Jumaat, September 04, 2009

Anda bersifat "Beuti" ?

Pagi ini memang saya telah bercadang mengisi satu coretan baru di dalam blog Pedoman Hidup sebelum memulakan kerja-kerja harian di pejabat. Maklumlah, hari ini kan hari Jumaat, lebih-lebih lagi hari Jumaat di bulan Ramadhan yang mulia.

Jadi ada juga baiknya saya membuat sedikit tazkirah.

Bukan untuk Anda sahaja, tetapi lebih utama, untuk diri saya. Maklumlah, bukankah saya sudah memberitahu sebelum ini bahawa berbanding Anda, saya ini memang terlalu lemah. Sebab itu perlu diingatkan sentiasa agar berhati-hati di setiap masa, lebih-lebih lagi ketika melalui liku-liku kehidupan duniawi. Moga-moga nanti tidaklah tersasar dari Matlamat Hakiki.

Sebenarnya coretan ini ingin memberitahu Anda mengenai sifat-sifat diri kita yang kadang kala terzahir tanpa disedari. Sifat yang saya sebutkan ialah sifat-sifat Mazmumah, barangkalilah kot.

Sering kali saya alami, bilamana bersembang dengan rakan-rakan, akan adalah yang bercerita mengenai kehebatan diri sendiri atau berkemungkinan pula memburukkan orang lain.

Bayangkanlah bila Anda bersembang dengan seseorang tiba-tiba orang itu bercakap besar di depan Anda, dalam erti kata lain, angkat bakul sendiri.

Apakah perasaan yang dirasai oleh Anda yang mendengarnya? Kalau diri saya, heheheee... adalah juga sedikit rasa meluat.

Tetapi tidaklah pula sampai ke tahap memaki-hamun di depannya. Apatah lagi mengejinya. Saya akan menjadi pendengar setia kepadanya...

Kalau tidak mengangkat bakul diri sendiri, sering juga berlaku cerita hal-hal keburukan, yang diambil contoh adalah orang lain pula - mengumpat!.

Ini yang terkadang saya alami ketika bersembang dengan rakan-rakan yang barangkali kurang mempedulikan perangai atau sifat-sifat sedemikian.

Bilamana bercerita yang merujuk kebaikan dan kehebatan, Wah! bukan main lagi mengambil contoh pengalaman dan peristiwa yang dialami oleh dirinya sendiri. Apatah lagi pengalaman yang diceritakan itu adalah merujuk dirinya sendiri. Mungkin tiada titik nokhtahnya dia bercerita mengenainya.

Tetapi sebaliknya pula, bila berkata mengenai hal-hal yang buruk, kisah orang lain pula yang dijadikan contoh olehnya. Heheeeee

Dalam ertikata lain "Muhasabah diri tidak dilakukan, tetapi memuhasabah orang lain pula yang dilakukannya".

Iskkk iskkkk iskkkkk!... Harap-harap terhindarlah diri kita dari perbuatan sedemikian, lebih-lebih lagi semasa bulan ramadhan yang mulia ini.

Untuk lebih mudah difahami, umpamanya sedang kita bercerita mengenai sesuatu perkara, tiba-tiba dia memberikan perumpamaan dirinya sendiri yang penuh kebaikan dan kehebatan di sebalik perkara yang sedang dibicarakan.

Sebagai contoh, bila bercerita mengenai hal-hal di tempat kerja, belum habis rakan seorang bercerita, dia sudah menambah ceritanya yang disulami dengan kebaikan-kebaikan dan kehebatan-kehebatan yang merujuk kepada dirinya sendiri. Tetapi bilamana cerita hal-hal buruk, contoh yang diambilnya pastilah orang lain pula.

Heheheee.... Kadang-kala tersenyum juga saya dengan sifat seperti ini. Maklumlah, tidak saya menafikan bahawa sebagai manusia biasa, kita tidak terlepas dari membuat kesilapan sedemikian rupa.

Oleh itu, kebiasaannya, bila sifat sedemikian terzahir, lebih baik dibuat pusingan U turn untuk memperbaikinya iaitu dengan menyatakan bahawa hebatnya cerita-cerita yang dinyatakan itu pastilah merujuk kepada DIA yang Maha Esa. Kerana sesungguhnya DIA yang menciptakan kita dan DIA juga yang memiliki kekuasaan sehingga terlahirlah kebaikan dan kehebatan yang dimiliki itu.

Sebaliknya pula, hal-hal buruk yang dirujuk kepada orang lain, merupakan keburukan kita sebagai makhluk ciptaan NYA yang kadang kala alpa.

Bukankah lebih baik kita memuhasabah diri sendiri berbanding memuhasabah orang lain?.

Setiap kesalahan atau keburukan yang dilakukan, Pengadilnya bukanlah kita, tetapi DIA yang Maha Esa lagi Maha Berkuasa di atas segala-galanya.

Begitu juga kebaikan dan kehebatan yang diceritakan itu. Sebenarnya kita belum lagi hebat dan baik selagi DIA belum memberikan anugerah NYA kepada kita. Anugerah yang saya maksudkan pastilah keredhaan NYA yang akan menduduki SyurgaNYA nan Abadi.

0 Komen:

Catat Ulasan