Khamis, April 08, 2010

Melampiaskan Syahwat, Mengecapi Inzal

Betul...
Saya bukanlah seorang motivator. Jauh sekali menjadi seorang penceramah agama. Lebih-lebih lagi konon-kononnya penulis terkemuka. Saya juga tidak menjual apa-apa produk di dalam blog Pedoman hidup untuk dibeli atau dilanggani. Memang tidak!. Tiada produk untuk saya jualkan kepada Anda.

Di sini, di blog Pedoman Hidup, saya cuba berusaha dan kalau boleh berkongsi perasaan dengan Anda tentang pengalaman hidup yang telah dilalui. Berkongsi sebuah perasaan mengenai kekuasaan Tuhan Yang Maha ESA, Allah SWT.

Saya ingin berkongsi dengan Anda kerana saya percaya, Anda mempunyai kehebatan, tetapi masih disembunyikan. Sebab itulah juga Anda terlalu jarang sekali memberikan komentar di sini, cuba menyembunyikan kehebatan yang dimiliki. heheheee

Saya yakin bahawa kehebatan yang Anda miliki sebenarnya menyamai pakar-pakar motivasi, penulis-penulis terkemuka, dan tokoh-tokoh agama yang ada. Itupun kalau Anda ingin memaparkannya.

Keyakinan sebegini sememangnya saya ada, bukan dibuat-buat, OK.

Hakikat yang sebenar-benarnya yang saya ingin beritahu kepada Anda ialah siapapun Anda, sebenarnya kita adalah serupa. Makhluk ciptaan Tuhan Yang Maha Berkuasa bernama manusia.

Manusia diciptakan adalah untuk melaksanakan tanggungjawabnya sebagai khalifah di dunia yang dilimpahi keindahan. Harus juga diperhalusi bahawa kesemua keindahan yang ada di dunia adalah pancawarna, bersulamkan fatamorgana. Kepelbagaian warna yang ada di dunia adalah fatamorgana yang saya namakan sebagai ujian kehidupan yang harus difahami agar cahaya keimanan yang terserlah adalah Satu, Cahaya Putih yang berseri-seri.

Sekarang, kita masih lagi meneruskan perjalanan kehidupan duniawi sebelum mengakhirinya di titik nokhta, Kematian namanya. Sudahkah bersedia menemuinya?

Sebelum bertemu titik nokhta yang dinamakan kematian, ada baiknya saya berkongsi dengan Anda satu persoalan. Persoalan asas tentang sebuah kehidupan yang masih menyembunyikan kekuasaan Tuhan, Allah SWT. Kehebatan kekuasaan Allah SWT sememangnya melebihi segala-galanya.

Anda juga sebenarnya memiliki kehebatan yang pancarannya terserlah bila mana bersungguh-sungguh menerokainya. Seperti Anda, saya juga sedang berusaha bersungguh-sungguh mempelajari apa sahaja yang dilalui di sepanjang kehidupan ini. Mencari jawapan-jawapan berkenaan erti sebuah kehidupan.

Adakah Anda sedang melakukan seperti mana yang saya lakukan? Mencari jawapan pada makna sebuah kehidupan?.

Kalau jawapan yang diberikan adalah Ya, maka sememangnya kita sedang berjalan beriringan. Walaupun hakikatnya gelagat masing-masing di antara kita tidak dapat diperhatikan, tetapi realiti yang saya ingin beritahu, saya dapat merasainya.

Barangkali tidaklah pula sampai merasa sedang berpegangan tangan dengan Anda, lebih-lebih lagi yang bergelar wanita. Oppsss... sebenarnya memang saya sedang berjalan berpegangan tangan dengan wanita, tetapi wanita yang terlalu istimewa yang dinamakan, Isteriku Yang Tercinta. Perjalanan kami sememangnya sedang mencari erti sebuah kehidupan.

Pernahkah Anda bertanya di dalam diri, apakah ertinya kehidupan ini? Persoalan tersebut tidak perlu Anda jawab kerana saya pasti ada dua jawapannya, barangkali Ya atau mungkin juga Tidak.

Andai jawapannya tidak pernah, maka sebenarnya Anda sedang berjalan di dalam sebuah kehidupan tanpa kompas. Anda tidak tahu matlamat sebenar perjalanan kehidupan ini, tidak akan bertemu titik inzalnya nanti. Masih tidak memahami makna sebuah kehidupan. Saya mengatakan sedemikian kerana persoalan asas sebegitu adalah antara rahsia alam yang perlu dirungkai agar diketahui ke mana perjalanan kehidupan ini.

Mana mungkin Anda mengetahui alasan-alasan yang ada, andai tidak pernah bertanya mengenainya.

Andai jawapan yang Anda berikan pula adalah Ya, pernah bertanya mengenai erti sebuah kehidupan, maka sememangnya Anda sedang berjalan pada landasan yang ada hala tujunya. Namun, saya ingin mengatakan bahawa belum tentu landasan itu adalah landasan yang sebenar-benarnya benar. Mungkin juga salah atau tersasar dari hakikat yang sebenar-benarnya.

Jawapan pada persoalan apa erti sebuah kehidupan sememangnya boleh diperolehi dari pelbagai dimensi. Ramai yang menjawab dari aspek agama, ada juga dari sudut sosial kemanusiaan, dan tidak kurang pula menggunakan teori-teori terkini iaitu ilmu sains namanya.

Saya tidak akan menyangkal kesemua jawapan yang ada berkenaan erti sebuah kehidupan kerana sememangnya saya sedang mempelajarinya. Alam ini saya yakin tetap menyembunyikan kebenaran berkenaan jawapan yang sepatutnya. Sememangnya dunia menyembunyikan pancawarnanya bermanikkan fatamorgana yang memerlukan penelitian berterusan untuk diketahui.

Kesemua jawapan-jawapan yang ada akan saya teliti sebaiknya dan terus berusaha menggapai titik inzalnya sehinggalah bertemu di penghujung kehidupan yang dinamakan kematian.

Pada NYA jua saya berserah, sama ada jawapan yang diperolehi kelak benar atau barangkali salah. Keredhaan NYA jua menjadi senjata untuk saya mengharungi lautan kehidupan yang terbentang luas untuk diterokai rahsianya.



0 Komen:

Catat Ulasan