Isnin, Mac 23, 2009

Perempuan Pelacur!!!

Mungkin Anda terkejut dengan tajuk yang saya gunakan kali ini. Ya, saya ingin kongsikan kisah seorang perempuan pelacur. Kisah ini memang telah menjadi cerita yang amat penting di dalam hidup saya.

Kisahnya telah mengingatkan saya agar berhati-hati apabila menyuluh sesuatu di dalam dunia ini. Ianya memberikan ikhtibar dan mengajar hidup saya agar bersangka baik dengan sesiapapun jua. Apatah lagi sekiranya mereka itu adalah di kalangan saudara-saudara saya.

Sebenarnya kisah perempuan pelacur ini telah diceritakan di dalam beberapa Kitab yang saya pun dah lupa yang mana satu. Apa yang pasti, saya sememangnya menyukai buku-buku agama terutama terjemahan Imam Al-Ghazali bertajuk Bimbingan Mu’minin dan terjemahan kitab Shahih Muslim. Kedua-dua buku itu ada di jual di kedai-kedai buku agama. Carilah kalau Anda memang berminat membongkar sesuatu mengenai cahaya-Nya.

Di dalam buku yang saya pernah baca, diceritakan bahawa ada seorang wanita yang semasa hidupnya telah melacurkan diri. Ya, seorang perempuan yang dinamakan sebagai Pelacur. Suatu ketika, dia telah terjumpa seekor anjing yang sedang dalam kehausan. Apabila melihat keadaan anjing itu, perempuan pelacur itu berusaha memberikan minuman kepada anjing yang sedang dalam kehausan itu. Dia melakukannya dengan penuh rasa kesian dan keikhlasan untuk membantu makhluk-Nya.

Anda nak tahu apa yang berlaku seterusnya? Perempuan pelacur itu telah dianugerahkan Syurga-Nya. Dengan ungkapan lain, Kejayaan Hakiki dia telah perolehi di pengakhiran hidupnya. Mengapa? Dikisahkan di dalam buku itu bahawa keikhlasannya membantu seekor anjing tadi telah menyebabkan Allah redha kepadanya dan memberikannya ganjaran syurga-Nya.

Kisah ini saya coretkan di sini untuk Kita berfikir mengenainya. Ya, mungkin pada zahirnya seolah-olah tidak adil bukan? Tetapi siapalah Kita mempersoalkannya berbanding DIA yang MAHA MELIHAT dan MAHA MENGETAHUI akan segala sesuatu yang telah diciptakan oleh-Nya. Ketahuilah juga bahawa semua nikmat yang sedang Kita kecapi ini adalah kurniaan dari-Nya.

Sebab itu, kisah Perempuan Pelacur ini amat dekat di hati saya. Ianya telah mengajar diri ini agar sentiasa berusaha melakukan sesuatu yang boleh membuatkan DIA redha terhadap perbuatan saya.

Mungkin di mata sesetengah di kalangan Kita melihat bahawa kegagalan hidup di dunia ini sebagai sesuatu yang jelek dan perlu dijauhi. Tetapi hakikatnya, mungkin daripada ujian itu akan membuatkan DIA redha dan memberikan anugerah Syurga-Nya seperti mana yang telah berlaku kepada Perempuan Pelacur itu. Siapa tahu? DIA sesungguhnya mengetahui segala rahsia apatah lagi yang tersembunyi di dalam hati Kita.

0 Komen:

Catat Ulasan