Rabu, Oktober 21, 2009

Coretan Buat Akak Jaja...3

Saya bersyukur pagi ini kerana ada kekuatan untuk berkongsi sesuatu. Rasa syukur yang sukar digambarkan sama ada bentuk dan warnanya. Saya juga rasa teruja membaca persoalan Akak Jaja. Ya, saya membacanya, berfikir dan meneruskan coretan saya pada pagi yang penuh barakah ini. Alhamdulillah...

Saya masih ingat dengan persoalan kedua Akak iaitu bergantung dengan keputusan famili.

Bergantung dengan keputusan famili bukanlah sesuatu yang salah!, saya juga sering melakukannya. Sampaikan ke peringkat mendapatkan calon isteri yang saya miliki sekarang ini pun, sebenarnya ianya adalah pilihan bersama saya dan keluarga.

Walaupun saya tidak pernah “bercinta” dan hanya sekali bertemu dengan Isteri Tercinta saya, iaitu ketika keluarga memperkenalkan saya kepada keluarga Isteri Tercinta saya, tetapi pandangan pertama itulah yang telah mengikatkan kami sehingga kini.

Alhamdulillah dengan anugerah-Nya. Saya tetap berfikir bahawa keputusan yang dibuat secara BerMusyawarah adalah lebih baik daripada berfikir sendirian.

Di dalam hal-hal penting, saya rasa tidak salah andai sesuatu keputusan yang diambil itu terlebih dahulu mendapatkan pandangan famili, apatah lagi keputusan itu akan melibatkan mereka kelak, dalam hal rumah tangga misalnya.

Saya juga masih ingat ketika saya memperolehi peluang untuk melanjutkan pengajian ke peringkat kedoktoran (phd). Saya mempunyai pilihan di dalam atau di luar negara untuk menyambung pengajian. Tetapi pada akhirnya, keputusan yang saya ambil ialah belajar sahaja di dalam negara. Itu adalah keputusan saya selepas berbincang dengan famili!. Sebenarnya, ramai juga rakan-rakan yang kurang bersetuju dengan keputusan itu.

Ya, pasti ada baik dan buruknya di dalam keputusan saya itu. Dan saya tidak pernah menyesali keputusan yang diambil hasil perbincangan bersama famili itu.

Hakikatnya, apabila famili saya ditimpa musibah yang amat menekan di peringkat awal pengajian saya, saya ada disamping mereka. Saya rasa peristiwa yang berlaku ketika itu tidak akan dapat saya ulangi di dalam hidup ini!.

Mungkin, itulah rahsia disebalik keputusan saya agar belajar di dalam negara. Kehadiran saya bersama famili semasa musibah yang berlaku itu, setidak-tidaknya dapat mengurangkan beban adik beradik terutama ibu saya. Sudah pasti ianya tidak sama sekiranya pada ketika itu saya berada di luar negara.

Apa yang ingin saya kongsikan di atas ialah untuk menyatakan bahawa kehadiran pandangan famili di dalam kita mengambil sesuatu keputusan atau tindakan adalah suatu yang amat penting untuk Pedoman Hidup Kita. Dan perlu diingat, bahawa keputusan yang kita telah ambil, apabila menemui kegagalan, tidak seharusnya menyalahkan mereka kerana pandangan mereka tidak bermaksud itulah keputusan akhir yang harus kita ambil.

3 Komen:

izakhairi berkata...

Salam Abg Bent,
Ziarah untuk berdiskusi berkaitan topik bergantung pada keputusan keluarga. Saya juga bergantung pada keluarga sehingga kepada soal jodoh adalah pilihan ibu. Alhamdulillah ketaatan sebagai seorang anak membawa berkat walaupun berkahwin pada usia muda dan terpaksa membatalkan niat untuk sambung belajar.
Setelah berkahwin mendapat keizinan dari suami untuk sambung belajar. Bergantung pula pada keputusan suami sehingga dapat menjadi seorang guru berjaya dan mendapat sepenuh sokongan dari keluarga.
Bergantung pada keputusan keluarga bukan beerti kita lemah.
Tapi kita perlu bergantung pada Allah yang maha Esa kerana di sisiNya kita adalah makhluk yang lemah dan serba kekurangan yang sentiasa memerlukan rahmat dariNya.

Cik Amy Sensei berkata...

salam...

*senyummmm*

Abgbent berkata...

Terima kasih duhai Cikguku yang Tegas, Izakhairi dan buat adikku CikAmy yang ayu jua, heheheeee senyuman menawan penyejuk jiwa.

Catat Ulasan