Selasa, Mac 16, 2010

Diburu Kenangan Silam Dek Cinta Terhalang... Buat Adik Vida84

Cinta memang indah andai difahami sepenuhnya. Orang yang dicintai tidak semestinya hadir di depan mata kerana cinta terletak di dalam hati sanubari. Ramai pengkaji cinta mengkategorikan Cinta melalui pelbagai nama seumpama cinta monyet, cinta buta, cinta dunia dan lain-lain lagi.

Tidak salah untuk diketahui kesemuanya asal sahaja perjalanan kehidupan sentiasa mengarah kepada NYA. Pedulikan orang lain kata, kerana Tuhan Pencipta Alam sememangnya mengetahui segala-galanya. Hatta yang tersembunyi di dalam hati sanubari, DIA pasti mengetahuinya.

Itulah istimewanya kuasa Tuhan Yang Maha Esa melangkaui segala-galanya. Sampai bisikan hati manusia, DIA masih berupaya mengetahuinya.

Walaupun realitinya luaran Anda nampak seolah-olah sudah sempurna, tetapi andai Hati masih kotor, pasti terluah jua kekotorannya. Itu sememangnya kuasa Tuhan Yang Maha Esa. Boleh membongkar segala-galanya.

Aik! tersasar pula lakaran ini ya. Bukankah saya sedang memberitahu kepada Adikku Vida84 yang masih muda remaja berkenaan Cinta Terhalang? Oklah, saya teruskan sahaja.

Usahlah dibazirkan titisan cinta yang adik miliki kepada mereka yang tidak mahu memahami proses akhir berkenaan cinta. Apatah lagi kepada mereka yang tidak mahu langsung berusaha menjelmakan erti cinta yang sebenar-benarnya.

Biarkanlah kenangan silam berlalu pergi kerana orang yang masih tidak memahami proses perjalanan cinta sememangnya tidak layak dihargai. Apatah lagi untuk menambahkan kehebatan perasaan cinta yang selayaknya dicurahkan dengan penuh kehebatan agar terlakarlah kenangan-kenangan indah yang kelak mengukirkan suatu simbol yang amat berharga sepertimana wujudnya adik di dunia ini, Anak.

Kita, yang masih memiliki limpahan perasaan cinta hasil cerminan hati dan perasaan, usahlah pula terikut-ikut dengan mereka yang tidak memahami dan menghargainya. Apatah lagi menyelewengkannya menjadi perasan curiga bersalut benci penuh tipu-daya.

Ketahuilah bahawa curiga, benci dan penuh tipu-daya adalah antara racun duniawi yang harus dihindari. Perasaan sebegitu akan memudahkan musuh-musuh durjana, iaitu para syaitan dan iblis laknatullah berupaya menyelewengkan pelayaran bahtera rumahtangga, lebih tepat lagi, Kehidupan pasangan suami-isteri akan diporak perandakan oleh mereka.

Amat malanglah seandainya perasaan cinta yang adik ada sudah terbalik menjadi curiga, benci dan penuh tipu-daya. Apakah itu yang adik ingin perolehi? Semuanya terserah kepada adik untuk melakarkan cerminan hati yang semulajadinya bersifat tulus dan suci.

Seandainya adik mengetahui betapa indahnya rahsia pasangan suami isteri yang halal, abg pasti adik kelak akan menghargainya, terutama kepada Suami yang telah berjaya menyunting adik menjadi seorang yang bergelar isteri.

Adik perlu memikirkan Matlamat Hidup seorang Isteri kini. Mengapa? Kerana dari situ nanti akan terbitlah kekuatan diri untuk terus berusaha meneruskan perjalanan hidup ini.

Dengan memikirkan Matlamat Hidup seorang Isteri, akan terbitlah pembakar semangat untuk adik terus berusaha menggapai apa yang dicita-citakan bersama suami tercinta.

Andai adik terus-terusan mengingati kekasih silam, ianya berkemungkinan boleh menenggelamkan bahtera rumatangga yang telah tersergam indah. Adik juga akan terus-terusan menikam hati dan perasaan adik sendiri sebenarnya.

Dalam hal ini, sukalah abg memberitahu bahawa kekasih dahulu tiada ertinya lagi kerana adik perlu berperanan sebagai seorang Isteri kini. Itupun kalau adik ingin menggapai Kejayaan Hakiki selepas Kehidupan Duniawi.

Adakah dengan merenung-renung kenangan indah bersama kekasih silam akan membuatkan Matlamat Hidup adik tercapai nanti? Kalau memang begitulah kehendak hati, abg pun tak dapatlah membantu…

Tetapi andai sebaliknya, nasihat abg, usahlah dikenang sejarah silam yang sudah berlalu. Jadikan ianya sebagai Pedoman Hidup agar dapat dijadikan panduan di sepanjang kehidupan.

Abg pasti, tugas kita ke dunia ini bukanlah sekadar mengecapi cinta pasangan kekasih, tetapi lebih jauh daripada itu ialah melakar cinta kepada NYA, Tuhan Yang Maha ESA, Allah SWT. Moga-moga kecintaan itu akan bersemadi di Syurga.

Berusahalah mengukir cinta kepada NYA agar kelak adalah sinar cahaya NYA menyimbah kehidupan kita. Moga-moga pancaran cahaya NYA sentiasa mengiringi sisa-sisa perjalanan hidup yang masih ada…

Hidup di dunia memang sementara. Diumpamakan sehari di Syurga adalah menyamai 1000 tahun di dunia. Pilihlah kehidupan yang adik inginkan. Kebahagian 100 tahun di dunia atau mungkin 100 tahun di Syurga?


Entri tambahan mengenai;

Bicara Soal Cinta

Cinta Terhalang,

Putus Cinta atau Putus Kasih Sayang,

Kasih dan Sayang,

Petua Menyuburkan Kasih Sayang,

Mengenali Cinta.



2 Komen:

faizalnizam berkata...

ini pasti nasehat yang bagus itu adik Vida itu.. untuk dijadikan pedoman sampai hujung nyawa.

Unknown berkata...

jalan2 ke mari up trafik....

Catat Ulasan