Isnin, Mac 09, 2009

Marah

Bahagian 1

Kali ini saya ingin berkongsi berkaitan dengan sifat marah. Marah sememangnya TUHAN anugerahkan kepada setiap insan untuk digunakan di dalam melalui kehidupan ini.

Marah adalah sifat yang boleh jadi baik dan boleh pula sebaliknya. Ianya akan menjadi baik andai dizahirkan pada tempatnya. Dan ianya boleh jadi tidak elok andai dilakukan pada yang bukan tempatnya. Marah ada pelbagai bentuknya. Akan saya bicarakannya kelak.

Imam Al-Ghazali mengatakan bahawa marah itu umpama nyalaan api yang bersumber daripada api Allah yang bernyala-nyala. Panasnya naik ke pangkal hati dan kadang kala bersemadi di lubuk hati setiap insan. Sifat marah ini sememangnya bertentangan dengan sifat semulajadi manusia. Manusia dijadikan daripada tanah yang dikatakan mempunyai ketenangan berbanding api yang bernyala dan bergelora sifatnya.

Apabila api kemarahan setiap insan mula berkobar-kobar, maka pangilan syaitan akan menjadi semakin jelas didengari dan berkemungkinan besar terzahirlah perlakuan-perlakuan seperti yang syaitan serukan itu. Sebab itu ramai yang memandang sifat marah ini perlu dibendung agar Kita terlindung daripada panggilan-panggilan syaitan yang boleh memudaratkan hidup Kita kelak.

Kesan-kesan marah boleh dilihat pada tubuh anggota Kita seperti suka memukul, menyerang, melukai dan boleh sampai ke tahap membunuh. Selain itu, ianya boleh juga sampai ke tahap menganiyai diri sendiri, memukul-mukul diri dan menjahanamkan harta benda kepunyaan diri-sendiri atau mungkin juga barang-barang orang lain. Biasanya terjadi juga orang yang berkelakuan ini tidak perasan dengan perbuatannya sehingga semua daripada tindakannya seolah-olah menggambarkan orang yang tidak siuman atau sudah hilang akalnya.

Imam Al-Ghazali menambah bahawa orang yang dalam keadaan begini tidak mustahil merosakkan harta benda, menganiyai binatang, memecahkan pinggan-mangkuk ataupun sampai ke tahap memaki hamun binatang. Ditambah pula sampaikan ke tahap apabila binatang itu menendangnya, pasti dibalasnya tendangan binatang itu. Heheee… sampai begitu sekali akal manusia yang diselaputi sifat marah ini, iaitu hilang pertimbangan insaniah mereka.

Selain itu, kelancangan lidah juga bertambah dengan menyebutkan caci-maki, kata-kata keji hasil daripada percakapan, yang mana apabila orang yang waras fikirannya mendengar sebutan perkataan daripada orang yang sedang marah itu pasti berasa malu dan segan mendengarnya. Ketika marah menjelma, percakapan juga menjadi kelam kabut, tidak teratur sehingga semua perkataan yang terzahir daripada mulut orang yang sedang marah seolah-olahnya diluar pertimbangan akal fikiran yang waras…

Coretan akan disambung di lain kali. InsyaAllah

0 Komen:

Catat Ulasan