Selasa, Jun 23, 2009

Aura Kesaktian dan Kehebatan Manusia

Kesaktian adalah antara ilmu yang diinginkan oleh sebahagian besar manusia, kerana dari ilmu kesaktian inilah manusia dikenali sebagai seorang yang hebat.

Sememangnya manusia adalah makhluk yang hebat yang telah dijadikan oleh Maha Pencipta, iaitu Tuhan yang Esa.

Kehebatan manusia mengatasi iblis telah menyebabkan iblis dengki yang akhirnya menghumbankan iblis sendiri ke dalam jurang kekufuran kepada Tuhan yang Menciptakan. Bertitik tolak dari itulah juga akhirnya manusia yang hebat yang memiliki kesenangan Syurgawi terhumban ke dalam kehidupan Duniawi. Dunia yang kita duduki kini.

Sememangnya begitulah sejarah yang diceritakan kepada saya mengenai lumrah kehidupan dunia yang kita warisi kini.

Kealpaan manusia menyebabkan ujian dunia kena dilalui dahulu sebelum menduduki semula syurgawi. Dan untuk itu berlaku, kita yang bergelar manusia perlu membuktikan bahawa sememangnya kita lebih hebat berbanding iblis dan para tentera-tenteranya.

Tetapi ingat, kehebatan ini bukanlah pula kita jadikan untuk meninggi diri, apatah lagi menjadi takbur. Sememangnya kehebatan yang manusia miliki adalah antara ujian-ujian yang harus dilalui.

Perbezaan antara manusia dengan syaitan memanglah jelas kerana syaitan adalah bibit-bibit kelahiran iblis yang semulajadinya ada sifat kedengkian dan keingkaran kepada Tuhan. Kalau manusia itu ada sifat sedemikian, alamatnya dikenali Manusia Bertopengkan Syaitan iaitu akan ditempatkan secara abadi di dalam neraka yang akan ditemani oleh para syaitan. Nauzubillah…

Untuk membezakan manusia yang bergelar Insan Ciptaan Tuhan dan Manusia Bertopengkan Syaitan, pastilah merujuk kepada Kehebatan Diri. Kehebatan yang saya ungkapkan ialah memiliki ilmu yang tinggi sebagai benteng pertahanan diri di dalam melalui liku-liku kehidupan ini.

Andai Anda tidak mahu juga melakukan begitu, terserahlah kepada Anda kerana seperti yang saya nyatakan di awal coretan tadi bahawa keingkaran iblis sendiri menyebabkan dia menjadi kufur selama-lamanya. Itu yang dikehendaki oleh iblis sendiri. Nauzubillah….

Kehebatan kita pasti bersinar andai ada bimbingan dari NYA.

Mengapa? Kerana segala rahsia kehebatan tentang diri kita hanya ada pada NYA. Dari itu, usah terlupa untuk memohon kesaktian dan kehebatan dari NYA. Sesungguhnya DIA amat mengetahui akan segala-gala kesaktian dan kehebatan yang kita miliki, untuk dijadikan senjata di dalam menempuhi segala ujian-ujian duniawi.

Namun, ketahuilah bahawa ianya tidak mudah seandainya kita masih tidak mengenali DIA, DIA yang Maha Esa, Pencipta yang Maha Kuasa yang saya kenali sebagai ALLAH.



Opss… sebenarnya saya ingin bercerita mengenai kesaktian dan kehebatan yang diinginkan oleh sebahagian manusia. Berbalik kepada kisah ini, betulkah kesaktian ini ada? Seandainya Anda bertanya begitu kepada saya, pastilah jawapannya ada.

Ingatkah lagi mengenai kisah para nabi? Kalau tak ingat, cuba renungi beberapa ayat di bawah ini;


Berkatalah Ketua-ketua dari kaum Firaun: Sesungguhnya orang ini (Musa) ialah seorang ahli sihir yang mahir. (Al-Araf, 7: 109)

Mereka berkata: Tangguhkanlah dia dan saudaranya (daripada dijatuhkan sebarang hukuman) serta utuslah ke bandar-bandar (di merata-rata negeri Mesir untuk) mengumpulkan (ahli-ahli sihir); Yang kelak akan membawa kepadamu segala ahli sihir yang mahir. Dan datanglah ahli-ahli sihir itu kepada Firaun lalu berkata: Sungguhkah kami akan beroleh upah, kalau kami dapat mengalahkannya? (Al-Araf, 7: 111 – 113)

Nabi Musa menjawab: Campakkanlah kamu (dahulu)! Maka apabila mereka mencampakkan (tongkat-tongkat dan tali masing-masing), mereka menyilap mata orang ramai dan menjadikan orang-orang itu merasa gerun, serta mereka melakukan sihir yang besar (keadaan dan caranya). Dan Kami wahyukan kepada Nabi Musa: Campakkanlah tongkatmu! Maka tiba-tiba tongkat itu menelan apa yang mereka pura-pura adakan (dengan sihir mereka). Maka sabitlah kebenaran (mukjizat Nabi Musa) dan batallah (sihir) yang mereka telah lakukan. (Al-Araf, 7: 116 – 118)


Mereka (membelakangkan Kitab Allah) dan mengikut ajaran-ajaran sihir yang dibacakan oleh puak-puak Syaitan dalam masa pemerintahan Nabi Sulaiman, padahal Nabi Sulaiman tidak mengamalkan sihir yang menyebabkan kekufuran itu, akan tetapi puak-puak Syaitan itulah yang kafir (dengan amalan sihirnya); kerana merekalah yang mengajarkan manusia ilmu sihir dan apa yang diturunkan kepada dua malaikat: Harut dan Marut, di negeri Babil (Babylon), sedang mereka berdua tidak mengajar seseorang pun melainkan setelah mereka menasihatinya dengan berkata: Sesungguhnya kami ini hanyalah cubaan (untuk menguji imanmu), oleh itu janganlah engkau menjadi kafir (dengan mempelajarinya). Dalam pada itu ada juga orang-orang mempelajari dari mereka berdua: Ilmu sihir yang boleh menceraikan antara seorang suami dengan isterinya, padahal mereka tidak akan dapat sama sekali memberi mudarat (atau membahayakan) dengan sihir itu seseorang pun melainkan dengan izin Allah dan sebenarnya mereka mempelajari perkara yang hanya membahayakan mereka dan tidak memberi manfaat kepada mereka dan demi sesungguhnya mereka (kaum Yahudi itu) telahpun mengetahui bahawa sesiapa yang memilih ilmu sihir itu tidaklah lagi mendapat bahagian yang baik di akhirat. Demi sesungguhnya amat buruknya apa yang mereka pilih untuk diri mereka, kalaulah mereka mengetahui. (Al-Baqara, 2: 102)



(Ingatlah) ketika Allah berfirman: Wahai Isa Ibni Mariam! Kenanglah nikmatKu kepadamu dan kepada ibumu, ketika Aku menguatkanmu dengan Rohulqudus (Jibril), iaitu engkau dapat berkata-kata dengan manusia (semasa engkau masih kecil) dalam buaian dan sesudah dewasa dan (ingatlah) ketika Aku mengajarmu menulis membaca dan hikmat pengetahuan, khasnya Kitab Taurat dan Kitab Injil dan (ingatlah) ketika engkau jadikan dari tanah seperti bentuk burung dengan izinKu, kemudian engkau tiupkan padanya, lalu menjadilah ia seekor burung dengan izinku dan (ingatlah ketika) engkau menyembuhkan orang buta dan orang sopak dengan izinku dan (ingatlah) ketika engkau menghidupkan orang-orang yang mati dengan izinKu dan (ingatlah) ketika Aku menghalangi Bani Israil daripada membunuhmu, ketika engkau datang kepada mereka dengan membawa keterangan-keterangan (mukjizat), lalu orang-orang yang kafir di antara mereka berkata: Bahawa ini hanyalah sihir yang terang nyata. (Al-Maeda, 5: 110)

Dan kalau Kami turunkan kepadamu (wahai Muhammad) sebuah kitab (yang bertulis) pada kertas, lalu mereka memegangnya dengan tangan mereka, nescaya orang-orang yang kafir itu berkata: Ini tidak lain, hanyalah sihir yang terang nyata. (Al-Anaam, 6: 7)

3 Komen:

ummumishkah berkata...

Kita manusia hebat andai kita berjaya meraih cinta Ilahi.. :)

Emad berkata...

Memang Allah ciptakan kita untuk menjadi manusia hebat kerana kita adalah wakil Allah di atas muka bumi ini.

shinigamiheromi23 berkata...

cerita yang menari ,

Catat Ulasan