Jumaat, Jun 25, 2010

Senyuman Ukhuwah

Sebenarnya saya merancang ingin membuat sebuah lakaran untuk Anda telaah tengahari ini berkenaan sesuatu. Tetapi bila mana saya melihat jam tangan sekarang ini, rupa-rupanya masa yang ditunjukkan sudah menghampiri 12.00 tengahari.

Oleh sebab itu, saya tidak dapat melakukannya kerana perlu bergegas dengan segera ke satu tempat untuk melaksanakan suatu perkara yang saya janjikan sebelum 12.00 tengahari ini dilakukan.

Namun begitu, agar tidaklah berasa hampa bila Anda berziarah ke sini, lalu saya mengambil keputusan membuat sahaja lakaran ringkas sebentar ini, khusus untuk Anda telaah nanti.

Hanya senyuman yang dapat saya lontarkan buat Anda ketika ini kerana saya tidak dapat meluahkan sesuatu yang ingin saya perkatakan itu pada ketika ini. Sesuatu yang sehingga kini masih lagi berlegar-legar di ruangan minda untuk dikongsi dengan Anda.

Sungguh! perkara ini saya ingin kongsikan dengan Anda kerana saya yakin, berkemungkinan ianya akan manafaat bila mana dikongsi dengan Anda. Mengenai kehidupan ini.

Terima kasih kerana Anda terus sudi berziarah ke sini. Dan untuk itu, terimalah juga sejambak senyuman untuk Anda dari saya. Khusus untuk Anda, saudaraku yang saya kasihi kerana DIA.

(*___*)
Abgbent



Baca selanjutnya, Klik di sini...

Isnin, Jun 21, 2010

Kasih Ayah

Salamelekom, wbt

Pertama-tamanya, maafkanlah saya kerana sudah terlalu lama tidak memasukkan sebarang lakaran ke laman Pedoman Hidup ini. Hampir tiga minggu lamanya, bukan?. Sesungguhnya, kesibukan saya menjaga anak-anak menyebabkan saya tidak berkesempatan membuat sebarang lakaran seperti kebiasaannya.

Kalau dulu, ada juga Isteriku Yang Tercinta melakukannya, tetapi kini, saya pula yang mengambil tanggungjawab itu sepenuhnya iaitu menjaga dua orang anak kami yang masih kecil.

Masa lapang yang ada, saya gunakan sepenuhnya untuk bermain-main dan bergurau senda bersama dengan dua orang anakku yang masing-masing berumur menghampiri lima tahun, perempuan dan dua tahun, lelaki.

Ketika ini, saya mengambil tanggungjawab menjaga mereka buat sementara waktu kerana Isteriku Yang Tercinta baru sahaja selesai melalui proses pembedahan.

Proses pembedahan untuk melahirkan anak kami yang ketiga. Ini merupakan satu lagi pengorbanan daripada Isteriku Yang Tercinta yang tidak dapat saya membalasnya di dalam kehidupan ini. Sememangnya pengorbanannya yang sebegini teramat-amat saya menghargainya. Terima kasih yang tidak terhingga kepadamu sayang, duhai Isteriku Yang Tercinta.

Alhamdulillah, saya mengucapkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Tuhan Yang Maha Berkuasa kerana akhirnya, Isteriku Yang Tercinta telah melahirkan anak kami yang ketiga dengan selamat melalui proses pembedahan buat kali yang ketiga.

Sememangnya saya amat bersyukur dan gembira kerana Isteriku Yang Tercinta dan anak kami yang baru dilahirkan berada di dalam kedaan selamat dan sihat sejahtera.

Anakku yang ketiga adalah perempuan, berkulit putih cerah seperti ibunya juga. Isteriku Yang Tercinta melahirkannya pada hari Jumaat, 11 Jun 2010 jam 9.50 pagi.

Tiga hari sebelum tarikh Isteriku Yang Tercinta melalui proses pembedahan untuk melahirkan anak kami yang ketiga, saya sememangnya telah memohon cuti daripada majikan dan menggunakan masa yang ada sepenuhnya untuk bersama-sama dengan Isteriku Yang Tercinta selain untuk membiasakan dua orang anak-anakku berjauhan daripada ibu mereka. Kaedah ini harus saya lakukan supaya kedua-duanya tidaklah terlalu merindui ibu mereka ketika Isteriku Yang Tercinta berada di dalam wad bersalin.

Alhamdulillah, kaedah itu berjaya dilakukan walaupun tidaklah seratus-peratus berjaya. Saya menggunakan masa yang ada semaksimanya untuk bersama-sama dengan dua orang anak-anaku sehingga ke hari ini.

Itulah juga penyebab saya telah tidak dapat membuat sebarang lakaran untuk dipaparkan di laman Pedoman Hidup sehingga kini. Maklum sajalah, saya harus menumpukan perhatian kepada dua orang anak-anakku sehinggalah ke hari ini.

Sebenarnya, saya mengambil kesempatan membuat satu contengan ketika ini kerana kesemua ahli keluargaku sedang dibuai lena. Maklum sajalah, sejak petang tadi, bekalan elektrik telah terputus dan sehingga jam ini, 12.19 pagi, bekalan elektrik masih lagi belum disambung. Bermaksud sudah hampir tujuh jam bekalan elektrik terputus.

Walaupun bahagian lengan tanganku masih lagi keletihan dek melakukan ayunan dan kipasan kepada dua orang anak-anakku supaya mereka terlena sebentar tadi, saya juga tidak mahu melepaskan peluang yang ada ketika ini untuk membuat satu contengan supaya dapatlah Anda menelaahnya nanti. Maklum sajalah, Anda juga sememangnya saya kasihi kerana DIA.

Anda sememangnya menjadi teman saya yang amat setia ketika saya sedang berseorang seperti sekarang ini. Terima kasih kepada Anda kerana sudi menemaniku dan tidak jemu-jemu berziarah ke sini selalu.








Baca selanjutnya, Klik di sini...

Isnin, Jun 07, 2010

Penawar Kecewa

Kecewa, adalah perasaan yang hadir di dalam jiwa. Perasaan ini sememangnya sedikit menyakitkan. Lebih-lebih lagi bila mana menimpa jiwa yang tiada berteman.

Teman yang dapat mengubati kesakitan dek kecewa ialah DIA. DIA yang saya namakan Tuhan yang Maha Esa, Penguasa Alam Semesta, Allah SWT.

Seandainya DIA dirasakan ada menemani jiwa, kelak hadirlah perasaan Redha. Redha dengan apa yang telah berlaku. Memahaminya sebagai suatu ujian agar jiwa benar-benar memiliki keimanan. Keimanan yang tiada bandingan, mencapai mercu ketakwaan.

Andai jiwa memahami ujian-ujian sebegini, kelak kejayaan hakiki akan pasti diperolehi iaitu kehidupan Syurga, kedamaian yang kekal abadi, buat selama-lamanya nanti.

Mungkinkah itu yang akan diperolehi?

Jiwa merasa kecewa, tetapi menyulamkannya dengan perasaan Redha, kelak dapat menyembuhkan kesakitan yang ada.



Alam Maya

Dunia
Lagu iblis bergema
Syahdu memacu kalbu
Tiada kesudahan
Terleka
Terbawa-bawa
Nikmatnya

Lagu syaitan
Turut berkumandang
Ditari
Bergelek tiada henti
Bertelanjang
Terbuka syahwat
Mabuk
Nikmatnya

Ohohoo...
Alam dunia
Ada titik nokhtanya
M A T I
Sudah sedia?
K U B U R
Destinasi persinggahan
Sebelum sampai
Kehidupan Abadi
Neraka atau Syurga




Baca selanjutnya, Klik di sini...

Jumaat, Jun 04, 2010

Syukur Alhamdulillah

Saya ingin mengambil kesempatan untuk mengajak Anda bersama-sama saya mengucapkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Tuhan Yang Maha Esa, Allah SWT. Marilah bersama-sama saya mengucapkan - Alhamdulillah!.

Ada dua sebab mengapa saya terlalu gembira dan seterusnya mengajak Anda bersama-sama saya melaungkan kesyukuran yang tidak terhingga kepada NYA.

Pertama, kesyukuran yang saya ingin zahirkan ialah bila mengetahui aktivis rakyat Malaysia yang ke Gaza baru-baru ini dilaporkan semuanya selamat. Alhamdulillah.

Memanglah hati saya perit bila mana mengetahui berita sebelum itu bahawa semua aktivis telah ditawan oleh komando Yahudi Israel. Hati saya betul-betul geram dan marah, apatah lagi dilaporkan ada yang terkorban. Tetapi hari ini, saya kena redha bahawa di dalam perjuangan sebegitu, pasti ada yang terkorban. Moga-moga saudaraku yang telah terkorban akan ditempatkan bersama para syuhada.

Saya juga berasa amat kagum bila mana saya mendengar berita melalui radio kelmarin bahawa salah seorang daripada aktivis Malaysia bergelar doktor telah berkesempatan menghulurkan bantuan kepada komando Yahudi Israel yang cedera terkena tembakan rakan sendiri semasa berada di dalam kapal Mavi Marmara ketika gempuran itu berlaku.

Tahniah! buat saudaraku bergelar doktor yang mempamerkan semangat kemanusiaan yang sebenar-benarnya. Semoga perjuangan para aktivis ke Gaza tempohari kelak mendapat limpahan keredhaan NYA. Memang saya tidak berupaya mengikuti jejak mereka.

Perkara kedua yang membuatkan saya berasa amat bersyukur ialah kelmarin, saya telah mendapat satu email dari editor jurnal antarabangsa. Emailnya berbunyi begini,


Hello Abgbent,

I apologize for my delayed reply. The new issue of the ******* Journal, No. , 2010, will be out this week and your paper on ********************** System is included. I will email you copies as soon as it is ready. I do appreciate that you submitted the paper to us for publication.

Best wishes
*******


Wah! akhirnya salah satu artikel saya diterbitkan dalam jurnal antarabangsa. Sememangnya kegembiraan yang saya alami kelmarin melangit tingginya. Sungguh! sebab itulah saya terbawa-bawa kegembiraan itu untuk diceritakan kepada Anda. Saya amat berharap agar kisah ini kelak menyuntik semangat Anda untuk sama-sama berusaha mengecapi kejayaan di dunia ini.

Dengan terterbitnya artikel itu, bermakna matlamat saya untuk tahun ini telah tercapai walaupun baru berada di bulan Jun. Syukur Alhamdulillah saya panjatkan kepada Tuhan Maha ESA, Allah SWT.

Saya berharap agar Anda tidaklah pula memandang serong entri begini yang ternampak seolah-olah berbangga atau beriya-iya mengangkat bakul diri sendiri. Harapan saya sebenarnya ialah ingin mengajak dan memberikan motivasi kepada Anda supaya bersama-sama berusaha mengecapi kejayaan.

Kalau saya berupaya melakukan sesuatu hasil daripada setiap niat atau matlamat yang saya inginkan, saya pasti Anda juga berupaya melakukannya bukan? Anggap sahaja lakaran seperti ini sebagai penyuntik semangat untuk Anda berusaha agar setiap yang dicita-citakan kelak diperolehi nanti, InsyaAllah.

Saya doakan semoga Anda juga berjaya.



Baca selanjutnya, Klik di sini...