Selasa, Februari 19, 2013

Gelombang Merah Negeri Sabah – Red Tide & Tentera Diraja Kesultanan Sulu

Baru-baru ini, makanan laut daripada negeri Sabah khususnya di perairan Pantai Barat Sabah, dikatakan tidak selamat untuk dimakan kerana mengandungi racun. Beberapa orang telah dilaporkan meninggal dunia akibat memakan hasilan marin  terutama kerang-kerangan yang mengandungi toksin di perairan Pantai Barat Sabah itu.

Peristiwa tersebut bukanlah baru berlaku di perairan marin negeri Sabah, tetapi ianya telah mula direkodkan sejak awal tahun 1970 an lagi dan ianya dikenali sebagai peristiwa “Red Tide” atau “Ombak Rindu”… oppsss… Bukan Ombak Rindu, tetapi sebenarnya "Ombak Merah" atau "Air Merah". (^___*)

Red Tide adalah disebabkan oleh hidupan laut yang dikenali “plankton” dalam istilah Ilmu Sains. Terdapat banyak jenis plankton di dalam lautan, dan salah satu yang menyebabkan keracunan makanan laut di perairan marin negeri Sabah adalah plankton dari kelompok Dinoflagelat.

Nama spesis dinoflagelat ini ialah Pyrodinium bahamense  var  compressum iaitu apabila berada di dalam tubuh badan manusia, ianya akan berupaya menghasilkan saxitoksin yang akan menyerang sistem saraf manusia.

Plankton adalah merupakan hidupan mikroskopik, iaitu sangat-sangat kecil dan tidak berupaya dilihat dengan mata kasar. Ianya hanya boleh dilihat dengan bantuan pembesaran daripada mikroskop. Plankton tidak berupaya bergerak atau berenang dengan sendiri, dan pergerakannya adalah melalui bantuan aliran arus lautan.

Dipercayai, peristiwa Red Tide yang pertama adalah akibat plankton yang dialirkan masuk ke perairan Pantai Barat Sabah yang telah dibawa masuk daripada perairan Filipina. Sebut saja Filipina, tiba-tiba pula minda saya teringat berita gempar di perairan Pantai Timur, Sabah iaitu di persisiran pantai Lahad Datu, Sabah, di kampung Tanduo berhampiran Felda Sahabat 17.

Baru-baru ini telah dilaporkan oleh semua akhbar Negara Malaysia bahawa Tentera Diraja Kesultanan Sulu tiba-tiba telah mendarat di pesisiran pantai Lahad Datu. Berita itu, tidaklah menggemparkan saya. Malahan hati kecil saya membisikkan bahawa peristiwa itu mungkin sebagai satu muqadimah pada peristiwa-peristiwa seterusnya yang mungkin akan berlaku seandainya kaedah menyelesaikannya tidak menggunakan keadilan khususnya, kebijaksanaan akal fikiran.

Tidak mustahil, peristiwa lebih besar akan berlaku andai kotak paradoks, iaitu Sistem Khalifah Negeri Sabah Di Bawah Bayu tidak dibungkus sekemas-kemasnya. Kebijaksanaan para Pemimpin negeri ini amat dituntut untuk menjaga kestabilan negeri Sabah Tercinta.

Sebelum ini, saya telah melakarkan coretan mengenai perkara tersebut iaitu lakaran saya yang pertama di blog Abgbent Pedoman hidup ini berjudul Bajau Suluk, Bajau Bannaran, Bajau Ubian, Bajau Iranun…

Peristiwa kehadiran Tentera Diraja Kesultanan Sulu ini saya katakan sebagai satu permulaan kerana saya yakin, akan ada pula rentetannya selepas ini seandainya mereka yang kurang cerdik terus memainkan sensitiviti Kaum lain, khususnya memberikan gelaran sebagai PATI – Pendatang Asing Tanpa Izin.

Sebab itu, perlakuan mereka yang kurang cerdik begini saya ibaratkan seolah-olah menjolok sarang tebuan, lalu membuat andaian sendiri di mana kononnya sang tebuan tidak akan melakukan apa-apa terhadapnya. Mungkinkah sang tebuan akan menyengat beramai-ramai andai dijolok? Kalaupun sengatannya tidak menyebabkan kematian, tetapi sekurang-kurangnya si penjolok barangkali perlu juga merasai bisa sengatan sang tebuan.

Bukankah peristiwa darurat negara Malaysia pada Mei 1969 dahulu adalah disebabkan provokasi pihak tertentu lalu menyebabkan peristiwa yang kita tidak ingini?

Ketahuilah bahawa bangsa Bajau merupakan umat manusia yang dijolok sebagai Nomad Lautan. Mereka terkenal kerana banyak menerokai lautan dan tepian pantai, di muka bumi ini. Mereka menduduki banyak pulau-pulau kecil di persisiran Pantai Sabah. Sama ada pesisiran pantai yang tersembunyi, mahupun terdedah, pasti bangsa Nomad Lautan ini ada di sana. Usah dinafikan hak-hak ini. Seandainya Anda masih tidak percaya, belayar sahaja ke pesisiran pantai yang jauh dari tanah daratan Sabah, pasti Anda menemui mereka di sana!. Istilah Kad Pengenalan atau Passport, bagi sesetengah mereka di sana, bukanlah suatu yang penting untuk diuruskan oleh mereka.

Kebanyakan mereka tidak perlu pada kemewahan kehidupan, dan mereka lebih suka kehidupan yang tenang lagi mententeramkan, seumpama sebuah pulau yang terpencil di lautan nan luas.

Bagi pihak-pihak yang seringkali melabelkan bangsa ini sebagai PATI (Pendatang Asing Tanpa Izin), barangkali mereka agak kurang memahami sejarah Negeri Sabah. Mungkin juga disebabkan kekurangan mereka itu, lalu sifat mereka lebih kepuakan, membuatkan pemikiran mereka tidak berpaksikan pada keadilan umat, khususnya kemaslahatan umat manusia sejagat.

Harap-harap peristiwa Red Tide yang sering kali berlaku di perairan marin negeri Sabah tercinta ini, tidak akan merebak menjadi Red Blood yang tidak diingini oleh sesiapa.

Saya beranggapan, pertelingkahan mengenainya tidak akan menguntungkan mana-mana pihak atau puak khususnya kepada masyarakat negeri di bawah bayu ini.

Buat Kerajaan Malaysia, tahniah saya ucapkan kerana seringkali menyelesaikan permasalahan ummah melalui meja rundingan dan bukannya melalui senjata peperangan. Ianya telah terbukti sejak perjuangan menuntut kemerdekaan negara Malaysia daripada Malayan Union dahulu.

Sebab itulah juga barangkali mengapa negeri Sabah Dibawah Bayu ini mendapat kemerdekaan di bawah naungan Kerajaan Malaysia?.


(^___^)
Abgbent


Bersama lakaran ini, saya ingin mengajak Anda mendengar dua buah lagu Bajau daripada Pantai Timur Sabah yang telah menjadi kegemaran saya.

Lagu pertama iramanya mirip dendangan Datuk D.J. Dave. Manakala yang satu lagi, merupakan lagu kegemaran Ibu saya. Saya kongsikan khusus untuk Anda, Sahabat alam maya yang saya kasihi kerana DIA.

Semoga Anda menggemarinya. Kebiasannya, saya akan mendengar lagu-lagu itu bila mana berada di dalam Penerbangan, Pelayaran dan Perjalanan...

Download saja di sini...

1. Bag Bag Lasa (Kasih Sayang Hancur Punah)

2. Lasa Maka'a (Kasih Sayang Padamu)




0 Komen:

Catat Ulasan