Isnin, Mac 22, 2010

Kejayaan Kehidupan

Ramai beranggapan orang yang kaya adalah orang yang berjaya. Begitu jugalah halnya dengan orang yang berpangkat besar, mereka dikategorikan sebagai orang yang telah berjaya.

Kalau tanya saya, memang saya mengiyakan sahaja.

Mereka yang kaya dan berpangkat besar boleh dianggap sebagai orang-orang yang telah berjaya. Tetapi ingat! Kejayaan sedemikian sementara sahaja. Ianya tidak akan kekal selama-lamanya. Realitinya, mereka jua akan mati ditelan bumi.

Belum tentu selepas kehidupan duniawi, mereka kelak mengecapi kejayaan jua. Belum tentu.

Begitu juga Anda yang telah gagal. Kegagalan hidup yang dialami kini belum seratus-peratus dalam kategori orang-orang yang gagal. Belum!

Anda masih ada peluang untuk mengecapi kejayaan. Itupun kalau Anda mahu berusaha bersungguh-sungguh melakukannya, bukan hanya sambil lewa sahaja. Untuk Anda menggapai kejayaan yang sebenar-benarnya, perjalanan hidup ini harus mengarah kepada NYA.

Kejayaan selepas kehidupan dunia tiada siapa yang mengetahuinya kecuali DIA, Tuhan Yang Maha ESA, yang berkuasa di atas segala-galanya. DIA Maha Pencipta.

Belum tentu selepas kehidupan duniawi orang-orang yang telah berjaya akan mengecapi kejayaan. Begitu juga orang-orang yang gagal sekarang, belum tentu akan gagal selama-lamanya.

Itu realiti yang harus kita sedari bersama.

Namun, suka juga saya memberitahu bahawa orang-orang yang berjaya seperti yang dinyatakan di dalam Al-Quran, Kitab Petunjuk Kehidupan ialah;

Mereka itulah yang tetap mendapat petunjuk dari Tuhan mereka dan merekalah orang-orang yang berjaya. (Al-Baqara, 2: 5)

Katakanlah (wahai Muhammad): Tidak sama yang buruk dengan yang baik, walaupun banyaknya yang buruk itu menarik hatimu. Oleh itu bertakwalah kepada Allah wahai orang-orang yang berakal fikiran, supaya kamu berjaya. (Al-Maidah, 5: 100)

Dan timbangan amal pada hari itu adalah benar; maka sesiapa yang berat timbangan amalnya (yang baik), maka mereka itulah orang-orang yang berjaya. (Al--Araf, 7:8)

Adakah kamu merasa ragu-ragu dan hairan tentang datangnya kepada kamu nasihat pengajaran dari Tuhan kamu, melalui seorang lelaki dari golongan kamu, untuk memberi peringatan kepada kamu? Dan kenanglah ketika Allah menjadikan kamu khalifah-khalifah sesudah kaum Nabi Nuh dan Allah telah menambahkan kamu kelebihan (dan kekuatan) pada bentuk kejadian tubuh kamu. Maka kenanglah akan nikmat-nikmat Allah supaya kamu berjaya. (Al-Araf, 7 :69)

Dia menyuruh mereka dengan perkara-perkara yang baik dan melarang mereka daripada melakukan perkara-perkara yang keji dan dia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk dan dia juga menghapuskan dari mereka beban-beban dan belenggu-belenggu yang ada pada mereka. Maka orang-orang yang beriman kepadanya, dan memuliakannya, juga menolongnya, serta mengikut nur (cahaya) yang diturunkan kepadanya (Al-Quran), mereka itulah orang-orang yang berjaya. (Al-Araf, 7: 157)

Banyak lagi kriteria orang-orang yang berjaya yang telah dijelaskan di dalam Al-Quran, Kitab Petunjuk Kehidupan. Marilah bersama-sama menyelaknya satu-persatu. InsyaAllah, akan adalah cahaya NYA menyuluh kehidupan kita.

1 Komen:

Cik Amy Sensei berkata...

salam abg bent..

apa khabar?
moga ceria selaluuu..

:)

Catat Ulasan