Ahad, April 04, 2010

Hati Seksi, Memperkosa Jiwa Raga

Izinkanlah abg berkongsi bicara mengenainya, duhai adikku Aisyah yang manja. Tetapi sebelum itu, luahan ungkapan yang abg ingin zahirkan ketika ini ialah;

Tahniah! buatmu duhai adikku Aisyah kerana berkesungguhan mengubati penyakit hati sebegini, Hati yang ingin kelihatan Seksi. Tidak semua insan di dunia berupaya menyedarinya. Memang tidak semua manusia menyedarinya!

Bila mana hati berasa sakit dek kebaikan yang telah dilakukan tidak dibalas oleh sesiapa, ianya boleh dikategorikan hati berpenyakit, atau istilah yang saya gunakan, Hati Seksi.

Hati seksi sebegini ingin diperhatikan keindahannya oleh seluruh umat manusia agar mendapat puji-pujian berlipat kali ganda. Penyakit sedemikian juga berupaya merebak bila-bila masa ke seluruh anggota terutama minda yang berperanan mengawal jiwa-raga. Kalau nafsu, memanglah disukainya, apatah lagi jiwa raga diperkosa, pasti nafsu gembira melihatnya.

Ramai yang tidak menyedari penyakit hati seksi sebegini, lebih-lebih lagi mereka yang sedang bergelumang dengan "arak" duniawi. Masih terhoyong-hayang berjalan di dalam kehidupan ini, tergelincir dari landasan NYA, tidak mengerti tujuan sebenar dan apa yang harus dicari di dalam kehidupan ini.

Ketahuilah bahawa hanya yang dicurahkan hidayah oleh Tuhan Yang Maha ESA akan berupaya mendengar bisikan-bisikan hati seksi yang inginkan selimut sutera keimanan. Seperti mana yang adik alami ketika ini. Sebab itulah abg terdorong mengucapkan Tahniah! buatmu duhai adikku Aisyah yang manja. Moga-moga berupayalah menyelimuti hati seksi yang sedang ditusuk kedinginan salju duniawi.

Perkongsian yang abg dapat luahkan di sini ialah untuk merawat penyakit hati seksi sebegini, pertama-tamanya, hendaklah menetapkan keimanan kepada NYA di dalam diri pada tahap yang terlalu tinggi. Meyakini bahawa DIA sedang berada di sisi sepanjang masa semasa berjalan di dalam kehidupan duniawi ketika ini.

Bila mana merasai kehadiran NYA, usahakanlah juga agar setiap yang dilakukan kelak diredhai NYA, mendapat pentunjuk dan bimbingan NYA sepanjang masa. Lebih-lebih lagi perbuatan yang menyemburkan kebaikan kepada umat manusia.

Bisikanlah di dalam hati sanubari, terutamanya nafsu yang menyelimuti hati dan minda ketika ini bahawa semua yang dilakukan adalah semata-mata mengharapkan keredhaan NYA. Bukanlah puji-pujian umat manusia yang ditagih, tetapi mengharapkan DIA, Tuhan Yang Maha ESA, Allah SWT meredhai apa sahaja yang dilakukan ketika ini.

Ingat! apa sahaja yang dilakukan adalah didorong untuk mengharapkan keredhaan NYA. Sama ada gagal atau berjaya selepas melakukan sesuatu perkara, yakinilah bahawa DIA akan memberikan ganjaran setimpal dengan apa yang telah dilakukan, walaupun kelak manusia tidak menghargainya.

Sebaliknya, jika terlalu sukar merasai kerhadiran NYA di sisi sepanjang masa, tidak dapat merasakan DIA sedang dekat dengan diri sendiri, maka ketahuilah bahawa sememangnya DIA sedang memerhatikan setiap apa yang dilakukan.

Hatta sampai ke lubuk hati sanubari, DIA masih berupaya menerokainya. Kekuasaan Tuhan Yang Maha ESA sememangnya melebihi segala-galanya. Inilah yang dikatakan sutera keimanan yang harus membaluti bukan sahaja hati yang seksi tetapi juga jiwa yang dimiliki.

Sememangnya DIA berupaya mengetahui semua perkara sama ada yang zahir mahupun yang tersembunyi. Sebab itulah, usah bersedih andai kebaikan yang telah dilakukan tidak dibalas oleh sesiapa pun khususnya manusia, kerana pembalasan dari NYA adalah lebih berharga dari segala-galanya...

Itupun andai adik memiliki keimanan mengenai Kekuasaan Tuhan Yang Maha Berkuasa di atas segala-galanya. Ganjaran NYA berbanding ganjaran manusia teramat jauh bezanya kerana ganjaran daripada manusia sekejap sahaja dikecapi, berbanding ganjaran NYA yang akan kekal abadi buat selama-lamanya.

Ketahuilah juga bahawa diumpamakan seribu tahun menjalani kehidupan duniawi barulah menyamai sehari kehidupan di sana, kehidupan selepas duniawi ini.

Pembalasan daripada Tuhan Yang Maha ESA, sememangnya kekal selama-lamanya. Berbanding pembalasan umat manusia yang sementara sahaja, ganjaran NYA masih boleh dipilih ketika ini, sama ada ingin menduduki neraka yang penuh siksaan yang pedih, atau barangkali ingin mendiami taman-taman syurgawi yang mendamaikan dan membahagiakan...

Keimanan yang dimiliki walau sebesar biji sawi sekalipun, andai terus dibaja dan disuburkan di dalam hati sanubari, pasti DIA akan memberikan ganjaran yang setimpal dengannya. Berusahalah menyelimutkan hati seksi dengan sutera keimanan, lebih-lebih lagi sutera yang memaparkan pelbagai corak bunga-bungaan kekuasaan NYA yang luar biasa agar berolehlah kekuatan di dalam menghadapi segala rintangan dan cabaran kehidupan.

Paling penting, dari itu semua nanti, akan tersuluhlah arah haluan perjalanan kehidupan duniawi ini.

Gagal atau berjaya semasa melakukan apa sahaja pekerjaan di dunia, belum tentu selama-lamanya kerana kehidupan duniawi hanyalah persinggahan, sebelum meneruskan penerokaan di alam yang lain pula.

Berusahalah melakukan yang terbaik semasa menjalani kehidupan duniawi ketika ini. Semoga kekuatan diperolehi nanti untuk mengubati penyakit hati yang ingin kelihatan seksi. Seterusnya tiadalah dorongan jiwa raga yang dimiliki untuk terus diperkosa. Kepada NYA jua kita berserah, mengharapkan taufik dan hidayah dari NYA yang berterusan dan berkekalan.

3 Komen:

`AnaYNa` berkata...

Salam abg bent..

Hati seksi tu sama tak dgn hati seksa??huhu...

Abgbent berkata...

Salam penuh kasih kembali buat adikku AnayNa. Terima kasih yang tidak terhingga kerana berkelapangan berkunjung sambil sudi berkongsi di sini, di blog Pedoman Hidup yang tidaklah seberapa ini, berbanding "Sweethome" yang adik miliki.

Berkenaan Hati Seksi dan Hati Seksa, pada abg tafsirannya memang berbeza.

Hati seksi lebih pada ingin mendapatkan puji-pujian hasil daripada kebaikan yang telah dilakukan, seumpama mendedahkan kecantikan yang dimilikinya kepada sesiapapun jua, lebih-lebih lagi yang berkeinginan melihatnya. Hati sedemikian berasa amat gembira bila dipuji dan sebaliknya pula bila dikeji. Kadang juga langsung tidak mengerti realiti tentang kehidupan ini. Hatinya berasa riang gembira bila dilontarkan puji-pujian seolah-olah dunia ini sudah menjadi miliknya, sebaliknya berasa kecewa bila mana kebaikan yang dihulurkan langsung tidak mendapat penghargaan daripada sesiapapun jua. heheheee...

Manakala, hati seksa lebih pada merasa amat perit bila mana semua tindakan yang dilakukan beroleh kekecewaan, seumpama tidak meredhai ketentuan Ilahi. Hatinya terus menyalahkan keadaan dan berasa terlalu putus asa di atas semua perkara sehingga merasakan seolah-olah dunia ini sudah gelap gelita, tidak mahu lagi meneruskan perjalanan kehidupan, dek merasa hati terlalu terseksa.

Harap adikku AnayNa yang sudi berkongsi di sini mengerti tafsiran yang abg luahkan. Pada NYA jua abg berserah di atas tafsiran sedemikian, moga-moga DIA meredhainya, InsyaAllah.

`AnaYNa` berkata...

Alhamdulilah..sungguh pjg lebar penerangn abg.Dah faham skrg..bermkna hati seksi dan hati seksa mmg dah jadi lumrah kpd setiap manusia.Cuma cara kte handle je yg berbeza..maka hasilnya juga akan berbeza!

Catat Ulasan