Rabu, Mac 17, 2010

Peranan Wanita Memang Ajaib Kuasanya

Kalau Anda peminat setia filem Tan Sri Dr. P. Ramlee, pasti Anda tidak akan melupai pelbagai gaya lakonannya. Beberapa filem arahannya, memaparkan perasaan sedih dan lebih banyak yang membuatkan kita bergelak ketawa.

Sememangnya bermacam-macam adegan yang dipaparkan di dalam filem-filemnya ada menyimpan khazanah tersirat yang menuntut ditafsir minda sebaiknya. Itupun kalau Anda berusaha memahami dan menafsir adegan yang dipaparkan di dalam karya-karyanya, iaitu bukan sekadar menonton dan menikmati hiburan yang ada pada penglihatan mata sahaja.

Apa salahnya sekali-sekala apabila menontonnya menggunakan minda yang ada untuk memahami apa yang tersirat disebaliknya. ;)

Bagaimanapun, di dalam lakaran ini, saya sebenarnya ingin berkongsi mengenai kehebatan peranan wanita di dalam kehidupan seorang lelaki bersandarkan filem arahannya. Sengaja saya membuka awalan coretan ini dengan bercerita filem lakonan Tan Sri Dr. P. Ramlee kerana ada satu babak yang masih segar diingatan saya khususnya selepas membaca satu laporan berita.

Akan saya beritahu dihujung coretan ini nanti berita yang saya maksudkan itu. Pastilah berkaitan peranan wanita di dalam menyelesaikan masalah seorang lelaki.

Sungguh! Wanita sememangnya hebat bila mana berperanan sebaiknya semasa mengiringi kehidupan seorang lelaki. Apatah lagi lelaki yang ditimpa pelbagai masalah dan kecelaruan minda. Pasti aura kehebatan seorang wanita akan terserlah.

Saya tidak menafikan bahawa kadang kala saya juga menghadapi masalah, tetapi nasib baik juga ada disamping Isteriku Yang Tercinta yang tidak serik-serik untuk terus menemani dan menunjuki kehidupan duniawi yang sedang saya lalui ketika ini. Sebab itulah juga saya amat mengasihi dan menyayangi, Isteriku Yang Tercinta.

Berbalik pada filem Tan Sri Dr. P. Ramlee, Anda nak tahu babak yang saya maksudkan? Ianya terkandung di dalam filem Pendekar Bujang Lapok, babak di mana ketiga-tiga pendekar sedang ditarbiyah oleh Tok Guru mereka agar menjadi seorang lelaki tabah penuh kesabaran di dalam menghadapi pelbagai dugaan dan cabaran.

Sebelum ketiga-tiga bakal pendekar itu bertapa, mereka telah dipesankan oleh Tok Guru agar menghadapi pelbagai ujian dan cabaran dengan penuh kesabaran dan tidak perlu takut dengan pelbagai rintangan. Bila mana menghadapi ketakutan dan masalah, ungkapkan sahaja "Cooobbbaaannn". :)

Babak yang amat menarik perhatian saya ialah bila mana anak Tok Guru ketika berada di rumah telah diculik oleh para musuh. Tok Guru terpaksa memohon bantuan ketiga-tiga bakal pendekar yang juga merupakan anak muridnya yang ketika itu sedang bertafakur di bawah sepohon pokok. Tok Guru menjelaskan kepada mereka bahawa anak perempuannya sudah diculik dan dilarikan oleh para musuhnya dan memohon pertolongan mereka.

Namun, ketiga-tiga bakal pendekar terbabit hanya membalas rayuan Tok Guru mereka dengan mengungkapkan "Cooobbbaaannn". :)

Banyak kali Tok Guru menjelaskannya tetapi tetap dibalas oleh ketiga-tiga anak muridnya dengan ungkapan "Cooobbbaaannnn".

Kehebatan wanita akhirnya diserlahkan oleh Tan Sri P. Ramlee di dalam babak yang saya maksudkan apabila Isteri kepada Tok Guru terpaksa mengambil peranan dan menyebarkan aura kehebatannya dengan menjelaskan satu-persatu kepada ketiga-tiga bakal pendekar terbabit.

Dengan sekali sahaja penjelasan, wanita yang merupakan isteri kepada Tok Guru itu berjaya menyedarkan ketiga-tiganya dari lamunan dan dari ajaran Tok Guru yang tak tentu pasal. :)

Kalau Anda ingin menghayati babak lakonan yang saya maksudkan, tontoni sahaja paparan youtube di bawah;




Coretan ini sengaja saya lakukan selepas membaca satu laporan berita mengenai kelalaian dan kealpaan seorang lelaki yang sudah tersalah tafsir mengenai kehidupan duniawi.

Sebab itulah sering kali saya mengingatkan bukan sahaja Anda, tetapi diri saya juga bahawa peranan minda seharusnya digunakan sebaik-baiknya. Usahlah dianggap semua perkara berkeadaan positif sahaja. Lebih-lebih lagi berkaitan agama, kerana yang negatif juga ada baiknya untuk ditelaah oleh minda sebelum pelbagai tindakan dilaksanakan.

Positif tidak semestinya baik di dalam satu-satu perkara dan begitu juga halnya dengan yang negatif, tidak semestinya buruk hasilan akhirnya. Sememangnya hanya DIA yang mengetahui segala-galanya, rahsia kehidupan duniawi yang harus kita lalui ketika ini.

Opppsss... Apa yang saya ingin katakan ialah sebenarnya peranan seorang wanita terlalu hebat auranya. Itupun seandainya lelaki menghargai dan memahami kehadiran mereka di sisi.

Berita yang saya maksudkan, baca sahaja di sini, "Bapak Budak Kahwin Paksa Kini Tertekan". Moga-moga ianya kelak mengembangkan lagi keupayaan minda yang kita miliki, InsyaAllah.


4 Komen:

ray berkata...

kejayaan seorang lelaki disebaliknya adalah wanita

sharemotivasi berkata...

wanita pemangkin kejayaan lelaki..=)
like this post..

IxoR@ berkata...

wanita.....

memang istimewa....

:D

ElyaElmo berkata...

ilike this ;)

Catat Ulasan