Sabtu, Mei 30, 2009

Mengatasi Masalah Diri

Coretan buat adikku suGarplum yang dikasihi kerana DIA.

Abg dapat rasakan beberapa perkara yang adik ingin luahkan di dalam coretan itu. InsyaAllah, abg kongsikan di sini untuk ditatapi.

Sesungguhnya, adikku suGarplum memang hebat orangnya. Barangkali adik belum mengetahuinya, tetapi aura kehebatan itu seolah-olah tersembunyi di dalam diri adik sendiri. Andai adik mengetahuinya, pastilah kilauannya itu akan bersinar-sinar menerangi alam ini.

Pendiam? Sifat ini bukanlah buruk sebenarnya. Sifat ini kadang kala mulia andai ianya dipimpin sebaiknya. Memang kita dituntut untuk menjadi seorang yang pendiam di dalam hal-hal tertentu yang berkaitan dengan kehidupan ini. Cuba adik hayati bait-bait yang terlakar di bawah coretan ini nanti.

Ingin mempunyai ramai kawan? Tidak semestinya kita harus mempunyai mulut yang petah, barulah akan ada ramai kawan. Memang tidak...

Untuk mendapat ramai kawan, abg merasakan kita harus memiliki akhlak yang mulia. Untuk memiliki akhlak mulia, samalah seperti mempunyai keperibadian yang tinggi. Melalui akhlak atau keperibadian seperti itu akan tertariklah insan-insan lain kepada kita.

Ketahuilah adikku suGarplum bagaimana Rasullullah disayangi dan diikuti oleh para penganut agama Islam adalah kerana berkeperibadian yang tinggi dan mulia. Tetapi, tidak kurang juga yang memusuhi dan membenci Baginda, termasuklah di kalangan yang tidak memahami agama Islam itu sendiri. Mengapa? Kerana memang begitulah lumrah kehidupan di dunia yang pasti akan ada pro dan kontranya.

Selain itu, suka juga abg menyatakan bahawa biarlah rakan yang kita miliki itu dikategorikan sebagai rakan-rakan yang berkualiti. Maksudnya tidak bermakna andai kawan-kawan yang ada di samping diri kita itu adalah di kalangan yang rendah atau kurang akhlaknya. Apatah lagi andai mereka adalah penggalak kepada perlakuan dosa.

Bila mana bercakap mengenai dosa, ketahuilah adikku suGarplum bahawa diri kita masing-masing sebenarnya memang memiliki rakan yang setia pada setiap masa dan ketika. Mereka memang tidak lekang dari diri kita. Ketahuilah bahawa mereka akan sentiasa berada di kiri dan kanan diri kita. Malah sentiasa mencatat segala apa yang kita lakukan di dalam kehidupan ini.

Andai kehadiran mereka itu adik dapat rasakan, berkemungkinan akan terserlahlah sinaran dan kilauan kehebatan yang adik miliki itu. Usahakan mengenali mereka, apatah lagi andai ada juga usaha untuk mengenali DIA yang Maha Berkuasa.

Bukanlah khayalan untuk abg mengatakan bahawa adik bakal berjaya memiliki kehidupan nan abadi, andai telah mengenali NYA sepenuh jiwa raga melalui bisikan-bisikan halus dari hati yang tulus.

Untuk mendapatkan rakan-rakan yang memang berkualiti, nasihat abg ialah sentiasalah mendatangi musollah, surau atau masjid kerana di situlah permulaan pembentukan akhlak-akhlak mulia. Apatah lagi andai tidak jemu-jemu menatapi ilmu-ilmu yang terkandung di dalamnya untuk menggali segala rahsia-rahsia NYA yang tersembunyi.

Sungguh! Andai adik ingin mengecapi kebahagian dan kejayaan kehidupan ini, berusahalah mengenali Penciptanya agar kelak adalah rahsia-rahsia NYA yang tersembunyi itu adik perolehi. Sesungguhnya, DIA jugalah memiliki segala keajaiban dunia yang tersembunyi kepada mereka-mereka yang tidak mengenali NYA.


Sabda Rasulullah;

“Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka berkatalah yang baik ataupun berdiam sahaja”

“Jagalah lidahmu kecuali bila berkata yang baik. Dengan berlaku demikian engkau akan mengalahkan syaitan”

“Dan kami bercakap-cakap kosong bersama dengan orang-orang yang bercakap kosong” (Al-Muddatstsir, 74: 45)

“Jangan kamu sekelian duduk bersama-sama mereka, sehingga mereka mula dengan perbicaraan yang lain, kalau tidak tentulah kamu sekelian serupa dengan mereka” (An-Nisa’, 4: 140)

0 Komen:

Catat Ulasan