Rabu, Jun 03, 2009

Pengalamanku Bertemu Jodoh ...bhg 16 (Isteri Orang yang Curang)

Bila mana suami kepada Isteri orang yang curang itu bersetuju dengan pelawaan ku untuk berbicara dengannya, akhirnya dia pula yang meminta aku menetapkan lokasi dan waktu.

Menurutnya, bila-bila masa sahaja dia akan free untuk menyelesaikannya di mana sahaja. Menurutnya lagi, dia tidak mahu melambat-lambatkan pertemuan itu kerana dia juga ingin mengetahui peristiwa sebenar yang berlaku.

Aku memang tidak mahu melepaskan peluang yang ada ketika itu untuk menetapkan tempat dan tarikh yang sesuai agar dapat bertemu dengannya, iaitu suami kepada Isteri orang yang curang itu.

Maklumlah, hati aku juga meronta-ronta untuk berterus terang mengenainya. Aku tidak mahu lagi bergelumang dengan dosa, walaupun hakikatnya hanyalah berbicara melalui perbualan biasa, umpama seorang kawan yang harus diberikan tazkirah.

Tetapi hakikatnya, ketika itu, aku juga merasakan ada sesuatu yang berusaha membisik-bisikkan ke dalam hatiku. Tak perlulah aku menyatakannya kepada Anda di sini kerana amat buruk sebenarnya.

Apa yang dapat aku nyatakan ialah seolah-olahnya Isteri orang yang curang itu sedang membubuh sesuatu ke dalam hatiku dan barangkali juga hatinya.

Syukur tidak terhingga kepada NYA jua kerana sebelum peristiwa itu berlaku aku telah mendengar dan mengetahui mengenai ayat-ayat NYA seperti ini;

“Lelaki yang berzina tidak ingin berkahwin melainkan dengan perempuan yang berzina atau perempuan musyrik dan perempuan yang berzina itu pula tidak ingin berkahwin dengannya melainkan oleh lelaki yang berzina atau lelaki musyrik dan perkahwinan yang demikian itu terlarang kepada orang-orang yang beriman". (An-Nur, 24: 3)

Memang ayat itu amat-amat melekat di hatiku. Sebab itu jugalah aku berusaha menghindari isteri orang yang curang itu. Kerana aku tidak mahu larangan NYA itu seolah-olah tidak bermakna di dalam hati dan sanubariku, apatah lagi untuk menyuluh liku-liku kehidupanku. Ditambah pula memikirkan anak-anak yang bakal menjadi zuriat di dalam kehidupanku kelak.

Bukan sahaja peristiwa itu, malahan aku juga tidak mahu berusaha mencari-cari cinta sebelum berumah tangga. Mengapa?

Pastilah aku takut andai melakukan perbuatan terkutuk itu. Seperti yang aku telah nyatakan kepada Anda dahulu, usahlah marah padaku sekiranya Anda tidak bersetuju dengan pandanganku. Memang aku bertekad melakukan begitu kerana aku sebenarnya lemah berbanding Anda.

Masih juga terngiang-ngiang di telingaku ketika membaca ayat surah Yusuf berkaitan perkara ini. Pastilah ayat itu menjadi kegemaranku apatah lagi ianya dialunkan oleh Sheikh Mishary Rashed Alafasy (link). Memang beliau adalah Qari yang aku gemari kerana dendangan suaranya menusuk betul ke dalam kalbuku. Apatah lagi semasa alunan suaranya yang merdu itu aku iringi dengan menatap terjemahan kitab suci di dalam bahasa melayu.

"Dan sebenarnya perempuan itu telah berkeinginan sangat kepadanya, dan Yusuf pula (mungkin timbul) keinginannya kepada perempuan itu kalaulah ia tidak menyedari kenyataan Tuhannya (tentang kejinya perbuatan zina itu). Demikianlah (takdir Kami) untuk menjauhkan dari Yusuf perkara-perkara yang tidak baik dan perbuatan-perbuatan yang keji, kerana sesungguhnya ia dari hamba-hamba Kami yang dibersihkan dari segala dosa". (Yusuf, 12: 24)

"Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan)". (Al-Isra, 17: 32)

Memang peristiwa yang aku lalui bertemu Isteri orang yang curang itu merupakan cabaran di dalam hidupku yang aku boleh kategorikannya sebagai sedikit menyeronokkan dan pastilah juga ada keperitannya.

Opss… berbalik pada tempat perjumpaan yang aku pilih? Heheheeeee…

Geli hatiku bila mengingatkannya kembali. Nak tahu tempat yang aku pilih? Pastilah lokasi yang ada khalayak ramai. Sebabnya, manalah tahu sesuatu yang buruk bakal berlaku, setidak-tidaknya adalah juga orang ramai yang bakal membantu.

Lokasi itu adalah Restoran Mamak yang memang sering aku kunjungi untuk menyantap roti canai berkuahkan campuran dal dan kari.



P/S: Jangan lupa mendownload bacaan ayat-ayat suci Al-Quran dari link yang telah aku berikan di atas. Moga-moga adalah manafaatnya.

Sheikh Mishary Rashed Alafasy (link)


(Coretan ini akan dilanjutkan di lain masa)

0 Komen:

Catat Ulasan