Rabu, Mac 06, 2013

Penyelesaian Ampuh - Krisis Tentera Diraja Kesultanan Sulu dengan Kerajaan Malaysia

Apakah "pencerobohan" oleh Tentera Diraja Kesultanan Sulu di perairan Pantai Timur Sabah  akan berakhir sepenuhnya? khususnya selepas Operasi Sulu dan Operasi Darurat yang sedang dilaksanakan oleh Kerajaan Malaysia sekarang ini.

Saya melontarkan persoalan itu kepada Anda, kerana saya agak khuatir dengan kaedah penyelesaian yang sedang dilakukan sekarang ini.

Namun, sebagai rakyat Malaysia yang mendokong kepimpinan negara, saya sememangnya menyokong penuh segala taktik dan strategi yang telah dan yang akan diambil oleh pasukan keselamatan negara khususnya oleh pihak Polis Diraja Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia di dalam mempertahankan negara untuk menyelesaikan permasalahan tersebut.


Amat malang, apabila ada juga rakyat yang mempersoalkan dan mengatakan peristiwa yang berlaku ini hanyalah sebagai satu sandiwara politik pihak kerajaan. Lebih parah lagi bila mana individu dalam kelompok yang sama mengatakan pula bahawa anggota pertahanan yang terkorban sebagai "Anjing".

MasyaAllah!. Sampai begitu sekali kecurigaan mereka terhadap kepimpinan negara ini. Penawar yang lebih elok untuk mereka yang mempunyai sifat sebegini adalah dengan mendapatkan kerakyatan daripada negara selain Malaysia.


Begitu celupar! mulut mereka. Kalau ikutkan kebencian di dalam hati saya, individu yang berkata seperti itu mahu saja saya lemaskan di Laut Sulu. Atau barangkali lebih sesuai dilemaskan di Laut China Selatan oleh saudara-saudara di Semenanjung Malaysia.


Sehingga kini, korban peristiwa "Pencerobohan" adalah seramai 8 orang anggota Polis Malaysia di mana 5 daripadanya telah berlaku di Semporna, iaitu lebih-kurang 150 km jaraknya daripada Lahad Datu.


Adakah ini menunjukkan bahawa pihak "Penceroboh" telah berkembang sehingga ke daerah Semporna?


Coretan-coretan saya sebelum ini mengenai "Pencerobohan" di Lahad Datu, Sabah dengan kejadian Red Tide yang seringkali berlaku di perairan Pantai Barat, Sabah adalah luahan daripada hati nurani saya.

Untuk makluman Anda, Sahabat yang saya kasihi kerana DIA, ketahuilah bahawa kejadian Red Tide di perairan Pantai Barat Sabah memang tiada penyelesaian ampuh dilakukan oleh agensi-agensi yang bertanggung-jawab terhadap kejadian Red Tide di perairan Pantai Barat, Sabah.


Pada masa ini, pihak agensi-agensi yang terlibat hanya memantau kejadian tersebut dan bila mana berlaku, mereka akan mengwar-warkannya kepada masyarakat umum. Masalah tersebut memang tidak diselesaikan secara ampuh oleh agensi yang bertanggungjawab kerana mereka terlalu mempercayai bahawa fenomena Red Tide berlaku secara alami atau secara semulajadi. Lalu, tiada jalan penyelesaiannya.


Jawapan begitu barangkali hanya sesuai untuk mereka yang tidak mahu berfikir mengenai kejadian alam ciptaan tuhan.!


Apakah tuntutan ke atas Pantai Timur Sabah oleh Kesultanan Sulu juga akan menerima nasib yang sama? Moga-moga kaedah penyelesaian yang dilakukan oleh pihak Kerajaan Malaysia di dalam peristiwa "Pencerobohan" di Lahad Datu pada masa ini tidaklah bersifat sementara juga, iaitu hanya menyelesaikan peristiwa "pencerobohan", tetapi tidak menyelesaikan masalah yang menjadi akar umbi.



Saya yakin, api yang sedang menyala kini (merujuk pada tuntutan Kesultanan Sulu terhadap Sabah) akan terus membara dan bila-bila masa sahaja, akan menyala semula seandainya ada Angin yang meniupnya. Pasti, Apinya akan marak kembali.!

Pergolakan merebut tahta kekuasaan memang sudah lama berlaku di dalam sejarah ketamadunan manusia. Hatta di dalam Kesultanan Sulu itu sendiri, dek perebutan takhta, maka beberapa individu telah mengisytiharkan diri mereka sebagai pewaris kesultanan Sulu.



Pergolakan itu sedikit-sebanyak telah menyebabkan perpecahan di dalam masyarakat sulu, yang akhirnya membawa kepada pertautan dengan Kerajaan Malaysia kini.

Berbalik pada persoalan saya diawal tadi, selain daripada melihat dan meneliti laporan-laporan perkembangan peristiwa "Pencerobohan", adalah menjadi harapan saya sebagai rakyat Malaysia yang cintakan keamanan supaya Kerajaan Malaysia juga bersungguh-sungguh menyelongkar rahsia disebalik "Pencerobohan" yang telah berlaku.

Coretan saya yang lalu berjudul "Inikah yang diinginkan?... Tentera Diraja Kesultanan Sulu dan Kerajaan Malaysia" ada memuatkan beberapa pandangan berkisar mengenai peristiwa "pencerobohan" ini.

Selain itu, satu persoalan yang sedang bermain di minda saya ketika ini ialah Apakah "Pencerobohan" tersebut juga mempunyai perkaitan dengan penubuhan RCI, Pendatang Asing Tanpa Izin di Sabah? Mungkinkah juga temuan atau hasil dapatan daripada penyiasatan RCI itu kelak akan memunculkan lagi kesulitan di dalam pergolakan negeri Sabah di bawah bayu?.

Sesungguhnya, saya tidak dapat menggambarkan apakah yang akan terjadi sekiranya hasil dapatan daripada RCI, Pendatang Asing Tanpa Izin itu kelak menyuburkan lagi tuntutan-tuntutan di pihak-pihak yang lain pula.

Kemelut yang sedang berlaku ini, bukanlah satu perkara yang mudah. Ianya akan mempunyai rentetan-rentetan mendatang. Cuba Anda teliti laporan berjudul

 "Malaysian-Trained MNLF Fighters join Sulu Army", "
"Surat Raja Muda Agbimudin Kiram",
"Susur Galur Status Sultan Kiram",
"Penyelesaian Pencerobohan di Lahad Datu"

Lalu, sebelum saya mengakhiri coretan hari ini, izinkanlah saya memahatkan Firman Allah SWT yang terkandung di dalam surah ke 49 iaitu Al-Hujraat, ayat 13;

""Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu)".

0 Komen:

Catat Ulasan