Khamis, April 30, 2009

Rahsia Menyingkap Kehidupan -3

Seandainya saya ada sebiji epal, dan Anda juga ada sebiji epal, bilamana kita bertukar epal, saya akan tetap memiliki sebiji epal dan Anda juga akan tetap mempunyai sebiji epal. Walaupun hakikatnya epal itu sudah berpindah tangan iaitu epal yang saya miliki kini adalah dari Anda dan epal yang Anda punyai kini adalah dari saya.

Tetapi, seandainya saya ada satu ilmu dan Anda juga ada satu ilmu, bilamana kita bertukar ilmu, saya yakin Anda akan memiliki dua ilmu dan begitu juga diri saya yang akan memperolehi dua ilmu.

Moga-moga adalah manafaatnya ungkapan ini untuk dicerna di dalam minda.
Baca selanjutnya, Klik di sini...

Selasa, April 28, 2009

Perjuangan Memperolehi Seorang Anak.. bhg 1 (Anak Pertama)

Bahagian 1

Kelahiran anak pertama memang luar biasa rasanya kerana kejayaan ini sebenarnya bukan calang-calang yang memberikan dan mengiktirafnya. Pastilah DIA yang Maha Pencipta. Kita hanya mampu berusaha dan semuanya berlaku di atas kehendak-NYA jua.

Perlu saya nyatakan bahawa hanya segelintir di kalangan kita yang akan berjaya memperolehi Anak Pertama. Kebanyakan pasangan yang baru berumahtangga akan tertewas memperolehinya disebabkan kekurangan pengalaman mengenainya.

Seandainya Anda telah berjaya memperolehi Anak Pertama, sesungguhnya Anda memang bertuah, kerana pada saya, cabaran dan perjuangan untuk memperolehinya bukanlah biasa-biasa kerana ianya juga dikaitkan dengan Takdir Tuhan Yang Maha ESA.

Saya? Sejujurnya saya juga telah tertewas memperolehinya. Itulah yang akan saya kongsikan di sini, di dalam coretan ini. Moga-moga perkongsian ini adalah manafaatnya nanti.

Kalau sebelum berkahwin, bilamana bertemu dengan rakan-rakan kita sering ditanya bila mahu berkahwin, tetapi penangan selepas berkahwin pula berlainan. Pastilah pertanyaannya menjurus sudah berapa orang anak sekarang?

Seorang rakan saya yang lewat berkahwin iaitu dia berkahwin ketika menghampiri 40 tahun pernah memberitahu kepada saya bahawa tekanan yang dialaminya sebelum dan selepas berumahtangga memang jauh berbeza.

Menurutnya, setiap kali berjumpa dengan rakan-rakan lain, kalau dahulu dia sering ditanya bila mahu kahwin?. Persoalan itu memang tidakpun menguji dan memberikan tekanan kepada dirinya.

Tetapi selepas berrumahtangga, bilamana dia ditanya dah berapa orang anak? Dia tersipu-sipu dan ada kala rasa tertekan juga dengan persoalan itu. Maklumlah, kalau jawab belum ada, seolah-olahnya menunjukkan bahawa kelelakiannya ada masalah.  :)

Walhal keadaanya bukanlah begitu. Syukur juga dewasa ini pemikiran sedemikian kian berkurangan kerana ramai yang sudah maklum bahawa keadaan seperti itu berlaku disebabkan oleh pelbagai sebab-musabab.

Pada saya, Sungguh! tekanannya memang berbeza berbanding sebelum berumahtangga. Kalau sebelum berkahwin pertanyaan bila nak kahwin boleh disambut dengan senyuman yang lebar, tetapi pertanyaan selepas mendirikan rumahtangga iaitu dah berapa orang anak, pasti lainlah pula maknanya. :)

Rakan yang saya ceritakan di atas sehingga kini masih belum memperolehi anak iaitu selepas berkahwin lebih kurang hampir 20 tahun.

Saya? Syukur Alhamdulillah kerana selepas lebih kurang empat bulan bersama-sama isteri tercinta, akhirnya isteri saya disahkan mengandung. Itupun selepas isteri saya melakukan ujian sendiri menggunakan “Pregnancy Test Kit”.

Memang saya masih ingat kejadian yang berlaku ketika itu, seawal pagi-pagi buta. Maklumlah, menurut pencipta Pregnancy Test, ujian itu paling berkesan dilakukan selepas bangun pagi iaitu dengan menitikkan sedikit air kecil yang dibuang pada awal pagi pada alat "Pregenancy Test".

Saya sememangnya menunggu-nunggu keputusan ujian itu sebab sehari sebelum isteri saya melakukan ujian, dia telah memberitahu yang dia sudah lewat beberapa minggu tidak datang bulan (haid). Petanda begitu adalah antara kebarangkalian seorang wanita sedang mengandung. Jujur saya beritahu bahawa itulah kali pertama saya mengetahuinya dan sememangnya saya berasa kagum dengan keajaiban ciptaan Tuhan sebegini rupa yang saya mula pelajari dan ketahui.

Selepas melakukan ujian itu, memang dia terlalu gembira memberitahu kepada saya. Seperti biasa, saya berusaha mengawal emosi dan berpura-pura tenang. Walhal, sebenarnya saya juga terlalu gembira. Kalau dibandingkan saya dan Isteri ketika itu, pasti saya melonjak gembira jauh lebih gembira dari kegembiraan Isteriku Yang Tercinta sebenarnya.

Maklumlah, memang inilah perjuangan dan cabaran selepas berumahtangga. Memang saya mengetahui bahawa selepas terbinanya bahtera perkahwinan, perjuangan saya seterusnya di dalam kehidupan ini ialah untuk mendapatkan zuriat.

(coretan akan disambung lagi di lain masa)

Bahagian 2 - Memperolehi Anak
Baca selanjutnya, Klik di sini...

Sabtu, April 25, 2009

Kekuasaan, Kemasyhuran dan Keajaiban Anugerah-NYA

Beberapa hari lepas aku telah dikejutkan oleh bossku, rakan-rakanku dan pastilah Isteri Tercintaku berkenaan berita di dalam surat khabar yang memaparkan namaku menerima anugerah dari negara maju, iaitu Jepun.

Pada mulanya, anugerah itu hanya bossku dan aku sahaja yang tahu. Pastilah juga aku memaklumkan kepada Isteri Tercintaku dan Ibu Kesayanganku.

Tetapi entah macam mana, majikanku telah menyebarkan dan memasyhurkan anugerah itu di dalam surat khabar dan email dalaman beberapa hari lepas. Barangkali untuk memberikan rangsangan kepada rakan-rakan yang lain serta mengambil kesempatan kemasyhuran di atas pemberian anugerah ini.

Sebenarnya anugerah yang aku perolehi adalah berkaitan kerjayaku sebagai penyelidik di dalam bidang sains. Kejayaan ini memerlukan aku berangkat ke Jepun selama sebulan untuk melaksanakannya.

Berita ini sengaja aku ceritakan di sini. Bukanlah bertujuan mengangkat bakul sendiri. Matlamatnya adalah ingin berkongsi rahsia yang tersirat di sebalik kejayaan ini. Moga-moga adalah manafaatnya untuk tatapan Anda.

Nak tahu perasaanku selepas menerima perkhabaran kejayaan itu? Bercampur-campur. Gembira, dan tidak lupa memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran kepada-Nya.

Disebaliknya, aku juga berasa sedih kerana terpaksa berjauhan selama sebulan dengan Isteriku dan sepasang anakku (perempuan berumur 3 tahun empat bulan, manakala yang lelaki berumur 4 bulan) yang memang aku sayangi dan kasihi.

Memang aku sedih, namun disebabkan tanggungjawab kepada agama, bangsa dan negara, aku mendorong diriku mengecapinya.

Khabar mengenai anugerah itu aku telah perolehi pada akhir bulan Mac yang lalu dari saintis Jepun dan sememangnya bossku yang memberitahu kepadaku. Mereka juga memaklumkan bahawa anugerah itu akan diberikan pada bulan Julai nanti. Aku sengaja tidak memberitahu sesiapa, kecuali Isteri Tercintaku dan Ibu Kesayanganku mengenai berita itu.

Akhirnya, sebaliknya pula yang terjadi di mana majikanku telah memaparkan nama dan anugerah yang aku perolehi itu di dalam akhbar tempatan beberapa hari lepas. Memang aku tidak tahu mengenainya, sehinggalah bossku dan beberapa rakanku menghantar email dan sms memberitahu diiringi ucapan Tahniah!.

Pastilah juga Isteri Tercintaku tidak ketinggalan mendapat ucapan tahniah dari rakan-rakannya dan selepas itu pula berusaha memberitahu kepadaku.

Akhbar tempatan yang dimaksudkan itu memang aku cari dan sejurus memperolehinya, aku merenung dan berfikir sejenak serta berusaha memahami mengapa DIA memberikan aku kurniaan seperti ini.

Anugerah yang dipopularkan di dalam akhbar?! Takburkah atau sombongkah diriku ini? Perlukah dihebahkan sedemikian?, Walhal sebenarnya anugerah yang aku perolehi dari negara Jepun itu tidaklah seberapa berbanding seandainya anugerah itu adalah kurniaan dari-Nya…

Selepas berfikir, akhirnya aku memutuskan untuk berkongsi cerita ini untuk tatapan Anda. Pastilah berkongsi rahsia di sebalik apa yang telah berlaku. Manalah tahu selepas mengetahuinya, Anda juga terdorong melakukannya untuk mengapai kejayaan-kejayaan lain.

Aku memulakan cerita dengan memberitahu tentang Blog Pedoman Hidup ini. Sebenarnya, blog ini mula aktif diisi pelbagai coretan pada bulan Februari yang lalu.

Sejujurnya aku memberitahu bahawa tugasan yang menghimpit diriku dalam masa yang sama memang melangit tingginya. Tetapi itu bukanlah penghalang untuk aku berusaha melakarkan segala kekuasaan dan keagungan-Nya di dalam blog Pedoman Hidup ini.

Aku juga sering melawati beberapa blog dan memberikan komentar berkenaan kekuasaan dan keagungan-Nya, kerana sememangnya aku menyukai dan menyayangi penulis-penulisnya. Pastilah sayangku kepada penulis-penulis itu kerana DIA.

Setiap kali aku memberikan komentar di dalam mana-mana blog, aku cuba berusaha agar apa yang aku tuliskan adalah memberitahu tentang keagungan dan kekuasaan-Nya. Semuanya melakarkan tentang keajaiban dunia yang menjadi hak mutlak-Nya. DIA menjadi matlamat di dalam setiap coretanku kerana aku yakin perjalanan ini haluannya harus mengarah kepada-Nya.

Aku menggagahkan diriku melakarkan apa sahaja komentar dengan menyebut dan melaungkan nama-Nya. Kerana memang itulah selayaknya diriku sebagai insan ciptaan-Nya.

Dan hasilnya, aku juga telah dimasyhurkan oleh majikanku dengan sebab memperolehi anugerah dari negara Jepun itu. Walaupun hakikatnya anugerah itu memerlukan beberapa bulan lagi akan terlaksana.

Mungkinkah ini yang dikatakan kuasa dan keajaiban-Nya, sebagai tanda kasih-sayang-Nya? Memang aku tidak pasti mengenainya kerana sememangnya aku ini terlalu lemah untuk memahaminya.

Tetapi aku ingin menyatakan kepada Anda bahawa sememangnya aku memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran kehadrat-Nya kerana diberikan nikmat yang sebegini rupa.

Kalau para ahli motivasi menafsirkan keajaiban seperti ini sebagai kuasa minda… Terus terang aku mengatakan bahawa aku tidak pernah terfikir akan memperolehi anugerah sebegini. Sungguh, aku tidak pernah berfikir mengenainya…

Tetapi aku yakin, inilah yang dikatakan kuasa Tuhan yang Maha Esa. Dan aku yakin DIA telah memberikan aku kurniaan sebegini untuk aku terus mempelajari tentang keagungan, kekuasaan dan keajaiban yang Tuhan miliki.

Moga-moga melalui anugerah sebegini, akan terbukalah pintu-pintu menuju Kejayaan Hakiki. Kejayaan menikmati Syurga-Nya nan abadi.
Baca selanjutnya, Klik di sini...

Khamis, April 23, 2009

Rahsia Menyingkap Kehidupan -2

Setiap insan yang diciptakan oleh yang MAHA PENCIPTA pasti akan melakukan kesilapan!.

Kesilapan untuk memahami bahawa Kita sememangnya banyak kekurangan. Dari kekurangan itulah kita akan mempelajari sesuatu kerana sesungguhnya DIA sedang mengajarkan kita tentang erti kehidupan ini.

Pengajaran dari kesilapan yang dilakukan adalah merupakan satu ILMU. Dan ianya amat bermanafaat apabila ILMU itu digunakan bukan sahaja untuk pedoman diri sendiri, tetapi juga untuk dikongsi bersama dengan seluruh umat manusia.

Kerana apa? kerana kita adalah bersaudara. Dan ingatlah bahawa ILMU itu jugalah yang bakal dibawa untuk dipersembahkan kepada-Nya.

Sebaik-baik kesilapan yang dilakukan adalah cepat-cepat memperbaikinya dan pastilah lebih bermakna andai selepas kesilapan itu dilakukan, cepat-cepat memohon pedoman dari-Nya.
Baca selanjutnya, Klik di sini...

Rabu, April 22, 2009

Rahsia Menyingkap Kehidupan-1

Perumpamaan perjalanan hidup ini sebagai Warna-Warni Kehidupan memang sungguh cantik dan indah. Izinkan saya mengungkapkannya.

Hidup ini memang penuh dengan warna-warni. Sebab itu Kita perlu berusaha agar warna-warni itu Kita dapat simpulkan dan gabungkan menjadi SATU. Apabila warna itu telah menjadi SATU, Saya pasti warna yang terhasil adalah PUTIH.

Warna putih ini memang bercahaya terang. Andai pancaran cahaya putih itu berada di belakang diri Kita dan bukannya di hadapan, maka gelaplah pandangan di hadapan disebabkan oleh bebayang diri yang menghalang sinaran putih itu.

Sebab itu, saya merasa cahaya putih tadi perlu di letakkan di hadapan agar teranglah pandangan hadapan Kita dan seterusnya dapat menyuluh perjalanan seterusnya. Mengapa? Kerana Kita sedang berjalan ke hadapan dan bukannya ke belakang.

Moga-moga adalah manafaatnya perumpamaan ini.
Baca selanjutnya, Klik di sini...

Selasa, April 21, 2009

Masalah vs Cabaran

Pernahkah Anda menghadapi masalah? Dan pernahkah Anda menghadapi Cabaran? Kedua-dua ungkapan itu memang berbeza pada zahirnya. Tetapi bila mana ianya secara mendalam difikir-fikirkan, akan dapatlah kita merenung titik persamaan ungkapan kedua-duanya.

Mari saya jelaskan kepada Anda. Sebenarnya, kedua-dua ungkapan di atas pada saya memang berbeza secara luaran. Apatah lagi mendengar sebutannya, pastilah berbeza.

Begitu jugalah hakikatnya bila kedua-dua sebutan itu memasuki akal fikiran atau ruang minda kita. Saya yakin, ianya akan mempengaruhi pemikiran Anda dan saya. Pastilah kedua-dua sebutan itu akan membentuk dan menzahirkan perlakuan atau tindakan kita seterusnya.

Ketahuilah bahawa sama ada ianya satu masalah atau satu cabaran, apa yang pasti pada saya, kedua-dua sebut nama itu perlu diselesaikan. Bila mana Anda memperolehi sesuatu tugasan, tentulah minda Anda akan menafsirkan tugasan itu sebagai satu masalah, atau mungkinkah ditafsirkan sebagai satu cabaran.

Bila mana kita menganggap sesuatu tugasan itu sebagai satu masalah, saya merasakan dorongan terhadap diri Anda akan terarah ke haluan berkemungkinan minda menafsirkannya sebagai suatu yang sulit. Walaupun hakikatnya, ia mungkin mudah dilaksanakan.

Sebaliknya pula, bila mana Anda mengatakan bahawa tugasan itu sebagai satu cabaran, maka akan terbitlah tafsiran yang seolah-olah tugasan itu berkemungkinan akan menguji kemampuan dan ketabahan Anda.

Sebab itu saya menganggap kedua-dua sebutan itu ada titik persamaan dan pastilah ada perbezaannya.

Di dalam kehidupan ini, kita akan menempuhi segala macam masalah ataupun segala macam cabaran untuk dilaksanakan. Andai Anda merasa ianya amat sulit dilakukan, maka jadilah ia satu masalah. Sebaliknya pula, andai Anda ingin menguji kemampuan diri dan berhasrat untuk melaksanakan tugasan itu, maka jadilah ia sebagai satu cabaran.

Mungkinkah cabaran atau masalah yang dihadapi bertujuan untuk mengajar kita sesuatu mengenai kehidupan ini? Barangkali juga masalah atau cabaran itu merupakan antara proses pembelajaran yang harus Anda dan saya lalui semasa kehidupan ini...

Akhirnya, saya ingin menyatakan bahawa pilihan di minda Anda sama ada menganggap sesuatu perkara atau tugasan yang perlu dilaksanakan itu sebagai satu masalah, atau ianya sebagai satu cabaran...
Baca selanjutnya, Klik di sini...

Isnin, April 20, 2009

Pengalamanku Bertemu Jodoh… Bhg 8 (Wanita Misteri)

Bahagian 8

Wanita Misteri yang aku maksudkan ialah mereka seolah-olahnya berminat denganku dengan memberikan pelbagai hadiah dan warkah indah berselit kilauan cinta, tetapi masalahnya, tidak pula menunjukkan identiti sebenar mereka. Memang tidak salah mereka melakukan usaha sebegitu, tetapi padaku, amat tidak bermakna seandainya mereka ingin mencari jodoh dengan kaedah begitu.

Peristiwa yang aku kisahkan kali ini adalah salah satu daripadanya iaitu bila mana aku bertugas menjaga hostel wanita. Errrmmmm…?

Aku sebenarnya berasa janggal dan kekok juga bila mana diamanahkan menjaga hostel pelajar wanita. Cuba bayangkan, adakah patut aku yang masih bujang trang tang tang ketika itu diminta menjaga hostel wanita? Tugasan itu seolah-olahnya ultimate di dalam segala cabaran yang aku alami berkaitan cinta pada wanita. Seumpama mencurahkan minyak petrol ke dalam api yang sedang menyala-nyala.

Untuk memahami kisah ini, aku ingin menyatakan kepada Anda bahawa seminggu selepas aku ditawarkan kerja pada tahun 2000, seorang daripada rakanku yang telah dahulu berkerja dariku meminta bantuan untuk menjaga hostel lelaki.

Rakanku ketika itu adalah sama jawatan denganku, tetapi bezanya dia juga bertugas sebagai Pengetua. Dia telah mengamanahkan menjaga hostel dan pelajar lelaki selain hal-ehwal surau padaku. Aku menerima tawaran rakanku itu kerana dia amat bersungguh-sungguh mendapatkan bantuanku.

Selepas menjadi pembantu kepada rakanku selama dua tahun di hostel lelaki, akhirnya aku dipindahkan ke hostel wanita. Kisahnya bermula bila mana masalah dihadapi berkaitan penempatan pelajar lelaki yang tidak mencukupi. Akhirnya keputusan diambil untuk menggunakan dua blok daripada rumah wanita dijadikan rumah pelajar lelaki.

Maka, al-kisahnya aku dipindahkan ke rumah yang menjadi pembahagi di antara blok rumah-rumah lelaki dengan blok rumah-rumah pelajar wanita. Konon-kononnya sebagai pengawal merangkap pengawas dan menjadi pemisah di antara mereka. Heheheeeee

Disitulah kisah yang aku ingin ceritakan kepada Anda. Semasa aku menjadi pengawas di situ, memang kebanyakkan pelajar lelaki aku kenali kerana bilangannya tidaklah ramai. Berbanding pelajar wanita yang jumlahnya beberapa kali ganda pelajar lelaki.

Oh ya, sebenarnya pelajar lelaki dan wanita ini pun telah dewasa kesemuanya. Pastilah umur mereka lingkungan 20 tahun ke atas. Tak perlulah aku huraikan pelbagai karenah pelajar perempuan yang pada saya terlalu mengada-ngada. Heheheee…

Kepada para wanita yang membaca coretanku ini, usahlah naik darah atau marah-marah bila mana aku mengatakan mereka mengada-ngada. Memang begitulah pengalaman yang aku alami. Mengada-ngada… Aku yang merasakannya, bukannya Anda.

Memang terasa leceh betul menjaga pelajar wanita ketika itu. Berbanding pelajar lelaki, selepas dua tahun bersama mereka, pastilah tidak banyak karenah. Adakalanya, kalau aku ada masa berziarah ke rumah-rumah pelajar lelaki, pasti aku dihidangkan juadah. Walaupun sekadar biskut dan nescafe dalam jug plastik yang besar. Ada kala juga berbual-bual sehingga ke larut malam. Memang begitulah kehidupan mereka sepertimana yang aku alami suatu ketika dahulu.

Berbanding pelajar wanita, aku pula yang kena memberikan juadah, maklumlah mereka yang datang ke rumahku beramai-ramai, adakalanya sampai enam orang dengan membawa pelbagai ragam masalah.

Memanglah aku terpaksa melayan karenah kesemuanya, takkanlah pula aku menghalau mereka. Dah memang menjadi tugasku. Lagipun sememangnya aku telah rela membantu.

Apa yang aku nyatakan itu cumalah satu runggutan untuk dikongsi dengan Anda. Bayangkanlah kalau aku pula yang pergi berziarah ke rumah-rumah pelajar wanita itu. Lagilah dahsyat bukan? Akukan masih anak dara teruna…

Memang agak perit juga melayan karenah pelajar wanita. Sampaikan penyapu rumah pun bertandang meminjam ke rumahku. Takkanlah mereka tak boleh pinjam dari jiran tetangga yang berhampiran dengan rumah mereka. Kenapa harus aku juga yang menjadi penyelesai masalah sedemikian rupa. Kadang aku berasa syak wasangka juga dengan telatah mereka.

Berbalik kepada kisahku tadi, walaupun begitu, kadang kala ada juga manisnya menjaga pelajar wanita. Tidaklah semuanya pahit. Seperti yang aku nyatakan kepada Anda, aku juga seronok menjaga pelajar wanita yang telah dewasa itu sebab ada ketikanya aku mendapat hadiah misteri dari mereka.

Masih segar diingatanku kadang kala bila membuka pintu rumah, akan adalah tersangkut hadiah di tombol pintu. Kadang juga, aku menerima surat bersalut cinta. Bukan aku tidak suka menerima hadiah dan surat cinta itu, tetapi masalahnya, pemberinya merahsiakan identiti mereka. Kadang juga menggunakan nama samaran sahaja. Macam mana aku nak mengenali mereka?

Jadi, aku pun buat-buat tidak kisah dan tidak pun berusaha mengenali pemberi hadiah dan warkah misteri itu. Apa yang aku dapat katakan ialah usaha pencarian jodoh sebegitu memang sia-sia kerana tidak dikenali siapakah gerangan orangnya.

Barangkali juga pemberi hadiah misteri itu terlalu ikhlas sehingga tidak mahu memberikan identiti sebenar dirinya. Membuatkan aku pun tertanya-tanya, mengapa pula memberi hadiah dan warkah misteri sebegitu rupa kalau tidak mahu dikenali?.

Sejujurnya, aku masih tidak memahami mengapa harus merahsiakan identiti sebegitu rupa. Namun yang jelas, memang aku tidak kisah dan tidak pun mahu berusaha mencari-cari siapakah gerangan wanita misteri pemberi hadiah dan warkah bersalut cinta itu…


(Coretan akan disambung di lain masa)

Baca selanjutnya, Klik di sini...

Ahad, April 19, 2009

Pengalamanku Bertemu Jodoh… Bhg 7

Bahagian 7

Kali ini aku memilih beberapa kisah pencarian jodoh setelah aku bekerja. Moga-moga adalah manafaatnya dipraktikkan di dalam usaha pencarian jodoh Anda. Siapa tahu Anda akan berjaya?

Sebelum ini aku telah menceritakan kisahku didekati oleh beberapa wanita untuk mengecapi cinta sebelum berumahtangga. Memang ada beberapa peristiwa yang telah mendorong diriku untuk mendekati cinta sebelum terbinanya bahtera perkahwinanku. Tetapi mujur juga aku tidak berjaya mengapainya kerana memang aku tidak mahu merasainya.

Sekiranya Anda bertanya kepadaku mengenai cinta sebelum berumahtangga, pasti aku tidak dapat menjelaskannya secara sempurna kerana aku tidak pernah mengalaminya. Bagaimanapun, andai Anda bertanya bagaimana rasanya mengecapi cinta selepas berumahtangga, pasti banyak yang akan aku perkatakan mengenainya.

Memang sesungguhnya nikmat cinta selepas berumahtangga padaku melebihi segala-galanya. Maklumlah sudah tiada batasan untuk aku mengalirkan rasa cintaku pada jodohku.

Apa yang aku kongsikan di sini adalah sekelumit dari pengalamanku semasa diuji tentang cinta sebelum berumahtangga. Sejujurnya memang aku menolak usaha-usaha yang dilakukan oleh para wanita untuk mengajak aku mengecapi cinta sebelum mendirikan rumahtangga.

Mengapa ? kerana selain belum bersedia, aku juga telah menetapkan matlamat hidupku untuk tidak menjalinkan hubungan cinta dengan mana-mana wanita sebelum ada ikatan yang sah. Aku telah menyatakan sebelum ini kepada Anda bahawa sememangnya aku lemah berbanding Anda dalam soal cinta, apatah lagi sekiranya cinta itu terjalin sebelum tali perkahwinan tersimpul rapi.

Untuk pengetahuan Anda, aku memulakan usahaku mencari jodoh setelah menyedari yang umurku telah lanjut ketika itu. Sungguh! aku memulakan usaha mencari jodoh bilamana umurku telah menjejaki angka 31 tahun.

Antara sebab aku mencari jodohku adalah kerana sudah tidak tahan menerima pujuk rayu dari wanita. Apatah lagi kehadiran wanita yang bergelar isteri orang turut menagih cinta dariku.

Sesungguhnya selepas isteri orang turut sama berusaha menagih lelehan cintaku, aku bertekad akhirnya mencari-cari jodohku, agar dugaan dari isteri orang yang bertindak curang dapat aku elakkan.

Alhamdulillah, setelah berusaha, akhirnya aku memperolehi jodohku. Itupun setelah umurku hampir-hampir mencecah 32 tahun. Sejujurnya, aku ingin menyatakan kepada Anda bahawa aku merasa amat rugi kerana terlewat mengecapi nikmat berumahtangga.

Sungguh! Aku merasa rugi kerana lewat mendirikannya. Kini aku ingin menyatakan kepada Anda bahawa Kehidupan ini memang Terlalu Istimewa bilamana bahtera perkahwinan terbina. Akan aku kisahkan di pengakhiran ceritaku untuk Anda renung-renungkan bersama.

Tetapi sebelum itu, izinkan aku mengkisahkan di sini pencarian jodoh yang sia-sia. Aku mengatakannya sia-sia kerana aku telah mengalaminya iaitu ketika dilamar oleh wanita yang memisterikan diri mereka.

Barangkali Anda tidak faham istilah yang aku berikan berkaitan memisterikan diri mereka. Maksud memisterikan diri mereka di sini ialah tidak mahu menunjukkan identiti sebenar mereka.

Kalau Anda hendak melakukan usaha seperti yang aku ceritakan ini, sebaiknya lupakanlah sahaja kerana usaha pencarian jodoh sedemikian adalah sia-sia akhirnya.

Kisah mengenai wanita misteri yang menaruh cinta, tetapi meluahkannya secara rahsia-rahsia. Ada beberapa peristiwa sebegini telah berlaku di awal kehidupanku semasa bekerjaya.

(Coretan bersambung di bhg 8)

Baca selanjutnya, Klik di sini...

Jumaat, April 17, 2009

Hati Sihat vs Sakit Hati

Di dalam kehidupan ini, saya membahagikan Hati Nurani kepada tiga kategori iaitu hati sihat, hati sakit dan hati mati.

Ada yang mengatakan hati terbahagi dua iaitu hati jasmani dan hati nurani. Hati jasmani di dalam perubatan moden dikenali sebagai liver.

Manakala hati nurani adalah merujuk hati rohani, jiwa atau roh. Hati nurani diciptakan oleh-Nya sebelum manusia dan ianya bukanlah berbentuk seperti jasad kasar yang dapat dilihat dan dipegang. Hati nurani bersifat rohaniah, sebab itulah dikenali sebagai roh. Ianya dikatakan terletak di dalam hati jasmani atau liver yang merupakan seketul daging di dalam tubuh badan manusia.

Rasulullah sendiri mengatakan bahawa di dalam diri manusia itu terdapat seketul daging. Jika baik daging itu, maka baiklah manusia itu. Tetapi jika rosak daging yang seketul itu, maka rosaklah tubuh badannya. Dan ketahuilah bahawa daging itu adalah hati (Sahih Bukhari dan Muslim).

Di dalam perubatan moden, liver atau hati jasmani adalah organ penting di dalam tubuh badan manusia yang berperanan sebagai penapis darah, menghasilkan hempedu dan berbagai macam fungsi untuk memastikan keseimbangan tubuh badan supaya sihat sentiasa.

Imam Al-Ghazali memberikan takrifan hati sebagai 'jantung' yang mengepam darah dan dibahagikan sebagai hati jasmani dan hati nurani.

Apapun takrifannya, hati merupakan organ yang sangat penting kerana segala perbuatan manusia bermula dari hati. Sebab itu dikatakan ada hati baik (hati sihat), hati jahat (hati sakit) dan hati mati.

Peranan hati sememangnya terlalu besar di dalam kehidupan manusia sehingga Rasulullah saw menyatakan apabila hati itu baik maka baiklah segala anggotanya dan apabila hati itu rosak maka rosaklah segala anggota manusia.

Hati dalam diri saya dan Anda adalah raja yang menentukan tingkah laku dan perbuatan dan penggubal dasar serta prinsip kehidupan yang akan dilalui. Hati berperanan sebagai pembuat keputusan apabila saya dan Anda perlu membuat keputusan dalam sesuatu perkara.

Hati yang baik, akan memandu seluruh anggota melakukan perkara-perkara yang baik dan diredhai-Nya yang akan dijelmakan dalam berbagai bentuk akhlak mulia. Orang yang hatinya baik, akan sentiasa menghormati orang lain dan menghormati jiran tetangga kerana mengetahui tuntutan agama.

Sebaliknya orang yang mempunyai hati yang sakit, rosak dan mati, ianya akan terdorong melakukan dosa dan maksiat kerana masih tidak memahami matlamat kehidupannya untuk mendapatkan ketenangan dan kebahagian di alam akhirat yang abadi.

Hati yang sakit, rosak dan mati sentiasa menjadi perosak kepada masyarakat, menjadi duri yang sentiasa menyakiti orang lain, menjadi racun yang mematikan hati-hati yang baik dan membawa kepada kehinaan.

Lebih malang lagi hati yang sakit, rosak dan mati akan menjadi tunggangan para syaitan yang sentiasa berkerja dan berusaha membawa hati nurani bersama-sama mereka menduduki tempat di neraka.

Begitulah besarnya peranan hati di dalam kehidupan saya dan Anda.

Hati mati adalah merujuk kepada mereka yang melakukan perkara rutin harian tetapi tidak mengetahui matlamat kehidupan yang sebenarnya. Sebab itu ada juga yang melakukan sembahyang dan dalam masa yang sama maksiat masih tidak ditinggalkan. Ini berlaku kerana mereka tidak ada tujuan untuk bertemu dengan-Nya apatah lagi merindui-Nya. Mereka juga tidak takut dan insaf melihat kematian yang berlaku di hadapan mata.

Hati nurani tidak akan mati sepertimana jasad manusia. Jasad kasar manusia yang kita lihat suatu hari akan hancur berkecai jua akhirnya. Tidak kira secantik atau sehensem mana pun tubuh badan ini, seputih atau segagah manapun ia, pasti hancur luluh jua akhirnya di dunia ini.

Hati nurani akan kekal selamanya iaitu berpindah dari alam dunia ke alam barzakh dan seterusnya ke alam akhirat. Di akhirat itulah tempat abadi hati nurani iaitu tempatnya sama ada Syurga ataupun Neraka.

Syurga dan Neraka adalah tempat abadi seperti mana abadinya hati nurani. Di Syurgalah kekalnya semua perasaan kesenangan dan kebahagian, manakala di Neraka jugalah kekalnya semua perasaan kesusahan dan kesengsaraan.

Semua perasaan itu dapat dirasai oleh hati nurani dan jasad kasar semasa di dunia ini dengan harapan saya dan Anda dapat mempelajarinya kerana ini semua adalah di antara ilmu-ilmu-Nya.

Semua perasaan itu Anda dan saya rasai kerana di dunia ini adalah perhentian sementara sebelum ke alam akhirat. Moga-moga pelajaran yang diperolehi semasa di dunia dapat digunakan untuk persediaan ke alam akhirat kelak.

Sesungguhnya haluan hati nurani, saya dan Anda sendiri yang mengetahuinya ke manakah arahnya. Adakah ia mengarah pada kebaikan untuk mengecapi kebahagian hakiki di Syurga, atau ianya mengarah pada kejahatan agar dapat merasakan kesengsaraan di Neraka buat selama-lamanya…
Baca selanjutnya, Klik di sini...

Selasa, April 14, 2009

Pengalamanku Bertemu Jodoh... bhg 6

Bahagian 6

Semua cerita yang aku kisahkan sebelum ini seolah-olahnya aku ini hensem sangat kerana ada gadis yang inginkan aku. Cehhh!!!

Sebenarnya aku ni tidaklah hensem pun. Ala kadar sahaja. Cuma barangkali mereka suka melihat perangai dan gelagatku yang nampak seolah-olahnya pemalu. Oh ya, baru aku ingat. Kadang juga rakan-rakanku memberitahu yang aku ini seorang yang periang dan ada kalanya terlalu peramah. Entahlah…

Apa yang pasti, isteri aku yang lebih mengetahui akan perangaiku, dan begitu juga kedua orang tuaku serta adik-beradikku. Memang mereka semua mengetahui dan memahami serba sedikit tentang diriku.

Kali ini aku meneruskan perkongsian pengalamanku Bertemu Jodoh dengan Anda.

Maklumlah, sekarang ini aku sedang menghadapi kekaburan tentang kerja-kerjaku. Jadi, untuk menenangkan perasaanku, ada baiknya juga aku bercerita dengan Anda, daripada aku merayau-rayau di sekitar tempat kerjaku ini.

Biasanya bila aku keboringan atau dihimpit pelbagai tugasan, akan aku mencari kawan untuk berbual-bual. Biasalah, berbual sambil-sambil menikmati minuman petang hari. Itu memang kebiasaan aku lakukan. Sambil berbual dan mencari idea bagaimana menyelesaikan segala tugasanku.

Kali ini aku mengambil sedikit masa untuk berehat seketika sambil-sambil meminum teh 3 in 1 yang baru aku bancuh sebentar tadi. Sambil-sambil menuliskan di sini apa-apa yang berkaitan dengan tajuk yang sedang aku kongsikan untuk tatapan Anda.

Berbalik pada cerita pengalamanku sebelum ini, semua itu aku kisahkan sebelum aku bersedia mendirikan bahtera perkahwinanku. Semua peristiwa itu berlaku ketika aku masih lagi belajar.

Tetapi setelah aku mendapat pekerjaan dan bertugas pula di lingkungan yang sama, pastilah dugaan yang aku alami lagi berbeza. Maklumlah dah ada pekerjaan atau hasil pendapatan sendiri.

Ketika itu aku juga sudah memiliki kenderaan sendiri. Ya, kenderaan ala kadar sahaja, yang aku beli sebenarnya kereta terpakai buatan malaysia iaitu wira. Maklumlah, kerjayaku bukanlah memberikan hasil yang mewah. Cukup untuk aku menikmati kehidupan ini.

Pada aku, lebih baik membantu keluarga daripada aku bergaya memiliki kereta mewah. Lagilah dahsyat barangkali cabaran hidupku andai aku membeli kereta untuk diriku bergaya. Kereta wira ala kadar inilah yang aku masih pakai sehingga kini.

Opsss… ceritaku ni dah pergi kemana?. Aku sebenarnya ingin memberitahu Anda pengalamanku bertemu Jodoh. Bukanlah memmberitahu tentang diriku. Maafkanlah aku kerana sudah tersasar bercerita tentang kisah pengalamanku bertemu jodoh.

Sebenarnya, selepas aku berkerjaya, aku masih lagi dibuai mimpi nan indah. Ya, tidak berusaha mencari jodohku.

Tetapi Alhamdulillah, akhirnya aku tersedar jua bahawa umurku ketika itu sudah mencecah 31 tahun. MasyaAllah, aku ketika itu belum berumah tangga lagi. Haruskah aku membujang sampai ke tua? Ooo… tidak, aku mesti berusaha mencari jodohku. Itulah yang aku kisahkan nanti kepada Anda betapa lucunya diriku berusaha mencari-cari jodohku…

Oppsss… baik aku sambung kerjaku semula. Ada yang tertunda yang harus aku laksanakan sekarang. Akan aku coretkan pengalamanku mencari-cari jodohku itu dengan menggunakan kaedah yang telah aku ceritakan kepada Anda.

InsyaAllah, akan aku kongsikan di sini eksklusif untuk Anda yang sudi berkunjung membaca coretanku ini.

(Coretan ini akan aku sambung semula)
Baca selanjutnya, Klik di sini...

Pengalamanku bertemu Jodoh .. bhg 5

Bahagian 5

Tengahari ini aku menyempatkan diriku menyambung cerita pengalamanku berkenaan usaha-usaha mendapatkan Jodoh.

Sebenarnya aku masih lagi di dalam kesibukan ketika ini, tetapi disebabkan ingin berkongsi ilmu-Nya, aku cuba berusaha mencari ruang masa ketika rehat tengah hari ini. Menulis sesuatu untuk tatapan Anda. Terima kasih kerana terus berkunjung ke sini.

Coretanku kali ini mengisahkan seorang lagi adik perempuan yang berusaha memikat hatiku. Ketika itu dia masih lagi belajar, sama sepertiku tetapi bezanya, dia di peringkat sarjana muda berbanding diriku, sarjana. Pastilah umurku ketika itu lebih berbanding adik perempuan yang aku ceritakan ini. Tak silap umurku ketika itu 27 tahun.

Aku dikhabarkan oleh seorang rakanku bahawa ada seorang adik perempuan meminatiku. Ketika dikhabarkan begitu, aku buat derk sahaja… Buat-buat tak dengar dan berpura-pura tidak percaya. Itulah tabiatku sebenarnya… Tapi rakanku itu terus-menerus dan bersungguh-sungguh memberitahu kepadaku.

Sebenarnya rakan yang aku maksudkan itu lebih berumur dariku, merupakan seorang cikgu berasal dari Sarawak dan telah pun mendirikan rumah tangga serta mempunyai anak yang jumlahnya aku tak seberapa pasti.

Rakanku itu memang baik dan peramah. Aku pun dah lupa bagaimana aku berkenalan dengan dia. Apa yang aku ingat, dia telah berusaha membantu adik perempuan yang aku maksudkan untuk memperkenalkannya kepadaku. Dikhabarkan oleh cikgu yang menjadi rakanku itu bahawa adik perempuan itu suka bertanya mengenai diriku, maklumlah, merekakan coursemate.

Suatu hari, rakanku itu memberitahu bahawa adik perempuan yang selalu bertanya tentangku ingin berjumpa denganku dan mengharapkan agar tiada orang tahu tentang perjumpaan itu, kecuali dia yang merupakan seorang cikgu, sekali gus berperanan sebagai orang tengah.

Seperti biasa, selepas mendengarnya, aku mengiyakan sahaja usaha-usaha seperti itu. Dan aku juga memberitahu kepada cikgu yang menjadi rakanku itu agar dia hadir semasa perjumpaan itu.

Masih aku ingat perjumpaan yang dirancang ketika itu lebih kurang pukul 7.30 malam bertempat di dalam makmal penyelidikanku. Biasalah, ketika aku melaksanakan kajian sarjanaku, aku sentiasa lewat balik ke rumah. Kadang hostel kawan-kawanku menjadi tempatku untuk bermalam, sampai beberapa hari. Al-maklum ketika itu aku tiada kenderaan. Kadang juga rakan-rakan yang sama daerah denganku membantu menghantar aku balik ke rumah dengan menaiki motorsikal mereka walaupun dah lewat sehingga 11.00 malam.

Berbalik pada ceritaku tadi, masih aku ingat sehingga kini bagaimana perjumpaan itu berlaku. Adik perempuan bersama cikgu yang menjadi rakanku itu memasuki makmal penyelidikanku dengan mendahulukan salam.

Dapat aku perhatikan adik perempuan itu berasa malu-malu dan ada jugalah merah-merah pada wajahnya. Aku dengan selambanya memberikan kekuatan dan memberitahu, tak perlu malu. Hehehee…

Cikgu yang menemaninya ketika itu punya sporting, senyum-senyum padaku dan memohon izin untuk menunggu di luar makmal. Ya, aku dan adik perempuan itu izinkan dia berbuat begitu.

Akhirnya, kami bersembang-sembang dan berkenal-kenalan, sambil-sambil aku melakukan kerja-kerjaku dan adik perempuan itu duduk di atas bangku. Opsss… tak perlulah aku cerita panjang-panjang apa yang kami bualkan ketika itu. Lagipun sebenarnya aku dah tak ingat apa yang kami bualkan sepanjang lebih-kurang satu setengah jam, tak silap akulah.

Yang pasti, aku juga menolak pelawaannya kerana aku masih belum bersedia dan seperti biasa aku memberitahu bahawa aku tidak akan bercinta selagi belum terbina bahtera perkahwinanku.

Akhirnya dia memahami dan mengucapkan terima kasih kepadaku kerana berterus terang seperti itu… Perjumpaan itu sememangnya tidak sia-sia kerana kami akhirnya berkenal-kenalan di antara satu.

Aku mengenalinya dan mungkin juga dia telah mengenaliku. Tapi hakikatnya, sekarang ini sejujurnya aku dah lupa beberapa perkara yang dibualkan ketika itu. Apa yang pasti, jika sekiranya dia hadir di depanku, mungkin jugalah aku akan ingat. heheheee

“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).
(Al-Hujraat, 49: 13)


Tahniah buat cikgu yang telah membantu adik perempuan itu dan juga telah menjadi rakanku. Sememangnya peristiwa itu memberikan aku pelajaran dan pengajaran tentang Bertemu Jodoh.

Memang aku juga mempraktikan apa yang adik perempuan itu lakukan. Akan aku ceritakan kemudian bagaimana aku juga berusaha mendapatkan jodohku sebagaimana yang adik perempuan itu lakukan. hehehee….


(Coretan akan disambung lagi di lain masa)

Baca selanjutnya, Klik di sini...

Ahad, April 12, 2009

Rahsia Hatiku Mengasihi dan Menyayangi Isteriku…

Kali ini aku ingin berkongsi dengan Anda mengenai Rahsia Hatiku mengasihi dan menyayangi Isteriku. Akan aku kisahkannya di sini khusus untuk tatapan Anda, moga-moga adalah kefahaman Anda serba sedikit mengenai hati seorang lelaki sepertiku khususnya berkaitan kehidupan ini.

Memang banyak sebab aku amat mengasihi dan menyayangi isteriku. Itulah yang aku ingin kongsikan dengan Anda, moga-moga adalah manafaatnya...

Sebab utama aku menyayanginya pastilah kerana DIA. Aku yakin, isteriku hadir di dalam hidupku bukan untuk bersenda-gurau dan berkasih-sayang semata, atau bukan juga hanya sekadar bercinta dan dicintai.

Aku yakin, dia dihadirkan di dalam hidupku adalah sebagai simbol kasih-sayang-Nya padaku. Isteri adalah kurniaan-Nya dan anugerah pengiktirafan dari-Nya yang tiada tandingannya.

Aku bersyukur kerana diberikan nikmat dan anugerah ini untuk aku bersenang-lenang dan bersuka-ria mengecapi nikmat kehidupan duniawi kini. Pada-Mu jua aku berserah.

Disebaliknya, Pastilah DIA juga mengamanahkan untukku melaksanakan segala tanggungjawab terhadap anugerah ini. Aku yakin isteriku dihadirkan di dalam hidupku merupakan sebahagian ujian-Nya yang harus aku hadapi. Kelak nanti, moga-moga adalah sinar cahaya-Nya di akhir kehidupanku.

Sebab kedua aku menyayanginya adalah kerana pengorbanannya untukku di dalam banyak perkara. Antara yang dapat aku nyatakan untuk Anda renungi ialah kerelaannya sanggup berjauhan dengan keluarganya untuk turut bersama-samaku melayari bahtera perkahwinan.

Dia juga telah mengorbankan kerjayanya sebelum ini, untuk turut bersama-sama denganku meneruskan sisa-sisa perjalanan kehidupan menuju Destinasi Hakiki.

Dia telah sanggup menjadi suri hatiku sepenuh masa sama ada melayari bahtera perkahwinan ini mahupun mengiringi perjalanan hidupku. Masih aku ingat ketika memberitahu kepadanya berkenaan matlamat hidupku dan hidupnya, tanpa banyak soal dia terus melepaskan kesenangannya mengecapi keseronokan hidup bersama-sama keluarganya dan juga kerjaya yang dimilikinya.

Itu semua membuatkan aku lebih menyayanginya, selain susah-payahnya menjaga makan minumku setiap hari, menyediakan pakaian harianku, dan bermacam-macam ragam kehendakku, sanggup dia turuti. Aku tahu, titisan kasih sayang yang diberikannya kepadaku sehingga kini jauh lebih besar berbanding kasih sayang yang aku berikan kepadanya. Terima kasih wahai isteriku...

Dia juga amat memahami sifat-sifat yang ada padaku. Salah-satunya, andai aku memarahinya, dia akan diam walaupun dengan kasar sekali aku memarahinya. Satu daripada sifatnya yang cukup menyentuh hatiku ialah berdiam diri bila dimarah. Kadang, dia hanya menitiskan air mata tanpa bahasa. Melihatkan itu berlaku, perasaanku terasa hancur luluh. Tetapi aku harus mengagahinya kerana aku ingin dia belajar sesuatu. Titisan air matanyalah membuatkan aku terus menyayanginya sehingga kini.

Kalaulah isteri kesayanganku sedang menatapi coretan ini, ketahuilah wahai permata hatiku, aku sedang berusaha mengukirkan namamu di setiap ruang bahtera perkahwinan ini. Kadang juga aku akan melaungkan namamu di kemudi bahtera ini. Moga-moga ianya menjadi kenangan yang amat berharga bukan sahaja untuk kita berdua, tetapi untuk anak-anak kita mengabadikannya di dalam lipatan sejarah kehidupan ini.

Memang aku amat mengasihi dan menyayangimu. Kalau sebelum ini engkau tidak pernah mendapat warkah dariku yang dihiasi bunga-bunga cinta, ketahuilah lakaran ini aku khususkan untukmu.

Aku bersyukur kerana akhirnya ditemukan dan ditakdirkan denganmu. Memang engkaulah pujaan hatiku dan menjadi penawar perasaanku. Dikaulah satu-satunya insan yang memahami diriku, selain ibu kandungku sendiri.

Jauh di sudut hatiku berkata, “Terima kasih wahai Isteriku yang amat aku sayangi kerana sudi bersama-sama denganku melayari bahtera perkahwinan yang tidaklah secantik atau sehebat mana binaannya.

Namun, kasih-sayangmu jua telah memberikan kekuatan untukku berusaha memberikan sinar kehebatan pada bahtera perkahwinan ini.”

Pastilah juga aku mengharapkan sinar cahaya-Nya untuk sentiasa menerangi dan memayungi bahtera ini, selain mengiringkan lembayung rahmat-Nya untuk kita pintal bersama-sama agar kelak haluan pelayaran ini menuju destinasi hakiki.

..........InsyaAllah.
Baca selanjutnya, Klik di sini...

Pengalamanku Bertemu Jodoh... bhg 4

Bahagain 4

Kali ini aku ingin berkongsi cerita yang baru aku tontoni sebenar tadi. Filem Slumberdog yang telah memenangi banyak piala Oscar tahun lalu yang memaparkan kehidupan masyarakyat negara India.

Selesai sahaja menontonnya tadi, aku terus mengadap ke komputer agar dapat berkongsi cerita mengenainya. Cerita bagaimana usaha dilakukan mendapatkan Jodoh walaupun menghadapi pelbagai cabaran dan dugaan kehidupan.

Memang aku tertarik menontonnya kerana banyak yang tersirat di dalam filem ini dan amat sukar untuk aku luahkan di dalam coretan kali ini kerana terlalu banyak. Filem ini telah memaparkan warna-warna gelap kehidupan.

Syabas dan Tahniah diucapkan kepada semua yang telah menjayakan pembikinan filem ini.

Sebenarnya aku memperolehi cd filem ini kelmarin secara tidak sengaja ketika bersiar-siar bersama keluarga sepanjang hari. Setelah melihat kulit luarnya, terus sahaja aku mengapainya kerana aku pernah terbaca bagaimana gagahnya filem ini memenangi piala oskar yang merupakan anugerah perfileman paling berprestij di dunia.

Sebenarnya kadang-kala aku tidak mempercayai kemenangan sesuatu filem di dalam anugerah berprestij ini, tetapi kemenangan Slumberdog, memang aku bersetuju.

Setelah menontonnya sebentar tadi, aku menyimpulkan memang filem ini hebat. Sebuah filem yang telah memaparkan warna-warni kehidupan dan mengangkat martabat akal dan ilmu manusia serta keajaiban kuasa-Nya.

Kekuasaan takdir yang ditonjolkan di dalam filem ini amat aku hargai dan sukai. Pastilah setiap yang berlaku di dalam kehidupan ini merupakan segala yang ditentukan oleh kehendak-Nya.

Filem ini juga telah menonjolkan kehebatan ilmu yang berkeupayaan mengangkat martabat manusia dari serendah-rendahnya sehinggalah menguasai kemahsyuran dan kekayaan di dunia ini.

Filem ini telah di awali dengan plot cerita warna kehidupan yang bercabang tiga tetapi telah di akhirkan menjadi SATU plot iaitu Bertemu Jodoh. Sebab itulah aku mengambil kesempatan ini mencoretkannya di sini.

Bertemu Jodoh telah dipaparkan di pengakhiran filem ini. Ketahuilah bahawa nikmat kehidupan ini akan dapat dirasai setelah kita bertemu Jodoh. Seperti yang aku pernah katakan sebelum ini, pertemuan dengan jodoh di dalam kehidupan amat sukar digambarkan nikmatnya.

Hanya yang memahami dan mengetahui destinasi kehidupan ini yang akan bersyukur dengan nikmat kehidupan bertemu jodoh. Sesungguhnya bertemu Jodoh adalah sebahagian daripada anugerah-Nya untuk dinikmati semasa kehidupan ini, andai Anda mengetahuinya. Selain itu, ia juga merupakan sebahagian daripada ujian-ujian-Nya yang harus dilalui.

Oppsss… melebih-lebih pula coretanku ini. Sebenarnya bahagian 4 coretan Bertemu Jodoh ini aku khususkan untuk bercerita mengenai filem SLUMBERDOG yang baru sebentar tadi aku tontoni di rumah bersama isteriku.

Tahniah kepada penulis skrip yang telah mengangkat kata nama bertemu Jodoh di pengakhiran filem ini. Slumberdog memang telah menjadi sejarah kepada pengiat seni perfileman negara India kerana memenangi banyak piala oskar.

Paling aku suka mengenai filem ini ialah permulaannya yang memaparkan tiga cabang plot cerita berbeza, sedikit demi sedikit aku dibawa menghayati setiap plot yang mengandung pelbagai warna-warni kehidupan. Memang aku mengagumi pengarahan filem ini kerana dapat membawa diriku menghayati setiap plot sehingga menjadi SATU. Itulah dia kuasa yang maha ESA.

Warna-warni kehidupan masyarakat India yang dipaparkan di pertengahan filem ini amat mengujakan diriku dan membuatkan fikiranku menghayati setiap plotnya sehingga terkadang aku di dalam khayalan untuk berfikir dan menafsirkan plot-plot yang dipaparkan.

Syukur juga bunyi-bunyian filem yang mengejutkan aku dari khayalan untuk disedarkan agar merenungi kembali setiap plot yang sedang dipaparkan. Bunyian itu membuatkan aku tersedar dari terus dibuai khayalan pemikiran di dalam menghayati plot-plot cerita yang dipaparkan berkaitan pelbagai warna kehidupan. Aku bersetuju filem ini dianugerahkan oskar kerana sememangnya ia layak memperolehinya.

Selain itu, filem ini juga telah memaparkan sifat sebahagian insan yang masih belum memahami destinasi kehidupan ini sehingga tergamak mengejar-ngejar kemewahan dunia. Istilah yang aku gunakan bagi mereka yang mempunyai sifat seperti ini ialah sedang dilanda Mabuk Duniawi. Itulah warna gelap kehidupan yang aku istilahkan.

Selain itu, pengorbanan dan cabaran kehidupan yang dikisahkan di dalam filem ini amat menyentuh hatiku bermula dengan pengorbanan seorang ibu sehinggalah kepada seorang sahabat. Begitu juga pelbagai cabaran, dugaaan dan rintangan hidup yang harus dihadapi dan dilalui di dalam mengejar kehidupan duniawi.

Memang best cerita yang dipaparkan di dalam filem ini. Sememamngnya banyak lagi yang harus aku sentuh mengenainya, tetapi biarlah Anda sendiri yang melihat dan mengetahuinya.

Untuk mengakhiri coretanku kali ini, ingin aku ungkapkan bahawa memang DIA yang berkuasa dan memiliki segala keajaiban dari segala rahsia kehidupan di dunia ini.
Baca selanjutnya, Klik di sini...

Sabtu, April 11, 2009

Pengalamanku Bertemu Jodoh... bhg 3

Bahagian 3

Kali ini aku lanjutkan kisahku bertemu jodoh dengan Anda. Pagi ini Aku telah terimbas kembali kisah gadis-gadis yang cuba berusaha menambat cintaku. Sememangnya aku amat-amat menghargai dan menyanjung usaha mereka di dalam hal itu.

Ya, bukanlah mudah seorang wanita meluahkan rasa cintanya kepada lelaki. Tetapi saya juga harus menyatakan kepada Anda bahawa saya sememangnya bersetuju dengan tindakan seperti itu asalkan ianya dilakukan dengan penuh kesopanan.

Sekurang-kurangnya, itulah usaha yang dapat mereka lakukan untuk bertemu dengan jodoh masing-masing. Setidak-tidaknya juga, mereka sudah berusaha dan mencuba, bukan?

Bukanlah aku menolak cinta mereka. Hakikatnya, seperti yang aku telah katakan kepada Anda sebelum ini, aku akan hanya menjalinkan hubungan cinta bila mana bahtera perkahwinanku telah terbina. Memang itulah matlamatku

Disebabkan itulah juga aku tidak berusaha mengejar-ngejar cinta yang dikatakan “bercinta sebelum berumahtangga”. Usahlah marah padaku andai Anda kurang bersetuju. Memang itulah tekad di dalam diriku.

Coretanku kali ini ingin mengisahkan kepada Anda wanita yang cuba berusaha menawan cintaku. Walaupun mereka tidak berjaya menambat hatiku, tetapi sejujurnya aku harus mengatakan kepada Anda bahawa aku menghargai dan menyanjungi usaha yang mereka lakukan.

Kisah ini aku bawakan kepada Anda untuk diambil ikhtibar, manalah tahu Anda juga ingin mempraktikannya. Sememangnya perkahwinan Rasulullah yang pertama juga diusahakan oleh khadijah dengan penuh kesopanan dan keunikannya tersendiri.

Cerita pertama yang aku ingin kisahkan kepada Anda ialah bila mana aku diterjah oleh seorang adik perempuan. Bukanlah diterjah secara tiba-tiba, tetapi dengan penuh kesopanan. Adik perempuan itu memang terkadang kelibatnya muncul di hadapanku pada awal pagi atau tengahari di mana aku akan keluar untuk bersarapan pagi dan makan tengahari.

Ketika itu aku masih berumur antara 25 – 26 tahun. Aku tidak seberapa ingat, tetapi yang pasti, ketika itu aku masih lagi belajar.

Memang dapat aku perhatikan sedikit perbezaan kepada adik perempuan itu. Ya, terkadang macam sengaja pula dia berada di hadapan mataku secara tiba-tiba. Aku juga terperasaan yang jelingan matanya bersama dengan rakan-rakannya kadang-kala membuat aku rasa tidak selesa.

Errmmm… Suatu pagi sedang aku berjalan bersama dua orang rakanku menuju Kafeteria untuk bersarapan pagi, tiba-tiba langkah kami dihentikan oleh adik perempuan itu yang tiba-tiba memberitahu dia nak cakap sesuatu dengan diriku. Memanglah ketika itu aku terkejut dan kedua-dua rakanku juga keliru dan terpinga-pinga.

Dengan selambanya, aku pun memberikan arahan kepada kedua-dua rakanku untuk berjalan dahulu kerana aku ingin bercakap dengan adik perempuan itu. Di situlah dia memberitahu kepadaku yang dia sebenarnya meminati akan aku. Heheheeee…. Lucu juga bila aku ingatkan peristiwa itu.

Dalam situasi itu, aku cuba berlagak relaks sahaja dan mendengar apa yang diutarakannya. Tetapi akhirnya aku berterus-terang dengannya bahawa aku sebenarnya belum bersedia dan memanglah aku beritahu kepadanya yang aku tidak mahu menjalin apa-apa cinta sebelum aku mendirikan bahtera perkahwinanku.

Selepas peristiwa itu, adik perempuan itu telah menawarkan diri untuk dia menganggap aku sebagai abang angkatnya. Heheee… aku menerima tawarannya kerana memang aku mempunyai ramai adik-adik perempuan dan kadang juga aku memberikan nasihat padanya jika berkesempatan semasa ikatan persaudaraan itu kami jalinkan.

Akhirnya, selepas beberapa ketika, aku menerima kad jemputan kahwin yang terpampang namanya. Ya, aku gembira dan pastilah mendoakan agar dia bersama suaminya dapat melayari bahtera perkahwinannya itu sehingga ke destinasi hakiki. Tidak lupa juga aku doakan semoga dia sentiasa di dalam kegembiraan dan kesejahteraan.


“Tidak mengapa bagimu menyindir hendak meminang perempuan atau kamu sembunyikan dalam hatimu; Allah mengetahui, bahawa kamu nanti akan menyebutkannya juga kepada perempuan itu, tetapi janganlah kamu janjikan kepada mereka dalam rahsia, melainkan berkatalah dengan perkataan yang patut. Dan janganlah kamu langsungkan ikatan perkahwinan, sebelum sampai waktunya, dan ketahuilah, sesungguhnya Allah mengetahui apa yang dalam hatimu, sebab itu berhati-hatilah dengan Tuhan, dan ketahuilah, sesungguhnya Allah itu Pengampun dan Penyantun”. (Al-Baqarah, 2: 235)


(Coretanku berkenaan kisah ini masih lagi banyak yang aku ingin kongsikan…)

Baca selanjutnya, Klik di sini...

Jumaat, April 10, 2009

Pengalamanku Bertemu Jodoh... bhg 2 (diraba)

Bahagian 2

Beberapa kali aku berusaha memikirkan lanjutan kisah pengalamanku bertemu jodoh. Sebenarnya agak sukar juga aku meneruskan lanjutannya.

Maklumlah, dalam beberapa hari ini aku ditimpa kesibukan menyebabkan usahaku untuk meneruskan kisah tersebut dalam waktu yang singkat telah tergendala.

Komentar daripada adik-adik di ruangan komen coretan terdahulu, telah mendorong dan memaksa diriku untuk melakarkan cerita berikutnya. Walaupun hakikatnya masih lagi di dalam kesibukan.

Pada petang ini, aku cuba berusaha mengambil sedikit masa yang ada untuk melanjutkan kisahku bertemu jodoh dengan harapan agar adik-adik tidak hampa bila melawati blog ini. Terima kasih kerana terus berziarah dan membaca coretan-coretanku.

Kali ini aku ingin kongsikan kisah sebenarku diraba. Oppssss… Jangan terkejut atau terperanjat!.

Memang ini kisah benar yang berlaku. Bukanlah selalu, tetapi hanya sekali peristiwa ini berlaku pada diriku. Disebabkan ianya berlaku sekali di dalam hidupku sehingga kini, maka ianya masih melekat di minda dan jiwa ku walaupun peristiwa itu telah lama berlalu.

Sebab itu aku katakan cerita pengalamanku bertemu jodoh sebagai eksklusif untuk Anda yang sudi berkunjung ke sini.

Jangan diingat perlakuan raba meraba ini hanya berlaku ke atas perempuan sahaja. Ianya juga telah berlaku ke atas diriku yang bernama lelaki. Heheheee..

Memang mengaibkan sekiranya perempuan melakukan perbuatan itu. Ianya juga amat memalukan kerana pada saya, seorang gadis tidak seharusnya berperangai sedemikian. Aku menceritakan peristiwa ini dengan harapan moga-moga ianya menjadi pedoman.

Peristiwa itu berlaku ketika aku berumur 27 tahun dan masih belajar di peringkat Sarjana Sains. Ketika itu, setiap hari aku ke kampus menaiki bas mini awam. Bukan satu hentian, tetapi aku terpaksa berpindah bas dua kali. Maklumlah, kediamanku bersama empat rakan lain ketika itu agak terpencil dan hanya berkeupayaan dimasuki oleh bas-bas mini tanpa lesen.

Telah menjadi kegemaranku, bilamana menaiki bas mini, tempat duduk di bahagian belakang adalah pilihanku. Di bahagian belakang itulah paling sesuai untukku memerhatikan gelagat segala yang berlaku di dalam bas ketika itu.

Suka juga aku memberitahu bahawa terkadang terdetik juga di dalam hatiku mengharapkan agar adalah awek cantik duduk di sebelahku. Hehehe…

Suatu hari, peristiwa yang aku impikan itu memang berlaku. Bukan seorang awek, tetapi tiga sekawan telah duduk di bahagian belakang bas mini ketika itu. Sebenarnya bahagian belakang bas mini boleh memuatkan empat orang sahaja. Peristiwa itu berlaku sekitar pukul 7.00 malam di mana penglihatan di dalam bas mini agak samar-samar.

Disitulah bermulaanya kisah yang aku ingin ceritakan ini. Ianya berlaku betul-betul diluar jangkaanku.

Masih segar di dalam ingatanku, entah mengapa awek yang dekat denganku tiba-tiba meletakkan tangannya dan menggaru-garu di atas pahaku. Betul-betul aku terkejut bercampur berdebar-debar dan pastilah juga keliru. Sememangnya peristiwa itu tidak pernah aku fikirkan akan berlaku.

Dalam masa yang sama, aku juga perasaan yang dia sedang melirikkan matanya kepadaku. Nasib baik juga disebabkan sifat pemaluku, akhirnya aku memalingkan wajahku ke arahnya dengan mengerutkan keningku dan menunjukkan yang aku memang tidak menyukai perbuatannya ketika itu.

Barangkali dia memahami isyarat yang aku berikan, akhirnya dia mengalihkan tangannya dari ribaanku. Sebenarnya peristiwa itu betul-betul mengejutkan aku. Dan mindaku terus sahaja berputar, bercampur-baur dan di dalam keadaan dilemma.

Ada dua pilihan yang aku boleh lakukan ketika itu. Sama ada aku berasa riang gembira dan menyambut pelawaanya ? #@%$ ... Atau aku memarahi sahaja dia dan seterusnya menempelak perbuatannya.

Namun, syukur Alhamdulillah, kewarasan akal fikiranku membuatkan aku tidak memilih kedua-dua pilihan itu. Pastilah ia didorong oleh sifat pemaluku.

Aku juga yakin andai memilih salah-satu di antara kedua-dua pilihan itu, pastilah para musuhku (syaitan) akan bersorak gembira melihat gelagatku ketika itu.

Akhirnya aku tenangkan diri dan buat-buat seolah-olah tiada apa yang berlaku. Pastilah wanita yang duduk disebelahku itu memandang secara sinis dan sempat juga melontarkan senyuman-senyumannya kepadaku.

Aku tidak pasti mengapa awek disebelahku itu melakukan perbuatan itu. Memang aku tidak mahu memikirkan apa-apa kemungkinan kerana itu adalah urusannya. Pastilah hanya DIA yang mengetahuinya.

Apa yang aku mampu lakukan selepas itu, menetapkan pendirianku dan beristigafar pada-Nya. Alhamdulillah, DIA telah memberikan kekuatan kepadaku.

Kisah itu berakhir begitu sahaja dan memanglah aku tidak berusaha mengenali awek yang duduk di sebelahku itu. Kenapa? Kerana aku yakin dengan kekuasaan-Nya. Sesungguhnya DIA maha Adil dan maha Bijaksana. Masih segar di dalam hati dan mindaku akan pesanan-Nya;

Lelaki yang berzina (lazimnya) tidak ingin berkahwin melainkan dengan perempuan yang berzina atau perempuan musyrik dan perempuan yang berzina itu pula (lazimnya) tidak ingin berkahwin dengannya melainkan oleh lelaki yang berzina atau lelaki musyrik dan perkahwinan yang demikian itu terlarang kepada orang-orang yang beriman. (An-Nur, 24: 3)

Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan). (Al-Isra, 17: 32)

Kini fikiran warasku berkata-kata mungkinkah awek-awek itu sengaja mengenakan aku? mungkinkah mereka hanya ingin bergurau-gurau denganku? mungkinkah juga awek itu memang mau mengorat aku? Atau mungkinkah juga bisikan-bisikan musuhku cuba mempengaruhi agar aku menuruti perbuatan seperti itu?

Ya, banyak lagi kemungkinan yang boleh aku senaraikan. Dan pasti hanya awek yang duduk di sebelahku itu mampu menjawabnya. Apa yang paling penting padaku, pastilah aku tidak berminat awek berperangai seperti itu.

(Akan aku sambung lagi kisahku ini di lain masa)
Baca selanjutnya, Klik di sini...

Rabu, April 08, 2009

Pengalamanku bertemu Jodoh .. bhg 1

Petang ini, tiba-tiba pula aku merasa ingin sekali berkongsi dengan Anda. Berkongsi mengenai pengalaman hidupku sebelum dan di saat-saat aku bertemu Jodoh.

Cerita ini memang eksklusif aku ceritakan kepada Anda yang sentiasa menziarahi blog ini. Tidak pernah aku menceritakannya kepada sesiapa sebelum ini, kecuali insan istimewa dalam hidupku iaitu Isteriku Yang Tercinta dan pastilah juga adik beradikku mengetahuinya.

Matlamatku menceritakanya kepada Anda adalah kerana ingin berkongsi, moga-moga adalah manafaatnya coretanku ini kepada Anda khususnya adik-adikku sama ada yang wanita atau lelaki yang sentiasa berusaha menziarahi blog ini.

Cerita ini aku mulakan dengan memperkenalkan diriku adalah seorang yang pemalu. Ceh!!! Sungguh…. Memang aku ini pemalu dan tidak pandai mengorat wanita. Apatah lagi berterus-terang dengan wanita yang aku suka melihat mereka.

Sifat pemalu ini memang aku miliki. Sebab itu barangkali di dalam hidupku bukan aku yang mengorat, tetapi aku yang diorat. Bukan sahaja wanita, bahkan yang maknyah pun cuba-cuba untuk mengorat aku.

Anda tak percaya? Sungguh, memang aku pernah diorat oleh beberapa orang maknyah. Lucukan!!!

Memang aku tidak menafikan bahawa beberapa kali juga aku hampir-hampir jatuh cinta dengan wanita sebelum mendirikan Bahtera Perkahwinan. Namun disebabkan oleh sifat pemaluku itu, maka aku tidak berani meluahkannya. Apa yang pasti, kadang juga aku dilamar oleh beberapa wanita.

Tetapi sejujurnya, aku menolak lamaran mereka untuk menjalin hubungan cinta kerana pada diriku, andai cinta itu aku terima, pastilah aku akan ada tanggungjawab yang harus dilakukan.

Selain itu, jauh di sudut hatiku, memang aku bertekad untuk tidak mahu bercinta sebelum mendirikan Bahtera Perkahwinan. Itu memang telah aku tekadkan di dalam diriku. Kerana apa? Kerana aku tahu bahawa seandainya aku melakukannya, pasti aku akan ditewaskan oleh musuh-musuh ketatku iaitu para syaitan.

Pastilah musuh-musuhku itu akan bersorak-gembira kerana dapat menewaskanku di dalam hal ini. Kenapa? Kerana di situlah antara lubang-lubang kejayaan mereka menewaskanku. Sebab itulah aku tidak mahu bercinta sebelum terbinanya Bahtera Perkahwinanku.

Anda, usahlah marah padaku seandainya tidak bersetuju denganku mengenai perkara ini. Ya, aku tahu bahawa Anda ada kekuatan melawan para musuh ketatku itu. Tetapi bagi diriku, sejujurnya aku amat takut dengan cabaran itu. Apatah lagi membayangkan seandainya aku ditewaskan oleh mereka kelak. Sebab itu di awal-awal lagi aku berusaha mengelaknya. Kenapa? Kerana sememangnya aku ini terlalu lemah berbanding Anda.

(Coretan aku disambung lagi di lain masa).
Baca selanjutnya, Klik di sini...

Warna-Warni Kehidupan

Memang ramai yang mengistilahkan kehidupan ini penuh dengan warna-warni. Betulkah? Pada saya memang ada kebenarannya sebab itu ada juga istilah hitam-putih kehidupan.

Agaknyalah warna hitam merujuk pada kehidupan yang penuh kedukaan, manakala warna putih pula ditafsirkan penuh keceriaan. Entahlah…

Tetapi, yang pasti pada diri saya, tentulah warna hitam dan warna putih itu sangat berbeza. Begitu juga gambarannya. Hitam dan putih pada saya bukanlah bermaksud kedukaan dan keceriaan semata, tetapi ianya melangkaui kedua-dua makna itu.

Mari kita bersama-sama menyingkap istilah Warna-Warni Kehidupan di dalam coretan ini. Ibarat sinaran putih berseri yang diserakkan membentuk pelbagai warna-warni yang dikenali sebagai Pelangi.

Di situlah tersimpannya rahsia warna Putih tadi, iaitu mengandungi pelbagai warna seperti merah, oren, kuning, hijau dan pastilah biru, warna kegemaranku.

Di antara kesemua warna itu, para ahli sains telah bersetuju bahawa warna merah mempunyai jarak gelombang yang paling pendek, manakala warna biru mempunyai jarak gelombang yang paling panjang berbanding warna-warna lain. Barangkali itulah sebabnya saya menyukai warna biru.

Kalau Anda melihat ke langit nan luas, Anda dapati warna putih dan warna biru yang kelihatan. Kecuali jika Anda melihat langit ketika fajar atau senja. Akan adalah warna merah yang kelihatan pada ketika itu. Warna putih yang kelihatan di langit itu pun sebenarnya berasal dari kepulan awan.

Begitu juga bilamana Anda perhatikan lautan nan luas. Dapat diperhatikan warna kebiru-biruan akan terpancar. Kecualilah Anda melihat di kawasan pesisiran pantai. Akan terpancarlah warna hijau dan kadang juga warna keperang-perangan.

Fenomena sedemikian berlaku disebabkan kebolehan warna-warna itu memancar kembali ke ruangan mata hati.

Tak faham? Mari saya jelaskan secara mudah.

Sinaran cahaya yang terpancar sememangnya berwarna putih. Bila ianya memancar ke arah suatu benda, sebahagian daripada sinar cahaya tadi akan diserap dan sebahagiannya pula akan dipancarkan semula.

Sinar yang terpancar kembali merupakan sinar yang kelihatan oleh mata hati. Manakala yang diserap oleh benda itu akan hilang dari pandangan mata.

Sebagai contoh, mengapa sesuatu benda itu kelihatan merah atau biru? Menurut para pengkaji sains mengenai cahaya, sebenarnya warna merah kelihatan oleh mata Anda disebabkan semua sinar cahaya yang terpancar ke arah benda itu telah diserap dan hanya warna merah yang dipancarkan semula ke mata Anda.

Begitu jugalah yang berlaku terhadap benda yang berwarna biru di mana sebahagian warna telah diserap dan hanya birulah yang terpancar semula dari benda itu. Sebab itu, benda-benda tadi memberikan pancaran warna sama ada merah atau biru.

Di dalam kehidupan kita, pastilah fenomena sedemikian berlaku. Setiap perbuatan yang kita lakukan ianya digambarkan sebagai warna-warni di dalam kehidupan. Dan kesemua perbuatan itu merupakan hasil daripada ilmu-ilmu yang kita pelajari semasa melalui kehidupan ini.

Bilamana ilmu itu kita serap dan tidak dipancarkan semula melalui perbuatan, maka jadilah ia seperti benda yang menyerap sahaja kerjanya iaitu tidak memancarkan semula sinaran ilmu itu di dalam perbuatannya. Jika itu yang berlaku, pastilah dirinya itu tidak memancarkan apa-apa sinaran atau dalam erti kata lain, berwarna hitam.

Tetapi seandainya ia menyerap sinaran warna itu dan seterusnya memancarkannya semula melalui perbuatannya, tanpa melakukan apa-apa terhadap warna itu, maka akan terpancarlah pula sinaran seperti mana yang diserapnya tadi. Umpamanya, andai dirinya menyerap warna merah atau biru, maka akan terpancarlah di dalam dirinya warna merah atau biru itu tadi.

Sebenarnya apa yang ingin saya jelaskan dan kongsikan di sini ialah berkenaan istilah Warna-Warni Kehidupan itu. Bila mana kita menyerap pelbagai warna warni kehidupan, pastilah kita perlu melakukan sesuatu terhadap warna-warni itu. Ya, kita perlu menyimpulkannya menjadi SATU. Masing-masing di antara kita bertanggungjawab untuk menjadikan warna-warni yang kita serap menjadi SATU.

Bilamana warna itu telah menjadi SATU, pastilah warna yang tersinar adalah Putih. Dan jika sekiranya diri kita memancarkan semula cahaya yang SATU itu, sudah pasti diri kita akan memancarkan cahaya Putih sepertimana sebelum ianya diserak menjadi warna-warni pelangi iaitu diibaratkan seumpama warna-warni kehidupan.

“Kerana tiap-tiap seorang dari mereka pada hari itu, ada perkara-perkara yang cukup untuk menjadikannya sibuk dengan hal dirinya sahaja. Muka (orang-orang yang beriman) pada hari itu berseri-seri, tertawa, lagi bersuka ria; Dan muka (orang-orang yang ingkar) pada hari itu penuh berdebu, diliputi oleh warna hitam legam dan gelap-gelita. Mereka itu ialah orang-orang yang kafir, yang derhaka. (Abasa : 37 – 42)
Baca selanjutnya, Klik di sini...

Isnin, April 06, 2009

Cerpen Lucah...

Opsss… sekali lagi aku mengharapkan agar Anda tidak menaruh harapan bahawa aku akan mencoretkan cerpen berunsur lucah di dalam blog ini.

Hari ini aku telah membaca satu pendedahan oleh akhbar tempatan (Harian Metro) mengenai perbuatan syarikat penerbitan buku lucah berbahasa Melayu yang dikesan menerbit dan mengedarkan sekurang-kurangnya 10 judul novel lucah bersiri di pasaran.

Emmm… aku tak tahu pun mengenainya…

Syarikat terbabit telah menawarkan saguhati kepada sesiapa yang berminat menulis cerpen berunsur lucah yang dialami sendiri. Iskk iskk iskkk… Sampai ke tahap memberi saguhati?

Dinyatakan di dalam laporan itu, tawaran bayaran sehingga RM150 bagi setiap cerita pendek erotik terbaik yang dihasilkan. Dan laporan akhbar itu turut menyatakan bahawa tawaran wang tunai disebarkan di halaman belakang beberapa novel lucah yang dijual di beberapa kedai buku dengan harga sekitar RM 8 hingga RM 10 senaskhah.

Sampai begitu sekali syarikat terbabit nak melariskan bahan bacaannya. MasyaAllah!!!.

Kepada Anda yang mungkin di antara penggemar novel-novel sedemikian, saya juga berasa sedikit kehairanan. Mengapa Anda nak baca cerita-cerita seperti itu ? Nak menaikkan nafsu diri sendirikah ? Emmm… Entahlah..

Sebenarnya coretanku tengahari ini bukanlah bertujuan untuk merangsang Anda membaca tajuk di atas. Dan usahlah pula dianggap coretanku ini untuk mendorong Anda mencari-cari dan seterusnya membaca cerpen-cerpen yang dimaksudkan itu. Apatah lagi menyahut cabaran syarikat itu untuk membuat cerpen seperti itu. Jauh sekali…

Sebenarnya tujuanku mencoretkan cerita itu di sini ialah agar Anda turut sama menzahirkan kegeraman seperti mana saya geram bila membaca laporan itu. Moga-moga adalah usaha pihak berkaitan untuk menghalang pebuatan syarikat itu. Harap-haraplah...

Katakanlah: Wahai Ahli Kitab! Janganlah kamu melampau dalam agama kamu secara yang tidak benar dan janganlah kamu menurut hawa nafsu suatu kaum yang telah sesat sebelum ini dan telah menyesatkan banyak manusia dan juga (sekarang) mereka telah tersesat (jauh) dari jalan yang betul. (Al-Maidah, 5: 77)

Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia: Kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu, iaitu perempuan-perempuan dan anak-pinak; harta benda yang banyak bertimbun-timbun, dari emas dan perak; kuda peliharaan yang bertanda lagi terlatih dan binatang-binatang ternak serta kebun-kebun tanaman. Semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia dan (ingatlah), pada sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu Syurga). (Al-Imran, 3: 14)

Dan Allah hendak (membersihkan kamu dari dosa dengan) menerima taubat kamu, sedang orang-orang (yang fasik) yang menurut keinginan hawa nafsu (yang diharamkan oleh Allah itu) hendak mendorong kamu supaya kamu menyeleweng (dari kebenaran) dengan penyelewengan yang besar bahayanya. (An-Nisa, 4:27)
Baca selanjutnya, Klik di sini...

Ahad, April 05, 2009

Bertemu Jodoh dan Bahtera Perkahwinan

Perkahwinan merupakan antara Kejayaan Besar di dalam kehidupan ini. Seandainya masih ada yang tidak mengejar atau berusaha menggapai kejayaan tersebut, saya merasa rugilah kehidupannya kerana tidak merasai nikmatnya bertemu jodoh.

Sebelum ini saya telah melakarkan coretan mengenai perkahwinan bertajuk “Ingin Mengecapi Kejayaan Hakiki? Perkahwinan”. Kepada rakan-rakan yang belum berkesempatan menatapnya, bacalah coretan itu di dalam Himpunan Artikel bulan Februari 2009 di sebelah kanan blog ini.

Kali ini saya menyentuh tajuk di atas iaitu Bertemu Jodoh, rentetan kepada coretan perkahwinan itu. Kepada Anda yang telah bertemu jodoh, saya mengambil kesempatan ini melakarkan ucapan Syabas dan Tahniah. Kenapa? Sebab bertemu jodoh adalah di antara kejayaan-kejayaan besar yang memang seharusnya dihargai dan disyukuri.

Marilah kita bersama-sama menadah tangan kepada-Nya bersyukur kerana dipertemukan jodoh masing-masing. Bagi saya, kehidupan bertemu jodoh amat berbeza dengan kehidupan sebelum bertemu jodoh. Memang rasa nikmatnya amat berlainan sekali.

Usah dinilai nikmat kejayaan bertemu jodoh itu semata-mata di dalam hubungan cinta ataupun hubungan seks. Sesungguhnya nikmatnya melangkaui kesemuanya itu. Percayalah apa yang saya katakan ini. Terutama di awal-awal pertemuan jodoh itu kelak.

Umpama merasai keenakan meminum susu, apapun yang akan saya ungkapkan berkenaan susu itu, pasti Anda tidak akan dapat menggambarkan keenakkannya kerana saya yang merasainya, bukannya Anda. Sekiranya Anda nak tahu keenakkan susu yang saya maksudkan, rasailah sendiri. Heheheee….

Jangan pula Anda salahkan saya sekiranya tiba-tiba susu itu terasa masam ataupun terlalu manis!. Sekiranya berlaku seperti itu, barangkali Anda telah tersalah pilih. Maksud saya, mungkin Anda tidak berhati-hati memilih susu yang saya maksudkan.

Tetapi harus juga saya ingatkan bahawa bila mana Anda terlalu memilih, lambat laun Anda akan terlepas merasai susu yang saya maksudkan itu. Ketahuilah bahawa lebih baik merasai masam dan manisnya susu itu daripada tidak merasanya langsung.

Daripada Anda mengkhayal-khayalkan atau membayang-bayangkan kemasaman atau kemanisan susu itu, lebih baik Anda mencubanya sahaja. Kalau dah masam, tambah sahaja sedikit gula, atau buat sahaja susu itu menjadi keju. Sebaliknya pula kalau teramat manis, tambahkan air untuk mengurangkan kemanisan susu itu.

Sebenarnya apa yang saya cuba jelaskan di atas ialah, buatlah sesuatu usaha agar susu yang Anda sudah pilih walaupun teramat masam atau teramat manis, setidak-tidaknya adalah juga gunanya dan tidaklah sia-sia Anda mencubanya.

Berbalik kepada tajuk di atas iaitu bertemu jodoh, saya juga ingin menyatakan bahawa kejayaan bertemu jodoh bukanlah matlamat akhir di dalam kehidupan ini.

Selepas menggapai kejayaan bertemu jodoh, akan ada pulalah ujian-ujian dari-Nya seterusnya. Jangan disangka ujian yang bakal kita lalui itu akan sama seperti mana kehidupan sebelum bertemu jodoh.

Umpama seorang pelajar yang telah lulus peperiksaan SPM, takkanlah pula peperiksaan yang masih setaraf SPM juga yang harus dilalui.

Kalau mahu meningkatkan tahap pengetahuan, pastilah kena menduduki peperiksaan STPM pula. Secara tidak langsung, keputusan daripada ujian STPM itu kelak akan menunjukkan tahap ilmu yang telah dimiliki oleh pelajar itu.

Begitulah hakikatnya kehidupan kita yang telah bertemu jodoh. Bila mana kita melayari bahtera bersama jodoh, pastilah akan ada gelora dan ombak yang melanda. Saya lebih suka menggunakan perumpamaan bertemu jodoh sebagai sebuah bahtera yang telah siap dibina.

Bahtera itu digunakan untuk melayari lautan luas kehidupan ini. Andai bahtera yang dibina bersama-sama jodoh jelas matlamatnya, saya yakin, haluan bahtera akan sampai juga ke destinasi akhirnya, walaupun dilanda sebesar-besar ombak tsunami.

Sebaliknya pula, seandainya bahtera yang dibina tidak ada matlamat yang jelas, saya berkeyakinan, bahtera itu akan terapung-apung di atas lautan kehidupan dengan tidak tentu hala.

Bila mana itu berlaku, sekecil manapun badai yang menghempas, akan hancur musnahlah bahtera yang dibina. Walaupun zahirnya bahtera itu telah dilengkapi dengan pelbagai alatan canggih untuk membantu pelayaran itu.

Bahtera yang hebat dengan pelbagai kilauan gemilang tidak akan belayar dengan betul andai matlamatnya tidak diketahui ke mana haluannya. Pasti lama kelamaan ia akan tenggelam jua ke dasar lautan kehidupan nan luas ini. Bila mana itu berlaku, bahtera yang penuh kehebatan itu tidak akan sampai ke titik akhir pelayarannya.

Untuk memahami destinasi bahtera yang telah menjadi lambang kejayaan hasil bertemu jodoh, Anda dan saya mesti mengetahui ilmu-ilmu dan rahsia-rahsia lautan kehidupan ini.

Andai Anda bertanya bagaimana mencungkil dan mencari ilmu-ilmu kehidupan itu? Saya akan mencadangkan agar marilah kita bersama-sama menyingkap Kitab-Nya kerana di situlah tersimpan segala rahsia pelayaran bahtera itu.

Terkadang juga bila mana kita membuka lembaran demi lembaran kitab-Nya, tanpa disangka-sangka akan muncullah sedikit demi sedikit keajaiban kuasa-Nya semasa kita memandu bahtera kehidupan ini.

Kuasa keajaiban itu merupakan kompas yang akan membantu menghalakan haluan bahtera yang telah kita bina menuju destinasi akhirnya.
Baca selanjutnya, Klik di sini...

Jumaat, April 03, 2009

Jodoh telah ditakdirkan

Sememangnya jodoh setiap daripada kita telah ditentukan oleh-Nya. Ada beberapa perkara yang sememangnya DIA telah tentukan (takdirkan) kepada setiap kita dan salah satu daripadanya ialah jodoh.

Jodoh akan datang sama ada cepat ataupun lambat. Pastilah bergantung pada takdir-Nya. Tetapi perlu juga saya ungkapkan bahawa setiap takdir-Nya, pastilah ada tersisa sifat-sifat-Nya yang teramat istimewa iaitu Maha Pengasih dan Maha Penyayang.

Sebab itu, di dalam setiap perbuatan saya dan Anda, digalakkan mengucapkan perkataan itu di sepanjang masa dan di setiap perbuatan dan perlakuan kita.

Itulah dia ungkapan “Dengan menyebut nama-MU yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang”. Mengapa? Kerana di situlah terselitnya salah satu daripada rahsia-Nya yang amat besar manafaat-Nya andai saya dan Anda mengetahuinya dan mengamalkannya.

Namun, ramai juga di antara kita yang terlupa mengkaji akan sebutan itu. Seandainya sebutan itu telah menyubur di dalam diri kita, saya yakin akan adalah pohon-pohonan usaha yang akan terbit dari saya dan Anda untuk mencari-cari maksud yang terkandung di sebalik ungkapan itu.

Berbalik kepada kata nama jodoh tadi, saya dan Anda telah diingatkan oleh-Nya bahawa;

“(Balasan) yang demikian itu, ialah kerana sesungguhnya Allah tidak akan mengubah sesuatu nikmat yang telah dikurniakanNya kepada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri dan (ingatlah) sesungguhnya Allah Maha mendengar, lagi Maha Mengetahui. (Al-Anfal, 8: 53)


Memang Anda kena berusaha mengapai jodoh itu, agar kelak adalah tersinar sifat-Nya yang maha agung tadi iaitu Pengasih dan Penyayang. Saya yakin, hanya DIA yang layak mengubah segala takdir yang telah ditentukan.

Sebab itu, di dalam hal ini, suka saya mengajak Anda untuk melakukan pelbagai usaha untuk mencari keredhaan-Nya agar kelak terbitlah sifat-sifat Pengasih dan Penyayang-Nya. Sifat itu amat penting untuk mengubah segala takdir yang telah ditentukan oleh-Nya kepada diri saya dan Anda. Semoga hasil usaha berterusan akan terbitlah sinar cahaya-Nya di dalam kehidupan kita.

“Dan Dialah yang Berkuasa atas sekalian hambaNya (dengan tadbir dan takdir); dan Dialah Yang Maha Bijaksana serta Amat Mendalam PengetahuanNya”. (Al-Anaam, 6: 18)

Dari itu, saya dan Anda kenalah sentiasa berusaha dan sentiasa memohon kepada-Nya. Moga-moga saya dan Anda akan dipayungkan dengan segala kenikmatan duniawi dan ditambahi dengan kenikmatan hakiki iaitu kenikmatan syurgawi.
Baca selanjutnya, Klik di sini...

Khamis, April 02, 2009

Lambat Kahwin

Sudah menjadi satu kemestian untuk aku lakukan. Sebelum beredar dari ofisku, akan aku cuba berusaha menghasilkan satu atau dua coretan agar dapat dimuatkan ke dalam blog ini.

Ya, berusaha agar dapat dikongsikan dengan Anda. Tetapi ketahuilah bahawa terkadang juga amat sulit untuk aku melakukan begitu disebabkan pelbagai tugasan yang mendesak pada satu-satu ketika. Ianya menyebabkan kadang-kadang niatku untuk berkongsi sesuatu dengan Anda terhenti. Moga Anda mengerti andai tiada coretan baru semasa Anda menziarahi blog ini.

Entah kenapa, hati aku meronta-ronta tengahari ini untuk membicarakan mengenai tajuk di atas. Lambat berkahwin. Ya, tajuknya adalah Lambat Berkahwin. Memang ada di kalangan saudaraku yang menghadapinya.

Bagi seorang lelaki, ianya tidaklah sesulit yang dialami oleh seorang wanita. Itu memang pasti. Apabila seorang wanita lambat berkahwin, akan adalah kata-kata sinis diungkapkan kepada mereka. Bagi yang lelaki pula, sememangnya kata-kata perangsang daripada rakan-rakan sentiasa diungkapkan agar cepat-cepat menyelesaikan tanggungjawab untuk berkahwin itu.

Coretan ini aku khususkan untuk wanita. Dan bukannya lelaki. Biasanya para wanita akan mengalami sedikit tekanan bilamana membicarakan soal lambat berkahwin. Kadang juga ada yang merasa seolah-olah tidak mengapa kalau lambat berkahwin. Tetapi aku harus mengatakan bahawa itu hanyalah luaran. Jauh di sudut hati mereka, pasti hanya DIA yang mengetahui. Bagi mereka yang merasainya, sudah tentu Anda memahami keadaan itu.

Coretanku ini bukanlah membicarakan secara terperinci mengapa, kenapa dan bagaimana mengatasinya kerana aku tahu banyak tulisan-tulisan mengenainya. Tidak perlulah aku menambah-nambahkannya di blog ini.

Sebenarnya coretanku ini bertujuan untuk memberitahu kepada yang telah lewat berkahwin; ketahuilah bahawa apa yang Anda sedang alami itu adalah di antara ujian-ujian-Nya yang harus dilalui.

Gunakanlah kesempatan ini untuk membuktikan bahawa walau apapun berlaku, Anda tetap bersama-sama dengan-Nya. Usah difikir mengenai apa yang orang kata tetapi ketahuilah yang paling mustahak ialah apa yang akan DIA kata selepas melalui ujian itu. Adakah Anda berjaya atau sebaliknya?. Mengapa ujian itu ditimpakan kepada Anda? Saya pun tidak dapat menjawabnya, tetapi yang pasti, DIA maha mengetahui akan semua perkara;

Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk Syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan hartabenda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah? Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada agama Allah). (Al-Baqara, 2: 214)

Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman dan nyata pula apa yang diketahuiNya tentang orang-orang yang berdusta. (Al-Ankaboot, 29: 3)

Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar; (Al-Baqara, 2: 155)

Dan kahwinkanlah orang-orang bujang (lelaki dan perempuan) dari kalangan kamu, dan orang-orang yang soleh dari hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurniaNya kerana Allah Maha Luas (rahmatNya dan limpah kurniaNya), lagi Maha Mengetahui. (An-Nur, 24: 32)

Dan sememangnya tiadalah bagi Iblis sebarang kuasa untuk menyesatkan mereka, melainkan untuk menjadi ujian bagi melahirkan pengetahuan Kami tentang siapakah yang benar-benar beriman kepada hari akhirat dan siapa pula yang ragu-ragu terhadapnya. Dan (ingatlah) Tuhanmu sentiasa mengawal serta mengawasi tiap-tiap sesuatu. (Saba, 34: 21)

.
Baca selanjutnya, Klik di sini...

Rabu, April 01, 2009

Bloggers dan sifat-sifat mereka

Kali ini, saya ingin kongsikan lakaran ini yang diperolehi dari blog seorang rakan. Memang saya telah merubahnya sedikit bersesuaian dengan apa yang saya fahami. Barangkali adalah manafaatnya untuk saya dan Anda renung-renungi dan fikir-fikirkan bersama.

Seperti yang saya telah coretkan sebelum ini, seandainya pandangan ini kurang sesuai, buangkanlah ia jauh sejauh-jauhnya; Dikatakan bahawa;

Seorang yang berilmu, akan gemar berkata tentang ILMU...

Seorang Pemerhati, akan gemar berkata mengenai PERISTIWA...

Seorang Pengumpat, akan gemar berkata tentang hal-hal orang lain yang negatif sifatnya...

Seorang yang sombong, bongkah dan bangga diri, akan gemar berkata tentang KEHEBATAN DIRI SENDIRI...


Allah berfirman: Turunlah engkau dari Syurga ini, kerana tidak patut engkau berlaku sombong di dalamnya; oleh sebab itu keluarlah, sesungguhnya engkau dari golongan yang hina. (Al-Araf, 7: 13)

Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang sombong takbur dan membangga-banggakan diri; (An-Nisa, 4: 36)

Dan janganlah engkau memalingkan mukamu (kerana memandang rendah) kepada manusia, dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong; sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takbur, lagi membanggakan diri. (Luqman, 31: 18)

…dan (ingatlah), Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takbur, lagi membanggakan diri. (Al-Hadid, 57: 23)

(Juga bagi) orang-orang yang berkeadaan riak (bangga diri dalam ibadat dan bawaannya), (Al-Maun, 107: 6)

Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani. (Al-Hujraat, 49: 12)
Baca selanjutnya, Klik di sini...