Selasa, Mac 02, 2010

Terima Kasih Pak Mat Yang Baik Hati - As-Syahid Hasan Al-Banna

Alhamdulillah..., akhirnya saya berjaya memperolehi risalah ini. Risalah yang mengandungi himpunan kertas kerja Konvensyen Pemikiran Hasan Al-Banna - Dalam Melakar Agenda Bangsa. Walaupun saya tidak berkesempatan menghadirinya, sekurang-kurangnya seorang insan yang perihatin telah sudi mengirimkannnya untuk saya telaah kandungannya. Akan saya singkap helaian demi helaian, InsyaAllah.

As-Syahid Hasan Al-Banna adalah seorang insan yang saya mula kenali selepas menyelongkar beberapa karya yang memperkatakan tentang dirinya. Saya tertarik dan terus berusaha mengenalinya serta menyingkap pelbagai karya yang ada. Seorang wartawan pernah bertanya tentang dirinya, lalu dijawab oleh As-Syahid Hasan Al-Banna;

"Saya adalah pengembara yang mencari kebenaran. Saya adalah manusia yang mencari erti sebenar kemanusiaan. Saya adalah seorang warganegara yang impikan sebuah negara yang dihormati, merdeka, tenteram dan hidup harmoni di bawah naungan Islam yang murni. Saya hanyalah ibarat seorang yang memahami rahsia hidupnya. Justeru dia berseru: Sembahyangku, ibadatku, hidupku dan matiku hanya untuk Allah, Tuhan sekalian alam, tiada yang mempersekutui-Nya. Inilah yang diperintahkan kepada saya dan saya salah seorang yang menyerah diri."

Selain itu, antara sepuluh wasiatnya yang saya masih ingati ialah yang ke-9 berbunyi, "Berkenal-kenalanlah dengan setiap Muslim yang ditemui kerana asas gerakan dakwah ialah berkenal-kenalan dan berkasih sayang." Kalau Anda ingin mengetahui lebih lanjut mengenainya, klik sahaja di sini, Detik Hidupku - Hasan Al-Banna.

Terima kasih yang tidak terhingga kepada Pak Mat Yang Baik Hati kerana sudi mengirimkan risalah ini. Tiada kata-kata indah yang saya dapat lakarkan selain ucapan itu tadi. Semoga Allah membalas segala jasa yang telah diberi dan semoga dibahagiakan dan dilimpahkan hidayah NYA sepanjang masa, untuk Pak Mat Sekeluarga. Amin... Sampaikan salam saya sekeluarga kepada Isteri dan anak-anak Pak Mat.

0 Komen:

Catat Ulasan