Khamis, Oktober 01, 2009

Kehidupan Dunia, Apa Matlamatnya ?

Tahniah! wahai adikku Faizal.

Itulah sebaiknya diri kita yang bergelar manusia, mempelajari segala ilmu-ilmu yang diberikan-NYA termasuklah bersyukur sentiasa dengan segala nikmat yang dikecapi semasa kehidupan ini. Usahlah dianggap yang pedih dan pahit itu sebagai suatu yang amat memeritkan di dalam kehidupan ini.

Berkemungkinan yang pedih dan pahit itulah kelak menyebabkan kita menerima anugerah-NYA yang tidak terhingga, iaitu Syurga nan Abadi.

Paling penting, teruskanlah melalui kehidupan ini dengan tabah serta sentiasa memohon pertolongan-NYA bila-bila masa sahaja kerana ketahuilah bahawa sesungguhnya hanya DIA yang berkuasa di atas segala-gala isinya dunia.

Terkadang perkara yang difikirkan oleh akal mustahil untuk berlaku boleh juga berlaku dek belas ehsan dari-NYA. Sebab itu kita telah diingatkan agar sentiasa memohon pertolongan-NYA. Masih ingatkah sirah para Rasul-Rasul-NYA? Nabi Musa dengan tongkatnya, nabi Yunus bersama ikan yang memakannya, Pemuda-pemuda yang ditidurkan di dalam gua sehingga seratus tahun lamanya, ini semua diceritakan agar kita mengerti segala keajaiban yang dimiliki-NYA.

Kelebihan manusia berbanding makhluk-makhluk lain ciptaan Ilahi ialah kerana manusia mempunyai Akal Fikiran. Sebab itu usahlah disia-siakan kelebihan akal berfikir mengenai pelbagai perkara. Akal yang sentiasa mengingati-NYA pastilah akan sentiasa beroleh petunjuk dari-NYA, apatah lagi petunjuk yang menjadi cahaya untuk menyuluh liku-liku kehidupan dunia yang sememangnya penuh dengan pancaroba.

Selain itu, perlu juga diberitahu bahawa ilmu-ilmu-NYA perlu dipelajari, sebab itu kita kena cari, moga-moga nanti akan berolehlah kejayaan hakiki iaitu menduduki Syurga nan Abadi.

Ketahuilah bahawa penghuni Syurga semuanya adalah yang terpilih iaitu mereka yang memiliki budi pekerti yang tinggi. Sebab itu dinyatakan bahawa kesejahteraan kehidupan di Syurga adalah yang Abadi. Moga-moga dapatlah dimengerti coretan yang tidak seberapa ini. Coretan ini sekadar berkongsi untuk dijadikan pedoman bersama agar dapatlah dilalui onak dan duri di sepanjang perjalanan duniawi. Salam penuh kasih buat adikku Faizal.

0 Komen:

Catat Ulasan