Sabtu, Mac 27, 2010

Bosan Melakukan Kerja

Ramai orang cepat berasa bosan bila melakukan pekerjaan yang sama sahaja sepanjang masa. Lebih-lebih lagi hasil kerja yang dilakukan seolah-olah tidak diiktiraf oleh sesiapa. Ianya membuatkan perasaan tidak puas hati berlegar-legar di dalam diri sendiri.

Ada kalanya membara di dalam hati. Seterusnya bermain-main di minda dan membuatkan perlakuan pemikiran tidak memfokus pada hasil kerja yang dilakukan.

Ada kala, pemikiran lebih terarah mencari pekerjaan yang lain pula. Bila mendapat pekerjaan baru, sama sahaja sebenarnya. Cepat berasa bosan. Lagi sekali, tidak merasa puas melakukannya. Pada akhirnya, mulalah bermalas-malasan melakukan kerja yang sedia ada. Boleh sampai ke tahap tidak mahu lagi melakukannya.

Bagi yang makan gaji, dek hari-hari melakukan pekerjaan yang sama sahaja, dirasakan kerja yang dilakukan amat membosankan. Pada akhirnya, bermalas-malasan. Sampai ke tahap tidak mahu lagi memikirkan hasil kerja yang dilakukan. Ada kalanya lebih terdorong membuat kerja di luar tugasan hakiki. Lebih parah, ponteng datang kerja.

Begitu juga halnya mereka yang bergelar pelajar. Sama ada di sekolah rendah, di sekolah menengah, juga di universiti. Ada kalanya ditimpa kebosanan melakukan proses pembelajaran, akhirnya lebih terdorong berhibur ke sana-sini. Pembelajaran yang perlu dilakukan sudah tidak dihiraukan lagi.

Berlainan pula bagi mereka yang mencari nafkah sendiri. Berasa bosan bila mana rezeki yang diperolehi seciput sahaja sampai tergamak menipu ke sana-sini. Air biasa dikatakan ubat mujarab mengubati pelbagai penyakit, walaupun realitinya tiada kajian saintifik membuktikan produk sebegitu rupa. Dek ingin menjadi kaya raya, mulalah menjual pelbagai produk yang konon-kononnya berkesan mengubati kesemua penyakit duniawi. Walhal, sebenarnya dia sendiri belum ada keyakinan menggunakannya. Membohong untuk mendapatkan kekayaan dunia yang sementara untuk dikecapi.

Mengapa ini terjadi?

Ponteng datang kerja, ponteng datang sekolah, ponteng datang kuliah, dan lebih parah, berbohong sesama manusia. MasyaAllah!

Nak tanya saya bagaimana mengubatinya? Sebenarnya tergaru-garu kepala saya bila diajukan persoalan sebegitu rupa. Jujur saya beritahu bahawa tiada ubat mujarab yang dapat merawat penyakit sedemikian, kecuali diri sendiri.

Sungguh! diri sendiri sahaja yang berupaya merawatnya dengan melakukan muhasabah. Antara muhasabah yang boleh diajukan ialah bertanya kepada diri ke mana arah tujuan kehidupan duniawi yang sedang dilalui ketika ini. Menuju kepada NYA atau bertentangan daripada petunjuk NYA.

Ketahuilah bahawa sesungguhnya segala rahsia kehidupan duniawi ada pada NYA. Tiada kuasa yang lebih hebat selain DIA, iaitu Tuhan Yang Maha ESA, Allah SWT.

Barangkali boleh juga dikatakan kebosanan melakukan pekerjaan adalah didorong oleh nafsu. Nafsu tidak dikemudi sebaiknya. Nafsu dibiarkan membuat dorongan agar mencapai kepuasan di dalam semua perkara. Nafsu dibiarkan bermaharaja lela mengatasi keupayaan minda sehingga ditimpa mabuk dunia. Terhoyong hayang berjalan di sepanjang kehidupan duniawi. Lupa matlamat hakiki, mengapa ada di dunia ini.

Kehebatan minda dibiarkan lemah untuk menafsir erti kehidupan yang sebenar-benarnya. Pada akhirnya, berasa bosan meneruskan pekerjaan di dalam kehidupan dunia yang bersulamkan pelbagai ujian dari NYA.

Ada kemungkinan juga disebabkan masih belum memahami matlamat hakiki kehidupan ini, maka terdoronglah menikmati keseronokan kehidupan duniawi. Sudah tidak dihiraukan hasil akhirnya. Ke mana arah nak dituju, syurga atau neraka.

Ada kemungkinan juga dek sinar keimanan di dalam hati masih belum memancar sepenuhnya. Mengetahui dan menyakini bahawa pada setiap masa ada dua malaikat berperanan mencatat segala pekerjaan duniawi setiap manusia. Malaikat yang berperanan mencatat segala kebaikan dan mencatat segala keburukan pekerjaan setiap insan.

Teringat pula saya satu kisah di mana Rasulullah didekati oleh seorang lelaki yang hebat penampilannya. Akan saya kongsikannya bersama Anda, InsyaAllah...

1 Komen:

sharemotivasi berkata...

terima kasih abg bent..nice post

Catat Ulasan