Rabu, Oktober 29, 2008

Bajau Suluk, Bajau Bannaran, Bajau Ubian, Bajau Iranun ...

Asal-usul masyarakat Bajau dikatakan masih kabur kerana tidak ada sejarah jelas yang tertulis mengenainya. Masyarakat Bajau di Sabah kebanyakkannya dikatakan Pendatang Tanpa Izin (PTI) dari Filipina yang dicanangkan oleh beberapa pemimpin di kalangan masyarakat di Sabah. Ini adalah sangat kurang ajar!. Apakah mereka memahami sejarah bumi Sabah ini sebenarnya?

Sejarah telah menceritakan bahawa masyarakat lain umpamanya yang berasal dari pedalaman (HUTAN) Sabah, tetapi telah keluar dari BELUKAR dan berhijrah ke pesisiran pantai untuk mengecapi kemajuan di pesisiran pantai Sabah. Bukankah mereka juga PTI kerana telah berpindah dari belukar ke pesisiran pantai? Siapakah sebenarnya penduduk asal di pesisiran pantai Sabah kalau bukan di kalangan masyarakat Bajau dan etnik-etnik lain yang disebut sebagai masyarkat LAUT yang sentiasa berhijrah dari satu pulau ke pulau lain. Kalau masyarakat pedalaman berhijrah dari satu Hutan ke satu Hutan lain, begitu jugalah masyarakat bajau yang berpindah dari satu pesisiran pulau ke satu pesisiran pulau yang lain. Tetapi atas nama Pembangunan, mereka telah terusir dari satu kawasan pesisiran ke satu kawasan pesisiran lain kerana di kawasan pesisiran itulah tempat bermulanya pembangunan.

Sejarah juga mencatatkan bahawa Kesultanan Sulu, Brunei, Bulongan yang telah memerintah tanah Sabah tetapi akibat kolonisasi atau akibat Politik Barat, maka jatuhlah tanah-tanah kesultanan ini (kecuali kesultanan Brunei) yang akhirnya dimonopoli oleh Barat seterusnya Kerajaan Malaysia kini.

Apa yang menjadi persoalan ialah apabila satu pihak menganggap bahawa mereka adalah penduduk sebenar Sabah. Cissss!... mereka juga perlu sedar bahawa mereka telah merempat ke pesisisiran pantai Sabah untuk mencari kehidupan. Apakah mereka tidak sedar bahawa dari hutan belukar pendalaman atau dari tempat-tempat lain selain Sabah mereka telah berpindah ke pesisiran pantai Sabah atas nama untuk mencari kehidupan?. Ya, kini masyarakat di pedalaman Sabah telah menerima nasib yang sama sepertimana yang telah diterima oleh masyarakat bajau dahulu bilamana terusir dari satu tempat ke satu tempat atas nama Kemajuan.

Bumi Sabah ini bukan kepunyaan etnik tertentu tetapi saya yakin ianya dikurniakan oleh TUHAN untuk manusia hidup bersama-sama. Janganlah menafikan manusia lain yang juga ingin hidup!. Perlu disedari, dimanakah para pemimpin–pemimpin yang lantang melabelkan masyarakat Bajau sebagai PTI ini sebelum kemerdekaan dicapai oleh pejuang seperti Mat Salleh dan Tun Mustapha dahulu? Siapakah Individu yang bernama Tun Mustapha dan Mat Salleh ini kalau bukan berbangsa Bajau atau lebih dikenali sebagai masyarakat LAUT?

Sejarah juga telah membuktikan bahawa masyarakat Bajau tidak akan mementingkan perjuangan Perkauman andai ianya tidak dihina. Sebab itu sejarah mereka tidak dicatatkan dan mungkin juga telah wujud sejarahnya tetapi dihapuskan oleh penjajah atau pihak-pihak yang berkepentingan? Namun, itu semua tidak penting kerana bagi saya, kehidupan manusia sejagat yang harmoni tanpa mengira suku kaum dan bangsa tertentu adalah lebih utama. Sejarah dahulu telah mencatatkan bilamana masyarakat Cina, India, Arab dan bangsa-bangsa lain boleh berniaga sesama mereka atas nama perkongsian hidup di pesisiran pantai Sabah yang akhirnya mengwujudkan pelbagai masyarakat etnik di Sabah. Kemajuan itu telah mendorong Barat untuk melabur seterusnya menjajah tanah-tanah ini yang akhirnya dibahagi-bahagikan menjadi Sabah, Filipina dan Indonesia. Sebab itulah pertalian darah kekeluargaan masih wujud hingga kini di kalangan masyarakat Bajau di Sabah, Filipina dan Indonesia. Kolonisasi Barat telah memecahkan masyarakat Bajau menjadi Bajau Sabah, Bajau Filipina dan Bajau Indonesia. Mengapa mereka harus dipecahkan? Pesisiran pantai Sabah dan beberapa kepulauan di Filipina dan di Indonesia adalah tanah tumpah masyarakat Bajau ini.

Apakah masyarakat Bajau boleh disamakan dengan masyarakat Cina? TIDAK! ini kerena masyarakat Cina diketahui berasal dari Tanah Besar China tetapi masyarakat Bajau berasal dari kepulauan Borneo atau Sulu yang kini terbahagi kepada negara-negara Malaysia, Indonesia dan Filipina. Baratlah yang bertanggungjawab memecahkan masyarakat-masyarakat Bajau ini sehingga terpecah menjadi adanya persempadanan di antara Malaysia, Indonesia dan Filipina.

Akhir-akhir ini segelintir masyarakat Sabah cuba menerobos benteng tersebut dengan mendabik dada bahawa merekalah penduduk sebenar Sabah. Dimanakah mereka ketika penjajahan barat dahulu? Jangan dinafikan kehadiran kesultanan Sulu, Brunei dan Bulongan yang telah membangunkan pesisiran pantai Sabah ini. Siapakah yang berjuang untuk mencapai kemerdekaan bumi Sabah yang kini bernaung dibawah Kerajaan Malaysia kalau bukan yang bernama Bajau. Harus disedari bahawa bumi ini milik manusia sejagat secara keseluruhannya.

Kad Pengenalan hanyalah satu sistem yang ditinggalkan oleh kolonisasi barat bagi membeza-bezakan umat manusia atas nama persempadanan negara. Ya.. Kad Pengenalan amat penting tetapi harus diakui juga bahawa terdapat keluarga-keluarga di kalangan etnik di Sabah yang tidak berkemampuan menguruskannya sama ada disebabkan oleh tahap pengetahuan yang jauh ketinggalan mengenai peri pentingnya Kad Pengenalan ini atau disebabkan oleh kongkongan kemiskinan. Pastinya masyarakat yang mempunyai Kad Pengenalan bernasib baik kerana menjadi bukti bahawa mereka adalah anak Malaysia dari Sabah. Tetapi haruskah diabaikan masyarakat lain yang tidak mempunyai Kad pengenalan walhal mereka juga sebenarnya rakyat Sabah?. Inilah persoalan besar yang harus dijawab dan ditimbulkan oleh para pemimpin untuk diselesaikan.

Saya pasti isu berkaitan Kad Pengenalan diri ini bukan sahaja berlaku di kalangan masyarakat bajau yang miskin dan mempunyai tahap pemahaman yang rendah, tetapi juga di kalangan etnik-etnik lain yang menerima nasib yang sama. Isunya bukan hanya disebabkan oleh kerana mereka jauh tertinggal di pedalaman atau jauh terpencil di beberapa kepulaun Sabah, Filipina dan Indonesia, tetapi kebolehupayaan mereka untuk mendapatkan dokumen Kad Pengenalan. Ianya ada hubung kait dengan kos dan tahap pengetahuan mereka. Bagi sesetengah daripada mereka, apa yang mereka perlukan ialah boleh hidup bukan sahaja di bumi Sabah tetapi berhijrah dari satu tempat ke satu tempat yang lain. Inilah cara hidup para masyarakat Bajau dahulu dan segelintirnya sehingga kini. Kenapa ianya harus dinafikan atas nama persempadanan negara?

Dimanakah tanggungjawab para pemimpin kepada masyarakat-masyarakat ini? Apakah mereka juga bersekongkol menindas masyarakat Bajau dan etnik-etnik lain yang terlibat yang sebahagiannya masih lagi mengamalkan cara hidup kunjung mengunjung sanak saudara di Sabah, Filipina dan Indonesia? Dokumen Kad Pengenalan sememangnya penting tetapi sistem ini jika dilihat dari dimensi lain sebenarnya mengwujudkan satu tekanan hidup kepada mereka kerana memerlukan kos yang tinggi dan pengurusan yang memerlukan pengetahuan, ditambah pula tahap pendidikan mereka yang masih ketinggalan.Tetapi, bagi mereka itu semua tidak penting. Yang penting ialah boleh hidup gembira dan sejahtera. Jangan sesekali menafikan kewujudan mereka sehingga menganggap mereka adalah PTI di tanah halaman sendiri yang telah dibahagikan menjadi Sabah, Filipina dan Indonesia oleh yang namanya Penjajahan dan persempadanan!

Kepulauan yang dihuni oleh Masyarakat Bajau dahulu dan kini.


Baca selanjutnya, Klik di sini...

Selasa, Oktober 28, 2008

Ini adalah kali pertama saya menukilkan sesuatu di dalam laman ini. Hanya sekadar satu percubaan dahulu...
Baca selanjutnya, Klik di sini...