. InsyaAllah.

3 Komen:

Cikgu Dahlia berkata...

baca kisah abgbent ni,DaHLia teringat yang mana kisah ke rumah si perempuan, ibu bapanya cakap anaknya "buta, cacat, dan hodoh" ...tapi bila keluar, mmg cantik,cukup sifat srba serbi..

apa yg dimaksudkan oleh keluarga perempuan tu adalah kekurangan daripada segi agama sbenarnya..

Cikgu Dahlia berkata...

abg bent, letak laa shoutbox :P

Tanpa Nama berkata...

yer yer..best kisah ni..thanks sharing..eh salam kenal..ehehe..saya baru follow..sbb byk motivasi sini..bagus2..

kalau sudi follow me back

Catat Ulasan