Rabu, Julai 22, 2009

Pengalaman di Jepun …bhg 7 (Gerhana Bulan di Jepun, Seumpama Gerhana Perasaanku)

Sebentar tadi, ramai masyarakat Jepun naik ke puncak tinggi bangunan untuk melihat gerhana bulan yang berlaku sekitar jam 10.00 pagi, waktu di sini. Biarlah saya simpan dahulu cerita itu kerana waktu ini, saya ingin berkongsi gerhana perasaan yang saya alami.

Bersyukurlah kerana kita hidup di negara tercinta Malaysia. Hakikatnya, selepas berada lebih seminggu lamanya di Jepun, saya merasakan amat besar cabarannya. Mari saya kongsikan dengan Anda.

Satu perkara yang amat menyedihkan saya ialah bila mana mencari tempat ibadah yang sesuai untuk orang-orang Islam seperti saya. Memang terasa kepayahannya. Takkanlah pula saya bersembahyang sembarangan di mana-mana tempat yang saya kunjungi. Nampak sangat nanti betapa buruknya agama saya pada pandangan mereka.

Kota yang sedang saya kunjungi ketika ini dinamakan Kagoshima. Hakikatnya, memang tiada surau apatah lagi masjid yang seumpama dengannya. Memang tiada!

Untuk mendapatkan kepastian mengenainya, saya telah bertanya kepada saudara seagama saya yang ada di sini. Mereka mengesahkan bahawa memang tiada!

Namun, kesungguhan saudara-saudara seagama dengan saya yang sedang menimba ilmu di sini telah melahirkan satu surau untuk beribadah. Memang terlalu kecil saiznya. Kalau nak sembahyang Jumaat, surau tersebut memang tidak dapat memuatkan mereka semua.

Sebab itu, ada satu tempat yang dijadikan tempat perkumpulan mendengar apa-apa ceramah kadang-kala diubahsuai pula menjadi tempat menunaikan solat Jumaat untuk menampung ramainya saudara-saudara seagama saya yang ada di sini.

Memang menyedihkan kerana tempat ibadah untuk berjemaah itu diubah suai mengikut keadaan dan waktu. Hanya tikar besar yang akan dihamparkan supaya dapat digunakan secara berjemaah untuk melaksanakan amanah kepada-NYA, DIA yang Maha Esa.

Tempat tersebut sebenarnya adalah merupakan hostel untuk menempatkan pelajar-pelajar luar negara. Inilah foto yang dapat saya kongsikan dengan Anda. Foto ini diambil setelah kami selesai menunaikan Solat Isyak secara berjemaah. Sebenarnya petang itu ada ceramah mengenai Negara Indonesia di sini.

Hakikatnya, saya tidak berkesempatan mendengar ceramah di dalam ruangan itu kerana saya khusyuk berbincang di luar dengan seorang pelajar Bangladesh yang membicarakan mengenai terrorist di Indonesia yang baru berlaku.


0 Komen:

Catat Ulasan