Isnin, November 30, 2009

Mengalami Kemalangan Jalanraya, Bercuti AidilAdha & Berangkat Ke Korea

Salam 1 Malaysia.

Maaflah sebab dah lama tidak mencoretkan sebarang cerita di dalam blog Pedoman Hidup. Bukanlah disengajakan tetapi dek terlalu banyak kerja yang perlu dibereskan. Baru pagi tadi saya kembali daripada bercuti menyambut Aidiladha di kampung halaman, di Tawau.

Tengahari ini iaitu semasa berehat-rehat begini, saya mengambil kesempatan sekejap melakarkan sedikit cerita untuk tatapan Anda. Moga-moga adalah manafaatnya.

Sebenarnya seminggu sebelum menyambut Aidiladha tempohari, kereta kesayangan saya telah mengalami kemalangan jalanraya. Saya melanggar belakang kereta orang... Habis remuk bahagian hadapan kereta kesayangan saya. Namun, disebalik itu, saya bersyukur dan memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran kehadrat-NYA kerana kesemua penumpang yang berada di dalam kenderaan tidak mengalami kecederaan.

Alhamdulillah sekali lagi saya panjatkan kepada NYA kerana dua orang adik dan anak sulung saya berumur 5 tahun yang ketiga-tiganya merupakan perempuan tidak mengalami sebarang kecederaan. Begitu juga dengan diri saya.

Alhamdulillah!. InsyaAllah akan saya panjangkan ceritanya malam nanti...

Cerita kedua yang saya ingin kongsikan ialah semasa bercuti menyambut Aidiladha di Tawau. Sebenarnya ketika bercuti itu, saya telah terlupa membawa celcom broadband. Bukannya disengajakan, tetapi dek terlalu sibuk menguruskan pelbagai perkara, maka celcom broadband telah terlupa dimasukkan ke dalam beg untuk dibawa bersama-sama.

Lagipun kami sekeluarga tergesa-gesa bersiap sedia kerana terpaksa meminta bantuan adik sepupu menghantarkan kami sekeluarga ke stesen.

Kereta kesayangan saya ketika itu sudah berada di bengkel untuk dibaiki disebabkan kemalangan yang telah menimpa. Sehingga kini pun, kereta kesayangan saya itu masih lagi berada di bengkel. Dua hari sebelum berangkat ke kampung halaman, saya terpaksa menguruskan pelbagai dokumen keperluan insuran agar boleh dibuat tuntutan. Sebab itulah juga blog Pedoman Hidup tidak berkesempatan diisikan sebarang coretan, sebelum Aidiladha.

Pagi tadi saya baru kembali ke kediaman dan terus bertolak ke ofis. Tengahari ini saya mengambil kesempatan melakarkan coretan pendek di dalam blog ini. Sebenarnya saya berangkat dari Tawau tidak ditemani oleh Isteri Tercinta dan anak-anak. Mereka masih lagi berada di Tawau. Sengaja saya meninggalkan mereka di Tawau kerana malam nanti saya akan berangkat ke Korea pula untuk urusan kerja selama seminggu. Saya dimaklumkan suhu di Korea ketika ini pada paras 1 - 11 darjah celsius.

InsyaAllah, ada kesempatan semasa menunggu atau di dalam penerbangan nanti, akan saya ceritakan kepada Anda. Maklumlah, Anda merupakan teman saya berbicara ketika keseorangan seperti ini... :)

Kepada Anda yang sudi menghantarkan email kepada saya, InsyaAllah, akan saya balas jua email itu nanti. ;)
Baca selanjutnya, Klik di sini...

Ahad, November 22, 2009

Gadis Jepun Yang Ayu… aku kasihi kerana DIA

Tiba-tiba air mata mengalir perlahan-lahan di atas pipinya yang halus dan putih. Genangan air matanya juga dapat aku perhatikan sedikit demi sedikit memenuhi kelopak matanya dan terus turun perlahan-lahan menusuri linangan air mata yang mengalir.

Kening dan pipinya juga kelihatan kemerah-merahan ketika itu kerana menahan sebak yang barangkali terkejut dengan penjelasanku mengenai Tuhan, Pencipta alam.

Peristiwa itu adalah yang pertama aku alami, iaitu menjelaskan tentang DIA yang maha ESA kepada seorang insan yang belum kukuh akidahnya. Insan yang aku kenali ini aku menamakannya Gadis Jepun yang ayu. Aku memberitahu kepadanya tentang keimanan kepada Tuhan Penguasa alam yang aku kenali sebagai Allah SWT.

Sejurus semasa situasi sayu dan sedih itu berlaku, adikku Ayuk yang duduk bersebelahan denganku dan berhadapan dengan Gadis Jepun yang ayu itu terkejut. Dia dengan segera menjelaskan kepadaku bahawa Gadis Jepun yang belum kukuh akidahnya itu tidak tahan merasai kesakitan. Hatta ibu dan ayahnya pun tidak pernah memukulnya sehingga dia merasai kesakitan. Dia memang tidak tahan kesakitan. Itulah yang diberitahu oleh adikku Ayuk kepadaku.

Selepas mendengar penjelasan adikku Ayuk, aku juga berasa kesal memukul tangan Gadis Jepun yang Ayu itu dengan kuat sekali. Dua kali aku melakukannya kerana yang pertama bila aku pukul tanggannya menggunakan tanganku, dia menggeleng-gelengkan kepalanya selepas aku bertanya sama ada dia merasai sakit ataupun tidak. Malahan dia juga melontarkan senyuman kepadaku dan melirikkan matanya ke arah adikku Ayuk.

Sebab itulah, untuk kali kedua, aku cuba memukulnya dengan keras sekali agar tiadalah pukulan kali ketiga. Ternyata, bila aku bertanya kepadanya adakah dia merasai kesakitan akibat pukulan kali kedua di atas tangannya ketika itu, dia terus mengangguk-anggukkan kepalanya dan menatap tepat ke arah mataku untuk menunggu penjelasanku yang seterusnya.


(akan aku lanjutkan kisah ini InsyaAllah)



Sejujurnya, aku juga tersentak melihat Gadis Jepun yang ayu itu mengalirkan air matanya di hadapanku dan adikku Ayuk


Sebenarnya, sudah lama nostalgia ini aku simpan dan barulah malam ini tergerak hatiku menceritakannya kepada Anda untuk dikongsi bersama-sama. Moga-moga adalah manafaatnya untuk dijadikan Pedoman Hidup barangkali. Manalah tahu Anda juga akan menghadapinya.

Kisah ini aku alami semasa berada di negara Jepun sebulan lamanya dan mengenali adikku Ayuk bersama Gadis Jepun ini.

Ayuklah yang memberitahu kepadaku yang Gadis Jepun ini suka bertanya tentang hal ehwal agamaku. Malahan sehingga ke tahap persoalan mengenai halal dan haram sesuatu perkara menyebabkan adikku Ayuk sukar menjelaskan kepadanya kerana di situ terselit logik akan persoalannya.

Heheheee… aku sekadar melontarkan senyuman kepada adikku Ayuk bila mengetahuinya. Bukanlah meremehkannya, tetapi aku juga ingin mengetahui akan persoalan-persoalan yang diajukan oleh Gadis Jepun yang Ayu itu.

Suatu hari, aku berkesempatan duduk bersama-sama mereka dan disitulah aku memahami penjelasan adikku Ayuk mengenai kesukaran memberikan penjelasan kepada Gadis Jepun yang ayu itu. Memang cabarannya berlainan sama sekali kerana kefahaman yang dimilikinya berkiblatkan ilmu sains terkini.

Nasib baik juga aku ada kefahaman mengenai ilmu sains. Bertitik tolak dari situlah aku dapat menyangkal akidah kefahamannya tentang sains yang dijadikannya sebagai pegangan hidup.

Syukur Alhamdulillah aku panjatkan kepada NYA kerana mengizinkan aku melakukan dan mempelajari sesuatu di negara itu. Sebab itulah juga aku ingin kongsikannya di sini dengan Anda, Anda yang menjadi teman untukku berbicara di alam siber sebegini rupa. Ketahuilah bahawa sememangnya Anda juga saya kasihi kerana DIA.
Baca selanjutnya, Klik di sini...

Jumaat, November 20, 2009

Berusaha Mencari Jodoh... Nasihat buat Adikku

Mungkin 3 tahun lagi? Kenapa lambat? Jangan dilambat-lambatkan duhai adikku yang dikasihi. Masa akan terus berlalu dan tidak akan menunggu.

Sekarang abg nak mengajak adik untuk berfikir seketika perkara ini. Katakanlah Adik merancang akan berkahwin pada umur 31 tahun nanti. Selepas itu dengan izin-Nya, InsyaAllah adik dikurniakan anak pada tahun berikutnya, iaitu pada umur 33 tahun. Tahukah adikku bahawa pada umur menjangkau 60 tahun, anak adik yang sulung baru berumur 27 tahun. Adik tahu tak umur seorang pemuda/i berumur 27 tahun itu pemikirannya bagaimana? Ya, sememangnya kehidupannya masih lagi bergantung dengan keluraga.

Tekaan abg itu pun kalau adik dapat anak pada tahun berikutnya selepas mendirikan rumahtangga. Pengalaman abg sampai 3 tahun barulah abg mendapat zuriat yang pertama. Kini umur anak abg dah masuk empat tahun tetapi umur abg dah sampai 39 tahun. Itu sebabnya abg kongsikan perkara ini.

Memang Kita hanya mampu merancang tetapi DIA juga yang menentukan segala-galanya. Ketahuilah bahawa masa yang berlalu itu tidak akan dapat dikembalikan untuk Kita mengulanginya semula. Masa itu akan terus berlalu dan berlalu. Hanya perancangan yang teliti yang akan dapat mengubah sesuatu yang Kita ingin atau harapkan di masa ini dan masa akan datang. Semua ketentuan yang kita rancangkan adalah hak mutlak kekuasaan-NYA jua.

Abg tetap mendoakan agar adik bertemu jodoh dalam masa terdekat ini. Kadang jodoh itu juga boleh membuka pintu rezeki hamba-hamba-Nya...
Baca selanjutnya, Klik di sini...

Sabtu, November 14, 2009

Belajar untuk Tahu ...Coretan buat Shikin

*Coretan buat shikin*
Izinkan abg memberikan cadangan.

Dalam hal ini, Shikin kena tanya pada diri sendiri. Untuk apa Shikin nak rajin belajar? Apa yang shikin inginkan sebenarnya?

Jika masih tak tahu apa yang Shikin kehendaki, manakan pula shikin berusaha mengejarnya bersungguh-sungguh. Inilah yang dikatakan sebagai Kena tahu Matlamat.

Nak rajin belajar. Shikin kena tahu kenapa nak rajin belajar? untuk apa sebenarnya? Persoalan-persoalan ini Shikin kena jawab sendiri sebab andai shikin tidak jelas mengenainya, macamana shikin nak memotivasikan diri untuk belajar? Tidak semestinya perlu rajin belajar… yang penting tahu apa yang dikehendaki. Kadang juga ada yang rajin belajar tapi tidak berkesan pun.

Kenapa? Sebab dia masih tidak tahu kenapa dia rajin belajar dan untuk apa sebenarnya dia belajar.

Kenal pasti apa yang shikin nakkan dan dari situ nanti terbitlah keinginan untuk mengejar matlamat tadi. Sekali lagi, Shikin kena tahu mengapa melakukan sesuatu itu. Sebagai contoh rajin belajar, kalau rajin sahaja tetapi tidak mengetahui apa yang dipelajari buat apa bukan?

Don’t study hard, but study smart. Itulah ungkapan yang sering abg dengari semasa berada di universiti dahulu dan sekarang ini pun…
Baca selanjutnya, Klik di sini...

Jumaat, November 13, 2009

Lakaran-Lakaran Mudah 1 & 2

Lakaran 1

Abg memahami apa yang terselit di sebalik coretan itu. Ada baiknya juga kalau abg tambahkannya begini;

Jangan sampai mengejar-ngejar motivasi alam, sehingga kita menjadikannya tempat bermohon, menjadikannya sebagai Keramat, menjadikannya tempat sembahan, menjampi berkaitan dengan kekuasaan alam.

Motivasi oleh cinta, harap-harapnya kecintaan kita tidaklah beralih arah iaitu untuk mencintai-NYA. Kecintaan itu akan terjelma apabila kita telah mengenali sesuatu yang ingin kita cintai. Tetapi ramai juga yang tidak berusaha untuk mengenali-NYA menyebabkan agak sukar menjelmakan kecintaan kepada-NYA.

Keseronokan boleh meningkatan motivasi tetapi kadang-kala apabila terlebih, menyebabkan kita leka dan alpa. Bukan sahaja keseronokan mengejar dunia tetapi juga mengejar-ngejar akan-NYA, boleh menyebabkan kita leka dan alpa terhadap tanggungjawab sebenar kita di dunia ini.

Kisah orang lain boleh dijadikan sebagai pencetus di dalam meningkatkan motivasi diri, tetapi bilamana tidak dipandu sebaiknya, boleh juga menyebabkan hasad dengki terjelma. Akibatnya akan terbitlah umpatan dan lain-lain yang negatif sifatnya.

Duit? emm… tak perlulah saya teruskan ulasan mengenainya kerana semua dikalangan kita memahaminya. Memang kita memerlukannya.

:)



Lakaran 2

Saya tetap berpendirian bahawa di mana pun kita berada, benteng diri itu amat penting dan pastilah saya akan berusaha untuk tidak membiarkan rakan-rakan yang dilanda sifat negatif itu berterusan negatiflah jadinya.

Ada ketikanya, sifat-sifat yang dinyatakan itu akan melanda diri Kita.

Apakah dalam hal ini Kita akan dibiarkan begitu sahaja? Tiada bantuankah daripada rakan-rakan untuk memberikan sedikit motivasi agar sifat negatif itu dapat dibendung dan seterusnya diperbaiki?

Saya tetap berkata begini...

Jangan jauhi rakan-rakan Anda tetapi berilah nasihat yang sewajarnya agar rakan itu berubah.

Nasihat sememangnya semua di kalangan Kita memilikinya cuma masa dan ketika yang akan menentukan sama ada Kita pada ketika itu bersifat negatif ataupun positif. Pastilah rakan bersifat positif harus membantu rakan yang dilanda sifat negatif. Dalam erti kata lain, Nasihat-menasihati sesama atau Amal Maaruf dan Nahi Mungkar.

Satu perumpaan yang saya pernah dengar ialah lontarkanlah diri kita di mana-mana lautan pun, moga diri kita akan menjadi sebuah pulau yang akan menjadi persinggahan kepada makhluk-makhluk-NYA.

Sekian.
Baca selanjutnya, Klik di sini...

Khamis, November 12, 2009

Rasa Cinta ...1

Innalillahi...

Dah lama saya tidak bercerita-cerita dengan Anda, yang sering berziarah ke sini. Izinkanlah saya meluahkan rasa kecintaan saya pada pagi ini kepada arwah Datuk saya yang telah kembali ke rahmatullah kelmarin, hari Rabu, 11 November 2009, pukul 5.45 pagi.

Ketika itu saya tidak berada di sisinya dek tugasan yang harus saya laksanakan di tempat kerja. Tepat pukul 6.15 pagi kelmarin, saya telah menerima panggilan telefon dari keluarga di Tawau menyatakan bahawa arwah Datuk telah pergi menemui-NYA.

Sejurus selepas mendapat perkhabaran itu saya bersama Isteri Tercinta bergegas mengemas pakaian dan balik ke kampung halaman di Pulau Sebatik, Tawau.

Walaupun hakikatnya masih banyak tugasan kerja yang perlu dibereskan, tetapi dek rasa kecintaan pada arwah, saya meninggalkan kesemua tugasan itu. Pastilah selepas menghantarkan sms kepada boss untuk memohon cuti kecemasan. Alhamdulillah, boss saya membalas sms yang dihantar dan memberikan sms yang berbunyi "Wslm, Sorry to know that she is no more. May Allah Swt bless her soul".

Mohon keizinan Anda, yang saya kasihi kerana DIA agar dapat juga mendoakan kesejahteraan arwah Datuk saya. Moga-moga Allah SWT mengampunkan segala dosa-dosa yang dilakukan semasa kehidupan duniawi sama ada disengaja mahupun tidak disengajakan dan moga-moga dibahagiakan kehidupannya di alam kubur ketika ini.

Terima kasih saya ucapkan di atas kesudian Anda membaca cerita yang disaluti perasaan kesedihan ini, walaupun hakikatnya barangkali Anda tidak merasakan apa yang saya rasai kini. Sememangnya DIA sahaja yang memahami akan apa yang saya rasai kerana DIA jua yang mengetahui segala rahsia yang terkandung di lubuk hati sanubari setiap insani.

Akhir kata, saya mendoakan moga-moga arwah datuk yang telah meneruskan kehidupan di alam kubur akan terus dikurniakan kebahagiaan di sana oleh-NYA, InsyaAllah...

Teringat saya akan pesanan Rasulullah saw, yang diriwayatkan di dalam Kitab Shahih Muslim agar cepat-cepat menggapai segala kesempatan yang ada dengan sebaik-baiknya, iaitu Lima perkara sebelum datangnya Lima perkara;

"Masa muda sebelum datangnya hari tua, masa sehat sebelum dilanda sakit, masa kaya sebelum masa miskin, masa lapang sebelum datangnya waktu sibuk, dan masa hidup sebelum datangnya kematian.”
(Hadith Riwayat Muslim dan Tirmizi dari Amru bin Maimun r.a.)
Baca selanjutnya, Klik di sini...

Selasa, November 10, 2009

Kerja dalam ketenangan ... Coretan buat Shem

Jumpa lagi di sini...

Rasanya kelam kabut dan “sibuk” itu lainlah, Shem. Kelam kabut disifatkan tergesa-gesa. Manakala sibuk pula dikatakan terlalu banyak kerja.

Bila banyak kerja, kadang-kala orang buat secara tergesa-gesa. Itu sebab ternampak kelam-kabut. Apatah lagi kalau kesuntukan masa.

Umpama di jalan raya, bila dah kelam kabut, lorong yang tak sepatutnya dilalui pun lantak je...

Mengapa? sebab nak cepat sampai. Itu namanya kelam kabut atau dalam erti kata lain, tergesa-gesa nak siapkan kerja. Biasanya bila berlaku seperti itu, hasilnya faham-faham sajalah. Heheheeee

Tetapi tidak semestinya orang yang “sibuk” bersifat seperti itu. Orang yang tenang akan menunjukkan kewarasan fikirannya menyelesaikan setiap kesibukan satu persatu. Inilah dikatakan melakukannya di dalam ketenangan.

Perlu diketahui juga, tenang tidaklah bermaksud lemah-longlai atau tidak bermaya. Itu berbeza sama sekali. Lemah longlai atau tidak bermaya sama kategorinya dengan malas.

Fikiran yang dipandu dengan ketenangan akan rasional sifatnya. Umpamanya, setiap sesuatu kesibukan akan dilaksanakan satu-persatu mengikut keutamaanya. Dan sesuatu pekerjaan itu akan dilaksanakan setelah difikirkan baik dan buruknya.

Seperti perumpamaan yang saya sebutkan di atas. Perlukah saya memandu di lorong yang tidak sepatutnya? Tidak ada apa-apakah yang akan terjadi? Kepentingan saya lebih utama berbanding orang lain? Kemarahan orang sebab "overtake" mereka tak penting?. Sumpah maki orang itu lantak pi la? Barangkali ada trafik di depan, nanti kena saman?

Semua persoalan dan kemungkinan itu akan dapat difikirkan secara rasional bila mana di dalam ketenangan. Erti kata lain, tidak kelam kabut.

Selain itu, bila mana kita tenang, “kesibukan” kerja akan ditapis satu persatu. Yang mana harus didahulukan untuk disiapkan. Tidak bermaksud terlalu sibuk sehingga tergesa-gesa menyiapkan kesemuanya. Kalau dah takdirnya tak siap. Nak buat macamana? terima sajalah kemarahan bos!. Heheeee

Tapi sebaiknya diusahakanlah agar semua kesibukan tadi dapat disiapkan mengikut waktu-waktunya yang telah ditetapkan. Itu sebab matlamat itu utama.

Takkanlah pula kerja yang kena disiapkan dlm tempoh sehari baru nak dimulakan perlaksanaannya apabila masa yang ada cuma tinggal sejam sahaja. Pastilah tak siap jawabnya.

Sudah pasti di setiap apa yang kita lakukan di dalam kehidupan ini adalah untuk mengetahui ilmu-ilmu-NYA. Oleh itu, mengapa harus tergesa-gesa mempelajari setiap ilmu-ilmu-Nya yang kita sedang cuba fahami ini?

Moga-moga adalah manafaatnya apa yang saya kongsikan di sini.

“Maka Maha Tinggilah Allah, yang Menguasai seluruh alam, lagi Yang Benar (pada segala-galanya) dan janganlah engkau (wahai Muhammad) tergesa-gesa membaca Al-Quran sebelum selesai dibacakan oleh Jibril kepadamu dan berdoalah dengan berkata: Wahai Tuhanku, tambahilah ilmuku”. (Taha, 20: 114)

Tidak ada kesusahan (atau bala bencana) yang menimpa (seseorang) melainkan dengan izin Allah dan sesiapa yang beriman kepada Allah, Allah akan memimpin hatinya (untuk menerima apa yang telah berlaku itu dengan TENANG dan SABAR) dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu. (At-Taghabun, 64: 11)

:) lontaran senyuman buat Shem. Bila nak buat aktiviti lasak seperti hari tu? Saya nak ikut blehkah!?
Baca selanjutnya, Klik di sini...

Isnin, November 09, 2009

Coretan Buat Adik Noor ... Muhasabah Diri

Izinkan saya melontarkan komen pada adikku Noor seperti yang diminta.

Pertama-tamanya, suka saya mengatakan begini;

1. Lihatlah kejayaan yang dimiliki oleh orang itu sebagai pencetus agar Kita juga berjaya sepertinya.

2. Elakkanlah berfikir mengenai urusan orang itu dengan Tuhannya kerana itu adalah hak dirinya dengan DIA-MAHA PENCIPTA.

3. Mungkin pada zahirnya Kita melihatnya kurang melaksanakan suruhan-Nya TETAPI mungkin juga sebaliknya!. Seperti yang saya ungkapkan, Kenapa pula Kita yang berperanan seolah-olah seperti malaikat-Nya. Walhal setiap daripada Kita pasti ada PENJAGA di Kiri dan Kanan sepanjang masa yang menuliskan tentang keIMANan Kita.

4. Bukankah lebih utama Kita menghisab diri sendiri daripada menggunakan masa yang ada untuk menilai orang lain? Mungkinkah perasaan Kita sahaja yang mengatakan bahawa Kita telah melaksanakan suruhan-Nya, TETAPI pada hakikatnya, Hati Kita masih pula tidak kepada-Nya.

“Dan (ingatlah) seseorang yang memikul tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain (bahkan dosa usahanya sahaja). Kemudian kepada tuhan kamulah tempat kembalinya kamu, maka Dia akan memberitahu kepada kamu tentang apa yang kamu telah kerjakan. Sesungguhnya Dia Maha Mengetahui akan segala (isi hati) yang terkandung di dalam dada. (Az-Zumar, ayat 7).

5. Renungkanlah ayat ini “Orang-orang kafir dari Ahli kitab dan juga dari orang-orang musyrik, tidak suka kiranya diturunkan kepada kamu sedikit dari kebaikan (atau wahyu) dari tuhan kamu Padahal Allah berHak menentukan rahmatNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya dan Allah (jualah Yang) mempunyai limpah kurnia yang amat besar, (Al-Baqara, ayat 105).

6. Sebaliknya pula, saya tidak menafikan bahawa andai ada kemungkaran yang berlaku, Kita berkewajiban untuk menegur. Teguran itu pastinya pada tahap-tahap tertentu iaitu dengan menggunakan tangan, kata-kata atau mungkin dengan hati sendiri.

Akhir sekali, kongsikanlah ayat ini untuk sama-sama Kita kaji dan renungkan;

“Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kepada Allah (dengan mengerjakan suruhannya dan meninggalkan laranganNya) dan hendaklah tiap-tiap diri melihat dan memerhatikan apa yang dia telah sediakan (dari amal-amalnya) untuk hari esok (hari akhirat) dan (sekali lagi diingatkan): Bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Amat Meliputi PengetahuanNya akan segala yang kamu kerjakan. (Al-Hashr, 18)
Baca selanjutnya, Klik di sini...

Jumaat, November 06, 2009

Bimbingan Berterusan... Coretan Buat Jajaa

* Pandangan saya kepada jajaa * ;)

Kita masih ada pilihan di dalam perbuatan harian yang Kita lakukan. Akal akan menganalisa mana satu yang perlu dilakukan sama ada ingin membantu atau membiarkan sahaja rakan-rakan itu. Dalam hal ini saya memberikan ruang kepada jajaa untuk memikirkannya dan membuat keputusan sebaiknya. Sebab masing-masing di antara Kita berlainan masalahnya.

Tetapi, saya tetap beranggapan agar Rakan tadi janganlah dijauhi disebabkan sifat-sifat negatifnya. Mungkin suatu hari kelak hidayah-Nya akan hinggap di minda jajaa dan memperolehi keupayaan untuk dikongsi bersama rakan itu dan dengan kuasa-Nya jua akan terbitlah perubahan kepada diri Rakan itu. Mungkin di situlah juga Kejayaan Hakiki perjuangan hidup jajaa kelak?. Siapa tahu...

Dan satu perkara yang amat-amat penting untuk saya kongsikan dengan jajaa ialah DIA sesungguhnya MAHA MELIHAT, MAHA MENDENGAR dan MAHA MENGETAHUI akan apa yang Kita lakukan.

Seperti saya juga, saya akui yang saya mempunyai pelbagai kelemahan, dan seharusnya saya juga mendapat bimbingan. Bukan sahaja bimbingan daripada Isteri Tercinta, Keluarga dan Rakan-Rakan, tetapi jauh dari situ sudah pasti saya inginkan bimbingan dari-NYA. Sebab Pada-NYA lah terletaknya bimbingan yang sebenar-benarnya.

Itulah juga sebabnya saya harus memohon kepada-Nya dan harus mengingati-Nya sentiasa, moga-moga adalah pandangan-Nya seketika kepada Saya untuk dibimbing di dalam menerokai liku-liku kehidupan ini.

Harus juga saya maklumi bahawa para syaitan dan sekutu bagi-Nya akan sentiasa berada di samping, bukan seketika, tetapi sepanjang masa.

Sebab itulah, jangan dibiarkan rakan-rakan Kita bersendirian, kelak digoda oleh mereka, maka hilanglah lagi, seorang daripada saudara Kita, yang namanya manusia.
Baca selanjutnya, Klik di sini...

Khamis, November 05, 2009

Nak berSedih atau Nak berGembira ?

Saya melakarkan coretan ini sekadar berkongsi mengenai erti kehidupan yang saya fahami. Moga-moga nanti adalah manafaatnya untuk kebaikan bersama.

Sedih dan Gembira adalah antara mainan perasaan yang pasti dirasakan oleh makhluk yang dinamakan sebagai Insan. Insan akan merasakan perasaan gembira dan sedih supaya dapat mempelajari erti kehidupan duniawi.

Mungkin kegembiraan yang dinikmati baik dan mungkin juga sebaliknya. Begitu jugalah halnya dengan perasaan sedih. Ada baik dan ada juga buruknya. Itulah lumrahnya alam duniawi untuk kita pelajari.

Gembira akan menjadi musibah bilamana kegembiraan itu terlebih-lebih sehingga lupa diri, menjadi alpa tak kenal lagi kekuasaan yang Maha ESA… Allah SWT.

Sedih juga demikianlah halnya. Akan terbawa-bawa sehingga timbul perasaan tidak mahu lagi menikmati kehidupan duniawi, lantas merosakkan diri sendiri sehingga terjadilah pertempuran jiwa melawan kekuasaan NYA. Bila mana ini berlaku, maka perjalanan kehidupan yang dilaluinya tidak lagi bersama-sama dengan NYA. Dia seolah-olah kecewa dan tidak mahu lagi berdampingan dengan-NYA. Inilah yang diumpamakan mabuk duniawi kerana tidak lagi mengerti ke mana arah haluan kehidupan yang hendak dilaluinya di dalam kehidupan ini.

Sedih dan Gembira adalah dua perasaan yang dihadirkan di dalam jiwa setiap daripada kita agar mengerti perbezaan kedua-dua perasaan ini.

Pilihlah mana satu yang diinginkan. Kalau tanya saya, pastilah inginkan kedua-duanya sekali, seperti kata sahabat saya, berpada-pada merasainya supaya kelak dapat mempelajari dan mengerti betapa kehidupan duniawi berlaku seperti ini…

Sedih kerana ditimpa kegagalan dan Gembira kerana diberikan nikmat kehidupan. Pastilah kedua-dua perasaan ini akan saya syukuri kerana kesedihan membuatkan saya mengerti betapa kerdilnya diri ini dan gembira dek anugerah NYA merasakan kenikmatan kehidupan dunia.

Terkadang dek terlalu gembira sehingga menumpanglah perasaan kesedihan dan begitu jugalah halnya bila terlalu sedih akan wujudlah perasaan kegembiraan. Anda tak pernah merasakan perasaan ini? hehehee….

Cuba rasai perasaan sedemikian, pasti ada kelainannya. Perasaan itu akan hadir bilamana kita tahu arah perjalanan kehidupan ini. Apatah lagi merasakan DIA sedang ada di sisi, sepanjang masa, setiap ketika. Sebab itu akan muncullah perasaan gembira bersalut duka dan perasaan sedih berlapikkan gembira.

Mengapa itu berlaku? agar mengenal akan erti kehidupan ini. Memahami dan mengerti akan kewujudan dan kekuasaan yang Maha Berkuasa di atas segala-galanya, itulah kekuasaan Allah SWT yang penuh dengan keajaibannya.

Tidak mudah merasakan perasaan gembira bersalut duka dan sedih berlapikkan gembira. Tetapi andai difahami, akan adalah pengertian mengenainya. Kehidupan ini adalah suatu ujian yang harus difahami dan dimengerti. Sememangnya kita disuruh untuk belajar pelbagai perkara yang ada di dalam dunia.

Dari pembelajaran itu kelak, akan dapatlah dimengerti perbezaan di antara malaikat dan syaitan…




“Dan bahawa sesungguhnya, Dialah yang menyebabkan (seseorang itu bergembira) tertawa dan menyebabkan (seseorang itu berdukacita) menangis” (An-Najm, 53: 43)

“Dan Dialah (Allah) yang menghantarkan angin sebagai pembawa berita yang menggembirakan sebelum kedatangan rahmatnya (iaitu hujan), hingga apabila angin itu membawa awan mendung, Kami halakan ia ke negeri yang mati (ke daerah yang kering kontang), lalu Kami turunkan hujan dengan awan itu, kemudian Kami keluarkan dengan air hujan itu berbagai-bagai jenis buah-buahan. Demikianlah pula Kami mengeluarkan (menghidupkan semula) orang-orang yang telah mati, supaya kamu beringat (mengambil pelajaran daripadanya).” (Al-Araf, 7: 57)


“Jangan sekali-kali engkau menyangka (wahai Muhammad, bahawa) orang-orang yang bergembira dengan apa yang mereka telah lakukan dan mereka pula suka dipuji dengan apa yang mereka tidak lakukan, jangan sekali-kali engkau menyangka mereka akan terselamat dari seksa dan mereka pula akan beroleh azab yang tidak terperi sakitnya.” (Al-Imran, 3 : 188)


“Kemudian apabila mereka melupakan apa yang telah diperingatkan mereka dengannya, Kami bukakan kepada mereka pintu-pintu segala kemewahan dan kesenangan, sehingga apabila mereka bergembira dan bersukaria dengan segala nikmat yang diberikan kepada mereka, Kami timpakan mereka secara mengejut (dengan bala bencana yang membinasakan), maka mereka pun berputus asa (dari mendapat sebarang pertolongan).” (Al-Anaam, 6 : 44)


“Oleh itu bolehlah mereka ketawa sedikit (di dunia ini) dan mereka akan menangis banyak (di akhirat kelak), sebagai balasan bagi apa yang mereka telah usahakan.” (At-Taubah, 9: 82)


“…. Apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat (Allah) Ar-Rahman, mereka segera sujud serta menangis.” (Maryam, 19: 58)


“Mereka bergembira dengan balasan nikmat dari Allah dan limpah kurniaNya dan (ingatlah), bahawa Allah tidak menghilangkan pahala orang-orang yang beriman.”(Al-Imran, 3 : 171)


“Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar” (Al-Baqara, 2 : 155)


“Dan Allah tidak menjadikan (bantuan malaikat) itu melainkan sebagai berita gembira dan supaya hati kamu tenang tenteram dengannya dan kemenangan itu pula hanyalah dari sisi Allah. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” (Al-Anfal, 8: 10)
Baca selanjutnya, Klik di sini...

Ahad, November 01, 2009

Coretan Buat Adikku... Pembentangan 2

Perkara pokok yang harus difikirkan sekarang ini ialah motif atau matlamat sebenar pengucapan/pembentangan itu. Cari maklumat yang bersesuaian mengenainya dan siapkan segera.

Jangan terlalu difikirkan yang Adikku tidak dapat membuatnya, tetapi harus berfikiran positif iaitu setidak-tidaknya Adikku akan melakukan sesuatu mengenainya. Sama ada berjaya atau gagal, pastinya Kita belum tahu bukan? mengapa harus berfikiran negatif mengenainya.

Fokus pada yang perlu dilakukan sekarang iaitu persiapkan segala isi pembentangan/pengucapan dan berlatih dengannya. Jangan lupa juga untuk berdoa pada-Nya ok.

Ingatlah bahawa berjaya atau gagalnya pembentangan itu pasti mengukir sesuatu di dalam hidup Kita.


Didoakan semoga Adikku berjaya menghadapinya. Ketahuilah bahawa setiap kesulitan pasti menjadi mudah andai diurai satu persatu dan dilakukan pelbagai usaha untuk menyelesaikannya. Berbanding membiarkan sahaja masalah itu menghimpit diri sendiri tanpa ada usaha-usaha untuk menyelesaikannya.

Ingatlah bahawa setiap perlakuan Kita mesti ada matlamatnya. Hal ini pun saya ada kongsikan di dalam laman Pedoman Hidup iaitu bertajuk Ingin Mengecapi Kejayaan Hakiki?!, mengecapi Kejayaan Hakiki2, mengecapi Kejayaan Hakiki3, mengecapi Kejayaan Hakiki4, Mengecapi Kejayaan Hakiki5. Ada masa lawatilah untuk Kita berkongsi-kongsi pandangan.

Ketakutan ? mengapa Adikku harus takut pada pendengar atau selain daripada DIA? Bukankah Kita semuanya sama. Mengapa harus ditakuti mereka? Anggap saja Adikku cuba berkongsi sesuatu dengan mereka, kelak mereka akan mengambil ianya sebagai pandangan atau mungkin mereka juga akan mengongsikan sesuatu mengenai apa yang mereka tahu mengenai perkara yang dibentangkan.

Dari itu, tidak perlu merasa takut dengan mereka. Lagi satu, jangan malu untuk mencuba kerana dari situ Adikku akan mempelajari sesuatu untuk meningkatkan kebolehan Adikku sendiri. Kalau tidak dicuba, masakan Adikku tahu kehebatan diri sendiri!.

Dan akhirnya, jangan takut untuk melakukan percubaan-percubaan di dalam Kita mencari Pedoman Hidup ini. Mengapa harus takut dengan insan-insan yang sememangnya sama dengan Kita iaitu mempunyai pelbagai kelemahan berbanding dengan DIA?.

Dan akhirnya, apa yang dapat abg katakan ialah kesilapan di dalam Kita mencuba, pasti akan mengajar Kita sesuatu.
Baca selanjutnya, Klik di sini...

Hikmah Kesilapan

Setiap insan yang diciptakan oleh yang MAHA PENCIPTA pasti akan melakukan kesilapan!.

Kesilapan untuk memahami bahawa Kita banyak kekurangannya. Kerana DIA sememangnya sedang mengajarkan kita mengenai sesuatu yang diwujudkan di muka bumi ini.

Pengajaran dari kesilapan yang dilakukan adalah merupakan satu ILMU. Dan ianya amat bermanafaat apabila ILMU itu digunakan bukan sahaja untuk pedoman diri sendiri, tetapi juga untuk dikongsi bersama dengan seluruh umat manusia.

Kerana apa? kerana kita adalah bersaudara. Dan ingatlah bahawa ILMU itu jugalah yang bakal dibawa untuk dipersembahkan kepada-Nya.

Sebaik-baik kesilapan yang dilakukan adalah cepat-cepat untuk memperbaikinya dan pasti ianya akan lebih bermakna andai selepas kesilapan itu, kita memohon pedoman dari-Nya.
Baca selanjutnya, Klik di sini...