Ahad, Februari 28, 2010

Godaan Syaitan Sebelum Bertemu Jodoh

Coretan sebelumnya yang terluah dari minda bersalut emosi (di sini) dikhususkan untuk Isteriku Yang Tercinta ingin dilanjutkan untuk Anda, Anda yang saya kasihi kerana DIA. Sebab itulah bila Anda menelaah lakaran emosi sebegini...., ada baiknya lagu indah yang saya selitkan sebelumnya diiringkan sekali lagi. Klik sahaja dibawa agar menjadi halwa telinga semasa menelaah.





Saya ingin meneruskan Coretan Minda bersalut Emosi mengenai Isteriku Yang Tercinta. Tetapi kali ini bersangkut paut pula dengan godaan syaitan durjana. Ianya mengisahkan peranan syaitan yang cuba menganggu gugat perasaan cinta yang terluah dari dua jiwa antara saya dan Isteriku Yang Tercinta. Sungguh! Saya cuba diganggu gugat oleh mereka – para syaitan durjana.

Sebab itulah saya teruja memberitahu kepada Anda bahawa pencarian jodoh pasti diganggu gugat oleh mereka – mereka yang menjadi musuh manusia, Syaitan Durjana.

Bukan sahaja semasa saya mencari-cari jodoh, bahkan gangguan mereka berterusan sehingga ke hari ini, lebih parah lagi setelah kami mendirikan bahtera perkahwinan seperti sekarang.

Syukur Alhamdulillah, kerana Tuhan Penguasa Alam Semesta yang menjadi benteng utama untuk saya berteduh dan memohon restu, sentiasa melebarkan rahmat NYA. Tanpa NYA, berkemungkinan bahtera perkahwinan yang terbina boleh hancur berkecai jadinya.

Perlu saya beritahu bahawa titisan air mata sememangnya berupaya menjadi penawar kepedihan hati yang dirasai. Petunjuk Ilahi pula menjadi pengubat yang amat mujarab di dalam melawan gangguan para syaitan yang ada kalanya berjaya menyusup masuk ke dalam hati sanubari yang dimiliki.

Saya juga tidak boleh menafikan kehebatan Isteriku Yang Tercinta di dalam mengubati luka-luka akibat tikaman para syaitan durjana. Air mata Isteriku Yang Tercinta sentiasa berupaya memadamkan api kepanasan dan melenyapkan tipu daya mereka – Syaitan Durjana. Kalau tersilap cara, boleh juga kecundang sebenarnya dan menyebabkan perkahwinan diakhiri perceraian. Na’uzubillah...

Biasanya perceraian berlaku bila keserasian sudah tiada. Realitinya, pembinaan bahtera rumahtangga perlu dilakukan sebaiknya, iaitu memadu dua jiwa menjadi SATU JIWA. Jiwa Isteri dan suami perlu bersatu erat seerat-eratnya agar usaha para syaitan durjana dapat dilumpuhkan akhirnya.

Andai isteri atau suami terlalai, para syaitan kelak berupaya mengambil kesempatan supaya bercerai berailah satu jiwa yang mengarah kepada NYA. Pembinaan Satu Jiwa perlu mengarah kepada NYA, DIA yang saya imani, Tuhan Penguasa Alam Semesta, Allah SWT.

Bahtera rumahtangga yang dibina akan hancur bercerai andai kedua-duanya, iaitu suami dan isteri ingin berperanan menjadi Nakhoda. Kedua-duanya menjadi keras kepala, tidak mahu mengalah dan masing-masing ingin diikuti kemahuan mereka.

Akhirnya hilanglah arah pelayaran bahtera perkahwinan sehingga terapung-apung tidak keruan tak tentu hala. Dipukul ombak yang dihasilkan oleh para syaitan durjana, dalam sekelip mata sahaja tenggelam ke dalam lautan kehidupan.

Bahtera perkahwinan harus ada seorang sahaja nakhodanya dan perlu berperanan sebaiknya. Andai terlelap seketika, haruslah dikejutkan dengan segera. Tetapi ingat!, kejutkanlah nakhoda secara berhikmah kerana salah satu sifat mereka yang ada, Ego dan berlagak betul di dalam semua perkara. :)

Opppssss… tersasar pula coretan tadi. MasyaAllah!

Saya nak kisahkan di sini tentang diriku digoda syaitan sebelum bernikah. Astagfirullah!. Melebih-lebih pula coretan sebentar tadi...

Tak apalah, saya teruskan lakaran tentang diriku digoda syaitan sebelum bertemu jodoh. Jujur saya beritahu bahawa pada pertemuan pertama dan julung-julung kali dilakukan oleh kedua orang tua saya dan orang tua Isteriku Yang Tercinta, hati saya menidakkannya. Konon-konon Isteriku Yang Tercinta tidak lawa ditambah pula berbadan besar gemuk gedempol.

Sungguh! Itulah naluri lelaki yang dibisikan ke dalam hati dan sanubari yang saya punyai. Pandangan mata memaparkan Isteriku Yang Tercinta tidak lawa, berbadan besar membuatkan saya tawar hati meneruskannya.

Beberapa hari saya berusaha memikirkannya dan berada di dalam dilemma – menerima atau menolak calon isteri yang dicadangkan oleh kedua orang tua saya.

Memang ketika itu Isteriku Yang Tercinta seolah-olahnya tiada seri dipandang mata, khususnya oleh saya. Lelaki pemalu. Cehhh!

Realitinya, majoriti keluarga saya mengatakan Isteriku Yang Tercinta cantik putih berseri membuatkan kebanyakkan lelaki tergila-gila dengannya. Itu menurut keluarga saya. Tetapi pandangan mata saya pula sebaliknya. Melihat bakal isteriku tak lawa ditambah pula berbadan besar gemuk gedempol. :)

Tetapi kini, saya tahu bahawa apa yang saya rasai dan lihat ketika itu adalah hasil bisikan para syaitan durjana. Rupa-rupanya syaitan durjana berusaha agar saya tawar hati meneruskan penyatuan dua jiwa insani.

Dan kini, saya berani mengatakan kepada Anda bahawa selepas bernikah dengan Isteriku Yang Tercinta, semua yang saya lihat dan rasai di dalam hati tentang dirinya terhijab akhirnya. Rupa-rupanya Isteriku Yang Tercinta bukan sahaja Cantik Putih Berseri seperti yang diberitahu oleh kelurga saya sebelum itu. Bahkan kecantikannya melebihi bidadari dari syurgawi, walaupun realitinya saya belum pernah melihat kecantikan bidadari sebenarnya. :)

Realitinya saya sebenarnya ingin memberitahu bahawa Isteriku Yang Tercinta sememangnya sedang bertahta di dalam hati sanubari yang saya miliki. Semoga Tuhan Penguasa Alam Semesta meredhai apa yang sedang kami lalui ketika ini. Lebih-lebih lagi setelah dianugerahkan sepasang cahaya mata bagi menyerikan bahtera perkahwinan yang sedang dilayarkan.

Sesungguhnya kesyukuran yang tidak terhingga saya panjatkan kepada NYA jua, Tuhan Yang Maha Esa, Allah SWT kerana memberikan nikmat sedemikian rupa. Semoga kebahagiaan yang dikecapi kini berkekalan sehingga ke hujung nyawa dan moga-moga berterusan pula sampai ke syurga. InsyaAllah.


Baca selanjutnya, Klik di sini...

Sabtu, Februari 27, 2010

Coretan Minda Bersalut Emosi Untuk Isteriku Yang Tercinta

Entri kali ini saya khususkan untuk Isteriku Yang Tercinta. Kalau Anda teringin sangat nak mengetahuinya, silakan... Saya tak kisah. Janji Anda suka membacanya.

Tapi entri kali ini saya iringkan sebuah lagu berirama indah bertintakan senikata yang menusuk kalbu. Itupun bagi yang dapat merasai keindahannya. Sebab itulah lakaran ini dikhususkan buat Isteriku Yang Tercinta.

Memandangkan sebelum bernikah saya tidak pernah bercinta dengannya, ada baiknya saya membuat warkah-warkah cinta untuknya di dalam blog ini. Saya yakin dia akan melihatnya. Kalau bukan hari ini, pasti suatu hari nanti. Moga-moga dia akan gembira bila menatap dan mendengarnya.

Andai dia ada perasaan kasih dan sayang, berkemungkinan mengalirlah air mata di pipinya nanti. Bukan kerana bersedih, barangkali kerana menghargai yang saya berikan di sini.

Memandangkan Anda masih teringin menelaah lakaran yang saya khususkan untuk Isteriku Yang Tercinta di sini, ada baiknya saya beritahu bahawa pertemuan dengannya berlaku hanya sekali sahaja sebelum kami mendirikan rumahtangga. Itupun dibantu oleh kedua orang tua saya.

Alhamdulillah, orang tua Isteriku Yang Tercinta juga bersetuju, maka termeterailah ikatan suami isteri antara diriku dengan dirinya, Dia yang saya namakan Isteriku Yang Tercinta.

Oleh kerana itu, saya teringin sangat dia mengetahui bahawa saya sememangnya amat mengasihi dan menyayanginya. Sebab itulah lagu ini ditujukan khusus untuknya. Moga-moga dia merasai emosi yang saya lontarkan di dalam lagu ini. InsyaAllah.









Baca selanjutnya, Klik di sini...

Jumaat, Februari 26, 2010

Perkahwinan dan Perceraian

Bila Anda tanya saya siapa yang bersalah andai perkahwinan berakhir dengan perceraian?, saya akan mengatakan wanita yang bersalah sebab tidak pandai menenangkan suaminya. Wanita sudah besar kepala sehingga tidak mahu lagi menurut kata-kata suaminya. Menentang pandangan suaminya sehingga emosi si suami tidak lagi dapat menzahirkan kasih sayang kepadanya. Bila mana itu yang berlaku, mulalah si suami mencari yang baru. Beralihlah kasih sayang suaminya kepada wanita baru.

Pandangan di atas saya zahirkan sekadar untuk Anda ketahui. Sebenarnya itu hanyalah pandangan cetek daripada saya yang menyebelahi lelaki. Maklumlah, saya ini kan lelaki... Mestilah membela lelaki sahaja.

Betulkah wanita yang bersalah?

Saya yakin, bila Anda yang bernama wanita mengetahui jawapan di atas yang saya luahkan, besar kemungkinan Anda akan emosi, mulalah sifat marah meresap sedikit demi sedikit ke dalam sanubari dan barangkali disusuli perasaan rajuk, tidak mahu lagi bertandang ke sini, ke blog Pedoman hidup ini.

Selain itu, saya juga yakin bahawa pelbagai jawapan balasan sedang berlegar-legar di dalam minda Anda sekarang. Betul kan...?

Memang Anda emosi bila jawapan di atas yang diberi. Usahkan Anda, saya sendiri pasti emosi bila lelaki yang dipersalahkan. :)

Tetapi, seandainya jawapan yang diluahkan di sini sebaliknya, iaitu lelaki yang bersalah, berkemungkinan Anda akan mengukir senyuman indah di wajah, terutama Anda yang bergelar wanita. Jangan nak berdalih mengenainya...

Bila mana saya menyangkal luahan kata yang diberikan di atas, dengan mengatakan lelaki yang bersalah, pasti adalah pula konon-konon bertindak rasional dengan mengatakan kedua-duanya yang bersalah, iaitu lelaki dan wanita. Cehhh! Adakah patut kedua-duanya dipersalahkan!

Mana boleh kedua-duanya yang bersalah. Mesti salah seorang yang bersalah sebab kalau tidak ada pemula, masakan ada pengakhirannya. Dalam erti kata lain, kalau ada yang memprovokasi, mesti ada reaksi.

Seumpama di awal percintaan sepasang kekasih. Kalau tiada yang memulakan, manakan pula menjadi sepasang kekasih. Kalau tiada yang bertanya, mana mungkin ada jawapan diterima.

Bagi yang lelaki, bila mana dipersalahkan di dalam hal-hal begini, ada kemungkinan besar mereka mendiamkan diri. Diam tidak bermaksud bersetuju dan tidak membuat apa-apa tindakan mengenainya. Sebenarnya ada tindakan yang mereka lakukan... Memang ada tindakan yang dilakukan oleh mereka. Sekurang-kurangnya mencari yang baru pula. :)

Untuk mengakhiri lakaran ini, saya ingin mengatakan bahawa realitinya, lelaki memang memerlukan wanita di dalam hidup mereka. Tanpa wanita, fikiran mereka akan sering berkecamuk dek tuntutan naluri. Tuntutan naluri yang sememangnya tersembunyi di dalam hati dan sanubari.

Sebab itulah, Anda yang bernama wanita, berhati-hatilah dengan mereka kerana mereka berupaya mencari Anda di mana sahaja Anda berada...

Opppsss... lakaran tadi sebenarnya tiada kena mengena dengan diri saya sebab saya teramat mengasihi dan menyayangi Isteriku Yang Tercinta. Dia sememangnya wanita yang terlalu saya kasihi dan sayangi. Anda yang bernama wanita selain Isteriku Yang Tercinta, usahlah pula menggoda saya kerana realitinya saya terlalu lemah bila dilanda musibah sebegitu rupa. Sungguh!

Saya terlalu lemah bila dipujuk rayu oleh insan yang bergelar wanita... Itulah saya insan lemah yang bergelar Lelaki.

Baca selanjutnya, Klik di sini...

Khamis, Februari 25, 2010

Lakaran Peribadi...2

Satu perkara yang saya paling suka lakukan semasa berada di rumah ialah membaringkan anakku lelaki di atas dada. Walaupun dada yang saya ada tidaklah luas ukurannya, tetapi anakku yang lelaki yang baru melepasi usia setahun amat suka dibaringkan di atas dada. Lebih-lebih lagi bila dia terkejut dari lenanya. Akan saya meletakkannya di atas dada sambil ditepuk-tepuk di belakangnya supaya tangisannya tidak berpanjangan.

Kehangatan tubuhnya amat luar biasa dapat saya rasai. Memang dia suka diperlakukan sedemikian rupa. Lebih-lebih lagi awal pagi ketika dia menyedari Isteriku Yang Tercinta sudah bangkit dari tidur dan sudah tidak berada di sisinya.

Isteriku Yang Tercinta pasti bangun awal subuh untuk menyiapkan pelbagai perkara. Termasuklah mempersiapkan anak kami perempuan yang baru bersekolah Tabika. Itulah rutin hariannya sebagai suri rumah tangga. Pada saya, hasil kerja Isteriku Yang Tercinta amat cemerlang sebenarnya. Tetapi ada kala juga saya berlakon konon-konon tidak puas hati dengan hasil kerjanya. :)

Sengaja saya meluahkan rasa tidak puas hati agar adalah peningkatan rutin harian yang dilakukannya. Realitinya, dia memang seorang Isteri yang amat bertanggungjawab pada suami. Sebab itulah saya amat mengasihi dan menyayanginya. Teringat saya pesanan seorang Akak yang mengatakan bahawa Isteriku Yang Tercinta seumpama sebutir berlian yang tiada tandingannya. Dia juga sempat menasihati saya agar menjaga dan memeliharanya dengan penuh hemah. :)

Walaupun tiada sijil-sijil penghargaan atau pengiktirafan yang diterimanya, tetapi perlu saya beritahu bahawa hasil kerjanya teramat cemerlang sebenarnya. Semoga Tuhan Penguasa Alam akan mengikhtirafnya, InsyaAllah.

Oppsss... Berbalik pada cerita mengenai anakku lelaki yang baru berusia setahun, sememangnya dia amat suka diletakkan di atas dadaku dan bila mana saya mengusap-usap belakangnya, ada kalanya dia terlena. Tetapi itu jarang-jarang berlaku. Hanya sekali-sekala sahaja sebenarnya. Ada kalanya saya tidak pun berupaya menidurkannya, dalam hal-hal sedemikian rupa, sebenarnya Isteriku Yang Tercinta lebih arif dan amat memahaminya. :)

Sungguh luar biasa kurniaan Tuhan yang Maha Esa di dalam hal-hal yang sedemikian rupa.

Bagi anak perempuanku yang sudah mencecah umur empat tahun dua bulan, dia juga sering berada di sisiku bila mana tidur malam. Terkadang semasa saya membaca blog rakan-rakan sebelum beradu, anakku yang perempuan akan memujuk rayu supaya segera tidur di sampingnya. Memang setiap malam dia akan beradu disisiku... Itu dulu.

Baru semalam, dia sudah belajar tidur sendirian di bilik yang berlainan. Alhamdulillah! Pada usianya yang baru empat tahun, dia sudah belajar tidur sendirian di bilik berasingan. Sebab itulah sengaja saya membuat satu lakaran pagi ini agar diketahuinya nanti bahawa malam tadi dia sudah mulai belajar tidur bersendirian.

Tadi, sempat juga saya memeriksa biliknya dan mendapati dia masih lagi dibuai mimpi. Sekejap lagi akan saya mengejutkannya kerana dia perlu pergi ke sekolah hari ini. Sekolah Tabika KEMAS namanya.

Semalam juga saya baru ketahui bahawa anakku yang perempuan ini sudah berupaya membaca surah Al-Fatihah. Bukan saya yang mengajarkannya, tetapi sekolah Tabikanya. Itu yang diberitahu oleh Isteriku Yang Tercinta.

Lagi satu, dia juga sering mengumandangkan lagu Negaraku Malaysia yang tercinta. Dengan lancar dia menyanyikannya. Beberapa hari yang lalu, sering sahaja saya mendengar lagunya. :)

Kalau lagu Negeri, sebenarnya dia masih belum berupaya melagukan ke semua rangkapnya. Masih tersekat-sekat. Apapun, syabas dan tahniah buat Cikgu sekolahnya. Sekolah Tabika KEMAS namanya.


Baca selanjutnya, Klik di sini...

Rabu, Februari 24, 2010

Coretan Untuk Adikku Lis = Norliswanah

Seperti biasa, semasa berehat-rehat, seperti sekarang, saya akan minum nescafe 3 dalam 1 yang dibekalkan oleh Isteriku yang Tercinta dari rumah. Nescafe 3 dalam 1 yang dilabelkan "mild" pada bungkusannya merupakan minuman kegemaranku. Itu memang diketahui oleh Isteriku Yang Tercinta.

Selain itu, masa rehat begini juga, saya akan gunakan untuk bersembang-sembang dengan Anda. Anda yang saya kasihi kerana DIA.

Wahhh! saya sememangnya teruja melihat paparan pada blog Pedoman Hidup ketika ini. Nak tahu kenapa?

Sebabnya ialah "The Most Popular Outgoing Link" yang bermaksud "Paling banyak di Klik" pada blog Pedoman Hidup sekarang ini ialah pada nama Lis. Barangkali ramai yang ingin mengetahui siapakah sebenarnya gadis bernama Lis?.

Lis adalah seorang adik perempuan yang bernama Norliswanah. Juga saya menggelarkannya --> Gadis Cantik Menawan Tetapi Seksi.

Di sebalik sifat itu, saya difahamkan dia juga adalah seorang gadis pemurah, walaupun agak seksi sebenarnya. Usahlah pula Anda menjadi seksa bila melihat wajahnya yang cantik menawan. Lebih-lebih lagi yang wanita. Kalau jejaka, saya rasa ada kemungkinan akan tertawan dek melihat jelitawan sepertinya. :)

Tak sangka pula dia menjadi paling popular di blog Pedoman Hidup ketika ini. Sebenarnya tersenyum-senyum saya memerhati perkembangan begini. Barangkali Anda yang bernama jejaka teringin sangat nak mengenalinya, atau barangkali ada juga wanita yang ingin bersahabat dengannya. Lis sebenarnya sedang berada di bandar Kota Kinabalu, negeri Sabah.

Tadi, saya cuba klik pada nama Lis yang dipaparkan pada blog Pedoman hidup ini, tetapi malangnya, paparan yang ditunjukkan ialah laman imotivasi hak milik adikku Shueqry.

Oleh sebab itu, kesempatan masa rehat begini saya gunakan untuk membuat satu coretan mengenai adikku Lis. Pastilah dikhususkan kepada Anda yang ingin mengenalinya. Lis adalah seorang adik perempuan yang saya gelarkan Gadis cantik menawan tetapi seksi. :)

Opppsss... Lelaki yang sudah berumahtangga usahlah pula tekial-kial nak mengoratnya. Berilah peluang kepada adik-adikku jejaka yang masih lagi tercari-cari jodoh mereka.

Sebelum ini saya pernah melakarkan coretan untuk adikku Lis pada bulan Oktober 2009 dan 16 Februari 2010 yang lalu. Coretan yang saya maksudkan ada di pautan ini, Coretan khusus untuk Lis dan yang ini, Seksi atau Seksa.

Sebetulnya saya tidak pernah berjumpa dengannya, tetapi hanya berkesempatan memerhati wajahnya di alam maya pada pautan ini, Lis @ Norliswanah. Kalau Anda nak tahu butiran peribadinya, klik sahaja di sini Gadis Cantik Menawan. Realitinya, saya tak pasti sama ada paparan itu adalah wajah sebenarnya atau sekadar hiasan semata. :)

Saya hanya mengenalinya di laman imotivasi hak milik adikku Shueqry yang begitu popular dicarian google dan yahoo. Sememangnya adikku Shueqry lebih mengenali adikku Norliswanah. Nak buat spekulasi tentang hubungan mereka berdua? Saya tak mahu terlibat sama kerana sememangnya hanya mereka berdua sahaja yang mengetahuinya. Sebab itulah mereka menjadi rakan baik di laman peribadi blogspot adikku Shueqry.

Kalau Anda jejaka yang masih lagi tercari-cari calon sesuai, apa salahnya berusaha mengoratnya. Sememangnya dia cantik menawan tetapi Seksi. Harap-harap adikku Lis tidaklah marah di dalam coretan ini. :)

Moga-moga adikku Lis akan diorat oleh seorang jejaka yang saya menggelarkannya Jejaka Bertakwa, InsyaAllah.


Baca selanjutnya, Klik di sini...

Selasa, Februari 23, 2010

Anda Memang Hebat!

Izinkanlah saya berkongsi mengenai perkara ini. Alhamdulillah, ruang masa yang ada ketika ini menyebabkan saya terdorong melakarkan coretan ini. Moga-moga adalah manafaatnya untuk renungan bersama.

Kejayaan Akademik adalah salah-satu aras penunjuk kepada pencapaian seseorang di dalam bidang tersebut. Tidak dinafikan bahawa pencapaian kekayaan, penunjuknya pula adalah nilai simpanan harta-benda yang ada di dalam akaun atau aset yang dipunyai.

Begitu juga dengan kejayaan menjadi Pekerja Cemerlang. Aras penunjuknya ialah bila mana memperolehi pelbagai sijil-sijil kecemerlangan di dalam kerjaya yang diceburi.

Dan begitulah pula halnya dengan kejayaan-kejayaan lain. Ada aras penunjuknya untuk membuktikan bahawa sememangnya Anda telah berjaya, mengecapi kejayaan.



Dalam coretan ini, saya ingin berkongsi dan menyatakan begini, --> mengapa harus dibandingkan kejayaan-kejayaan ini?

Realitinya, daripada kesemua kejayaan itu, kita perlu mengejar dan menggapai kesemuanya kerana setiap daripadanya ada kepentingannya masing-masing. Usah berdalih mengenainya.

Usaha perlu dilakukan agar setiap daripada kejayaan itu dapat digapai dan dikecapi bersama. Kalau boleh, kesemua kejayaan itu mesti diperolehi. Usahlah menafikannya. Kejayaan demi kejayaan perlu dipelajari dan dihadapi cabarannya seandainya inginkan kejayaan sepenuhnya.

Tetapi, harus juga diketahui bahawa setiap daripada kejayaan itu memerlukan pengorbanan berterusan agar dapat dikecapi nikmatnya nanti. Usahlah menafikannya dan terus-terusan berdalih mengenainya. Setiap daripadanya harus dikecapi semasa kehidupan ini.

Mengapa harus dikorbankan yang satu kalau kesemua kejayaan itu sebenarnya berupaya digapai? Mengapa harus diubati perasaan duka lara dengan hanya berkata seolah-olah hanya satu sahaja kejayaan yang diinginkan semasa menjalani kehidupan?.

Mengapa tidak digapai kesemua kejayaan-kejayaan yang disebutkan tadi?. Susah? Itulah peranan nasihat menasihati... Imam Al-Ghazali memberikan pesanan bahawa seorang muslim itu adalah cerminan kepada muslim yang lain.

Ketahuilah bahawa kejayaan kehidupan duniawi perlu ada aras penunjuknya, bukannya mudah hanya dengan melafazkan sesuatu yang boleh menenggelamkan segala usaha yang perlu dilakukan. Berkata memang mudah, tetapi lebih dalam daripada itu, sepatutnya diusahakan agar kesemua kejayaan dan kecemerlangan kehidupan duniawi dapat dinikmati. Mengapa?

Kerana itulah motivasi yang sebenar-benarnya yang seharusnya diketahui. Usah berdalih mengenai perkara ini. Lakukan sesuatu agar terbukti bahawa memang Anda hebat dan berjaya mengecapi kecemerlangan dan kejayaan-kejayaan duniawi.

Persoalan ini saya timbulkan di sini agar Anda mengerti bahawa ada sesuatu yang harus digapai bersama-sama semasa menjalani kehidupan ini. Itulah sebenarnya rahsia-NYA yang Maha Esa, Allah SWT.


"Mereka itulah yang tetap mendapat petunjuk dari Tuhan mereka dan merekalah orang-orang yang berjaya". (Al-Baqara, 2: 5)

"Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji) dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya." (Al-Imran, 3: 104)

"Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari Neraka dan dimasukkan ke Syurga maka sesungguhnya dia telah berjaya dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya." (Al-Imran, 3: 185)
Baca selanjutnya, Klik di sini...

Isnin, Februari 22, 2010

Lakaran Peribadi...1

Anda...
Sememangnya saya kasihi kerana DIA.

Terima kasih kerana terus berziarah ke sini. Walaupun Anda tidak berkongsi apa-apa di ruangan komentar blog ini, saya percaya yang Anda tetap inginkan pengisian di sini. Itulah realiti yang saya boleh rasai.

Sekali lagi saya ingin beritahu bahawa saya amat menghargai kesudian Anda bertandang ke sini sambil menelaah. Lebih-lebih lagi memaparkan Anda telah menjadi pengikut pada blog ini. Memang saya terlalu menghargainya. Terima kasih duhai adik-adikku yang saya kasihi kerana DIA. Memang saya terharu melihatnya.

Kalau saya perlihatkan wajahku yang terharu di sini, barangkali selepas itu saya akan tersipu-sipu malu. Sebab itulah hanya lakaran ini sahaja yang dapat saya luah untuk tatapan Anda.

Harap-harap akan dapatlah dirasai ikatan yang saya cuba jalinkan dengan Anda. Tetapi, seandainya tidak dapat dirasai ukhuwah ini, berkemungkinan belum cukup difahami mengenainya. Tidak mengapalah kalau itu yang berlaku. Barangkali suatu hari nanti, Anda akan kelak merasainya jua nanti.

Sengaja saya melakarkan satu coretan peribadi petang ini khusus untuk Anda yang saya kasihi kerana DIA supaya tidaklah tertanya-tanya ke mana perginya diri saya dua tiga hari ini.

Saya masih ada di sini.

Cuma kesempatan untuk membuat lakaran sering sahaja terhalang. Maaflah, kerana terlalu lewat memberitahu kepada Anda tentang ucapan terima kasih dan penghargaan begini.

Ketahuilah bahawa walau sesibuk manapun, saya akan tetap berusaha memberikan lakaran-lakaran untuk diteliti dan ditafsir mengenainya.

Anda tahu mengapa saya tetap berusaha sedemikian rupa? Bukan kerana bersaing dengan sesiapa. Jauh sekali kerana menyaingi kehebatan Anda yang sememangnya lebih hebat daripada saya. Memang bukan!

Sebabnya saya membuat lakaran-lakaran di sini adalah kerana saya amat mengasihi Anda. Pastilah kerana DIA. DIA yang saya imani iaitu Tuhan Penguasa Alam Semesta, Allah SWT. Saya juga ingin memberitahu di sini tentang kekuasaan-kekuasaan yang ada pada NYA.

Biasanya pada petang begini, saya gunakan masa terluang bermesra dengan keluarga atau kadang kala membuat latihan angkat berat di rumah. Latihan angkat berat saya lakukan di rumah untuk mengeluarkan peluh badan, selain ingin kelihatan segak bergaya di bahagian bahu dan dada. Cehhh! Macam minta puji pula cerita ini saya kongsikan di sini. Sebenarnya saya ingin bergurau-gurau dengan Anda sekarang ini.

Saya sebenarnya membuat latihan angkat berat menggunakan alat ”dumbell” iaitu mengangkat besi berat untuk membentuk bahagian bahu dan dada. Tetapi petang ini saya harus melupakan latihan itu kerana ingin membuat coretan untuk Anda.

Biasalah, bila mana kita dilema melakukan sesuatu perkara, akan berlakulah proses minda untuk membuat pilihan mana satu yang harus didahulukan.

Seperti sekarang ini, saya terpaksa melupakan latihan angkat berat menggunakan dumbell dan mengisikan masa yang ada petang ini dengan membuat satu coretan di blog Pedoman Hidup agar dapat ditelaah oleh Anda. Kemudian sajalah latihan angkat berat itu saya lakukan. Barangkali selepas solat isyak nanti. Latihan itu perlu dilakukan dua kali seminggu agar otot-otot yang dibentuk di bahagian dada dan bahu boleh berlaku. :)

Oklah, saya berhenti di sini dahulu. InsyaAllah di lain masa saya akan membuat lagi lakaran peribadi seperti ini. Pastilah khusus untuk Anda yang saya kasihi kerana DIA.
Baca selanjutnya, Klik di sini...

Sabtu, Februari 20, 2010

Membina Keyakinan Diri...1

Sesiapapun sebenarnya akan ditimpa pelbagai masalah semasa menjalani kehidupan dunia. Tidak kira siapapun dia. Hatta ahli motivasi yang sudah tinggi ilmunya, kelak akan ditimpa masalah. Bukan hanya remaja atau pelajar. Memang tidak!, Semua manusia di dunia pasti berhadapan dengan pelbagai masalah.

Cuma bezanya ada manusia yang menganggap masalah sebagai suatu yang amat sukar dilaksanakan, dan ada pula yang menganggapnya sebagai suatu cabaran untuk ditempuhi agar dapat diketahui tahap kehebatan diri.

Ada orang kata, kalau nak bina keyakinan diri, kena sentiasa berada di hadapan. Itu katanya, tapi bagi saya pula, kalau nak bina keyakinan diri, tidak semudah kena sentiasa berada di depan selalu. Memang tidak!

Membina keyakinan diri, haruslah lahir dari hati yang suci. Bila mana saya sebutkan hati yang suci, ianya bermaksud berpandukan pada petunjuk Ilahi. Bila mana melakukan sesuatu perkara diiringi oleh cahaya NYA, pasti akan timbullah keyakinan yang melebihi seratus-peratus tahap keyakinannya. Itupun kalau sudah diyakini kekuasaan yang dimiliki NYA.

Anda tak percaya? Saya tidak memaksa kerana cahaya Ilahi memang tidak dapat dilihat oleh deria mata, tetapi saya yakin ianya boleh dirasa. Seumpama hembusan angin yang dapat dirasai alirannya tetapi tidak berupaya dipandang oleh mata.

Keyakinan diri Anda akan terjelma semaksimanya andai perjalanan duniawi sentiasa diiringi oleh cahaya Ilahi. Saya memang pasti. Andai cahaya NYA mengiringi perjalanan kehidupan duniawi, akan terjelmalah keyakinan diri pada tahap maksima.

Iaitu bukan sekadar mempraktikkan sesuatu perkara mesti berada di hadapan. Memang bukan!. Suka juga saya menasihati agar bila mana melakukan sesuatu perkara, usahlah sekadar mengikut-ikut sahaja. Gunakanlah minda dan hati yang bersalut petunjuk Ilahi sebelum melaksanakan sebarang perkara. Kelak terzahirlah keyakinan diri Anda yang sesiapa pun tidak dapat mengukur tahapnya.

Anda perlu tahu mengapa melakukan sesuatu perbuatan dan bukannya di dorong dek melihat orang lain melakukannya, maka Anda juga terdorong membuatnya. Memang tidak!. Anda perlu melakukan sesuatu perkara bersebab, dan bukannya ikut-ikutan sahaja.

Seumpama orang kata kalau berada di dalam bas, ambil tempat duduk di bahagian hadapan walaupun tempat di belakang banyak yang kosong. Kalau berada di dalam kelas, pilih tempat duduk di depan walaupun ada 2-3 kerusi kosong di belakang. Dengan tindakan seumpama itu, keyakinan diri akan terbina nanti.

Saya nak tambah orang kata itu begini;

kalau dalam bas, tengok-tengok juga tempat duduk di bahagian hadapan. Kalau sudah dipenuhi lelaki, walaupun masih ada tempat kosong untuk diduduki oleh Anda yang bergelar wanita, usahlah pula paksa diri untuk duduk di bahagian hadapan yang bersebelahan lelaki dek konon-konon untuk membina keyakinan diri supaya tinggi. Takut-takut nanti bila bersebelahan mereka, ada keupayaan pula mereka meraba-raba Anda.

Begitu juga yang lelaki, bila mana tempat duduk hadapan sudah hampir dipenuhi wanita, usahlah pula menjadi miang-miang keladi nak duduk di bahagian hadapan yang dipenuhi wanita. Wanita pun ada kebolehan meraba-raba juga.

Opppssss.. sebenarnya saya ingin beritahu di sebalik itu agar nafsu yang dimiliki dapat dibimbing oleh akal dan hati, supaya roh yang dipunyai menduduki darjat yang tinggi. Dan bukannya sebaliknya di mana nafsu menguasai segala-galanya sehingga lupa akan kehebatan roh yang dimiliki.
Baca selanjutnya, Klik di sini...

Khamis, Februari 18, 2010

Akademik... Berusaha Memperolehinya

Abg teruja membacanya... sebab itu menzahirkan sedikit lakaran ketika ini. Anggaplah lakaran yang tidak seberapa ini sebagai sokongan buat adik berdua yang saya dikasihi kerana DIA. Paparan yang adik ukirkan itu sememangnya menarik perhatian saya. Apatah lagi ianya sedang membara dan barangkali akan menyala-nyala. InsyaAllah.

Duhai adikku berdua, baguslah kalau ada semangat sedemikian rupa kerana kelulusan akademik memang amat penting pada zaman ini. Akan adalah yang menafikannya, tetapi abg lebih terdorong memberitahu bahawa usah pedulikan kata-kata sebegitu kerana sebenarnya mereka ingin mengubati kekecewaan dek tidak dapat menggapainya.

Apa yang penting, berusaha mengejarnya, dan bukannya membuat pelbagai alasan. Apatah lagi membandingkannya dengan kejayaan-kejayaan yang lain, khususnya berbanding soal kekayaan.

Kejayaan akademik bukanlah bererti adik berdua akan kaya-raya. Memang bukan begitu keadaannya. Tetapi yang paling penting, kejayaan ini akan memberikan makna di dalam kehidupan. Sungguh! Ketahuilah bahawa ianya amat bermakna kerana tidak semua yang akan dapat merasainya, kecuali insan-insan yang ada kesungguhan untuk mengecapinya.

Pengalaman hidup yang kelak diperolehi semasa berjuang memperolehinya akan menceritakan pelbagai erti perjuangan di dalam kehidupan. Itupun kalau adik berdua ingin merasainya dan menghadapi cabarannya.

Ketahuilah juga bahawa setiap daripada perkara yang dilakukan pasti ada perbezaannya. Kejayaan memperolehi pelbagai kekayaan tetap ada keistimewaannya, dan begitulah juga halnya dengan kejayaan di dalam bidang akademik.

Perlukah abg menjelaskannya lagi? Barangkali tak perlulah kerana ada beberapa perkara yang kena dilakukan sekarang. Cukuplah barangkali setakat ini, moga-moga adik berdua akan berjaya mengecapi kejayaan akademik itu nanti. InsyaAllah.
Baca selanjutnya, Klik di sini...

Lia Nadia Qistina... Coretan untukmu

Ada orang kata, kalau nak bahagia, nak berjaya, nak gembira, Anda perlu mengubah persekitaran supaya menjadi positif. Persekitaran positif boleh diperolehi dengan merajinkan diri mencuci hati dan memprogramkan minda selama 7 saat sebelum tidur.

Menurutnya lagi, waktu malam sebelum tidur adalah masa yang paling sesuai untuk memprogramkan minda dengan cara membisikan di dalam hati “Ya Allah, cucilah otakku, hatiku kerana esok aku ingin menjadi orang yang baik, berjaya, ceria, bersemangat, aktif dan positif.

Wah! hebat juga saranannya.

Idea itu sebenarnya dilontarkan oleh seorang adik wanita bernama Lia Nadia Qistina. Sungguh cantik namanya, membuatkan saya terpinga-pinga mencari gambaran wajah yang dimilikinya. Mungkinkah seindah bidadari yang menduduki syurgawi? Entahlah…

Tetapi realitinya, saya sedang menatap setiap karya istimewanya. Sebab itulah saya teruja melakarkan kembali ideanya di dalam blog Pedoman Hidup ketika ini. Sekurang-kurangnya bila Anda berziarah ke sini, dapat jugalah ditatapi ukiran indah darinya, adikku Lia Nadia Qistina yang sememangnya istimewa untuk ditelaah. Ada baiknya saya menggelarkan dirinya adikku LNQ, barangkali :)

Disebalik itu, saya juga ingin menambah ayat NYA untuk renungan bersama yang terkandung di dalam surah As-Sajadah ayat 9, bermaksud;

“Kemudian Dia menyempurnakan kejadiannya, serta meniupkan padanya: Roh ciptaan NYA. Dan DIA mengurniakan kepada kamu Pendengaran dan Penglihatan serta Hati (Akal fikiran), (supaya kamu bersyukur, tetapi) amatlah sedikit kamu bersyukur.”

“Kemudian sesudah itu, hati kamu juga menjadi keras seperti batu, bahkan lebih keras lagi. Padahal di antara batu-batu itu ada yang terpancar dan mengalir air sungai daripadanya dan ada pula di antaranya yang pecah-pecah terbelah lalu keluar mata air daripadanya dan ada juga di antaranya yang jatuh ke bawah kerana takut kepada Allah; sedang Allah tidak sekali-kali lalai daripada apa yang kamu kerjakan.” (Al-Baqara, 2: 74)

“Apakah orang yang mengetahui bahawa apa yang diturunkan Tuhan kepada engkau itu sebenarnya sama dengan orang yang buta? Hanyalah orang-orang yang berakal dapat mengerti.” (Ar-Rad, 13: 19)
Baca selanjutnya, Klik di sini...

Selasa, Februari 16, 2010

Seksi @ Seksa

Harap-harap adikku yang cantik menawan tidak akan marah bila saya menggunakan tajuk di atas, seksi @ seksa. Barangkali memang dia tidak akan marah. Harap-haraplah, saya kena berfikiran positif di dalam hal-hal begini. Apatah lagi lakaran ini dikhususkan untuknya, adikku yang cantik menawan lagi seksi.

"Flying kiss" dan kerdipan mata saya lontarkan buatnya, Opppssss... bukan bermaksud ingin mengoratnya, OK.  Memang bukan!.

Kalau pun saya nak mengorat dia, pasti pakwenya marahkan saya.  Dan lagi, perlakuan mengorat begini sebenarnya telah saya khususkan untuk Isteriku Yang Tercinta sahaja. Bila mana Isteriku Yang Tercinta merajuk, saya akan berusaha mengoratnya agar merajuknya tidaklah lama. Memang ada kalanya saya mengorat Isteriku Yang Tercinta. Kalau ada kelapangan masa, mungkin saya akan kongsikan ceritanya dengan Anda - Petua Mengorat Isteri. :)

Oppsss... Sebenarnya entri ini saya lakarkan adalah kerana mengasihi adikku yang cantik menawan lagi seksi. Sungguh! saya membuat lakaran ini adalah kerana mengasihinya, dia yang saya gelarkan Adikku Yang Cantik Menawan Lagi Seksi. Saya tidak memaksa Anda mempercayai kenyataan saya ini. Memang tidak!.

Foto yang memaparkan wajah Adikku Yang Cantik Menawan Lagi Seksi, telah memperlihatkan bajunya terbelah di bahagian dada membuatkan saya tertunduk malu apabila menatapnya. Tak perlulah saya berlapik-lapik mengatakannya dan menzahirkannya di sini.

Bila mana saya melihat foto yang memaparkan wajahnya di laman itu, hati lelaki yang saya punyai akan membisikan yang dia sememangnya cantik menawan, tetapi seksi membuatkan saya seksa melihatnya. Sungguh! dia memang cantik menawan, tetapi seksi. Perlukah saya mengulang-ulang perkataan cantik menawan dan seksi ini? Rasanya tak perlulah kot, sebab saya yang seksa jadinya. :)

Satu lagi yang saya nak zahirkan ialah sebenarnya kelelakianku ada kalanya tercabar dek melihat fotonya. Kenyataan ini saya tidak memaksa Anda mempercayainya kerana ianya hanyalah luahan hati dari seorang lelaki seperti saya yang sebenarnya telah berumah-tangga.


Wahai anak-anak Adam! Sesungguhnya Kami telah menurunkan kepada kamu (bahan-bahan untuk) pakaian menutup aurat kamu dan pakaian perhiasan dan pakaian yang berupa TAKWA itulah yang sebaik-baiknya. Yang demikian itu adalah dari tanda-tanda (limpah kurnia) Allah (dan rahmatNya kepada hamba-hambaNya) supaya mereka mengenangnya (dan bersyukur). (Al-Araf, 7: 26)

Wahai anak-anak Adam! Janganlah kamu diperdayakan oleh Syaitan sebagaimana ia telah mengeluarkan kedua ibu bapa kamu dari Syurga, sambil dia menyebabkan terlucutnya pakaian mereka berdua untuk memperlihatkan kepada mereka: aurat mereka (yang sebelum itu tertutup). Sesungguhnya Syaitan dan kaumnya melihat kamu dengan keadaan yang kamu tidak dapat melihat mereka. Sesungguhnya Kami telah menjadikan Syaitan-syaitan itu teman rapat bagi orang-orang yang tidak beriman. (Al-Araf, 7: 27)

Setelah itu maka Syaitan membisikkan (hasutan) kepada mereka berdua supaya (dapatlah) dia menampakkan kepada mereka akan aurat mereka yang (sekian lama) tertutup dari (pandangan) mereka, sambil dia berkata: Tidaklah Tuhan kamu melarang kamu daripada (menghampiri) pokok ini, melainkan (kerana Dia tidak suka) kamu berdua menjadi malaikat atau menjadi dari orang-orang yang kekal (selama-lamanya di dalam Syurga). (Al-Araf, 7: 20)

Kemudian mereka berdua memakan dari pohon itu, lalu terdedahlah kepada mereka aurat masing-masing dan mereka mulailah menutupnya dengan daun-daun dari Syurga dan dengan itu derhakalah Adam kepada Tuhannya, lalu tersalah jalan (dari mencapai hajatnya). (Taha, 20: 121)

Dengan sebab itu dapatlah dia menjatuhkan mereka berdua (ke dalam larangan) dengan tipu dayanya. Setelah mereka memakan (buah) pohon itu, terdedahlah kepada mereka berdua aurat masing-masing dan mereka mulailah menutupnya dengan daun-daun (dari) Syurga. Serta Tuhan mereka menyeru mereka: Bukankah Aku telah melarang kamu berdua dari pokok itu dan Aku katakan kepada kamu, bahawa Syaitan itu adalah musuh kamu yang nyata? (Al-Araf, 7: 22)

Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka atau saudara-saudara mereka atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam atau hamba-hamba mereka atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.  (An-Nur, 24: 31)
Baca selanjutnya, Klik di sini...

Isnin, Februari 15, 2010

Perjalanan Hidup Harus Diteruskan

Apapun, abg doakan semoga adik berjaya mengatasi segala kesulitan yang telah dialami. Anggaplah ianya sebagai satu hikmah di dalam menempuhi kehidupan duniawi. Setiap sesuatu pasti ada rahsianya yang tersendiri.

Nasihat abg, usah dilihat yang menyakitkan, tetapi renungi dan singkapi keindahan yang tersembunyi disebalik keperitan perasaan yang dialami. Kelak akan adalah rahsia alam yang terbongkar untuk menyinari perjalanan kehidupan ini agar tersuluhlah onak dan duri yang sering melingkari perjalanan duniawi.

Mungkin ada yang masih tidak mengerti disebalik keperitan yang dialami. Apatah lagi tergamak menambahkan dosa-dosa duniawi. Malanglah andai itu yang berlaku…

Sungguh! amat malanglah yang terjadi seperti itu. Ketahuilah bahawa setiap yang berlaku pasti mengajarkan kita sesuatu. Merujuk pada ilmu, supaya diketahui nanti bahawa DIA yang menjadi penentu segala apa yang terjadi. Kita merancang, DIA jua yang menentukan.

Andai dari ketentuan NYA membuatkan kita leka iaitu menjadi jauh dari NYA, amat malanglah perjalanan hidup seterusnya. Sebab itu nasihat abg untuk renungan bersama, jadikanlah sesuatu yang berlaku sama ada menggembirakan atau memeritkan, sesuatu yang harus mendekatkan kita kepada NYA jua.

Ketahuilah bahawa perjalanan dunia harus mengarah kepada NYA supaya pengakhiran hidup kelak berada di samping NYA. Renungilah ayat-ayat NYA dibawah agar adalah cahaya NYA menyuluh kegelapan hati ketika ini. Moga-moga kelak tersingkap sebahagian daripada rahsia duniawi yang sedang dilalui ketika ini;



Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk Syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan hartabenda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah? Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada agama Allah).   ( Al-Baqara, 2: 214)

Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman dan nyata pula apa yang diketahuiNya tentang orang-orang yang berdusta.   (Al-Ankabut, 29: 3)

Oleh itu Allah memberikan mereka pahala dunia (kemenangan dan nama yang harum), dan pahala akhirat yang sebaik-baiknya (nikmat syurga yang tidak ada bandingannya). Dan (ingatlah), Allah sentiasa mengasihi orang-orang yang berbuat kebaikan.  (Al-Imran, 3: 148)
Baca selanjutnya, Klik di sini...

Ahad, Februari 14, 2010

Lelaki Pemanas


Lelaki Pemanas atau boleh juga digelar Lelaki Pemarah memang ramai yang tidak suka. Lebih-lebih lagi wanita. Saya tahu mengenainya melalui Isteriku Yang Tercinta. Ditambah pula luahan kata-kata berupa komen daripada adik wanita yang saya menamakannya Gadis Cantik Menawan.

Sememangnya adik itu cantik menawan kerana bila melihat fotonya yang dipaparkan pada blog itu, kelelakianku tercabar. Lebih-lebih lagi lelaki seperti saya yang telah mendirikan rumahtangga. Betul!

Tersembul-sembul nafsu lelakiku bila melihat fotonya yang terdedah pada belahan dada. Opssss… mengapa pula saya bercerita mengenainya. Bukankah lakaran ini memberitahu mengenai Lelaki Pemanas!.

Anda perlu tahu bahawa saya barangkali boleh dikategorikan sebagai Lelaki Pemanas. Kalau tak percaya, cuba baca entri ini;



Saya akui bahawa marah adalah sifat semulajadi manusia, dan saya tetap mengatakan bahawa sifat ini juga kadang kala boleh menjadi sifat terpuji andai dipimpin menggunakan pandangan tiga dimensi iaitu 3D.

Lebih-lebih lagi disuluh menggunakan cahaya Ilahi. Pasti adalah kejayaannya nanti. Kalau gadis mengharapkan jodohnya seorang lelaki yang bukannya pemanas, rasanya sampai ke tualah dia tidak akan memperolehi calon suaminya.  Sungguh!   Jujur saya beritahu ni. Kalau sifat pemanas tidak ada pada suami, saya pasti wanita yang harus ada sifat malunya akan bermaharajalela.

Astagfirullah! Saya terpaksa menghentikan lakaran ini kerana anak lelaki saya yang berada di sisi ketika ini sering sahaja mengganggu. Umurnya baru setahun. Saya terpaksa menjaganya sekarang kerana Isteriku Yang Tercinta sedang tidur ketika ini dek kepenatan. Hari ini banyak kerja dilakukannya dek membantu ibunya menguruskan adik lelakinya yang kacak bergaya. Adik lelakinya akan ditunangkan dengan kekasihnya esok hari. Mudah-mudahan majlis esok hari akan berjalan lancar.

Astagfirullah… makin menjadi-jadi pula anakku ini mengganggu. Ada baiknya saya berhenti di sini dahulu. Tetapi sebelum beredar, saya ingin kongsikan hadis Rasulullah SAW yang saya pernah baca di dalam kitab shahih muslim yang bermaksud “Pahlawan yang gagah perkasa bukanlah yang berjaya menumpaskan ramai musuh, tetapi dia yang dapat menahan marahnya.”

Saya juga pernah membaca kisah ini;

Syaitan pernah memberitahu Nabi Musa bagaimana dia mendekati manusia supaya melakukan perbuatan dilarang agama dengan katanya: “Tiga perempat daripada masa yang paling baik untuk aku menggoda manusia ialah sewaktu mereka dalam keadaan marah, kerana pada masa itu aku boleh mempermainkan hati mereka seperti sebiji bola.”

Daripada Abu Hurairah r.a. dikisahkan bahawa seorang lelaki bertanya kepada Nabi SAW

“Berwasiatlah kepadaku”

Lalu Nabi s.a.w menjawab:

“Janganlah engkau menjadi seorang yang pemarah.”

Orang itu mengulangi permintaan beberapa kali, Nabi s.a.w menjawab:

“Janganlah engkau menjadi seorang yang pemarah.”



Baca selanjutnya, Klik di sini...

Sabtu, Februari 13, 2010

Cek Nuffnang ke-3, Menjana Pendapatan Blogger...3

Cek daripada pihak Nuffnang Sdn Bhd buat kali ketiga telah diterima kelmarin dan kelmarin jugalah saya telah memasukkan cek itu ke dalam akaun bank Isteriku Yang Tercinta menggunakan mesin pendeposit cek.

Jumlah yang diterima tidaklah seberapa, tetapi berbanding dua cek sebelumnya, nilai kali ini lebihlah sedikit. Realitinya, saya amat bersyukur menerimanya ditambah pula melihat senyuman indah daripada Isteriku Yang Tercinta. Sememangnya penama cek nuffnang hasil daripada blog Pedoman Hidup telah dipahat nama Isteriku Yang Tercinta sebenarnya.

Blog Pedoman Hidup aktif diisikan entri sejak awal bulan Mac 2009 yang lalu dan cek pertama diterima pada bulan Ogos 2009, diikuti bulan Oktober dan kini bulan Februari 2010.

Setinggi-tinggi terima kasih diucapkan kepada pihak Nuffnang Sdn Bhd kerana sudi memberikan bayaran begini. Juga tidak dilupa, Anda, yang sudi mengklik iklan-iklan yang terpapar di sini.

Kepada Anda, saudaraku yang dikasihi kerana DIA, sekiranya belum memahami pendapatan begini, saya sudi mencurahkan ilmu ini, InsyaAllah. Percuma sahaja, seandainya Anda ingin mengetahuinya. Paling penting, Anda ada keinginan mencuba dan berusaha untuk mengetahuinya bila mana saya ajarkan kepada Anda.

Dan kepada yang telah memahami pendapatan begini, sekiranya telah mengklik iklan-iklan di sini, usahlah pula terlupa meninggalkan jejak agar saya dapat membalasnya dengan mengunjungi dan mengklik iklan pada blog yang Anda miliki. Semoga kerjasama begini mengeratkan lagi ukhuwah sesama kita. InsyaAllah.

Oh ya, untuk pengetahuan Anda, kali ini, sebahagian daripada pendapatan yang diperolehi akan saya dermakan pada tabung anak-anak yatim. Sengaja saya memberitahu kepada Anda kerana seperti yang dimaklumi, kewujudan blog Pedoman Hidup bukanlah bermatlamatkan mengaut keuntungan. Memang bukan!

Ianya diwujudkan agar dapat dijadikan wadah untuk saya meneruskan usaha-usaha yang pernah dilakukan sebelum ini. InsyaAllah, di lain masa akan saya perincikan kepada Anda. Anda yang sememangnya saya kasihi kerana DIA.

Selain itu, saya juga berharap agar usaha Anda mengklik iklan-iklan Nuffnang di dalam blog Pedoman Hidup akan mendapat keberkatan dari NYA jua. Anggap sahajalah seolah-olah bila mana Anda mengklik iklan-iklan di sini, akan menjadi sebahagian daripada derma yang tidak disedari.

Akhir sekali, saya juga ingin memberitahu bahawa sebahagian daripada nilai yang diterima akan saya khususkan buat Isteriku Yang Tercinta kerana dia telah mengizinkan saya menggunakan masa di rumah membuat lakaran dan juga contengan agar dapat ditatap bersama-sama di dalam blog Pedoman Hidup.


Keizinan yang diberikannya amat saya hargai sebenarnya, sebagaimana yang pernah saya beritahu sebelum ini di dalam coretan Warkah Buat Teman. Andai ada kesempatan, lihat juga lakaran ini;



Baca selanjutnya, Klik di sini...

Khamis, Februari 11, 2010

Petua Mendapat Jodoh... bhg 2

Sebelum balik ke rumah, ada baiknya saya menyambung lakaran Petua Mendapat Jodoh yang terluah semasa berehat-rehat pukul 3.15 petang tadi sambil meminum nescafe 3 dalam 1 yang bungkusannya dilabel “mild“ bermaksud mengandungi kopi sederhana sahaja. Isteriku Yang Tercinta sering membekalkan paket nescafe 3 dalam 1 bila turun bekerja. Memang saya menggemari minuman ini, Nescafe 3 dalam 1.

Baiklah, saya sambung sahaja coretan bertajuk Petua Mendapat Jodoh... bhg 2. Bahagian ini saya dahulukan untuk lelaki.

Kalau lelaki mempunyai paras rupa yang kacak dan bergaya, pasti ramai wanita yang tergila-gilakannya. Sungguh! Wanita memang suka melihat lelaki kacak, tampan dan hebat. Kalau dalam ertikata lain, yang handsome sahajalah. Bila mana Anda di dalam kategori handsome, nasihat saya usah telalu dibuai mimpi indah, apatah lagi menjadi alpa sehingga terlupa mendirikan rumah tangga...

Sampai bila Anda ingin mengecapi nikmat berpasang-pasangan? Apatah lagi sampai ke tahap berhibur semata. Lebih parah lagi, sampai ke tahap melakukan dosa-dosa yang tak sepatutnya? Sampai bila sebenarnya nak dilayan nafsu sedemikian rupa? Sampai bila?

Anda boleh menukar pasangan berlipat kali ganda banyaknya. Boleh, kalau Anda mahu sebegitu rupa. Memang boleh. Tapi ingatan yang saya boleh luahkan di sini ialah sampai bila baru Anda puas melakukannya? Sampai ke tua?

Ingatlah, bila Anda dah tua, tiada siapa lagi yang peduli. Wanita pun ada had kemahuan mereka. Takkanlah pula dah tua bangka baru Anda tersedar mengenainya - mendapatkan jodoh. Ketika itu pun saya tak pasti sama ada kelelakian Anda masih berfungsi. Heheheee

Perkara sedemikian, lebih baik saya serahkan kepada Anda memikirnya. Ingat! Umur Anda akan terus meningkat dan Anda tidak akan menjadi muda semula. Siapa lagi yang Anda harapkan di kemudian hari, kalau bukan zuriat sendiri...

Kata-kata ini saya lontarkan buat Anda yang bergelar lelaki kacak, tampan, handsome atau istilah lain, ramai wanita yang meminatinya.

Bagi yang kacak, tampan, handsome dan ramai peminatnya, pilihlah pasangan Anda secepat mungkin. Apapun yang berlaku selepas itu, redhalah dengan ketentuannya kerana apa sahaja yang berlaku di dunia ini sebenarnya merupakan ujian-ujian yang harus dilalui. Mungkin berjaya dan ada kemungkinan juga akan gagal.

Tetapi ingat! kejayaan dan kegagalan di dunia sementara sahaja. Kehidupan akhirat sememangnya lebih bermakna kerana di situ kekal abadi selama-lamanya. Paling penting, berusaha sekuat tenaga menggapai apa yang diingini. Pilihan tetap di tangan Anda dan masa yang berlalu tidak akan kembali. Anda akan menjadi tua jua nanti.


Wahai sekalian manusia! Bertakwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam) dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya Hawa) dan juga yang membiakkan dari keduanya zuriat keturunan lelaki dan perempuan yang ramai dan bertakwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-yebut namaNya, serta peliharalah hubungan (silaturrahim) kaum kerabat; kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawas) kamu. (An-Nisa, 4: 1)


Dialah (Allah) yang menciptakan kamu semua dari diri yang satu dan Dia mengadakan daripada hakikat itu pasangannya (diri suami isteri), untuk bersenang-senang (bertenang tenteram) satu diri kepada yang lain. Ketika suami mencampuri isterinya, mengandunglah dia dengan kandungan yang ringan, serta teruslah dia dengan keadaan itu (ke suatu waktu). Kemudian ketika dia merasa berat (dan menaruh bimbang) berdoalah suami isteri itu kepada Tuhan mereka (dengan berkata): Sesungguhnya jika Engkau (wahai Tuhan kami) mengurniakan kami nikmat yang baik, tentulah kami menjadi orang-orang yang bersyukur. (Al-Araf, 7: 189)

Dan Allah menjadikan bagi kamu dari diri kamu sendiri pasangan-pasangan (isteri), dan dijadikan bagi kamu dari pasangan kamu: Anak-anak dan cucu-cicit, serta dikurniakan kepada kamu dari benda yang baik lagi halal; maka patutkah mereka (yang ingkar itu) percaya kepada perkara yang salah, dan mereka kufur pula akan nikmat Allah? (An-Nahl, 16: 72)




(Akan saya sambung pula petua bagi yang merasa tak seberapa kacak... heheheee)
Baca selanjutnya, Klik di sini...

Petua Mendapat Jodoh... bhg 1

Masa terluang ketika ini saya gunakan berkongsi petua dengan Anda, Anda yang saya kasihi kerana DIA. Moga-moga perkongsian begini adalah manafaatnya.

Petua mendapat Jodoh pasti ramai yang ingin mengetahuinya. Terutama yang bernama wanita. Kalau lelaki, tak jadi masalah. Lelaki yang belum bertemu jodoh berkemungkinan tidak berusaha sehabis yang boleh. Kalau mereka sudah berusaha, mestilah telah memperolehinya, bukan?. Satu lagi masalah yang ditempuhi lelaki ialah mereka terlalu memilih. Nakkan yang cantik-cantik sahaja, walhal rupa tak kacak mana pun. Heheheeee

Kalau lelaki yang ada rupa, lain pula masalahnya. Nak wanita yang kaya-raya. Kebiasaannya, lelaki yang ada rupa menjadi rebutan wanita dan mulalah dia jual-jual mahal pula. Mempergunakan wanita pun ada. Ceh! Menyampah pula saya. Maklumlah, saya ni pun lelaki. Ibarat cubit peha kiri, peha kanan pun terasa sakitnya.

Alamak, timbul pula idea saya mengenai kerja yang saya nak bereskan sebentar tadi. Terpaksalah berhenti di sini. Nanti saya akan sambung lagi ye...
Baca selanjutnya, Klik di sini...

Rabu, Februari 10, 2010

Petua Menyuburkan Kasih Sayang Dengan Pasangan

Tiba-tiba pula saya terjaga dari tidur ketika ini, iaitu pukul 2.13 pagi. Sebenarnya perut saya terasa sakit dan pedih dek dimasuki angin barangkali. Kebiasaannya bila berlaku seperti ini, akan saya minta bantuan Isteriku Yang Tercinta.

Tetapi disebabkan dia sedang tidur lena di samping sepasang anak kami ketika ini, terpaksalah saya melakukannya sendiri. Tidak berupaya pula saya mengejutkan Isteriku Yang Tercinta sekarang ini. Maklum sajalah, saya amat mengasihi dan menyayanginya. Ada baiknya saya melakukannya sendiri dengan membubuh ubat minyak geliga sambil meyapu rata di atas permukaan perut saya.

Alhamdulillah, adalah rasa kelegaan sedikit daripada rasa pedih dan sakit tadi. Oleh kerana saya sudah terjaga ketika ini, amat sukar untuk saya melelapkan mata semula.

Sungguh! Bilamana terjaga dari tidur seperti sekarang ini, sukar untuk saya lelap kembali. Oleh sebab itu, saya mengambil peluang sekarang membuat lakaran untuk berkongsi dengan Anda walaupun realitinya perut saya masih belum sembuh sepenuhnya.

Perut saya dimasuki angin berkemungkinan disebabkan makanan yang saya telah jamah malam tadi di sebuah hotel terkemuka. Sebenarnya saya bersama rakan-rakan lain telah diberikan penghargaan dan diraikan oleh majikan tempat kami mencari nafkah bagi mengikhtiraf pencapaian tahun lalu. Alhamdulillah, saya diberikan dua Sijil Penghargaan diiringi wang tunai masing-masing bagi setiap sijil sebanyak RM300.00 dan RM 800.00.

Syukur yang tidak terhingga dipanjatkan kepada NYA jua kerana memberikan nikmat seperti ini untuk saya kecapi. Maha Suci Allah kerana memberikan nikmat sedemikian rupa.

Berbalik pada lakaran ini, sebenarnya saya ingin berkongsi satu petua dengan Anda, seperti yang saya nyatakan di atas. Menyuburkan Kasih Sayang Dengan Pasangan.

Sebenarnya petua ini ada kalanya saya lakukan. Seperti sekarang ini... walaupun perut saya masih lagi belum sembuh sepenuhnya :)

Kebiasaannya bilamana terjaga dari tidur, ada baiknya dilakukan petua ini. Lagi bagus kalau didahului atau disusuli dengan bersembahyang tahajjud. Itupun kalau Anda mahu menyirami kasih sayang dengan keberkatan. Tapi kalau Anda tidak mahu, tak payahlah melakukannya, nanti sia-sia pula masa yang ada. Saya ni pun, sejujurnya bukanlah kerap sangat bersolat tahajjud. Sebab itulah barangkali cahaya Ilahi amat sukar diperolehi, sampai sekarang masih lagi tercari-cari. :)

Untuk melakukan petua yang saya nyatakan, caranya ialah dengan merenung wajah pasangan Anda semasa dia tidur lena. Renung wajahnya dan ingat kembali kebaikan-kebaikan yang telah dilakukannya kepada Anda. Usah diingat keburukannya pula, nanti kasih-sayang yang diingini bukannya bertambah subur, tetapi berkubur pula jadinya.

Bila mana mengingati kebaikan-kebaikan yang dilakukan oleh pasangan Anda, ingatlah sehabis mungkin dan lahirkan di dalam hati doa kepada Tuhan Yang Maha ESA, semoga diberkati perhubungan yang dijalinkan dengan pasangan.

Lagi bagus kalau kandungan doa itu diisi dengan pengharapan agar perhubungan itu berpanjangan sehingga ke syurga dan mengiringinya dengan linangan air mata keinsafan. Moga-moga tercapailah lubuk jiwa yang menyimpan pelbagai rahsia tersembunyi di dalamnya.

Selitkan juga doa memohon kepada Tuhan Yang Maha ESA agar apa yang Anda rasai ketika itu akan dirasakan jua oleh pasangan Anda.

Cubalah rasai sendiri petua ini. InsyaAllah, akan adalah cahaya kasih sayang yang terpancar darinya nanti. Saya doakan semoga Anda akan berjaya melakukannya. :)
Baca selanjutnya, Klik di sini...

Selasa, Februari 09, 2010

Menelaah Untuk Tafsiran Minda

Tengahari ini saya terdorong mengisikan satu entri baru di dalam blog Pedoman Hidup. Moga-moga bila menelaahnya Anda akan senang hati nanti. Yalah, sejak semalam tiada entri baru di sini. Sekurang-kurangnya contengan begini dapatlah diperhati untuk membina mahligai minda yang dikehendaki, InsyaAllah...

Kali ini saya tidak mahu melakar lebih-lebih, sekadar ingin memberitahu berkenaan laman yang baru sahaja saya jenguk sebentar tadi. Betul-betul mencuit naluri saya untuk diberitahu kepada Anda. Anda yang saya kasihi kerana DIA.

Saya teruja memberitahu kepada Anda mengenainya kerana ada rahsia yang terselit di sebaliknya untuk menguji minda yang kita miliki. Itupun kalau Anda ingin mengetahuinya. Kalau Anda ingin melalui ujian begini, rasailah sendiri. Nak tahu laman yang saya singgah sebentar tadi? Capaiannya ada di sini, Klik sahaja ...... Teka Kata Laluan ......

Saya tak mahu kata lebih-lebih kerana masing-masing kita yang bertanggungjawab nanti. Namun, saya suka dengan lontaran komen dari Kay Azhar yang berbunyi;

"Mungkin kasih sayang terhadap haiwan, Mungkin ikhlas dalam melakukan kerja dan Mungkin juga jujur."

Jawapan yang diberi oleh Kay Azhar amat saya sukai dan saya tidak mahu menambahkannya lebih-lebih di sini kerana saya lebih terdorong menunggu keputusan yang adil dan saksama.

Biarlah ianya diadili seadil-adilnya. Apapun keputusannya, seharusnya kita meneruskan sahaja perjalanan kehidupan ini. Hukuman Allah SWT sememangnya lebih adil dan lebih hebat balasannya di akhirat nanti kerana DIA maha Melihat dan Maha Mengetahui hubungan Jim dan haiwan-haiwan itu. Semoga yang benar akan ditunjukkan kepada kita nanti.


Kalaulah mereka keluar bersama kamu, tidaklah mereka menambahkan kamu melainkan kerosakan dan tentulah mereka segera menjalankan hasutan di antara kamu, (dengan tujuan) hendak menimbulkan fitnah (kekacauan) dalam kalangan kamu; sedang di antara kamu ada orang yang suka mendengar hasutan mereka dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui akan orang-orang yang zalim. (At-Taubah, 9: 47)

Lalu mereka berkata: Kepada Allah jualah kami berserah. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau jadikan kami landasan fitnah kesengsaraan bagi kaum yang zalim ganas. (Yunus, 10: 85)

(Yang demikian) kerana Allah hendak menjadikan hasutan Syaitan itu sebagai satu fitnah cubaan bagi orang-orang yang ada penyakit kufur ingkar dalam hati mereka dan yang hatinya keras membatu dan sesungguhnya mereka yang zalim itu sentiasa berada dalam pertentangan yang jauh dari kebenaran. (Al-Hajj, 22: 53)

Yang suka mencaci, lagi yang suka menyebarkan fitnah hasutan (untuk memecah belahkan orang ramai); (Al-Qalam, 68: 11)
Baca selanjutnya, Klik di sini...

Ahad, Februari 07, 2010

Perlakuan Positif @ Negatif seumpama Law of Attraction @ Law of Rejection

Salamelekom, wbt duhai adikku yang saya kasihi kerana DIA
Sekuntum "flying kiss" abg terbangkan untukmu jua. Moga-moga bergembiralah selalu hendaknya.

Izinkanlah abg berbicara seketika ini. Bukan berlagak takbur apatah lagi sombong, na’uzubillah. Coretan ini sekadar ingin menggapai suruhan Ilahi di dalam Kitab Suci yang terkandung pada surah 103, cuma tiga ayat sahaja di dalamnya. Itulah surah Al-Asr namanya – berkaitan Waktu sebenarnya.

Realitinya, abg masih belum dapat menangkap fikiran negatif yang adik luah. Sungguh! abg masih belum berupaya memahaminya. Barangkali dek keterbatasan kuasa minda yang saya ada.

Lagipun Law of Attraction saya tidak pernah praktikkan. Paling selalu saya hanya memanjatkan DOA kepada Tuhan Yang maha ESA. Di sebalik Law of Attraction, saya percaya dan yakin ada juga Law of Rejection. Kedua-duanya adalah kehendak Ilahi yang Maha Pengasih dan Penyayang untuk manusia fahami mengapa berada di sini, di dunia ini...

Sebab itulah saya selalu memohon Doa petunjuk dari Ilahi di dalam hal-hal yang begini. Apalah sangat kuasa minda yang saya ada ketika ini... paling pasti, saya akan berusaha di dalam pelbagai perkara untuk menggapai setiap cita-cita dan keinginan menggunakan deria 3D yang saya miliki. Tiga D yang saya maksudkan ialah pendengaran, penglihatan dan Akal Fikiran Mata Hati. Moga-moga apa yang dikehendaki akan tercapai nanti, ditambah petunjuk Ilahi agar diberkati setiap usaha di dunia ini.

Sama ada Law of Attraction atau Law of Rejection, kedua-duanya akan saya syukuri dan redhai bila mana pelbagai usaha telah dilakukan untuk menggapai cita-cita yang diinginkan. Bukanlah sekadar dikhayal-khayalkan ;) Apatah lagi sekadar dibayang-bayangkan sahaja seolah-olah berserah pada alam semesta untuk memberikannya. Memang Tidak!.

Lebih baik saya berusaha bersungguh-sungguh dan menggapai setiap apa yang diinginkan dan dicita-citakan. Saya akan menggunakan minda sedar saya sepenuhnya. Mengapa saya harus menggunakan minda separa sedar pula? Minda saya memang sempurna ciptaannya. Kalau menggunakan separa sedar sahaja khuatir pula diiringi para tentera durjana yang kelak memesongkan akidah saya. Nau'zubillah!

Pastilah juga selain menggunakan minda sedar sepenuhnya, saya tidak lupa untuk memohon keberkatan dengan berdoa sentiasa kepada NYA, Tuhan Yang Maha Esa, Pemilik segala keajaiban dunia.

Kepada NYA jua saya berserah dan bertawakkal, pastilah apa yang berlaku atas ketentuan NYA jua. Attraction atau Rejection adalah hukum alam yang amat besar manafaat NYA dikecapi di dalam kehidupan duniawi. :) Apatah lagi saya ini hanyalah seorang Insan yang masih lagi belajar pelbagai Ilmu-Ilmu yang ada termasuklah mencari-cari cahaya Ilahi agar dapat diguna di dalam kehidupan duniawi.

Attraction atau Rejection, seumpama positif atau negatif. Kedua-duanya bertentangan, berbeza dan mengandungi pelbagai makna, tetapi andai dapat dijadikan satu, pastilah ada manafaatnya ;)

Bersederhana di dalam setiap perkara. Wasatiyah namanya.

Seumpama kehidupan dunia yang penuh warna-warninya. Andai kesemua warna disatukan, akan terpancarlah sinaran putih. Menurut ilmu sains, bila mana pelbagai warna menjadi satu, akan terpancarlah sinaran putih. Dan bila mana warna putih ini diserakkan, akan terbongkarlah pelbagai warna di dalamnya, seumpama serakan pelagi yang berupaya memancarkan tujuh warna kesemuanya, terlalu indah paparannya pada penglihatan mata... Tetapi ingat!, ianya sementara sahaja. Akan hilang jua keindahannya.

Saya paling suka melihat warna biru sebenarnya. Sebab itulah di dalam blog Pedoman Hidup dipaparkan banyak warna biru. Gambar hiasan yang terpampang di atas blog Pedoman Hidup ini adalah mengenai dunia. Ianya mengandungi warna biru dan ada juga warna kehijauan ditengah-tengahnya. Warna hijau terhasil dari pohon-pohon yang subur menghiasi daratan, manakala di atas pula, warna biru bercampur tompokan-tompokan putih. Barangkali ada yang perlu dimengerti?

Oppssss… apa hal pula saya berbicara mengenai warna ketika ini.

Perlu saya jelaskan bahawa warna yang dinyatakan tadi tiada kena mengena dengan parti politik di Malaysia. Biru bukan bermaksud BN atau PKR, manakala Hijau pula bukan bermakna PAS. :)

Oh ya, saya sebenarnya ingin berkongsi mengenai positif atau negatif. Sebenarnya saya nak beritahu bahawa yang mengetahui baik buruknya sesuatu perkara pastilah Allah SWT. Siapalah saya yang ingin mengambil peranan sedemikian rupa. Paling pasti, di dalam kehidupan duniawi, saya tetap inginkan petunjuk NYA di dalam melakukan pelbagai perkara.

Positif tidak semestinya baik dan sebaliknya pula yang negatif belum tentu jahat kerana yang mengadilinya nanti adalah DIA, Tuhan Yang Maha ESA. Di sebaliknya, yang bertanggungjawab ke atas semua perkara yang telah dilakukan adalah diri kita masing-masing. Pembalasan akan dirasai di akhirat sana.

Seumpama saya menconteng-conteng ketika ini, saya pasti tidak semua menyukainya. Akan ada yang sakit hati barangkali... Maafkanlah saya andai itu yang berlaku.

Saya menconteng di sini bukanlah berkehendakkan popular, apatah lagi berlagak hebat, untuk bersaing dengan Anda sebagai seorang blogger. Memang bukan begitu maksud saya melakar di sini. Ketahuilah bahawa saya hadir di dunia maya ini adalah kerana amat takutkan DIA. DIA yang saya kenali Tuhan Yang Maha ESA, Allah SWT. Masih lagi terngiang-ngiang di telinga, ayat yang dipesan NYA.

“Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu di dalam kerugian; Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.” (Al-Asr, 103: 1 – 3)

Apa yang saya lakukan di sini, semata-mata mengharapkan keredhaan NYA jua. Itu adalah pengukur sebenar mengapa saya terus berusaha melakar di sini. Saya tetap yakin bahawa kalau berkehendakkan yang baik-baik, diri kita haruslah merasai kehadiran NYA. Kalau tidak pun dapat merasai kehadiran NYA di sisi, ketahuilah bahawa sebenarnya DIA sedang memerhatikan setiap gerak geri pada setiap ketika. InsyaAllah, akan adalah cahaya NYA diguna untuk menyuluh kehidupan duniawi.

Positif belum tentu mengatasi yang negatif kerana kedua-duanya tetap ada baik-buruknya. Itulah yang saya ingin kongsikan. Seumpama Attraction atau Rejection, kedua-dua hukum alam ini belum tentu mengatasi antara satu sama lain ;) DIA jua yang mengetahui segala-galanya.

Satu perumpamaan yang saya boleh berikan di sini ialah ramai manusia mengatakan bersembahyang itu baik. Bersolat memanglah baik, siapa-siapa pun tidak menyangkal bahawa perbuatan solat atau sembahyang memang baik. Tetapi pernahkah adikku membaca peringatan NYA ini?

“Sebab itu celaka untuk orang-orang yang bersembahyang” (Al-Maun, 107: 4)

Bilamana Allah SWT memberi peringatan Celaka! ia tidaklah sama seperti mana diungkapkan oleh manusia. Meminjam kata-kata seorang motivator Malaysia, Sama-samalah kita renung-renungkan... Dan Selamat Beramal. ;)
Baca selanjutnya, Klik di sini...

Sabtu, Februari 06, 2010

Kuasa yang mengatasi segala-galanya... Law of Rejection

Kali ini saya ingin melanjutkan coretan mengenai Ilmu Kekuasaan. Saya terdorong berkongsi mengenainya kerana rasa khuatir yang ada di dalam hati yang saya miliki. Sebab itulah saya ingin berkongsi dengan Anda. Luahan hati seperti ini. Moga-moga adalah keberkatannya. Pada NYA jua saya berserah.

Sudah banyak buku atau ebook barangkali yang membicarakan mengenai Kuasa Minda. Saya tidak menyangkal pelbagai tafsiran yang diluah di dalam ilmu-ilmu yang sedemikian rupa. Izinkanlah pula saya berbicara di luar konteks kebiasaannya. Kerisauan saya seolah-olah penggemar kuasa minda sudah melangkaui segala-galanya. Sebab itulah di dalam lakaran saya dahulu ada berkata-kata mengenainya Kuasa Minda VS Kuasa Allah.

Allah SWT maha berkuasa. Kuasa NYA melebihi segala-galanya. Sebab itulah kita kena sentiasa memohon kepada NYA. Bukan selainnya. Apatah lagi pada minda yang separa sedar sahaja sifatnya. Ada kalanya tersasarlah keupayaannya. Barangkali di dalam minda yang sedar sepenuhnya akan percayalah kekuasaan Tuhan Yang Maha ESA, tetapi bilamana minda separa sedar menguasainya, berkemungkinan perbuatan yang digambarkan adalah sebaliknya.

Termasuklah perbuatan bersembang-sembang dengan minda sendiri seolah-olah hukum alam yang begini bersifat Attraction pada kemahuan yang diingini. Namun, minda sedar saya tetap berkata, orang yang bersembang-sembang dengan diri sendiri seumpama gila barangkali.

Bukankah lebih baik masa yang ada ketika itu digunakan untuk berbicara kepada NYA? sambil-sambil memuji kekuasaan NYA? Tuhan yang Maha ESA yang memiliki segala-galanya. Sememangnya DIA sedang memerhati segala gerak-geri di dunia ini.

Berceritalah dengan NYA kerana DIA sememangnya terlalu dekat dengan diri kita. Itupun kalau Anda mahu merasainya. Perasaan yang begitu dinamakan Keimanan sebenarnya.

Kalau di dalam Ilmu Penarikan atau Law Of Attraction diterangkan keupayaan minda menarik apa sahaja yang dibayangkan, seumpama berkata-kata menggunakan minda dengan alam semesta, nasihat saya usahlah meminta pada alam semesta kerana alam semesta juga diciptakan oleh NYA.

Alam semesta telah diciptakan oleh Tuhan Pencipta Sekelian Alam dan ia tidak mahu memikul tanggungjawab untuk menjadi khalifah di dunia.

Manusialah yang telah bersetuju memikul tanggungjawab ini – menjadi khalifah di dunia.

Mengapa pula tiba-tiba memohon bantuan alam semesta? Apatah lagi bersembang-sembang menggunakan minda dengan alam semesta. Bukankah perbuatan bersembang-sembang dengan minda diistilahkan gila? ;)

Saya tidak memaksa Anda memgikuti nasihat ini kerana kuasa minda yang saya ada sememangnya terlalu terbatas untuk mendorong Anda melakukan sedemikian rupa. Minda saya terlalu takut mengkhayalkan perbuatan yang sedemikian. Pastilah takut pada Tuhan Yang Maha Esa, Allah SWT yang telah menciptakan saya.

Pada saya, lebih baik terus sahaja mengadu kepada Tuhan Pencipta dan memohon pertolongan NYA untuk mengatasi pelbagai masalah dunia. Kelak DIA menunjukkan kekuasaan yang luar biasa, di luar kemampuan minda untuk memikirkannya.

Kalau minda separa sedar sahaja yang diguna, saya khuatir akan adalah tentera-tentera durjana mengiringinya. maklumlah, ianyakan separa sedar sahaja.

Minda separa sedar kelak tidak berupaya memikirkan segala keajaiban dunia yang terhasil oleh kuasa NYA. Berfikir memang boleh, tetapi andai cara berfikir diiringi tentera-tentera durjana, maka sia-sialah buah fikiran yang terhasil.

Selain daripada Law of Attraction, ada juga Law of Rejection. Law of Rejection tidak dinyatakan di dalam buku The Secret. Tetapi saya menyatakannya di sini, di dalam blog Pedoman Hidup agar Anda mengetahui.

Law of Rejection sebenarnya boleh diguna untuk mengenali siapakah sebenarnya diri kita, dicipta untuk memudahkan kita, untuk mencemerlangkan kita bukan setakat di dunia, tetapi melangkaui sehingga ke akhirat, kehidupan yang kekal abadi.

Jika Anda baca Kitab Suci lalu fikirkan sedalam-dalamnya mengapa Law of Rejection ada, pasti mata hati akan terbuka untuk mengenali kehidupan dunia yang sering memperdaya. Kita ada tujuan di sini. Mengapa tidak digali? Adakah kerana kemewahan dan kekuasaan menghijab diri?

Fikiran usahlah bertumpu ke arah satu hala sahaja, tetapi lihatlah menggunakan pandangan yang saya istilahkan tiga dimensi iaitu 3D – pendengaran, penglihatan dan Mata Hati Akal Fikiran supaya kelak melalui 3D ini, kita ditemukan perkara yang baik-baik bukan hanya di dunia, tetapi melangkaui selepas kehidupan ini. Syaratnya, kenalah berpandu pada petunjuk Ilahi.

Law of Rejection adalah respon pada emosi yang cepat dipengaruhi oleh pelbagai perkara. Oleh itu, berusahalah sedaya upaya melakukan yang terbaik buat diri sendiri. Tidak semestinya bila mana memperolehi kebaikan, baiklah namanya. Terkadang bila ditimpa musibah, juga kebaikan sebenarnya. Itupun kalau sudah dimegerti Law of Rejection dan menggunakan minda sempurna untuk memikirkannya dengan sebaiknya. Usah diguna minda separa sedar untuk berfikir, pasti tidak sempurnalah paparannya... ;)

Terkadang bila diberikan sesuatu oleh seseorang, kita merasa kita memperolehi kebaikan, tetapi realitinya, orang yang melakukan pengorbanan dengan memberikan sesuatu kepada kita sebenarnya lebih baik kerana melakukan sesuatu kebaikan untuk menggembirakan saudara atau teman-temannya. Tetapi, kebaikan itu belum cukup baiknya andai dilakukan bukan semata-mata kerana DIA. Pasti sia-sialah perbuatan yang sedemikian rupa.

Bila mana terlalu membayangkan sesuatu perkara, boleh sampai ke tahap mengkhayal sebenarnya. Paling penting, daripada mengkhayal-khayal sebegitu rupa, adalah lebih baik ditekadkan di dalam diri melakukan sesuatu agar tercapai apa yang dimahu.

Ingat! Lakukanlah sesuatu yang dimahu itu adalah semata-mata kerana DIA. Bila mana perbuatan yang dilakukan didorong kerana keimanan iaitu mempercayai bahawa DIA sememangnya sedang memerhati setiap gerak dan tingkah laku ini, saya percaya akan adalah sinar cahaya NYA mengiringi kehidupan ini. Kalau tidak pun di dunia, InsyaAllah, dipenghujung perjalanan dunia, dan moga-moga berterusanlah pula hingga ke akhirat sana.

Untuk membuat Law of Rejection respon pada kemahuan, kenalah sentiasa meredhai segala ketentuan NYA selepas melakukan sedaya upaya usaha untuk menggapai apa yang dicita.

Redhalah dengan ketentuan NYA. Tidak semua apa yang dimahu akan diperolehi andai dimengerti mengenai kehidupan duniawi. Orang berjaya boleh dilihat dengan mata semasa di dunia, tetapi siapa yang melihat kejayaan selepas kehidupan dunia?

Ukuran kejayaan selepas kehidupan dunia tiada siapa yang dapat mengukurnya kecuali DIA, Tuhan yang Maha Esa, Allah SWT.

Perjalanan hidup ini ada tujuannya. Bukan sekadar mencari harta kemewahan atau pangkat kekuasaan, tetapi di sebalik itu semua, kenalah digali bersama kerana ianya tugas masing-masing di antara kita. Mengapakah kita ada di sini – di dunia ini?.

Jawapannya, saya tidak mahu berikannya di sini kerana saya sendiri sebenarnya masih lagi tercari-cari cahaya Ilahi. :(
Baca selanjutnya, Klik di sini...

Khamis, Februari 04, 2010

Menjana Pendapatan Blogger... 2

Menjana Pendapatan Blogger...1


Adikku tidak perlu menjadi orang lain. Jadilah seperti sekarang ini. Ketahuilah bahawa sememangnya adik mempunyai kelebihan berbanding orang lain.

Berkaitan dengan blogger, saya tidak menafikan bahawa ianya adalah salah satu kerjaya yang boleh diceburi tetapi buat masa ini, saya berani mengatakan bahawa kerjaya seorang blogger hanya boleh dilakukan sebagai kerja "partime job". Ini kerana pulangan pendapatan yang diperolehi tidaklah seberapa.

Adikku perlu berusaha melakukan sesuatu selain menjadi seorang blogger agar pendapatan kelak dapat menampung bukan sahaja diri sendiri tetapi juga keluarga dan bakal keluarga yang dibentuk kelak.

Bukanlah maksud abg di sini adik meninggalkan terus kerja seorang blogger. Adik memang masih boleh melakukannya, tetapi biarlah pada masa yang sama, adik juga ada pendapatan selain daripada memperolehi pendapatan blogger.

Ini kerana seperti yang telah abg nyatakan, pendapatan seorang blogger masih tidak mencukupi untuk adik mencipta sesuatu untuk keluarga banggakan. Saya berani mengatakan bahawa perjuangan itu masih jauh!. Adik perlukan sesuatu sekarang ini iaitu pendapatan untuk menampung diri sendiri, keluarga dan bakal keluarga yang dibentuk kelak.

Elakkan bermain-main dengan perasaan dan lebihkanlah usaha di dalam mengejar kejayaan. Kejayaan yang abg maksudkan ialah dalam erti kata pendapatan yang mencukupi untuk diri adik dan famili. Memang blogger ada pendapatan tetapi saya tetap mengatakan bahawa ianya masih tidak mencukupi dan jumlahnya masih terlalu kecil.

Oleh itu, nasihat saya, buatlah usaha yang lebih sedikit agar keluarga yang diimpikan bakal terbentuk dan akhirnya dapat memberikan nafkah kepada mereka. Moga adikku memahami apa yang abg nyatakan di sini.

Abg juga ingin melihat adikku berjaya bukan sekadar sebagai seorang blogger, tetapi lebih jauh daripada itu ialah seorang insan yang bernama adikku. Ketahuilah bahawa adik juga hebat sebenarnya. Berusahalah agar kehebatan ini diiktiraf oleh NYA, InsyaAllah.


"Maka pada hari itu, tiada seorang pun yang diperlakukan secara tidak adil biarpun sedikit, dan kamu tiada diberi pembalasan melainkan apa yang telah kamu kerjakan. Sesungguhnya orang-orang yang mendiami syurga pada hari itu bersenang-senang dalam pekerjaannya." (Ya Sin, 36: 54 - 55)
Baca selanjutnya, Klik di sini...

Rabu, Februari 03, 2010

Doa Setulus Hati

Salamelekom,wbt duhai Adikku,

Tersentuh hati bila membaca warkah itu. Moga-moga akan berkekalanlah perasaan gembira di hatimu duhai Adikku. Hanya Doa yang dapat abg luahkan buat sementara waktu. InsyaAllah, ada kelapangan, akan abg buatkan lakaran mengenainya.

Sesungguhnya, Kejayaan Hidup di dunia boleh dikira banyaknya, tetapi siapa yang mengetahui Kejayaan selepas kehidupan dunia? Pastilah hanya DIA yang mengetahuinya.

Semoga Adik akan terus mendapat kekuatan dan dilimpahi dengan kecerdasan akal untuk mentafsir segala persoalan pada setiap permasalahan yang menimpa. Ingat! lebih baik diselesaikan setiap masalah daripada dibiarkan begitu sahaja. Tidak mungkin ada bebelan andai ada kebaikan, dan tidak mungkin ada kebaikan andai tidak diusahakan kaedah penyelesaian.

Sebagai tambahan, tiada maknanya sesuatu usaha andai tidak dipohon Doa kepada NYA. Tidak akan ada makbulnya Doa andai tiada ketulusan hati memintanya. Ketulusan hati meminta akan terserlah andai adalah pemahaman mengenai NYA.


(Amalkanlah perkara-perkara itu) dengan tulus ikhlas kepada Allah, serta tidak mempersekutukan sesuatu pun dengan NYA dan sesiapa yang mempersekutukan sesuatu yang lain dengan Allah maka seolah-olah dia jatuh dari langit lalu disambar oleh burung atau dihumbankan oleh angin ke tempat yang jauh (yang membinasakan). (Al-Hajj, 22: 31)

Dan mintalah ampun kepada Tuhan kamu, kemudian kembalilah taat kepadaNya. Sesungguhnya Tuhanku Maha Mengasihani, lagi Maha pengasih. (Hud, 11: 90)

Bahkan sesiapa yang menyerahkan dirinya kepada Allah (mematuhi perintahNya) sedang dia pula berusaha supaya baik amalannya, maka dia akan beroleh pahalanya di sisi Tuhannya dan tidaklah ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka dan mereka pula tidak akan berdukacita. (Al-Baqara, 2: 112)

Salam ukhuwah dari saya, abgbent.
Baca selanjutnya, Klik di sini...

Menjana Pendapatan Blogger... Perkongsian Buat Adikku Hawa

Pada masa ini, blog atau laman web digunakan untuk mengiklankan sesuatu barangan sama ada barangan itu dipunyai sendiri atau menggunakan iklan-iklan yang sedia ada untuk dipaparkan pada blog atau laman web yang dipunyai sendiri.

Empunya blog juga berpeluang mengikuti pelbagai peraduan atau lain-lain pertandingan yang dianjurkan bila mana melawati blog rakan-rakan yang lain.

Kebanyakan mereka yang berjaya adalah mengiklankan barangan sendiri di dalam laman web atau blog sendiri. Penjualan melalui laman web kini telah berkembang pesat kerana audiensnya terdiri daripada penduduk daripada pelbagai pelosok dunia.

Hawa nak belajar? boleh abg tunjukkan sebab tadi semasa melawat blog atau laman-laman web yang Hawa ada, abg pasti Hawa boleh mengiklankan sesuatu di situ.

Wah! bukan main cantik lagi blog Hawa ya. Sampai empat blog yang Hawa telah wujudkan... Mungkin Hawa boleh iklankan sesuatu di dalam blog-blog atau laman-laman web itu, untuk menjana pendapatan sendiri.
Baca selanjutnya, Klik di sini...

Selasa, Februari 02, 2010

Motivasi 1 - Berjalan Di Dunia, Menyelesai Masalah, Mencari Ketenangan Jiwa

Sebenarnya saya tertarik membaca luahan hati seorang adik yang bernama Siti. Sebab itulah saya melakarkan coretan ini, di blog Pedoman Hidup. Moga-moga ianya bermanafaat untuk menyuluh ranjau berduri di sepanjang perjalanan duniawi.

Syabas! duhai adikku Siti kerana berusaha mencari semangat diri. Tatapilah coretan-coretan begini, moga-moga adalah manafaatnya nanti untuk kebaikan bersama.

Ketahuilah bahawa tiada sesiapa yang dapat membantu, kecuali diri kita sendiri. Oleh itu, bilamana adik mengatakan "mencari kata-kata semangat melalui internet untuk membangunkan diri sendiri", saya mengagumi sifat begitu. Bukannnya mudah mendapat kekuatan begini sebenarnya. Selayaknyalah adikku Siti mengecapi kejayaan nanti kerana berusaha melakukan sesuatu untuk faedah sendiri.

Memang saya tidak menafikan tekanan kerja harian terlalu mencabar. Pelbagai kerja-kerja harian kena disiapkan mengikut waktunya. Tekanan... memanglah Tekanan...

Tetapi nasihat saya, usahlah difikirkan kesemuanya itu sebagai tekanan kehidupan. Seharusnya difikirkan perbuatan-perbuatan sedemikian sebagai sebahagian daripada Ibadah kepada NYA. Lebih penting lagi, berusahalah memikirkan kaedah penyelesaian pada setiap masalah atau tekanan yang menimpa.

Lebih baik digunakan masa yg ada ketika ini untuk menyelesaikan setiap tugasan yang ada daripada memikirkan tugasan itu sebagai sebuah masalah berpanjangan. Lebih-lebih lagi sekiranya di dalam minda diimaginasi seolah-olah masalah itu terlalu sukar dan sudah tiada lagi kaedah penyelesaiannya. Memang tak baik untuk kesihatan minda andai berfikir sebegitu rupa.

Saya pernah melakarkan satu coretan mengenai Mencari Masalah atau Menyelesai Masalah. Coretan itu sebenarnya berlakar sedikit abstrak. Harap-harap akan terbukalah mata hati di dalam menafsirkannya.

Bilamana pemikiran selalu sahaja terhala ke arah sukar melaksanakan setiap tugasan, pastilah motivasi diri menurun. Dan seterusnya, tidak berusaha menyelesaikan setiap daripada tugasan yang ada. Dalam erti kata lain, tidak berusaha menyelesaikannya satu persatu. Saya istilahkan perbuatan sedemikian sebagai tidak mahu lagi berusaha mempelajari ilmu-ilmu-NYA di dunia ini.

Nasihat saya, berusahalah dan gunakanlah pemikiran yang ada untuk menyelesaikan setiap daripada tugasan yang ada, lebih-lebih lagi setiap daripada masalah yang timbul harus diselesaikan satu persatu. Ingat! urai dan selesaikan satu persatu...

Seumpama mencari semangat diri melalui internet ketika ini, moga-moga lapanglah minda dan seterusnya mengorak langkah menafsirkan setiap daripada masalah yang tertimpa pada diri-sendiri. Perbuatan sedemikian lebih baik daripada membiarkan tugasan harian, permasalahan atau tekanan perasaan berlegar-legar di dalam minda dan ditafsirkan seolah-olah sudah tiada lagi kaedah penyelesaiannya.

Semua penyakit pasti ada ubatnya. Begitu juga dengan perasaan duka. Salah satu daripada ubat kedukaan adalah menangis. Menangis merupakan penawar yang amat mujarab merawat perasaan yang duka lara.

Kalau ada sesiapa menyatakan jangan menangis, saya pula berpandangan sebaliknya. Menangislah... menangislah Anda sepuas-puasnya, tetapi ingat! menangis di hadapan-NYA. Usah menunjuk-nunjuk tangisan Anda pada orang lain. Nanti diejek pula oleh mereka.

Menangislah dan berdoalah di hadapan NYA agar jiwa yang duka lara mendapat ketenangan semula. Berdoalah kepada NYA agar tekanan perasaan yang dihadapi dapat dirawati. Rasailah bahawa DIA ada di sisi sentiasa, agar mendapat bimbingan dan kekuatan semula. Kalau Anda tidak dapat merasai kehadiran NYA, yakinilah bahawa DIA sedang memerhatikan setiap gerak langkah semasa berjalan di dunia.

Saya ulangi, menangislah di sisi-NYA, kerana sesungguhnya DIA maha melihat dan maha mengetahui. DIA juga menguasai segala keajaiban yang ada di dunia ini. Itu memang pasti... Sesungguhnya DIA amat Pengasih dan maha Penyayang. Apatah lagi hamba-hamba yang sentiasa menadah tangan di hadapan-NYA untuk memohon pertolongan-NYA. Pasti tersimbahlah Rahmat NYA. Kalau bukan di sini - di dunia ini, yakinilah bahawa kejayaan akan diperolehi di sana nanti, kehidupan di akhirat yang kekal abadi.

Semoga selepas menangis di hadapan NYA nanti, dan berdoa kepada NYA, akan diperolehilah ketenangan jiwa. Bilamana memahami kehadiran ke sini - ke dunia ini, pasti ketenangan jiwa sentiasa mengiringi kehidupan duniawi, walau cabaran yang datang bertimpa-timpa.

Sama-samalah kita membaca ayat-ayat NYA yang saya paparkan di bawah untuk ditelaah bersama-sama menggunakan mata. Semoga pesanan NYA meresap jauh ke lubuk hati sanubari iaitu Kalbu namanya. InsyaAllah


Tidak ada kesusahan (atau bala bencana) yang menimpa (seseorang) melainkan dengan izin Allah dan sesiapa yang beriman kepada Allah, Allah akan memimpin hatinya (untuk menerima apa yang telah berlaku itu dengan tenang dan sabar) dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu. (At-Taghabun, 64: 11)


...Dialah yang menurunkan semangat tenang tenteram ke dalam hati orang-orang yang beriman (semasa mereka meradang terhadap angkara musuh) supaya mereka bertambah iman dan yakin berserta dengan iman dan keyakinan mereka yang sedia ada; pada hal Allah menguasai tentera langit dan bumi (untuk menolong mereka) dan Allah adalah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana. (Al-Fath, 48: 4)


Maka Kami beri Nabi Sulaiman memahami hukum yang lebih tepat bagi masalah itu dan masing-masing (dari mereka berdua) Kami berikan hikmat kebijaksanaan dan ilmu (yang banyak) dan Kami mudahkan gunung-ganang dan unggas memuji Kami bersama-sama dengan Nabi Daud dan adalah Kami berkuasa melakukan semuanya itu. (Al-Anbiya, 21: 79)


Dan Allah tidak menjadikan (bantuan malaikat) itu melainkan sebagai berita gembira dan supaya hati kamu tenang tenteram dengannya dan kemenangan itu pula hanyalah dari sisi Allah. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. (Al-Anfal, 8: 10)


Dan bahawa sesungguhnya, Dialah yang menyebabkan (seseorang itu bergembira) tertawa dan menyebabkan (seseorang itu berdukacita) menangis; (An-Najm, 53: 43)


Serta kamu tertawa (mengejek-ejeknya) dan kamu tidak mahu menangis (menyesali kesalahan kamu serta takutkan balasan buruk yang akan menimpa kamu)? (An-Najm, 53: 60)


Semoga adikku Siti beroleh ketenangan Jiwa nanti. Ingatlah! masalah tidak selesai andai tidak difikirkan cara penyelesaiannya dan berusahalah melakukan penyelesaian itu satu persatu supaya setiap masalah dapat disegerakan penyelesaiannya. InsyaAllah.
Baca selanjutnya, Klik di sini...