Jumaat, September 28, 2012

Menghargai Anda, Pencapaian Saya

Salamelekom, wbt saya ucapkan kepada Anda yang masih lagi sudi bertandang ke laman Pedoman Hidup Abgbent ini. Setinggi-tinggi terima kasih saya ucapkan di atas kesudian Anda untuk terus menziarahi saya, seterusnya meningkatkan "klik" di blog ini.

Ketika ini, jam pada skrin komputer saya menunjukkan sudah melebihi pukul 12.00 tengahari. Seperti biasa, masa akan terus berlalu meninggalkan kita, dan tanpa disangka, artikel di dalam blog Pedoman Hidup Abgbent telah mencecah 348 buah kesemuanya.

Saya sememangnya tidak pernah menjangkakan bahawa begitulah banyaknya lakaran-lakaran yang saya hasilkan di dalam blog ini.

Sebentar tadi, saya telah melihat statistik pelawat blog ini melalui laman Akaun Google, dan ternyata statistik kelmarin memaparkan jumlah lakaran yang telah ditelaah melebihi 500. Wah! banyak juga jumlahnya.

Foto di bawah menunjukkan statistik daripada kiraan Akaun Google yang saya maksudkan, yang baru sebentar tadi saya masukkan ke dalam lakaran ini.


Dengan perasaan sedikit curiga berkenaan statistik daripada Akaun Google itu, seterusnya saya membuka pula Akaun Nuffnang Sdn Bhd untuk mempastikan jumlah pelawat di dalam blog ini setiap hari dan ternyata, foto di bawah juga menerangkannya. Cuba Anda lihat foto Nuffnang yang sempat saya ambil sebentar tadi yang dipaparkan di bawah ini.


Ternyata, jumlahnya juga hampir menyamai sepertimana yang google paparkan. Walaupun realitinya saya sudah tidak sekerap dulu mengisikan entri baru ke dalam blog ini, tetapi ternyata, ianya masih sudi dilawati oleh rakan-rakan alam maya sama ada yang saya kenali, mahupun yang baru sahaja terjumpa blog ini.

Untuk itu, saya ingin memanjangkan sekali lagi ucapan setinggi-tinggi terima kasih di atas kesudian Anda untuk sentiasa bertandang ke sini. Tidak dilupa, terima kasih juga kerana masih sudi mengklik iklan Nuffnang Sdn Bhd yang masih lagi terpapar pada blog ini.

Untuk perkongsian bersama, jumlah pungutan hasil "klik"an daripada Anda untuk iklan-iklan Nuffnang Sdn Bhd ini, tak sangka pula telah melebihi RM100.00, walaupun  realitinya aktiviti blogging saya sudah tidak seperti dulu.


Pada ketika ini, saya sebenarnya sedang merancang untuk menghasilkan lakaran-lakaran mengenai pengalaman hidup yang berkisarkan tentang Pengalaman Hidup Seorang Suami. Mungkin tajuk sebegitu amat sesuai untuk Anda baca, seterusnya dibandingkan dan dijadikan Pedoman di dalam mengharungi kehidupan ini...

Tunggu...

Baca selanjutnya, Klik di sini...

Rabu, September 05, 2012

Menjadi Perindu... Pakcik Yang Dikasihi

Salamelekom, wbt saya ucapkan kepada Anda. Anda yang telah menjadi teman saya di dalam blog Pedoman Hidup ini. Anda yang juga menjadi rakan saya ketika bersendirian, seperti sekarang ini.

Memang sudah terlalu lama saya tidak melakarkan sebarang contengan di blog ini. Hampir lima bulan lamanya saya menyepikan diri daripada membuat sebarang lakaran untuk tatapan Anda di sini.

Seperti biasa, alasan mudah yang pasti diluahkan kepada Anda ialah kesibukan di dalam melaksanakan segala urusan harian, sama ada urusan melibatkan kerjaya saya sebagai seorang penyelidik sains, mahupun urusan sebagai seorang ketua keluarga.

Sebagai mukadimah contengan ini, saya mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri 2012 kepada Anda, maaf zahir dan batin di atas segala kesilapan yang mungkin berlaku disepanjang saya menghasilkan contengan-contengan di alam maya ini.

Seterusnya, saya juga berdoa semoga kehidupan kita bersama di dunia maya ini terus disinari cahaya Pedoman Ilahi.
Ameeen.

Tidak dilupa, saya juga mengucapkan Tahniah kepada Anda, lebih-lebih lagi kepada Adikku bergelar Tampan Bergaya kerana dia telah berjaya mendirikan Bahtera Perkahwinannya di awal bulan Syawal yang mulia, tahun ini.

Didoakan semoga Bahtera yang dilayari bersama Isteri Tercinta akan berkekalan dan menuju destinasi yang diredhai Ilahi, InsyaAllah.

Sekarang ini, jam di dinding rumah saya telah menunjukkan pukul 2.40 pagi, tetapi mata saya belum berupaya dilelapkan.

Sebenarnya, sebentar tadi, saya telah membaringkan diri di sebelah Isteriku Yang Tercinta, tetapi tiba-tiba pula minda saya menerawang kenangan-kenangan silam, iaitu peristiwa lalu ketika bersama arwah Pakcik saya.

Lalu, muncullah dorongan untuk saya bangkit semula daripada pembaringan kerana minda saya terus dirangsang untuk menghasilkan lakaran ini agar terpapar di laman blog Pedoman Hidup untuk dikongsi bersama-sama dengan Anda.

Ketika ini, saya sebenarnya sedang merindui arwah pakcik saya. Mungkin Anda tidak merasainya, tetapi jujur saya memberitahu kepada Anda bahawa kerinduan yang saya alami ketika ini sehingga air mata mengalir dipipi ketika saya mengilhamkan lakaran ini, lebih-lebih lagi ketika mengenangkan peristiwa-peristiwa lalu semasa bersama-sama dengannya.

Terlalu banyak bantuan dan pengorbanan yang telah dihulurkannya bukan sahaja kepada saya, tetapi juga kepada kedua orang tua saya khususnya ketika saya bersama adik-adik masih lagi bersekolah dahulu.

Arwah pakcik merupakan antara insan yang telah menjadi tulang belakang di dalam saya mengharungi kehidupan ini terutama di dalam membuat sebarang keputusan yang amat penting.

Seringkali juga, dialah yang menjadi rujukan saya ketika mengambil sebarang ketetapan. Tunjuk ajarnya, bimbingannya dan dorongannyalah yang sering menguatkan keputusan yang saya akan ambil.

Terakhir, sebelum arwah pakcik menghembuskan nafasnya pada 30 Jun yang lalu akibat penyakit kanser paru-paru, bimbingan yang telah diberikannya kepada saya ialah ketika saya membuat ketetapan untuk membeli sebuah kereta. Kereta yang saya hadiahkan buat Isteriku Yang Tercinta.

Arwah pakcik telah memberikan dorongan kepada saya agar memilih sahaja kereta buatan Malaysia, Proton Exora Bold berwarna putih untuk dihadiah kepada Isteriku Yang Tercinta. Itulah yang terakhir, pandangannya yang saya perolehi.

Di dalam keheningan subuh ini, saya menadah tangan memohon doa kepada Allah SWT semoga Arwah Pakcik dihimpunkan bersama orang-orang yang soleh, diampunkan segala dosa-dosanya, dikurniakan kebahagian dan ditempatkan di dalam Syurga Nan Abadi. Ameeen…

Baca selanjutnya, Klik di sini...