Jumaat, Mac 27, 2009

Kehidupan vs Khayalan

Kehidupan yang sedang saya dan Anda kecapi ini adalah sesuatu yang nyata.

Ya, nyata pada pandangan mata dan perasaan diri Kita. Kehidupan ini merupakan suatu nikmat yang dianugerahkan oleh-Nya kepada saya dan Anda.

Untuk apa Kita menikmati kehidupan ini? Adakah untuk suka-suka sahaja? Adakah untuk mengumpul harta kekayaan dunia? Atau pelbagai lagi persoalan yang sedang terbit di minda saya dan Anda?

Persoalan itu akan terus beredar di ruangan pemikiran Kita, ditafsir di dalam hati dan seterusnya diterjemahkan di dalam perbuatan harian.

Bila mana Kita memahami kehidupan ini, pastilah saya dan Anda akan berusaha mengarahkan perjalanan kehidupan ini menuju matlamatnya, agar kelak, tercapailah kejayaan kehidupan ini.

Tetapi andai saya dan Anda tidak memahami kehidupan ini, kemungkinan besar Kita tidak akan mengetahui arah sebenar kehidupan ini.

Kehidupan yang tiada haluan dapatlah diungkapkan sebagai kehidupan di awang-awangan atau dikenali juga kehidupan di dalam khayalan.

Biasanya seseorang yang berada di dalam khayalan atau di awang-awangan akan digelar sebagi seorang yang sedang mabuk.

Ibarat peminum arak, apabila berada di dalam keadaan mabuk, jalannya tidak betul dan mindanya juga akan terganggu, menyebabkan kadang-kala dia tidak akan sedar apa yang sedang dilakukannya. Kadang juga dia sedar tetapi tidak dapat mengawal perbuatannya.

Begitu juga seseorang yang khayal akibat menagih dadah. Kehidupannya menjadi tidak penting kerana baginya, mendapatkan dadah itu adalah lebih utama berbanding mengusahakan sesuatu untuk kebaikan dirinya sendiri.

Sebab itulah ada ungkapan yang mengatakan orang yang berada di dalam kehidupan di awang-awangan atau di dalam khayalan, dikenali sebagai seorang yang mabuk duniawi.

Mengapa? Kerana dia tidak memahami ke mana arah haluan hidupnya.

Kejayaan kehidupan bukan calang-calang hebatnya. Sebab yang menganugerah dan mengiktiraf kejayaan kehidupan adalah DIA.

Mengapa? Kerana DIA sedang menguji sejauh mana saya dan Anda menghargai pemberian-Nya ini. Andai Kita berjaya di dalam ujian-ujian itu, ketahuilah bahawa DIA akan mengiktirafnya. Pengiktirafan dari siapa lagi yang Kita inginkan kalau bukan dari-Nya? Sememangnya pengiktirafan-Nya tiada tandingan.

Bagaimana nak mengelakkan kehidupan berada di awang-awangan atau di dalam khayalan? Dengan kata lain, mengelak mabuk duniawi?.

Apa yang dapat saya cadangkan ialah sama-samalah Kita memahami ilmu-Nya, kerana melalui ilmu-Nya lah Kita akan memahami erti dan matlamat kehidupan ini.

Bagaimana nak mendapatkan ilmu-Nya? Ya, melalui kitab-Nya. Kitab-Nya telah menjelaskan erti dan matlamat kehidupan ini.

"Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu." (Ad-Dzariyat, 51: 56)

"Katakanlah: Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam. (Al-Anaam, 6: 162)


DIA juga telah mengutuskan Rasul-Nya untuk memberikan bimbingan dan penjelasan tentang ilmu-ilmu Nya. Begitulah DIA yang amat PENGASIH dan PENYAYANG.

Dari itu, sama-samalah Kita berusaha menyelongkar ilmu-Nya di dalam kitab-Nya agar dapat digunakan untuk menyuluh dan memahami kehidupan ini.

Kelak dapatlah dielakkan kehidupan khayalan atau di awang-awangan itu. Seterusnya moga-moga dapatlah digapai kejayaan kehidupan ini untuk memperolehi pengiktirafan-Nya. Sesungguhnya, pengiktirafan dari-Nya tiada tandigan kerana DIA yang berkuasa di atas segala-galanya.


Wahai sekalian jin dan manusia! Bukankah telah datang kepada kamu Rasul-rasul dari kalangan kamu sendiri, yang menyampaikan kepada kamu ayat-ayatKu (perintah-perintahKu) dan yang memberikan amaran kepada kamu tentang pertemuan kamu dengan hari (kiamat) ini? Mereka menjawab: Kami menjadi saksi mengakui akan (kesalahan) diri kami sendiri (mendustakan Rasul-rasul itu) dan (sebabnya ialah) mereka telah diperdayakan oleh (kemewahan) hidup di dunia dan (kerana itulah) mereka menjadi saksi (pada hari akhirat) terhadap diri mereka sendiri: (Bahawa) sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang mengingkari (apa yang telah disampaikan oleh Rasul-rasul itu). (Al-Anaam, 6: 130)


Dan bagi tiap-tiap seorang (dari manusia atau jin), beberapa darjat (tingkatan balasan) disebabkan (amal baik atau jahat) yang mereka telah kerjakan dan (ingatlah) Tuhanmu tiadalah lalai dari apa yang mereka lakukan. (Al-Anaam, 6: 132)


Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk Neraka Jahannam banyak dari jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat); mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai. (Al-Araf, 7: 179)

...Demi sesungguhnya! Aku akan memenuhi Neraka Jahannam dengan semua jin dan manusia (yang pada masa hidupnya tidak berusaha untuk beriman dan beramal soleh).
(As-Sajda, 32: 13)

Kami hanya akan menguruskan hitungan dan balasan amal kamu sahaja (pada hari kiamat,) wahai manusia dan jin! (Ar-Rahman, 55: 31)

0 Komen:

Catat Ulasan