Sabtu, April 11, 2009

Pengalamanku Bertemu Jodoh... bhg 3

Bahagian 3

Kali ini aku lanjutkan kisahku bertemu jodoh dengan Anda. Pagi ini Aku telah terimbas kembali kisah gadis-gadis yang cuba berusaha menambat cintaku. Sememangnya aku amat-amat menghargai dan menyanjung usaha mereka di dalam hal itu.

Ya, bukanlah mudah seorang wanita meluahkan rasa cintanya kepada lelaki. Tetapi saya juga harus menyatakan kepada Anda bahawa saya sememangnya bersetuju dengan tindakan seperti itu asalkan ianya dilakukan dengan penuh kesopanan.

Sekurang-kurangnya, itulah usaha yang dapat mereka lakukan untuk bertemu dengan jodoh masing-masing. Setidak-tidaknya juga, mereka sudah berusaha dan mencuba, bukan?

Bukanlah aku menolak cinta mereka. Hakikatnya, seperti yang aku telah katakan kepada Anda sebelum ini, aku akan hanya menjalinkan hubungan cinta bila mana bahtera perkahwinanku telah terbina. Memang itulah matlamatku

Disebabkan itulah juga aku tidak berusaha mengejar-ngejar cinta yang dikatakan “bercinta sebelum berumahtangga”. Usahlah marah padaku andai Anda kurang bersetuju. Memang itulah tekad di dalam diriku.

Coretanku kali ini ingin mengisahkan kepada Anda wanita yang cuba berusaha menawan cintaku. Walaupun mereka tidak berjaya menambat hatiku, tetapi sejujurnya aku harus mengatakan kepada Anda bahawa aku menghargai dan menyanjungi usaha yang mereka lakukan.

Kisah ini aku bawakan kepada Anda untuk diambil ikhtibar, manalah tahu Anda juga ingin mempraktikannya. Sememangnya perkahwinan Rasulullah yang pertama juga diusahakan oleh khadijah dengan penuh kesopanan dan keunikannya tersendiri.

Cerita pertama yang aku ingin kisahkan kepada Anda ialah bila mana aku diterjah oleh seorang adik perempuan. Bukanlah diterjah secara tiba-tiba, tetapi dengan penuh kesopanan. Adik perempuan itu memang terkadang kelibatnya muncul di hadapanku pada awal pagi atau tengahari di mana aku akan keluar untuk bersarapan pagi dan makan tengahari.

Ketika itu aku masih berumur antara 25 – 26 tahun. Aku tidak seberapa ingat, tetapi yang pasti, ketika itu aku masih lagi belajar.

Memang dapat aku perhatikan sedikit perbezaan kepada adik perempuan itu. Ya, terkadang macam sengaja pula dia berada di hadapan mataku secara tiba-tiba. Aku juga terperasaan yang jelingan matanya bersama dengan rakan-rakannya kadang-kala membuat aku rasa tidak selesa.

Errmmm… Suatu pagi sedang aku berjalan bersama dua orang rakanku menuju Kafeteria untuk bersarapan pagi, tiba-tiba langkah kami dihentikan oleh adik perempuan itu yang tiba-tiba memberitahu dia nak cakap sesuatu dengan diriku. Memanglah ketika itu aku terkejut dan kedua-dua rakanku juga keliru dan terpinga-pinga.

Dengan selambanya, aku pun memberikan arahan kepada kedua-dua rakanku untuk berjalan dahulu kerana aku ingin bercakap dengan adik perempuan itu. Di situlah dia memberitahu kepadaku yang dia sebenarnya meminati akan aku. Heheheeee…. Lucu juga bila aku ingatkan peristiwa itu.

Dalam situasi itu, aku cuba berlagak relaks sahaja dan mendengar apa yang diutarakannya. Tetapi akhirnya aku berterus-terang dengannya bahawa aku sebenarnya belum bersedia dan memanglah aku beritahu kepadanya yang aku tidak mahu menjalin apa-apa cinta sebelum aku mendirikan bahtera perkahwinanku.

Selepas peristiwa itu, adik perempuan itu telah menawarkan diri untuk dia menganggap aku sebagai abang angkatnya. Heheee… aku menerima tawarannya kerana memang aku mempunyai ramai adik-adik perempuan dan kadang juga aku memberikan nasihat padanya jika berkesempatan semasa ikatan persaudaraan itu kami jalinkan.

Akhirnya, selepas beberapa ketika, aku menerima kad jemputan kahwin yang terpampang namanya. Ya, aku gembira dan pastilah mendoakan agar dia bersama suaminya dapat melayari bahtera perkahwinannya itu sehingga ke destinasi hakiki. Tidak lupa juga aku doakan semoga dia sentiasa di dalam kegembiraan dan kesejahteraan.


“Tidak mengapa bagimu menyindir hendak meminang perempuan atau kamu sembunyikan dalam hatimu; Allah mengetahui, bahawa kamu nanti akan menyebutkannya juga kepada perempuan itu, tetapi janganlah kamu janjikan kepada mereka dalam rahsia, melainkan berkatalah dengan perkataan yang patut. Dan janganlah kamu langsungkan ikatan perkahwinan, sebelum sampai waktunya, dan ketahuilah, sesungguhnya Allah mengetahui apa yang dalam hatimu, sebab itu berhati-hatilah dengan Tuhan, dan ketahuilah, sesungguhnya Allah itu Pengampun dan Penyantun”. (Al-Baqarah, 2: 235)


(Coretanku berkenaan kisah ini masih lagi banyak yang aku ingin kongsikan…)

2 Komen:

meza berkata...

wah, ni banyak episod lagi ni...
tk sabar nk baca lagi

MOHD. ADHA MOHD. ZAIN berkata...

bagus artikel ni
siap ada bahagian2 lagi
syabas bro

Catat Ulasan