Ahad, September 13, 2009

Lemahnya Diriku

Sememangnya saya tidak mahir menulis atau mengarang. Sebab itu bila mana Anda membaca tulisan yang ada di dalam blog Pedoman Hidup, Anda terkadang menjadi keliru dan tidak faham.

Kerana itulah, setiap tulisan yang saya paparkan di dalam blog ini dinamakan “coretan”. Maklumlah, saya sebenarnya hanya mencoret-coret sahaja di dalam blog ini. Bukannya untuk berniaga wang ringgit yang disebut perniagaan internet. OK!

Lagi satu, masa yang saya peruntukan untuk menghasilkan sebarang coretan sebenarnya agak terhad, sekitar 15 hingga 45 minit sahaja. Terkadang tidak sempat pun mengedit setiap hasil coretan itu.

Kalau dah tersepit sangat, terkadang saya terus sahaja menaipnya di dalam ruangan “new posting” blog dan hanya membacanya dua atau tiga kali, itupun untuk memeriksa sebarang ejaan yang tersalah taip.

Semua itu saya terpaksa lakukan begitu kerana kekangan masa yang terlalu menghimpit. Masa agak terhad disebabkan pelbagai perkara yang perlu dilakukan dan dibereskan mengikut waktunya.

Hanya kerana mengingat pesanan Tuhan;

“Demi masa, sesungguhnya manusia itu di dalam kerugian, kecuali mereka yang beriman, jua mereka yang beramal soleh, yang berpesan-pesan pada kebenaran, jua berpesan-pesan pada kesabaran”

membuatkan saya sentiasa meluangkan masa untuk melakukan coretan, walaupun terkadang ada kerja yang perlu diutamakan untuk diselesaikan.

Seandainya Anda geram atau keliru bila mana membaca setiap coretan-coretan yang saya paparkan di sini, maaf saya pohonkan. Sebenarnya itulah kelemahan saya.

Kebiasaannya hujung-hujung minggu begini, saya lebih seronok bersama keluarga menghabiskan masa. Apatah lagi membantu Isteriku yang Tercinta dan bergurau senda dengan anak-anak yang dikasihi dan disayangi. Moga-moga kehidupan sebegini mendapat keredhaan dari-NYA jua. InsyaAllah.

Anda, yang saya kasihi kerana DIA, moga-moga jua berada di bawah lembayung rahmat dan keredhaan-NYA sepanjang masa.

Terima kasih kerana terus berkunjung ke sini dan berkongsi cerita dengan saya yang sebenarnya masih lagi ingin belajar pelbagai perkara daripada Anda. Anda yang saya kenali Saudaraku yang dikasihi kerana DIA.

0 Komen:

Catat Ulasan