Isnin, Januari 24, 2011

Kisahku yang Lemah

Salamelekom, wbt...

Alhamdulillah, saya diberikan kekuatan hari ini oleh NYA untuk melakarkan secebis coretan untuk dikongsi dengan Anda. Semoga coretan kali ini berupaya menyerlahkan sinar ketenangan jauh dilubuk hati yang dimiliki.

Maafkanlah saya andai hati yang terlalu bergelora itu sedang meronta-ronta menginginkan pengisian. Maafkanlah saya...

Ketahuilah bahawa saya juga sering didesak untuk menghasilkan lakaran-lakaran walaupun paparannya hanyalah sekadar contengan untuk meredakan sedikit ombak yang bergelora.

Ketahuilah juga bahawa kudrat yang saya ada hanya cukup untuk menjalani kehidupan harian bersama Isteriku Yang Tercinta dan Anak-anakku yang sememangnya saya kasihi dan sayangi.

Namun, ketahuilah juga bahawa apa yang saya nyatakan itu tidaklah pula bermaksud yang saya sudah tidak mengasihi Anda. Hati nurani yang saya ada sememangnya sering kali membisikan bahawa Andalah sahabat saya. Sahabat yang memang amat istimewa. Walaupun belum pernah bersua, Sungguh!

Sahabat tidak dikenali, lalu berziarah ke sini pada saat ini, menggunakan masa terluang untuk menelaah coretan-coretan yang lahir dari hati dan minda yang saya miliki, seterusnya menjelmakan perbandingan paparan, lalu dicerna agar menyerlahkan keindahan dan keluhuran hati budi untuk menjadi seorang insan.

Insan bergelumang dosa, ingin mengerti bisikan hati yang jauh terlipat di sanubari.

Minggu lepas, saya telah menghasilkan sebuah puisi untuk tatapan adikku yang sedang disapa bayu cinta. Cintanya masih bersembunyi kerana malu-malu pada sang kumbang yang menyapa, barangkali. Bait-bait puisi yang saya coretkan untuknya dalam masa lingkungan 10 minit memaparkan begini;

Cinta
Ungkapan terlalu indah
Menyingkap luahan berbeza-beza
dimengerti atau difahami
dirasai atau dikecapi

Cinta Zulaika diselimuti tipu daya
Cinta gelora, bermula dosa
Luahan rasa, penzahiran berbeza

Cinta Yusuf...
SATU yang tahu
Cinta bersemi dibuku hati

Cinta bersembunyi

Perasaan yang merasainya
Pemikiran yang memikirnya
Meresap ke dalam lipatan hati
Memunculkan Cinta Abadi

(Surah Yusuf, 12: 29 - 32)


(*___^)
Moga berupaya mengecapinya, InsyaAllah


Selepas menghiaskan puisi seperti di atas di dalam blognya, saya tiba-tiba disapa oleh sebuah email dari seorang editor yang berbunyi;

"Your submission titled "................" has been accepted for publication in the International Journal of ????? with revisions. Attached is a copy of the Reviewer's comments. Please consider their questions and suggestions.

The revised manuscript should be returned as a Microsoft Word attachment in an email to ******* by March 1, 2011. Please do not hesitate to call ****** if you have any additional questions or concerns. Thank you for your support of International Journal of..."


Hati saya tiba-tiba dilimpahi bebunga bila mana menelaah komentar dari dua orang Reviewer. Antaranya;

Reviewer 1

"The manuscript author’s provide a thorough understanding of the problem and present/evaluate several alternative strategies that could be implemented to improve ****** systems. The experimental design is relatively straight forward and does enable the authors to characterize performance of the differet treatment systems. .... I recommend publishing the paper with minor revisions."

Reviewer 2

"This is a useful manuscript describing preliminary results of research evaluating various types of ****. As such, the term “preliminary” needs to be incorporated into the text of both the ******* of the manuscript…..” Accept with minor revision."


Alhamdulillah...
dan terima kasih jua kepada Anda kerana sering memberikan inspirasi kepada saya. Anda sememangnya saya kasihi kerana DIA.

Apapun anggapan Anda terhadap saya, ketahuilah bahawa sememangnya saya tidak berupaya menandingi kehebatan yang Anda miliki. Anda lebih hebat dari saya, sungguh!.

Ketahuilah bahawa kudrat yang saya ada, hanyalah belas ehsan dari NYA jua, DIA yang saya imani, Allah SWT.


(*___^)
Abgbent



Baca selanjutnya, Klik di sini...

Rabu, Januari 12, 2011

Kepelbagaian Rasa Syukur

Hah! Betulkah adik belum pernah merasainya? Perasaan yang dinamakan perasaan bercampur-campur? Ada rasa gembira dan ada juga rasa sedih, lalu disusuli perasaan keinsafan.

Sebaliknya pula perasaan redha, ada kala ianya disulami kesedihan walaupun memaparkan seolah-olah gembira. Perasaan bercampur-campur adakala terjelma di dalam hati sanubari dan sering kali juga dirasai oleh jiwa raga.

Kalau adik belum pernah merasainya, tidak mengapa. Ketahuilah bahawa abg membuat contengan ini supaya difahami mengenainya. Perasaan bercampur-campur namanya.

Perasaan bercampur-campur sememangnya amat berlainan rasanya berbanding perasaan yang monotonuos sahaja. Perasaan Monotonous bermaksud perasaan yang tidak berubah-ubah dan membosankan!.

Ketahuilah bahawa perasaan bercampur-campur ada kala menjelmakan kenikmatan dan sebaliknya juga, ada kala amat-amat memeritkan.

Ambil contoh perasaan bersyukur.

Perasaan bersyukur boleh diselimuti gembira dan boleh juga diselubungi kedukaan. Adik nak tahu caranya?

Ramai orang menikmati rasa syukur hasil daripada menikmati kehidupan duniawi. Merasai nikmat pemberian NYA, sehingga tergerak hati menyenaraikan kesemuanya. Kesyukuran begini adalah luahan minda di dalam jiwa. Paparan dari perasaan redha gembira.

Sebaliknya pula, adik juga perlu tahu mengenai syukur yang amat menyiksakan. Syukur sedemikian amat hebat rasanya. Syukur begini abg menamakannya Syukur Kedukaan.

Perasaan Syukur Kedukaan terjelma bilamana sudah berusaha, namun hasil yang diperolehi sebaliknya, iaitu asyik-asyik gagal sahaja.

Walaupun gagal, lantas dihamburkannya juga perasaan Syukur. Perasaan syukur sedemikian tidak boleh dipaksa-paksa supaya berasa ceria, gembira kerana realitinya, hati yang dipunyai sedang kecewa dan berduka. Namun, dek perasaan bersyukur, lalu disandarkan kepada Tuhan Yang Maha Berkuasa segala-gala yang telah berlaku.

Hati dan jiwanya memang sedang menangis. Berduka ditimpa kegagalan dan masih dirasakan sedang berlegar-legar di dalam hati dan jiwanya. Kerana ada keimanan kepada NYA, lalu dia mengadu dengan meluahkan perasaan Syukur Kedukaan kepada NYA, DIA Tuhan Yang Maha Berkuasa.

Menangis kerana kesejukan ditimpa musibah, tetapi cepat-cepat diselimutkannya dengan Rasa Syukur Kedukaan kepada NYA, Allah SWT.

Pernahkah adik merasainya? Andai adik bertanya kepada abg mengenainya, jawapannya ialah Ya. Beberapa kali juga abg diterpa oleh perasaan ini.

Contohnya, abg ditemuduga untuk satu jawatan, tetapi selepas temuduga, keputusan yang diberikan negatif. Permohonan ditolak. Bohonglah kalau abg mengatakan abg berasa gembira setelah permohonan itu ditolak.

Realitinya abg berasa amat sedih. Bersedih kerana setelah berusaha, disimbah pula kegagalan. Ketahuilah bahawa walaupun bersedih, abg tetap bersyukur kerana Allah SWT lebih mengetahui kenapa permohonan itu ditolak.

Perasaan syukur abg itu terzahir kerana mungkinkah ianya menjadi landasan ujian keimanan? Siapa tahu... Sememangnya hanya DIA yang mengetahuinya. Lalu, disinilah letaknya perasaan Syukur Kedukaan. Bersyukur kerana DIA memberikan sekali lagi Ujian Keimanan. Apakah Abg gembira? sudah pasti jawapannya tidak, abg bersedih sebenarnya.

Perasaan Syukur Kegembiraan dan Syukur Kedukaan paparannya sama tetapi dirasai berbeza-beza. Bukan sahaja yang merasainya, tetapi juga ganjaran daripada Tuhan kepada yang sedang melaluinya.

Luahan perasaan bersyukur tujuannnya sama, tetapi dirasai berbeza-beza, hasil perasaan yang bercampur-campur sebenarnya.

Ketahuilah juga bahawa perasaan bercampur-campur memang ada, cuma sahaja masih ada yang berpura-pura dan ada juga yang jujur memaparkannya.

Ini bukan magik atau tipu helah, tetapi keupayaan Iman yang menterjemahkannya supaya kelak diketahui sebahagian daripada erti kehidupan ini.

(*___^)


Baca selanjutnya, Klik di sini...

Isnin, Januari 10, 2011

Perceraian, Ibu Tunggal

Duhai adikku bernama Wanita Yang Inginkan Kekuatan, salam penuh kasih yang tidak terhingga buatmu.

Izinkanlah abg melakarkan pandangan, walaupun barangkali tidak mencapai seperti yang diharapkan... Andai itulah ketentuan, maafkanlah saya yang bergelar insan kerdil yang masih lagi mencari-cari cahaya NYA.

Lebih baik saya mengucapkan terlebih dahulu Salamelekom, wbt buat adikku bernama Wanita Yang Inginkan Kekuatan. Jua tidak dilupa, adikku yang Tampan Bergaya, apa khabar sekarang ini? Sudah lama abg tidak bersembang-sembang di sini seperti kebiasaannya. Maklum sajalah, ada saja perkara yang perlu dibereskan.

Wanita yang ditinggalkan suami, memang teramat pedih rasanya. Walaupun saya tidak pernah mengalami, tetapi saya boleh memerhati. Memerhatikan mereka yang bergelar ibu tunggal.

Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Sungguh!

Sebab itulah, Anda yang bergelar isteri, jagalah dengan sebaiknya si suami supaya tidak mencari pengganti. Pengganti yang bergelar isteri kedua, ketiga atau barangkali yang keempat... (*___^)

Lumrahnya lelaki, lebih-lebih lagi yang bernama suami, amat memerlukan kasih sayang seorang isteri. Tidak mengenal tempat dan masa, mereka seringkali dahagakan kasih sayang.

Kasih sayang dari manusia bernama wanita, kerana penangan wanita terlalu hebat belaiannya. Saya berani berkata sedemikian rupa kerana saya sedang mengecapinya (*___*), Penangan wanita bernama Isteriku Yang Tercinta. Dialah satu-satunya. OK. Sungguh!

Seandainya Anda adalah seorang wanita yang sudah bergelar isteri, curahkanlah kasih sayang yang tidak terhingga sebaik-baiknya agar kelak suami tidak berkeinginan menambah, apatah lagi mencari-cari pengganti.

Sememangnya kasih sayang suami isteri tiada yang dapat menandingi kehebatannya. Ini pun saya ingin katakan... Sungguh! kerana saya sedang menikmatinya (*___*)

Tetapi sebaliknya, bila sudah tiada keserasian, kesefahaman akan ditolak ke tepi, maka perceraian terjadi. Isteri sudah tidak memahami suami, suami pula membawa diri dek terasa hati. Bercerai-berailah nanti bahtera perkahwinan kerana haluannya sudah tidak tentu hala. Nak ke barat, ke timur atau ke utara-selatan.

Masing-masing inginkan arah yang berlainan. Dengan kata mudah, nakhodanya sudah tiada, sekali ombak melanda, terburailah bahteranya, karam jadinya... Titanic! perumpamaannya.

Malang bagi wanita, kerana teramat payah berenang-renang sendirian di lautan kehidupan. Bukan kerana tiada kekuatan, tetapi kerana terlalu banyak kasih sayang yang ditampung dan ingin diselamatkan.

Sebaliknya pula bagi yang lelaki, ada kala mudah sangat mencari pengganti. Lebih-lebih lagi dunia hari ini yang sedang diisi ramai wanita. Sebab itulah berbondong-bondong wanita berusaha memenangi, lebih-lebih lagi menarik perhatian lelaki. (*___^). Menggadai maruah diri, bukan sedikit yang terjadi.

Usahlah marahkan saya duhai wanita-wanita yang saya kasihi kerana DIA. Sebenarnya itulah realiti yang saya perhati dan pernah alami. Nasib baik jua DIA, Tuhan Yang Maha Esa terasa kehadiranNYA di sisi, untuk saya jadikan penampan di dalam menghadapi ranjau-ranjau kehidupan.

Anda yang bernama isteri, jagalah suami dengan berhati-hati supaya tidak terlepas nanti. Maklum sajalah, Syurga bagi isteri diibaratkan terletak di kaki suami. Ooopppsss...

MasyaAllah!, terlupa pula saya pada adikku yang bernama Wanita Yang Inginkan Kekuatan. Maafkanlah abg kerana telah melarat-larat jauh membuat lakaran untuk tatapan.

Realitinya, saya ingin berkongsi bicara tentang kehidupan.

Adikku Wanita Yang Inginkan Kekuatan, sememangnya bila mana diselubungi penangan dilema, haluan kehidupan sudah samar-samar kelihatan. Pelbagai persoalan berlegar-legar di fikiran, mengalami kebingungan, lalu para syaitan mulalah berperanan. Menyesatkan!

Bingung tidak tahu kemana arah haluan kehidupan. Lalu, terkapai-kapai di tengah-tengah lautan kehidupan. Perumpamaan lain, teraba-raba di dalam kegelapan, lalu tiada kepastian.

Apakah itu yang akan terus terjadi? Bingung tak keruan?. Menyesal tak sudah? Menangis berair mata darah? Penyesalan, dan terus-terusan menyesal...

Pedih, memang pedih... Hanya mereka yang pernah mengalami akan tahu betapa peritnya merasai kesakitan begitu, bercerai, tetapi adik perlu tahu satu perkara...

Ujian.

Kehidupan dunia yang sedang kita lalui merupakan satu ujian. Ujian supaya kita memahami erti kesengsaraan dan kebahagiaan. Erti kesakitan dan kegembiraan, dan moga-moga dari situ nanti, akan tersingkaplah perasaan mengenainya, takut? atau redha?

Ibarat Syurga dan Neraka. Kedua-duanya tiada siapa yang pernah melihatnya, apatah lagi merasainya, kecuali bagi mereka yang ada keimanan kepada Tuhan yang maha berkuasa, Allah SWT.

Keimanan, ada kaitan dengan perasaan. Merasakan setiap masa dan ketika sebenarnya sedang ditemani, iaitu tidak berseorangan. Dikelilingi oleh para makhluk Tuhan. Lebih-lebih lagi yang bergelar Malaikat dan Syaitan. Mereka tidak boleh diperhati, tetapi boleh dirasai, oleh mereka yang ada keimanan.

Malah, bagi mereka yang mempunyai kekuatan iman sehingga memancar-mancar cahayanya, pastilah Tuhan Yang Maha Esa, Allah SWT akan memerhatikannya, malahan sampai berupaya pula mendampinginya, sehingga lebih hampir dari kerongkongannya.

Sekali lagi, ianya tidak dapat diperhati, tetapi ianya dapat dirasai. Itulah Keimanan yang dimiliki.

Sebab itulah andai tidak ingin berseorangan, peganglah keimanan ini. InsyaAllah, bantuan NYA akan muncul secara tiba-tiba, tanpa disangka-sangka.

Ketahuilah jua, bahawa DIA mempunyai segala kekuasaan untuk memberikan segala macam keajaiaban... Sememangnya DIA, Allah SWT teramat-amat berkuasa di atas segala-galanya. Ini Keimanan namanya.

Redhalah atas apa yang telah berlaku, lalui kehidupan ini dengan mengharapkan bimbingan dari NYA setiap tempat dan masa. Moga-moga nanti, akan terserlahlah kejayaan di penghujung perjalanan kehidupan ini. InsyaAllah.


"Dan demi sesungguhnya, kamu tetap datang kepada Kami (pada hari kiamat) dengan bersendirian, sebagaimana Kami jadikan kamu pada mulanya dan kamu tinggalkan di belakang kamu apa yang telah kami kurniakan kepada kamu dan Kami tidak melihat berserta kamu penolong-penolong yang kamu anggap dan sifatkan bahawa mereka ialah sekutu-sekutu Allah dalam kalangan kamu. Demi sesungguhnya, telah putuslah perhubungan antara kamu (dengan mereka) dan hilang lenyaplah daripada kamu apa yang dahulu kamu anggap dan sifatkan (memberi faedah dan manfaat). (Al-Anaam, 6: 94)

"Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk Syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan hartabenda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah? Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada agama Allah)." (Al-Baqara, 2: 214)

"(Mengapa mereka bersikap demikian?) dan mengapa mereka tidak melihat (dengan hati mereka) bahawa Allah memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendakiNya (sebagai cubaan adakah orang itu bersyukur atau sebaliknya) dan Dia juga yang menyempitkannya (sebagai ujian samada diterima dengan sabar atau tidak)? Sesungguhnya hal yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang membuktikan kekuasaan Allah) bagi orang-orang yang beriman." (Ar-Rum, 30: 37)

"Dan sememangnya tiadalah bagi Iblis sebarang kuasa untuk menyesatkan mereka, melainkan untuk menjadi ujian bagi melahirkan pengetahuan Kami tentang siapakah yang benar-benar beriman kepada hari akhirat dan siapa pula yang ragu-ragu terhadapnya. Dan (ingatlah) Tuhanmu sentiasa mengawal serta mengawasi tiap-tiap sesuatu." (Saba, 34: 21)



Baca selanjutnya, Klik di sini...

Khamis, Januari 06, 2011

Menuju Kejayaan, Pedoman Hidup

Pada tahun 2011, blog Pedoman Hidup sudah mencecah usia dua tahun. Moga-moga juga tahun ini akan terus memberikan kejayaan kepada blog Pedoman Hidup, InsyaAllah.

Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan kehadrat Tuhan Yang Maha ESA kerana terus melimpahkan rahmat dan memberikan kekuatan kepada saya untuk berkongsi dengan Anda.

Anda sememangnya saya kasihi kerana DIA. Moga-moga ukhuwah yang dijalin di sini dengan Anda akan berkekalan selama-lamanya. Kepada NYA jua saya berserah.

Dulu, akhir tahun 2008, iaitu mula-mula saya mengwujudkan blog Pedoman Hidup pada akhir bulan oktober, matlamatnya sekadar ingin berkongsi-kongsi cerita dan berkongsi ilmu dengan Anda. Sampai sekarang, matlamat itu sebenarnya masih tidak berubah.

Yang berubah di blog Pedoman Hidup ketika ini ialah jumlah pelawatnya. Kalau dulu, pelawat yang datang hanyalah sekitar tidak sampai lima orang dalam sehari, tetapi kini pelawatnya sudah melebihi 150 dan kadang kala mencecah melebihi 200 dalam sehari. Pencapaian itu sebenarnya amat menggembirakan saya. Sungguh!

Saya juga perlu beritahu kepada Anda bahawa hasil klik di blog Pedoman Hidup yang dipaparkan di dalam akaun Nuffnang pada ketika ini sudah melebihi RM80.00 dan masih belum dituntut.

Sebelum itu, sudah empat pucuk cek daripada pihak Nuffnang Sdn Bhd diterima oleh Isteriku Yang Tercinta hasil daripada Anda mengklik iklan-iklan yang dipaparkan di blog Pedoman Hidup ini.

Sesungguhnya hasil wang ringgit bukanlah matlamat sebenar blog ini. Paling utama, sebenarnya ukhuwah yang dijalin dengan Anda sehingga mana Anda pula telah sudi mengklik iklan-iklan yang ada di sini. Terima kasih kepada Anda kerana terus sudi mengklik iklan-iklan tersebut.

Sememangnya ganjaran begitu harus diterima oleh Isteriku Yang tercinta kerana kadang kala mengizinkan saya menggunakan masa terluang di rumah untuk membuat lakaran-lakaran begini supaya kelak dapat ditatap oleh Anda.

Sebab itulah penerima cek daripada pihak Nuffnang Sdn Bhd untuk blog ini saya khususkan nama Isteriku yang Tercinta. Moga-moga keredhaan-NYA adalah bersama-sama.

Selain itu, saya juga ingin kongsikan dengan Anda bahawa untuk kata nama Pedoman Hidup, sering kali carian google menyenaraikan blog ini di tangga teratas.

Kalau dulu, pada awalnya blog Pedoman Hidup Abgbent tidak pun disenaraikan di carian google untuk kata nama Pedoman Hidup, tetapi selepas setahun, ianya berada diantara sepuluh senarai teratas. Dan kini, selepas dua tahun, carian google sudah kerap menyenaraikannya sebagai nombor satu.

Sekali lagi, diucapkan terima kasih kepada Anda kerana sudi meningkatkan kejayaan blog ini. Sama-samalah kita menadah tangan memohon agar DIA, Tuhan yang maha berkuasa meredhai segala-gala yang kita usahakan di sini, di blog pedoman hidup ini.


Abgbent, (*___^)



Baca selanjutnya, Klik di sini...

Selasa, Januari 04, 2011

Akal Menuju Kejayaan

Sudah pasti setiap orang inginkan kejayaan. Kejayaan semasa menjalani kehidupan.

Ada yang menganggap tafsiran kejayaan kehidupan ialah perlu memiliki kekayaan berlipat kali ganda banyaknya.

Ada juga yang merasakan kejayaan kehidupan haruslah memiliki kekuasaan. Dan tidak kurang pula yang menganggap popular seantero dunia sebagai suatu kejayaan kehidupan.

Ada juga kelompok yang menganggap kejayaan kehidupan ialah bila mana berupaya mengecapi kebahagiaan. Dan ada juga yang menterjemahkan kejayaan kehidupan perlu memiliki kebebebasan sebebas bebasnya lalu berhak melakukan apa sahaja.

Tidak kurang pula yang menafsirkan kejayaan kehidupan bila mana berupaya melaksanakan segala tanggungjawab di dalam peraturan kehidupan dunia. Dan masih ada juga yang menganggap kejayaan kehidupan sebagai berkeupayaan menyumbang sesuatu kepada umat manusia.

Sebenarnya ada banyak lagi tafsiran kejayaan kehidupan. Terserahlah kepada Anda menggunakan terjemahan yang mana satu. Barangkali boleh juga menggunakan semua definisi-definisi yang ada bersesuaian dengan keperluan.

Kehidupan dunia lumrahnya begitu. Ada pelbagai pandangan dan tafsiran.

Ada yang menganggap betul dan akan ada juga yang berkata salah. Begitu juga yang dianggap perbuatan baik, belum tentu dipersetujui oleh seluruh umat manusia kerana perbuatan sebaliknya, iaitu kejahatan juga terus dikerjakan oleh umat manusia.

Seumpama perbuatan rasuah, ada yang menganggapnya salah tetapi masih ramai yang melakukannya. Mencuri juga salah, tetapi masih ada yang mengamalkannya. Berzina juga salah tetapi yang membuatnya bukanlah sedikit jumlahnya.

Begitulah kehidupan dunia. Maya... dan ada kala berpura-pura. Sekejap ada, sekejap lagi tiada.

Menafsir erti kejayaan kehidupan tidak akan ada penghujungnya.

Kebolehan akal memang begitu. Berupaya meneroka pelbagai ruang dimensi pandangan didalam menyingkap kebenaran, atau barangkali kepalsuan yang kelak ditemui.

Peranan akal adalah untuk menyelongkar. Memikir dan menafsir. Mengimaginasi supaya paparannya seolah-olah benar, dipersetujui dan diyakini. Akal jugalah yang berperanan menyanggah benar menjadi salah, bersetuju atau menolak, mengujudkan perasaan was-was supaya tiada keyakinan.

Begitulah peranan Akal sehinggalah sampai ke tahap mengemukakan Teori Infiniti di dalam ilmu pengajian matematik. Teori Infiniti memberikan terjemahan Nombor yang tidak terjangkau oleh Akal. Nombor yang tiada kesudahannya... Infiniti gelarannya.

Mungkinkah juga teori infiniti boleh digunakan untuk memberikan tafsiran Kejayaan Kehidupan?, iaitu bermaksud Kehidupan yang tiada kesudahan. Kehidupan kekal selama-lamanya.

Dengan kata mudah, Kejayaan Kehidupan adalah Kehidupan Kekal Abadi?


Al-Quran surah Al-Qiamah, 75: ayat 1 - 40



Baca selanjutnya, Klik di sini...