Selasa, April 14, 2009

Pengalamanku bertemu Jodoh .. bhg 5

Bahagian 5

Tengahari ini aku menyempatkan diriku menyambung cerita pengalamanku berkenaan usaha-usaha mendapatkan Jodoh.

Sebenarnya aku masih lagi di dalam kesibukan ketika ini, tetapi disebabkan ingin berkongsi ilmu-Nya, aku cuba berusaha mencari ruang masa ketika rehat tengah hari ini. Menulis sesuatu untuk tatapan Anda. Terima kasih kerana terus berkunjung ke sini.

Coretanku kali ini mengisahkan seorang lagi adik perempuan yang berusaha memikat hatiku. Ketika itu dia masih lagi belajar, sama sepertiku tetapi bezanya, dia di peringkat sarjana muda berbanding diriku, sarjana. Pastilah umurku ketika itu lebih berbanding adik perempuan yang aku ceritakan ini. Tak silap umurku ketika itu 27 tahun.

Aku dikhabarkan oleh seorang rakanku bahawa ada seorang adik perempuan meminatiku. Ketika dikhabarkan begitu, aku buat derk sahaja… Buat-buat tak dengar dan berpura-pura tidak percaya. Itulah tabiatku sebenarnya… Tapi rakanku itu terus-menerus dan bersungguh-sungguh memberitahu kepadaku.

Sebenarnya rakan yang aku maksudkan itu lebih berumur dariku, merupakan seorang cikgu berasal dari Sarawak dan telah pun mendirikan rumah tangga serta mempunyai anak yang jumlahnya aku tak seberapa pasti.

Rakanku itu memang baik dan peramah. Aku pun dah lupa bagaimana aku berkenalan dengan dia. Apa yang aku ingat, dia telah berusaha membantu adik perempuan yang aku maksudkan untuk memperkenalkannya kepadaku. Dikhabarkan oleh cikgu yang menjadi rakanku itu bahawa adik perempuan itu suka bertanya mengenai diriku, maklumlah, merekakan coursemate.

Suatu hari, rakanku itu memberitahu bahawa adik perempuan yang selalu bertanya tentangku ingin berjumpa denganku dan mengharapkan agar tiada orang tahu tentang perjumpaan itu, kecuali dia yang merupakan seorang cikgu, sekali gus berperanan sebagai orang tengah.

Seperti biasa, selepas mendengarnya, aku mengiyakan sahaja usaha-usaha seperti itu. Dan aku juga memberitahu kepada cikgu yang menjadi rakanku itu agar dia hadir semasa perjumpaan itu.

Masih aku ingat perjumpaan yang dirancang ketika itu lebih kurang pukul 7.30 malam bertempat di dalam makmal penyelidikanku. Biasalah, ketika aku melaksanakan kajian sarjanaku, aku sentiasa lewat balik ke rumah. Kadang hostel kawan-kawanku menjadi tempatku untuk bermalam, sampai beberapa hari. Al-maklum ketika itu aku tiada kenderaan. Kadang juga rakan-rakan yang sama daerah denganku membantu menghantar aku balik ke rumah dengan menaiki motorsikal mereka walaupun dah lewat sehingga 11.00 malam.

Berbalik pada ceritaku tadi, masih aku ingat sehingga kini bagaimana perjumpaan itu berlaku. Adik perempuan bersama cikgu yang menjadi rakanku itu memasuki makmal penyelidikanku dengan mendahulukan salam.

Dapat aku perhatikan adik perempuan itu berasa malu-malu dan ada jugalah merah-merah pada wajahnya. Aku dengan selambanya memberikan kekuatan dan memberitahu, tak perlu malu. Hehehee…

Cikgu yang menemaninya ketika itu punya sporting, senyum-senyum padaku dan memohon izin untuk menunggu di luar makmal. Ya, aku dan adik perempuan itu izinkan dia berbuat begitu.

Akhirnya, kami bersembang-sembang dan berkenal-kenalan, sambil-sambil aku melakukan kerja-kerjaku dan adik perempuan itu duduk di atas bangku. Opsss… tak perlulah aku cerita panjang-panjang apa yang kami bualkan ketika itu. Lagipun sebenarnya aku dah tak ingat apa yang kami bualkan sepanjang lebih-kurang satu setengah jam, tak silap akulah.

Yang pasti, aku juga menolak pelawaannya kerana aku masih belum bersedia dan seperti biasa aku memberitahu bahawa aku tidak akan bercinta selagi belum terbina bahtera perkahwinanku.

Akhirnya dia memahami dan mengucapkan terima kasih kepadaku kerana berterus terang seperti itu… Perjumpaan itu sememangnya tidak sia-sia kerana kami akhirnya berkenal-kenalan di antara satu.

Aku mengenalinya dan mungkin juga dia telah mengenaliku. Tapi hakikatnya, sekarang ini sejujurnya aku dah lupa beberapa perkara yang dibualkan ketika itu. Apa yang pasti, jika sekiranya dia hadir di depanku, mungkin jugalah aku akan ingat. heheheee

“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).
(Al-Hujraat, 49: 13)


Tahniah buat cikgu yang telah membantu adik perempuan itu dan juga telah menjadi rakanku. Sememangnya peristiwa itu memberikan aku pelajaran dan pengajaran tentang Bertemu Jodoh.

Memang aku juga mempraktikan apa yang adik perempuan itu lakukan. Akan aku ceritakan kemudian bagaimana aku juga berusaha mendapatkan jodohku sebagaimana yang adik perempuan itu lakukan. hehehee….


(Coretan akan disambung lagi di lain masa)

2 Komen:

Kurniadi Bulhani berkata...

penasaran,mane yang dipilih adek apa cikgu sih?

:: nurhayati :: berkata...

`aku tidak akan bercinta selagi belum terbina bahtera perkahwinanku.`...sy suka ayat ni...

Catat Ulasan