Ahad, Mac 29, 2009

Masalah, masalah dan masalah...

Tulisan ini saya telah pahatkan di dalam blog adik saya. Ya, saya paparkannya kembali di sini agar dapat dikongsi bersama-sama.

Pandangan ini saya lontarkan selepas membaca luahan hati seorang adik perempuan yang merasa terlalu berat meghadapi masalahnya, sehingga merasa tidak mahu lagi untuk hidup.

Terperanjat saya melihat luahan perasaannya itu. Selepas membacanya, saya telah usahakan melakarkan pandangan ini. Moga-moga adalah manafaatnya dibaca oleh rakan-rakan khususnya Anda yang sudi menziarahi blog Pedoman Hidup ini.

Sesiapa sahaja akan menghadapi masalah. Cuma yang berbeza tingkatan setiap masalah yang dihadapi. Ada masalah yang mudah bagi seseorang dan ada pula yang terlalu berat ditanggung oleh seseorang yang lain. Seperti yang sedang dihadapi oleh adik perempuan itu.

Sejujurnya, pada mulanya saya berasa gerun untuk membantunya kerana saya tahu, andai itu saya lakukan, pastilah sedikit sebanyak tempias masalahnya akan tertanggung oleh diri saya. Namun, atas kesempatan pada ketika itu, saya telah berusaha melakarkan pandangan ini untuk memberikannya sedikit kekuatan.

Siapalah saya untuk memberikan kekuatan itu andai tiada pertolongan-Nya. Siapalah saya andai DIA tidak memberikan bimbingan-Nya. Dan siapalah saya berbanding DIA yang memiliki segala-gala keajaiban dan kekuasaan di dalam dunia ini.

Kalau pun tidak saya, mungkinkah Anda akan dapat menghulurkan bantuan, sekurang-kurangnya barangkali memberikan pandangan untuk meringankan bebanan yang sedang dihadapinya. Moga adalah manafaatnya pandangan Anda kepadanya.

Dari DIA kita datang, kepada-Nya jua kita akan kembali. Redhakan apa yang telah terjadi, pasti ketenangan akan muncul di ruangan hati dan perasaan diri.

Setiap masalah, ada penyelesaiannya, dan setiap penyelesaian pasti ada matlamatnya. Setiap matlamat akan ada cabarannya, dan setiap cabaran pasti dapat di atasi andai diiringi usaha bersungguh-sungguh.

Kesungguhan di dalam berusaha belum tentu berjaya andai tidak diiringi DOA kepada-Nya. Ketahuilah bahawa DIA amat mengasihani dan menyayangi hamba-hamba yang sentiasa memohon kepada-Nya.

Mengiringi doa pada-Nya di dalam setiap usaha pastilah akan ada kejayaannya kerana DIA yang memiliki segala rahsia kehidupan di dunia ini. DIA juga Pemilik Kekuasaan dan Keajaiban dunia ini.

Kalau pun tidak kejayaan itu di kecapi semasa kehidupan di dalam dunia ini, mungkinkah kejayaan itu akan dikecapi selepas kehidupan ini.

Usah direnungi masalah yang menimpa diri, tetapi usahakanlah sedikit untuk mengatasi masalah itu.

Ketahuilah bahawa masalah yang dihadapi kini berkemungkinan terselit ujian-Nya yang bertujuan untuk meningkatkan martabat kita. Mungkinkah setelah lulus ujian-Nya itu kelak, kita akan memperolehi sesuatu yang amat bermakna di dalam kehidupan ini?.

Seandainya begitu, ketahuilah bahawa itulah dia ilmu-Nya agar dapat dijadikan panduan di dalam mengharungi kehidupan ini. Ujian-Nya pastilah bertujuan untuk mendidik diri kita agar kelak mempunyai keperibadian mulia. kerana apa? kerana itulah keperibadian penghuni di syurga.

1 Komen:

:: Cikgu Wiween :: berkata...

biasalah abgbent. kalau masalah terlampau berat kdg2 buat org jd x fikir panjang. Moga2 adik tu dah okay.

Catat Ulasan