Ahad, Mac 14, 2010

Pengalaman Selepas Memperolehi Keputusan SPM, Sijil Pelajaran Malaysia...1 (Rahsia Keajaiban Kehidupan Dunia)

Selayaknya segala puji-pujian hanya untuk NYA. Maha suci Tuhan Penguasa Alam yang menguasai segala keajaiban.

Di kesempatan subuh hening ini, masa terluang yang ada saya gunakan bercerita dengan Anda. Maklum sahajalah, sudah dua hari blog Pedoman Hidup tidak diisikan entri terbaru untuk ditelaah.

Ketahuilah bahawa Anda sememangnya saya kasihi kerana DIA. Ketahuilah juga bahawa walau sesibuk manapun diri saya, InsyaAllah, akan saya luangkan masa untuk berkongsi apa sahaja cerita dengan Anda. Pelbagai kisah yang tergambar di ruangan Minda Sedar yang saya ada. Mudah-mudahan adalah manfaatnya.

Alhamdulillah, subuh ini saya ada kekuatan untuk melanjutkan satu lagi lakaran motivasi bersempena keputusan peperiksaan SPM 2009 yang lalu. Seperti mana yang saya telah beritahu di dalam coretan yang lalu – Keputusan SPM 2010 dan Adik Afiq.

Kali ini saya ingin berkongsi pengalaman yang telah saya lalui 20 tahun yang lalu. Pada tahun 1990, saya telah memperolehi keputusan SPM yang tidaklah secemerlang adikku Afiq. Sungguh! Saya hanya memperolehi Pangkat Tiga sahaja. Kalau pada Sijil Pelajaran Malaysia, keputusan begitu memang tidak cemerlang dan dicetak pada sijil memperolehi keputusan Bahagian Tiga.

Sijil Pelajaran Malaysia dulu memaparkan Bahagian Satu adalah yang paling bagus, diikuti Bahagian Dua dan seterusnya Bahagian Tiga. Ketiga-tiga bahagian dipisahkan oleh jumlah unit yang diperolehi selain kelulusan mata pelajaran utama khususnya Bahasa Malaysia dan juga jumlah matapelajaran kredit yang diperolehi.

Bahagian Satu dikategorikan berunit lingkungan kurang daripada 24 unit, Bahagian Dua berunit di antara 25 – 34, manakala Bahagian Tiga berunit 35 ke atas. Penjumlahan unit adalah dikira berdasarkan gred lima matapelajaran berunit terendah. Bagi matapelajaran bergred A, unit yang diberikan bernilai 1, manakala yang bergred E bernilai 9. Selain tiga bahagian keputusan itu, ada juga Sijil Am Pelajaran (SAP) iaitu lulus sebahagian kecil sahaja matapelajaran.

Kalau diikutkan merit, memang saya tidak layak mengikuti mana-mana pengajian di universiti. Apatah lagi memasuki pusat-pusat matrikulasi. Jauh panggang dari api.

Sememangnya keputusan SPM yang saya perolehi tidaklah cemerlang. Sungguh! kalau mengikut kebiasaan, memang tidak layak meneruskan pengajian. Di sebalik itu, saya ingin kongsikan tiga ungkapan ini – Keyakinan, Usaha dan Doa.

Ketahuilah bahawa ketiga-tiga kata kerja itu sering kali berupaya membuka segala Pintu Rahsia Keajaiban Kehidupan Dunia. Itu pun kalau Anda ingin mengetahui dan mengalaminya.

Jujur saya beritahu bahawa selepas mengetahui keputusan SPM, saya belum jelas ke mana arah haluan seterusnya. Mahu meneruskan pembelajaran ke tingkatan enam? Itu adalah antara pilihan yang ada. Namun, ura-ura mengatakan bahawa berdasarkan keputusan yang saya perolehi peluangnya terlalu tipis. Nak masuk universiti? Lagilah… Jauh sekali untuk menjadi realiti.

Satu kisah menyedihkan yang saya tempuhi dan kongsikan di sini ialah pengalaman diejek dan dihina secara sinis. :(

Sungguh! Saya pernah diejek dek tidak layak memohon masuki universiti.

Kalau menurut perhitungan biasa, keputusan yang saya perolehi memang tidak layak meneruskan pengajian akademik ke peringkat yang lebih tinggi. Itu antara yang diyakini oleh kebanyakan rakan-rakan, lebih-lebih lagi keluarga terdekat.

Perlu juga saya beritahu bahawa proses memasuki universiti 20 tahun yang lalu agak terhad dan tertutup. Tidaklah semudah sekarang. Menggunakan online internet sahaja.

Kalau dulu, pelajar yang ingin memohon meneruskan pengajian ke peringkat universiti kenalah melalui birokrasi dipenuhi kroni.

Ooppsss… bila saya ungkapkan birokrasi dipenuhi kroni sebenarnya merujuk kepada kakitangan yang kurang bertanggungjawab melaksanakan amanah yang dipikul sehingga terdorong menyalah-gunakan kuasa yang mereka ada. Namun, saya harus akui bahawa tidak semua kerani berperangai begitu. Kebiasaannya, selepas keputusan SPM diumumkan, penuhlah kaunter-kaunter pejabat pendidikan negeri. Pelbagailah pula ragam para kerani di pejabat pendidikan daerah atau negeri.

Dua puluh tahun dahulu, lepasan SPM perlu membeli borang permohonan memasuki universiti dari Pejabat Pendidikan Daerah atau Negeri. Selain itu, pelajar juga perlu menunjukkan slip keputusan peperiksaan SPM yang dimiliki.

Saya telah berkesempatan mendengar pelbagai umpatan mengenai karenah para kerani yang bertugas di kaunter. Malahan sampai ke tahap memilih orang-orang tertentu sahaja yang layak dijualkan borang kemasukan itu.

Nak dijadikan cerita, dek terdorong mengikut kawan-kawan seusia yang memperolehi keputusan cemerlang, saya telah diejek secara sinis. Kisahnya bermula bila mana saya menunjukkan slip keputusan yang saya perolehi. Kerani yang melihatnya tersenyum lebar dan menembakkan peluru yang agak pedas didengari telinga. Rakan-rakan yang ada di sisi juga mengukirkan senyuman sinis kepada saya.

Syukur juga ketika itu saya masih lagi muda remaja dan masih belum mengerti sepenuhnya hakikat hati yang perlu dijaga kerapuhannya. Kedaifan saya memahami perkara-perkara asas di dalam hal-hal kelayakan merit adalah didorong oleh pemahaman mengenainya yang terlalu rendah.

Maklumlah, ibubapa saya bukannya berpelajaran. Bersekolah pun mereka tidak pernah. Ayah saya bolehlah membaca tetapi merangkak-rangkak bunyinya. Kalau menulis, rupanya macam cakar ayam sahaja. :)

Ibu saya pula langsung tidak pandai membaca. Kalau mengira, bolehlah sikit-sikit. Itulah realiti ibubapa yang saya ada. Namun, saya bersyukur kerana mereka sentiasa memberikan galakan, dorongan dan ada kala paksaan untuk saya meneruskan pembelajaran akademik. Sebab itu saya amat mengasihi dan menyayangi kedua ibubapa saya sehingga kini dan selama-lamanya, InsyaAllah.

Selain itu, di kalangan keluarga terdekat, ramai yang belum faham dan tahu selok-belok permohonan memasuki universiti. Begitu juga orang kampung. Hampir kesemuanya tidak jelas arah seterusnya selepas pembelajaran di peringkat SPM.

Kalau pun ada yang faham, mereka hanya meneruskan pengajian ke tingkatan enam. Memang ramai yang menganuti bahawa selepas SPM, sambung sahaja pengajian ke tingkatan enam. Kalau tak layak, cari sahaja kerja yang bersesuaian dengan keputusan SPM yang ada.

Begitulah kebiasaannya yang berlaku di kalangan orang-orang kampung dan keluarga terdekat saya, dua puluh tahun yang lalu.

Dek keterbatasan pengetahuan itulah, saya telah terdorong megikut kawan-kawan sahaja. Walhal rakan-rakan yang saya ikuti memperolehi keputusan SPM yang bukan calang-calang hebatnya. Berpangkat Satu dan Dua. Belas unit sahaja yang mereka perolehi.

Berbanding saya, hermmm… melebihi 30 unit sebenarnya.

Berbalik pada kisah mengikut kawan, sebenarnya niat saya yang utama ialah untuk mengetahui arah seterusnya untuk saya meneruskan pembelajaran akademik. Tidak kiralah ke mana sahaja. Asalkan bukannnya ke kolej swasta kerana ibubapa saya tidak mampu membayarnya. Sungguh! Ketika itu Ayah saya bekerja sebagai pemandu teksi sahaja dan ibu pula hanyalah surirumah sepanjang masa.


(Akan saya sambung coretan ini, InsyaAllah)

3 Komen:

`AnaYNa` berkata...

Abg Bent...terharu bc ni.Tingat kesusahan ana dlu..wlaupn ayh x skolah tggi n mak lgsg x berpeluang ke skolah tp ana tetap berjaya ke menara gading dgn spm pgkt satu berbelasan aggregat..hehe.Syukur Alhamdulilah..skrg mampu bg sedikit kesngn kpd mak ayah.

Tanpa Nama berkata...

terima kasih kerana berkongsi cerita anda..

ShueQry berkata...

Abangku,

saya sungguh terharu membaca coretan ini. Saya mengaku saat membacanya hingga ke ayat paling bawah sekali, mata saya berkaca-kaca, air mata yang bergenang terasa benar kehangatannya. Artikel ini menjadi penyuntik motivasi buat saya.

Benarlah, kita memerlukan orang lain untuk menjadi pendorong buat kita.

Bagi saya, catatan-catatan Abg Bent di blog ini banyak memandu diri saya. Selama setahun ini, saya banyak belajar erti hidup dari catatan-catatan yang dititipkan oleh Abg Bent di blog ini.

Mengenalimu, berkomunikasi dengan mu, menjadi anugerah terhebat buat diriku. Saya bersyukur, amat bersyukur pada Allah swt kerana menemukan saya dengan Abg Bent walau di ruang blog cuma.

Moga Allah merahmati hidupmu, abangku.

Catat Ulasan