Isnin, April 29, 2013

PRU 13 - Pilihanraya Umum Negara Malaysia ke 13. Pilihan saya ialah BN @ selain BN

Hari ini, saya menguatkan diri agar dapat memaparkan satu entri untuk tatapan Anda di blog Abgbent Pedoman Hidup. Saya ingin berkongsi dengan Anda mengenai pangkahan saya di dalam kertas undi, yang bakal saya terima pada 5 Mei 2013 nanti. Alamatlah tangan dan kuku saya kena cat pada tahun ini. (*___*)

Tahun ini, saya akan mengundi di kawasan Parlimen Sepanggar (P 171) di daerah Karambunai (N 12). Inilah buat pertama kali saya mengundi di kawasan tersebut. Sebelum ini, saya mengundi di daerah N 57 Sri Tanjung, Parlimen Tawau, P 190.

Sejak beberapa tahun lalu lagi, saya telah berusaha memindahkan lokasi saya mengundi, tetapi telah tidak diizinkan oleh pihak SPR - Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia kerana menurut mereka, saya hanya boleh memindahkan lokasi mengundi bilamana alamat pada Kad Pengenalan telah berubah.

Saya mengubah alamat yang tertera pada Kad Pengenalan saya akhir tahun lalu dan saya bersyukur, saya telah dipindahkan ke tempat pengundian yang baru. Pertama kali saya mengundi di kawasan tersebut. P 171 Sepangar, dalam daerah N12 Karambunai.

Anda nak tahu pangkahan saya pada calon yang mana satu? Sebelum saya memberitahu kepada Anda, adalah lebih baik Anda kenali dahulu calon-calon yang disenaraikan iaitu seperti berikut;

P171 - Sepangar
Jumlah Pengundi 53,374.
Pecahan Kaum; Bumiputera Islam (48.8 %), Bumiputera Bukan Islam (28.7 %), Cina (22 %) dan lain-lain (0.5 %)

1. Chin Hon Kiong (SAPP)
2. Daniel John Jambun (STAR)
3. Jeffrey Kumin @ John (DAP)
4. Datuk Jumat Idris (BN)


N12 - Karambunai
Jumlah Pengundi 28,971.
Pecahan Kaum; Bumiputera Islam (77.5 %), Bumiputera Bukan Islam (11.77 %), Cina (10.1 %) dan lain-lain (0.7 %)

1. Ag. Maidin Ag. Apong (Bebas)
2. Datuk Jainab Ahmad (BN)
3. Muali Aching (Keadilan)
4. Aziz Ibrahim (SAPP)
5. Rano Susulan (Bebas)

Memandangkan Undi saya adalah rahsia, lalu biarlah ia dirahsiakan daripada pengetahuan Anda. (*___*)

Sebenarnya coretan saya kali ini adalah kerana saya sebenarnya ingin berkongsi dengan Anda mengenai pembongkaran satu rahsia. Rahsia yang diciptakan untuk kita sama-sama fikirkan bersama. Tatap lah youtube di bawah;



Baca selanjutnya, Klik di sini...

Khamis, April 11, 2013

Kesultanan Sulu yang Hilang...

Saban hari, semakin meningkat jumlah tangkapan oleh pihak Malaysia ke atas orang-orang Sulu. Sebagai rakyat Malaysia yang menjunjung undang-undang yang termaktub, sememangnya saya amat bersetuju dengan tindakan sedemikian agar ketenteraman awam terpelihara, khususnya di Pantai Timur Sabah.

Namun begitu, saya juga berharap agar sesiapa sahaja yang telah ditangkap haruslah bersandarkan undang-undang dan tidak berlaku penganiayaan seperti mana yang dituduh oleh pihak-pihak tertentu. Saya baca laporan seperti itu di sini, we're treated like animals.

Beberapa hari lepas, dilaporkan seramai 135 orang telah ditangkap di bawah Akta Kesalahan Keselamatan Langkah-Langkah Khas 2012 SOSMA, iaitu yang berkaitan dengan Pencerobohan Tentera Diraja Kesultanan Sulu di Lahad Datu, Sabah. Laporan itu juga menyebut seramai 70 orang di pihak "Penceroboh" telah ditembak mati sejak peristiwa itu. Baca laporannnya di sini Polis Tahan dua Lelaki Sulu.

Hari ini pula, saya membaca laporan mengatakan seramai sembilan orang ditahan di Beluran berhubung Pencerobohan Sulu. Laporannya dinyatakan di sini, Lahad Datu: Sembilan ditahan di Beluran.

Apakah angka tangkapan yang kini seramai 185 orang akan terus bertambah hari demi hari? Gambaran yang bermain di minda saya ketika ini menunjukkan seolah-olahnya begitu. Mungkinkah lebih ramai lagi orang-orang Sulu yang akan ditangkap di dalam hal ini?

Seandainya begitu, saya melihatnya seolah-olah percaturan oleh pihak-pihak tertentu di dalam hal ini telah berjaya di mana gemerlapan cahaya Bulan dan Bintang di bumi Sabah sedikit demi sedikit mungkin akan dimalapkan. Nau'zubillah!

Pada ketika ini, penelitian saya mendapati terdapat Tiga Kesultanan Sulu yang utama iaitu Sultan Kiram, Sultan Bantilan dan Sultan Muedzulail

Sultan Kiram yang mempelopori pencerobohan di Lahad Datu adalah dikatakan berada di bawah telunjuk Kerajaan Filipina, lalu dianggap sebagai Sultan Sulu Boneka. Manakala Sultan Bantilan pula merupakan Sultan yang sedang berusaha untuk mengwujudkan kemerdekaan sendiri di rantau kepulauan Sulu, dan sekali-kali tidak akan mengiktiraf Kerajaan Filipina kerana Kesultanan ini mendasari agama Islam. Sebab itulah Kesultanan ini dinyatakan sebagai Sultan Sulu Darul Islam - SSDI. Manakala Sultan Sulu yang ketiga, iaitu Sultan Muedzulail, saya tidak seberapa mengetahuinya. Namun, saya ada terbaca kisah mengenainya di sini, Sultanate of Sulu, di sini, Insiden Lahad Datu, dan di sini, Bertemu Sultan Sulu

Secara rumusannya, saya pasti ketiga-tiga Sultan tersebut ada pertalian saudara, tetapi akibat perpecahan sesama sendiri, kedaulatan kesultanan ini akhirnya lenyap, tanpa takhta.

Malahan rakyat jelatanya telah terpisah-pisah, lalu dilabelkan menjadi Rakyat Malaysia, Rakyat Filipina, Rakyat Indonesia dan tidak kurang juga yang dilabel sebagai Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) di laman sendiri.

Sultan Berdaulat, seharusnya memayungi rakyatnya dan bukannya mempergunakan rakyat untuk memiliki takhta. Namun, itulah yang telah berlaku kepada Sultan Sulu Jamalul Kiram yang akhirnya dikecam oleh Rakyat Malaysia keseluruhannya. Malahan Sultan Bantilan dan Sultan Muedzulail yang mempunyai pertalian saudara dengannya turut tidak menyetujui tindakan pencerobohan ke atas Lahad Datu, Sabah.

Mengapa harus berbunuh-bunuhan sesama umat? Bukankah Perjanjian yang dimeterai Kesultanan Sulu  dahulu masih termaktub? Seandainya Sultan Sulu Kiram masih menjunjung agama Islam, mohon ditelaah surah Al-Baqara ayat 84 - 85 yang menjadi Pedoman Umat Islam keseluruhannya.

"Dan (ingatlah), ketika Kami mengikat perjanjian setia dengan kamu: "(Bahawa) janganlah kamu menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan) sesama sendiri, dan janganlah kamu usir-mengusir sesama sendiri dari kampung masing-masing". Kemudian kamu telah berikrar mematuhi perjanjian setia itu, dan kamu sendiri pula menjadi saksi (yang mengakui kebenarannya)."  Al-Baqara, 2: 84

"Kemudian kamu ini (wahai Bani Israil), kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri dan kamu usir satu puak dari kaum kamu keluar dari kampungnya; kamu pula saling bantu-membantu (dengan orang lain) untuk menentang mereka dengan melakukan dosa dan penganiayaan; padahal kalau mereka datang kepada kamu sebagai orang tawanan, kamu tebus mereka; sedang perbuatan mengusir mereka diharamkan juga atas kamu.... Maka tiadalah balasan bagi orang yang berbuat demikian itu dari antara kamu, selain dari kehinaan ketika hidup di dunia dan pada hari kiamat akan ditolak mereka ke dalam azab seksa yang amat berat dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang kamu lakukan." Al-Baqara, 2:85


Kepada Sultan Sulu yang masih menjunjung keamanan, tebarkanlah peranan di dalam memayungi rakyat Sulu. Pimpinlah mereka agar berada di bawah Payung Mahkota Kesultanan Sulu. Tebarkanlah kasih sayang sesama umat.

Kini, seramai 185 orang-orang Sulu telah ditahan dan persoalannya, apakah yang akan berlaku kepada mereka khususnya sanak-saudara yang masih bergantung harap kepada kelangsungan kehidupan mereka? Mungkinkah Kesultanan Sulu hanya melihat dari jauh? Tiadakah pembelaan daripada Kesultanan Sulu, atau sememangnya Kesultanan Sulu telah lenyap.

Saya percaya, tangkapan yang semakin hari semakin bertambah akan menambahkan kebimbangan bukan sahaja kepada orang-orang Sulu, bahkan kepada penduduk negeri Sabah khususnya di mana bibit-bibit dendam akan mencambah.

Moga-moga Sabah, negeri di bawah bayu akan aman sentosa dan terhindar daripada gelora dendam dan kebencian.

"Dan jangan sekali-kali kebencian kamu kepada suatu kaum kerana mereka pernah menghalangi kamu dari masjid Al-Haraam itu - mendorong kamu menceroboh. Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksaNya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya)". (Al-Maida, 5: 2)

"Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan." (Al-Maida, 5: 8)



  

Baca selanjutnya, Klik di sini...

Rabu, April 10, 2013

Isteri Penyelamat Suami

Bangsaku, Satu Harapan... merupakan coretan yang saya cuba usahakan untuk dipaparkan pada blog ini beberapa hari lepas, tetapi saya tidak dapat melakukannya kerana air mata mengalir di pipi. Barangkali dek terlalu memfokus lalu perasaan itu terlalu menggamit naluri Perjuangan Kehidupan saya.

Kali ini, saya bawa pula satu tajuk yang lebih menarik untuk Anda tatap iaitu "Isteri Penyelamat Suami". Sememangnya, begitulah yang sering berlaku kepada seorang Suami.  (*___*)


Kehebatan seorang Isteri memang tidak dapat ditandingi bila mana si Isteri memahami peranannya bersama Suami. Untuk Anda lebih memahami tajuk Bangsaku, Satu Harapan, cuba baca nukilan bertajuk Perancangan Strategi agar Anda lebih memahaminya.

Di akhir nukilan itu, ada juga disertakan luahan atau percakapan seperti mana yang telah dicatatkan. Saya tertarik bila menatap bait-bait ayat yang saya lakarkan kembali seperti di bawah;

"Saya mendedahkan segala-galanya. Dia menangis Tuan-tuan dan Puan-puan. Dia tak dapat nak terima yang suami dia ni buat perkara ni. Tahu dia kata apa kat saya, “Tak sangka aku hidup selama ini dengan seorang pengkhianat!”. Isteri saya kata kat saya, “You ni di depan terlalu elok, tapi di belakang you adalah syaitan nombor satu.” Dia kata kat saya, dia tak dapat terima saya buat kerja ni.
Tuan-tuan tahu tak, pada satu ketika tu, cara percakapan dia ni, kalau boleh dia tak mahu hidup dah dengan saya. Dia tak boleh terima saya buat benda ni. Saya minta maaf. Saya mengaku kesilapan saya, memang saya tahu saya silap semasa saya berada dalam..." 
Baca selanjutnya di sini, Perancangan Strategi



Baca selanjutnya, Klik di sini...

Jumaat, April 05, 2013

Bangsaku, Satu Harapan...

Sebentar tadi suara hatiku membuak-buak dan memaksa diri saya agar dapat memuatkan satu coretan di dalam blog Pedoman Hidup Abgbent untuk dikongsikan dengan Anda pada petang ini, sebelum saya bergegas pulang ke rumah.

Namun, sehingga kini, nampaknya, minda saya tidak dapat menzahirkan kata-kata yang sedang terbuku di dalam hati sanubari saya ketika ini. Untuk makluman Anda, hati saya sedang berasa sedih ketika ini dan airmata sedang menitis membasahi pipi.

Mungkin inilah penangan suara hati yang sedang bergelora di dalam diri saya mengenai Bangsaku, Satu Harapan...  Oleh kerana air mata sedang mengalir mencurah-curah di atas pipi saya ketika ini, maka tak dapatlah saya meneruskan lakaran ini.

Hanya Tuhan sahaja yang tahu bagaimana bentuk dan paparan coretan yang sedang saya fikirkan sebentar tadi mengenai Bangsaku, Satu Harapan...


Baca selanjutnya, Klik di sini...