Rabu, April 28, 2010

Handsome, Berakhlak Rendah

Hari ini saya terdorong berkongsi perasaan kasih dengan Anda. Perasaan ini tiba-tiba pula muncul ketika ini di dalam hati sanubari yang saya ada. Berkemungkinan juga Anda tidak dapat merasainya kerana saya tiada keupayaan luar biasa untuk mengajak Anda mengecapinya.

Kepada NYA jua saya berserah.

Kalau Anda berupaya memahami contengan ini, bermakna kita sudah ada kesatuan hati.

Saya berdoa kepada Tuhan Yang Maha ESA, Allah SWT agar Anda dilindungi sepanjang masa dan dikurniakan kebahagiaan serta kesejahteraan. Semoga Anda juga menjadi orang-orang yang soleh atau solehah, menjadi orang-orang yang bertakwa. Saya tidak memaksa Anda mendoakan saya kerana perlakuan sedemikian menuntut Keikhlasan.

Doa yang saya pohonkan adalah jelmaan perasaan kasih yang kini menyelubungi hati sanubari yang saya miliki. Sebab itulah saya terdorong mendoakan kebahagian dan kesejahteraan untuk Anda.

Moga-moga titisan perasaan kasih begini berupaya dirasai oleh Anda yang memiliki akhlak mulia, seterusnya memahaminya. :)

Coretan ini saya tidak susun tatabahasanya dengan sempurna, ditambah pula manik-manik kata yang tidak bercahaya. Barangkali gelap dipandang mata. Dirasai sakit oleh hati sanubari Anda. :(

Lebih parah, kata-kata ini diterbalikkan oleh syaitan durjana menyebabkan bila dipandang mata, tidak bercahaya dan sampai ke hati, terasa perit sakitnya. Kalau sampai ke minda, mulalah terbalik jelmaannya. Kepura-puraan dikatakan terserlah.

Kepada NYA jua saya berserah.

Ketahuilah bahawa saya memang memiliki kelemahan. Tidak mempunyai keupayaan untuk menghamburkan kata-kata bercahaya yang menyamai sinaran malaikat. Barangkali cahaya yang diperhati di sini seumpama nyalaan api dari kejadian para syaitan.

Kurang Ajar! namanya.

Ketahuilah bahawa bahasa begitu terluah dari perasaan kasih yang menyimpan rahsianya tersendiri. Bahasa kurang ajar ada kala berkeupayaan menyedarkan mereka yang sedang leka ditimpa fatamorgana dunia.

Sememangnya tidak menyamai bahasa sopan santun yang paparannya terlalu indah, sedap dipandang mata. Bila mana sampai ke hati, konon-konon kehitaman yang ada menjadi jernih semula. Heheheeee...

Realiti yang saya ingin beritahu ialah saya tidak memiliki keupayaan luar biasa didalam menjelmakan aura kehebatan berkarya. Saya hanyalah insan biasa yang terlalu lemah, mengidamkan hamburan kasih sesama manusia.

Pada Anda yang berakhlak mulia, bila mana berbicara dengan saya, usahlah cepat terasa kerana saya bukanlah pembimbing akhlak mulia. Sungguh! saya hanyalah seorang insan yang ingin berkongsi perasaan. Jauh sekali berperanan sebagai Muaddib. Barangkali bukan!

Tiada keupayaan begitu pada diri saya. Apa yang pasti, saya ingin menghamburkan kasih sayang sesama manusia dan meluahkan keimanan tentang kekuasaan Tuhan Yang Maha ESA. Lebih-lebih lagi DIA memerhati sehingga jauh ke lubuk hati sanubari setiap insan. Tidak perlu saya berpura-pura merasai dan menjiwai keimanan begini. Memang tidak!

Andai hamburan kasih yang saya lakukan menjadi sumpitan panah yang tajam, maafkanlah saya. Lebih-lebih lagi pancaran kasih itu menjadi perasaan meluat berapi-api, sekali lagi, saya pohon kemaafan.

Barangkali cahaya kemaafan dari saya yang mana bila ditatap oleh Anda seolah-olah kabur pancarannya. Maklum sahajalah, karya terhasil dari insan biasa.

Ketahuilah juga bahawa saya mempunyai keupayaan yang memang terhad di dalam meneliti kesensitifan perasaan Anda. Sememangnya saya hanyalah insan biasa yang ada kala terlalai dengan dosa. Sebab itu, saya amat-amat memerlukan bimbingan NYA. Sokongan Anda juga...

Harap-harap kasih yang tidak disusun sempurna ini dapat difahami oleh Anda yang berakhlak mulia... :)

Terima kasih kerana sudi menelaah di sini.



Sebagai tambahan, cuba telaah peristiwa di bawah. Kisahnya memang best!. saya pasti Anda suka. Sebenarnya saya perolehi dari blog http://pusaka-ilmu.blogspot.com/. Saya suka menatapnya kerana menjelmakan gambaran berguna. Positif atau Negatif.


Tajuk: Bapa Pukul Anak Kerana Anak Nak Pakai Tudung


from (Roy)
to "x-snt@yahoogroups.com"
date Mon, Mar 29, 2010 at 3:11 PM
subject : Bapa Pukul Anak Kerana Anak Nak Pakai Tudung


Apalah nak jadi dgn dunia sekarang nie... Hemmmmmm

=========================================
Sadis betul...



Aku mengeliat sepuas puasnya. Nasib baik takder siapa nampak cara aku mengeliat. Mahu jatuh saham aku huhu.

Tiba tiba aku teringat kisah semalam. Airmata terus berlinang. Terasa amat sayu dan sedih. Salah ke kalau aku nak pakai tudung? Naper abah takbenarkan? Buat pengetahuan korang, bapak aku ni jenis orang yang sibuk giler. Businessman yang sentiasa sibuk. Mak aku dah takder. Meninggal dunia lama dah. Sedih sangat sangat.

Dari jendela, kelihatan cahaya matahari mula menjeluskan diri ke celah celah langsir tingkap. Jam dah 11:00 pagi. Perut lapar.

Aku bangun capai tuala, masuk bilek mandi.

Lepas mandi, aku belek belek tubuhku pada cermin. Alangkah lebih cantik kalau aku bertudung. Aku nekad! Aku akan protes habis habisan kalau bapa aku tak nak juga bagi pakai tudung. Aku sanggup lari dari rumah. Demi kebaikan yang aku pilih. Lantak la dengan ahli keluarga aku yang lain lain. Semuanya tak nak pakai tudung! Tapi aku nak!!!!

Aku turun ke bawah. Baru jea nak buka tudung saji atas meja, terdengar bunyi kereta masuk garaj. Aku jenguk melalui tingkap dan nampak bapa aku balik. Aikkkk, apahal bapa balik awal ni???

Dalam masa yang sama, aku rasa inilah masa yang terbaik untuk desak bapa aku benarkan aku pakai tudung. Now or never!

Bila bapa aku buka jea pintu, aku bersalam dengannya dan tanpa lengahkan masa, aku kata, ""Daddy, cheq nak pakai tudung. Cheq nak!"

Bapak aku terus jegil sebesar besarnya. Macam ada api keluar! Panggggggggggggggggggg. Bapa aku hayun penampar ke muka aku! Tersepok aku di celah set sofa.

"Aduhhhhhhhhhhhhhhhhhhh.... sampai hati daddy! Cheq tau la daddy rasa malu kalau cheq pakai tudung. Salah ke kalau cheq nak tutup aurat cheq? Kalau adik dan abg tak nak...."

Pangggggggggggggggggggg....! Bapaku labuh pelempang ke muka aku sekali lagi sebelum aku abis bercakap.

"Hang jangan nak bagi aku malu naaaa! Hang jangan nak buat pasai! Hang nak pakai tudung buat apa??? Dah 100 kali aku habaq, LELAKI TAK PAYAH PAKAI TUDUNG, LELAKI TAK PAYAH PAKAI TUDUNG!!! Tu la, bila time kelas agama, hang ponteng! Nama hang aku boh "Razali", tup tup lekat jadi ZAZA sahaja! Memang la dalam rumah ni semuanya tak bertudung sebab adik hang tu lelaki! Abang hang pun lelaki jugak!".

Aku yang tersepuk celah sofa, terus menangis terkedu kedu. Dah la sakit kena tampar, kena pelempang. Tudung pun tak dapat jugak.

SALAH KAH AKU? SALAH KAH AKUUUUUUUU! OOOOO tidakkkkkkkkkkkkk!



Baca selanjutnya, Klik di sini...

Jumaat, April 23, 2010

Kisah Tahi Lalat dan Handsome

Tiba-tiba pula saya terdorong ketika ini memuji diri sendiri. Astagfirullah!

Realitinya, kadang kala saya suka dipuji dan ada ketikanya terasa hati bila dicemuh atau dihina. Itulah diri saya yang bernama manusia biasa. MasyaAllah!

Apapun, saya juga mengetahui bahawa perasaan-perasaan begini seharusnya dikuasai oleh jiwa. Lebih-lebih lagi jiwa yang memahami kekuasaan Tuhan Yang Maha ESA, Allah SWT. Pengetahuan NYA jauh meresap sehingga ke lubuk hati sanubari yang dimiliki. Kepada NYA jua saya berserah.

Sebenarnya saya ingin santai bercerita dengan Anda ketika ini. Maklumlah, sudah lama saya tidak bersembang-sembang begini dengan Anda.

Tengahari ini, saya tak balik ke rumah. Pagi tadi, sebelum bertolak ke pejabat, Isteriku Yang Tercinta telah membekalkan makanan dari rumah untuk disantap tengahari ini. Sebelum menyuapnya, ada baiknya saya bersembang-sembang dahulu dengan Anda. Anda yang saya kasihi kerana DIA.

Harap-harap contengan yang memaparkan seolah-olah meminta untuk dipuji sebegini tidaklah pula dicemuh. Heheheeee...

Sebenarnya saya ingin berkongsi sebuah kisah yang saya alami beberapa hari lalu. Ketika itu saya telah dipuji handsome oleh seorang wanita berusia. Cehhh! perasaan sungguh saya ketika itu. Terbawa-bawa kisahnya sehingga ke rumah dan kini, sampai dikongsi dengan Anda pula. Meluat, memanglah meluat! Harap-harap Anda yang saya kasihi kerana DIA, tidaklah pula jelek bila mana menatapnya. Anggap sahaja memang saya perasan giler ketika ini.

Kisahnya bermula bila saya pergi ke jabatan lain untuk memperbaharui kad pekerja yang saya punyai. Entah macam mana, sampai sahaja di situ, ada pula seorang wanita berusia lingkungan 50 an sedang dirakamkan gambarnya, juga bertujuan untuk membuat kad pekerjanya. Dah masuk kali ketiga wajahnya dirakamkan, tetapi masih belum berpuas hati juga dia melihat paparan foto yang ditunjukkan.

Gelagat adik lelaki yang merakamkan gambar ketika itu saya perhati seolah-olah berasa meluat dengan sikap cerewet wanita berusia itu. Cerewet dalam maksud bila mana ditunjukkan kepadanya hasil foto yang telah dirakamkan, masih tidak berpuas hati dan mendesak diulangi semula.

Bila mana saya melihat keadaan itu beberapa kali, saya pun cubalah memberikan semangat kepada adik lelaki yang merakamkan foto ketika itu bahawa saya tak kisah menunggu. Lagipun, bila giliran saya tiba, rakaman foto sekali sahaja sudah memadai, tak perlulah diulangi banyak kali. Paling penting, kad pekerja saya boleh disiapkan dalam waktu yang pendek.

Lalu saya memberitahu kepadanya bahawa tak apa dia terus membantu wanita berusia itu sampai merasa puas hati. Saya masih rela menunggu. Tanpa disangka-sangka, akhirnya adik lelaki itu tersenyum-senyum kepada saya juga wanita berusia 50 an itu turut mengukirkan senyuman kepada saya. Heheheee...

Dalam pada itu, sempat juga wanita berusia 50 an itu bergurau dengan mengatakan bahawa orang macam saya yang nampak kacak dan handsome memang patut diambil gambar sekali sahaja. Tak perlu banyak kali, kerana sudah memang kelihatan handsome. Bukannya macam dia yang perlu memilih-milih foto terbaik agar kelihatan anggun berseri-seri pada kad pekerjanya nanti. Apa lagi, kami bertiga pun tergelak ketawalah ketika itu.

Lalu, tak disangka-sangka pula, adik lelaki yang bertugas mengambil foto ketika itu menjemput saya untuk didahulukan. Sebelum itu, sempat juga saya memalingkan wajah ke arah wanita berusia 50 an itu untuk mendapatkan kebenarannya, lalu dia tersenyum simpul dan memberikan isyarat keizinan. Tersenyum-senyum saya mengingati peristiwa itu.

Semasa menunggu proses menyiapkan kad pekerja, sempat juga wanita berusia itu memuji kehandsomean saya dan memberikan pesanan bahawa tahi lalat yang ada di pipi sebelah kanan saya amat bagus kerana boleh dijadikan petunjuk penyakit kanser.

Hah! Terkejut juga saya bila diberitahu begitu, lalu mengajukan beberapa soalan lanjut kepadanya. Menurutnya lagi, bila mana penyakit kanser menyerang, paparan tahi lalat biasanya akan berubah. Lalu saya bertanya, berubah macam mana?

Dia pun menjelaskan bahawa perubahan tahi lalat itu dari pelbagai segi, sama ada bentuk, warna dan lain-lainnya. Asalkan tahi lalat itu berubah dari asalnya.

Oh, barulah saya memahaminya, lalu pada malamnya, semasa berada di rumah selepas mandi, sempatlah juga saya memeriksa dan bercermin untuk memerhatikan tahi lalat yang ada di wajah saya. Dan kini, barulah saya mengetahui bahawa wajah saya memiliki lima tahi lalat. Heheheee

Paling menonjol pada pipi sebelah kanan dan tiga lagi tahi lalat terletak di pipi sebelah kiri. Di leher, pun ada satu yang menonjol. Mungkinkah pesanan wanita berusia 50 an itu ada kebenarannya? Akan saya pantau tahi lalat yang dipaparkan pada wajah handsome yang saya miliki ini.

Kepada NYA jua segala puji-pujian sedemikian, sebenarnya.
Subhanallah! Alhamdulillah!



Baca selanjutnya, Klik di sini...

Khamis, April 22, 2010

Imaginasi Minda, Positif @ Negatif

Salamelekom, wbt duhai adikku yang dikasihi kerana DIA. Abg akan terus berharap dan berdoa semoga Adikku yang dikasihi kelak berjaya. Ya, abg berdoa untukmu.

Realitinya, kehidupan dunia ada pelbagai jalan yang boleh dilalui. Pilihlah mana satu yang dikehendaki, dan usah dilupa agar sentiasa menggunakan deria tiga dimensi untuk menafsir setiap liku-liku jalan yang ingin dipilih.

Lebih-lebih lagi pilihan yang disinari cahaya Ilahi, pasti petunjuknya menuju pintu kebenaran. Harus juga berhati-hati kerana cahaya NYA ada kala menjadi ilusi dek dorongan nafsu serakah yang berupaya memperkosa jiwa dan raga.

Seumpama Law of Attraction Radiation yang menyelitkan The Secret untuk diselongkar dan darinya nanti kadang kala pula akan dijumpai Law of Rejection Radiation yang memaparkan erti kehidupan. Kedua-dua hukum ini hak mutlah bagi NYA, Tuhan Yang Maha ESA, Allah SWT.

Kutub positif belum tentu positif dan sebaliknya yang negatif belum tentu negatif. ;)

Seumpama ilmu pandangan mata yang sering kali memperdaya. Imej yang dipaparkan pada retina mata sebenarnya diterbalikkan bila sampai ke minda. Anda sedang berdiri bila ditafsir minda, tetapi realitinya Anda sebenarnya terbalik dek tarikan graviti bumi.

Ada lagi, benda hitam akan kelihatan hitam bila mana cahaya memancar padanya diserap kesemuanya dan sebaliknya pula benda itu kelihatan putih bila mana cahaya yang memancar padanya dipantulkan semula.

Biasanya orang berjaya memiliki daya imaginasi yang berbeza dari kebanyakan manusia. Siapa sangka besi boleh diterbangkan di angkasa raya dan dalam masa yang sama juga berupaya diapungkan di hamparan laut terbentang luas?

Imaginasi yang paling hebat ialah bila mana dapat merasai DIA sebenarnya sedang berada di sisi, memerhatikan segala gerak-geri jauh memasuki lubuk hati sanubari yang dimiliki. Itulah tahap imaginasi yang terlalu tinggi capaiannya. Merasakan DIA sentiasa berada di sisi, iaitu Keimanan namanya. Menjadi benteng pertahanan diri.

Dulu manusia percaya bumi berbentuk hamparan luas tapi siapa sangka teori itu akhirnya disanggah?, Ada pula mengemukakan teori bahawa bumi ini berbentuk bulat. Ianya juga tidak kekal lama kerana ilmuan sains mendapati bumi memang tidak berbentuk bulat tetapi berbentuk sfera. ;)

Inilah pandangan manusia yang sering kali berubah-ubah. sekejap positif dan sekejap lagi negatif, seumpama bebintang, sekejap bercahaya dan sekejap lagi menjadi gelap.

Siapa sangka juga kebenaran berkenaan teori Rasulullah SAW mengenai peristiwa isra’ mikraj yang hanya mengambil masa perjalanan semalaman sahaja untuk melepasi angkasa raya, semakin tersingkap kini. Walaupun kebolehan umat manusia belum berupaya membuktikan sepenuhnya, tetapi para ilmuan sedang berusaha untuk menggapainya. Mungkinkah jawapannya hanya boleh diketahui selepas menemui titik nokhta iaitu kematian?. Mungkinkah juga penciptaan malaikat daripada cahaya ada menyimpan rahsia jawapannya? Saya masih lagi mencari-cari cahaya NYA...

p/s: Barangkali boleh juga diselak lembaran terjemahan Al-Quran dalam surah Az-Zukhruf (43), ayat 1 – 89.

“Itulah berita gembira yang disampaikan Allah kepada hamba-hambaNYA yang beriman dan mengerjakan perbuatan baik. Katakan: untuk itu, aku tiada meminta upah (bayaran) kepada kamu; hanya yang ku minta kasih sayang dalam kekeluargaan. Dan siapa yang mengerjakan perbuatan baik, Kami berikan kepadanya tambahan kebaikan; sesungguhnya Allah itu Maha Pengampun dan Pembalas Jasa. (As-Syura, 42: 23)

Baca selanjutnya, Klik di sini...

Selasa, April 20, 2010

Pendidikan Seks @ Kesihatan Reproduktif dan Sosial

Bubuhlah apapun nama pada pendidikan ini, kerana pada akhirnya subjek yang ingin dijelaskan tetap merujuknya, iaitu seks.

Subjek ini konon-kononnya perlu diajar di sekolah-sekolah menengah agar gejala sosial yang kian membara dan menyala-nyala boleh diatasi. Gejala seks bebas, buang bayi dan rogol sedang meningkat statistiknya. Itu yang dilapor dan diwar-warkan.

Betulkah subjek sedemikian bila diajar di sekolah akan dapat mengurangkan statistik yang ada? Saya masih diselubungi syak wasangka. Sebab itulah bulan lalu saya ada membuat contengan mengenainya di dalam lakaran bertajuk Seksualiti Lelaki & Wanita, Hubungan Kelamin.

Satu lagi syak wasangka saya ialah berkenaan kebolehan cikgu bila menjelaskannya nanti. Lebih-lebih lagi cikgu yang muda remaja dan belum lagi berumah tangga. Boleh percayakah? Heheheeeee...

Disebalik itu, bagaimana pula modul atau silibus subjek ini? Kalau di dalam pengajaran sains, latihan praktikal amat membantu. Subjek sebegini macamana? Ya lah. Takkan la pula ada latihan praktikal yang tak senonoh bukan! Heheheee...

Apapun, sebenarnya saya berkongsi pandangan dengan Negarawan yang saya kagumi iaitu Tun Dr. Mahathir Mohammad. Di sini dilaporkan pandangannya, Pendidikan seks tidak perlu di sekolah - Dr. Mahathir.


Coretan lain, Perlukah Tersengih? Anak Luar Nikah.



Baca selanjutnya, Klik di sini...

Isnin, April 19, 2010

Cahaya NYA Sudah Ditemui ?, Inzal Kehidupan

Ohohoo... cahaya NYA sudah ditemui?
Barangkali itu hanyalah fantasi yang harus diatasi. Abg kena bersembang dengan Adikku kini dalam nada yang berbeza sedikit. Bukan lagi seperti kebiasaannya.

Maklum sahajalah, barangkali cahaya NYA yang konon-kononnya telah berjaya ditemui ada kemungkinan terlalu menyilaukan mata. Kalau di dalam ilmu keagamaan, ianya dinamakan "Gila Ism". Perangai sebegini memang pernah abg temui, pada rakan seperjuangan dahulu. Moga-moga dijauhilah kita dari pemahaman yang sebegitu, Amin.

Sebab itu, abg ingin berpesan usah dipandang terus-terusan cahaya yang dimaksudkan, kelak kabur pandangan, seumpama memerhati cahaya matahari, terpanahlah retina mata, gelap pandangan seketika pada keindahan kehidupan duniawi yang sedang diterokai.

Oppsss.. terlupa pula mendahulukan salam kepada Adikku sebentar tadi.

Salamelekom, wbt duhai Adikku yang dikasihi kerana DIA.

Sebenarnya ada kala abg tersenyum-senyum ketika membuat contengan ini. Ya lah, sambil-sambil bergurau-senda. Beberapa hari yang lalu, abg memang ingin berkongsi mengenai ukiran adik berkenaan Cahaya NYA Sudah Ditemui. Tetapi dek himpitan perkara lain, tak dapatlah abg melakukannya.

Hari ini, tiba-tiba pula ternampak sambungan kedua kisah Cahaya NYA telah ditemui. Apa lagi, terdoronglah abg berkongsi sesuatu. Untuk itu, abg memohon keizinan berbicara mengenainya. InsyaAllah, di sambungan yang kedua, ada kelapangan, abg akan tambahkan pula contengan di situ. Moga-moga Adikku yang tampan bergaya mengerti dan memahami, gurau-gurau senda begini.

Bagi Anda yang kurang bersetuju lontaran bicara ini, maafkanlah saya. Anda ada hak untuk tidak bersetuju. Realitinya, kehidupan duniawi yang dilalui memang caranya begini. Sentiasa menunjukkan pelbagai jalan-jalan untuk diterokai dengan harapan di penghujung perjalanan nanti, bertemu pancaran cahaya Ilahi yang sebenar-benarnya putih berseri-seri, InsyaAllah.

Ooo... ya, saya juga amat berharap agar Anda yang barangkali menatap contengan begini sebagai mencela agama suci, memaafkanlah saya. Pada NYA jua saya berserah dan mengharapkan keredhaan. Seandainya lakaran begini dilihat hitam, sememangnya itulah gambaran betapa lemah dan jahilnya diri saya ini.

Sememangnya saya tidak dapat memuaskan hati kesemua Anda. Rasulullah SAW juga telah menunjukkan contoh begini. Malahan lebih dahsyat lagi, sehinggakan Baginda Rasulullah SAW dilempar dengan batu.

Hatta sampai sekarang pun, masih ada yang membenci baginda Rasullulah SAW. Tergamak mereka melakarkan kartun-kartun yang tidak sepatutnya, MasyaAllah!.

Berbicara soal cahaya NYA, pasti terungkaplah sedikit demi sedikit rahsia mengenai alam duniawi yang sedang diterokai. Seumpama ilmu sains yang mendapati rupa-rupanya di sebalik cahaya putih yang sering diperhati, ada pula menyembunyikan warna yang lain paparannya.

Tujuh warna yang berupaya dilihat oleh mata manusia. Itu teori ilmu sains namanya. Warna merah mempunyai jarak gelombang pendek, manakala warna biru memancarkan cahaya yang panjang sekali. Kesemua warna cahaya ditemui pada paparan warna pelagi. Sebab itulah lautan dan langit nun jauh dapat diperhati membiru.

Perlu juga diketahui bahawa ada lagi warna cahaya yang tidak berupaya diperhati oleh mata manusia iaitu, warna ultra ungu dan infra merah namanya. Kedua-duanya melangkaui pandangan umat manusia.

Sebaliknya, abg tidak mahu melanjutkan bicara cahaya dari dimensi ilmu sains sahaja, tetapi abg terdorong berbicara dari sudut agama dan sosial manusia. Tafsirannya perlu ditelaah dari sisi positif, OK.

Bila mana Anda mengatakan telah bertemu cahaya NYA, saya ingin menambah bahawa cahaya itu ada kemungkinan akan padam dek ditiup angin kehidupan. Angin kehidupan berupaya memadamkan cahaya bila-bila masa, di mana sahaja.

Seumpama teori Isaac Newton yang mengemukakan hukum penarikan, beliau juga ada menyatakan berkenaan Teori Warna Cahaya. Dan ada yang bertentangan dengannya iaitu bernama Geothe.

Isra’ Mikraj Rasulullah SAW telah membuktikan teori kelajuan cahaya berupaya menerokai dimensi kehidupan selain kehidupan duniawi. Maka hasilnya, bukan sahaja ramai yang tidak mempercayainya, malahan dikisahkan juga ramai yang berpaling daripada menyokong perjuangan Rasulullah SAW selepas itu.

Realitinya, cahaya NYA sering kali menguji tak tentu ruang dan masa setiap jiwa manusia.

Selain itu, perlu juga diketahui bahawa cahaya yang konon-kononnya telah ditemui belum tentu cahaya yang sebenar-benarnya. Seumpama serangga kunang-kunang yang juga bercahaya, tetapi cahayanya sekejap ada, sekejap tak ada.

Seumpama kerdipan bintang dilangit dan cahaya matahari yang dilihat pada siangnya dan dipantulkan oleh bulan pada malamnya. Tetapi, ada ketikanya berlaku juga gerhana.

Sebenarnya, abg ingin mengatakan bahawa cahaya yang telah ditemui masih kecil nyalaannya dan tidak berupaya menyinari kehidupan yang dilalui ketika ini. Memang masih kecil dan tidak dapat menyuluh jalan-jalan yang berliku di hadapan sana. Ini keyakinan yang abg miliki.

Kalau adik tidak bersetuju, tak mengapa kerana tugas abg hanya memberitahu. Kalau tidak, masakan orang-orang berilmu bernama ustaz dan ustazah masih bergelumang dengan dosa. Seumpama tuan guru yang berasa takbur dengan ilmu yang dimilikinya, dan peguam syarie, mencari bukti untuk mengukuhkan hujah yang diberi.

Merujuk pada ilmu sosial atau lebih tepat ilmu seks juga dikenali seksologi, orang yang percaya telah bertemu cahaya NYA, boleh juga ditafsir sebagai telah mengecapi inzal kehidupan. Sekali lagi, ... Mengecapi Inzal Kehidupan.

Inzal adalah luahan kata berkenaan kepuasan diri dari dalaman. Bila mana telah mengecapi inzal, menurut ahli seksologi, fasa seterusnya yang dilalui adalah fasa menurun, kerana tahap tertinggi di dalam melampiaskan syahwat telah mengecapi klimaksnya.

Opsss... maaflah, kalau tiba-tiba Anda dilanda tiupan angin syahwat sekarang ini. Bukankah saya dah pesan di awal tadi yang contengan ini berbeza sedikit.

Ada baiknya saya berhenti sekarang ini, terlebih-lebih pula nanti. Bukan sahaja termuntah, malahan nafsu pula menyelubungi diri, tak pasal-pasal saya menerima akibatnya.

Sebagai penutup, izinkanlah saya meluahkan bicara berkenaan cahaya bahawa apa yang ditemui belum tentu cahaya NYA kerana ilmu cahaya sering kali menguji dan ada kala memperdaya.

Seumpama melihat suatu benda berwarna hitam. Mengapa ianya kelihatan hitam?

Tafsiran ilmu sains mengatakan ianya hitam kerana cahaya yang memancar padanya telah diserap kesemuanya oleh benda itu. Bila mana benda terbabit menyerap kesemua cahaya putih, maka hitamlah bila dilihat oleh mata manusia.

Sebaliknya pula suatu benda berwarna putih, ianya kelihatan putih kerana cahaya yang memancar padanya tidak diserap kesemunya, malahan kesemua cahaya putih itu dipantulkan semula. Sebab itulah mata manusia melihatnya berwarna putih.

Adikku pasti mengerti dan memahami rahsia-rahsia begini. Sebab itulah abg sering bertandang ke sini, laman blog adikku ini. Apatah lagi ilmu begini ada kaitan dengan The Secret, Law of Attraction, Electromagnetism, dan kini bolehlah digabungkan menjadi Electromagnetism Radiation, iaitu Hukum Penarikan Cahaya.

Syabas dan salam penuh kasih buatmu duhai adikku.




Baca selanjutnya, Klik di sini...

Jumaat, April 16, 2010

Anda Blogger Terlampau?

Amat melampau bila seseorang berlagak seolah-olahnya sudah pakar di dalam pembinaan ayat untuk berkarya. Konon-kononnya menjadi penulis bersopan-santun berbanding orang lain.

Para blogger yang berusaha menjelmakan kebolehan masing-masing, tetapi tidak berupaya menggunakan ejaan sempurna, tatabahasa yang betul, bahasa bercampur-aduk dan sering menggunakan 'bahasa rendah' dianggapnya sebagai memperlekehkan Islam.

Hah! Sampai begitu sekali pemahamannya?.

Diistilahkannya juga konon-konon orang yang menulis menggunakan ejaan salah, tidak mengikut tatabahasa sempurna dan bahasa bercampur aduk sebagai mencela bahasa Al-Quran dan Rasulullah SAW.

Lagi sekali saya terkejut dengan tafsiran sedemikian.

Saya betul-betul terkejut, lalu memberikan gelaran kepada orang seperti itu sebagai orang yang berfikiran sempit dan jumud!.

Nasihat saya, untuk menilai keindahan sesuatu perkara, harus diamati dari pelbagai dimensinya. Lebih-lebih lagi menilai dimensi kehidupan duniawi. Saya yakin, orang berfikiran sempit dan jumud tidak akan berupaya memahami maksud sebenar kehidupan ini.

Kehidupan dipenuhi warna-warni. Nasihat saya pada orang yang berfikiran sempit dan jumud, tatapilah kesemua warna-warni kehidupan dengan hati terbuka, lalu tajamkanlah minda dengan penuh kebijaksanaan.

Barangkali kejumudan yang sempit di dalam menilai karya seseorang sudah mencengkam dirinya sendiri. Apakah pemikiran sempit dan jumud telah melingkari diri sehingga tergamak menyamakan taraf keagamaan sedemikian? MasyaAllah!

Teringat pula saya kisah As-Syahid Imam Hassan Al Banna di dalam perjuangannya untuk menegakkan syiar Islam.

Dikisahkan, semasa hidup Imam Hassan Al-Banna, beliau juga sanggup pergi ke kelab-kelab malam untuk berdakwa menyebarkan risalah agama Islam.

Kelab Malam, dengan Islam?

Barangkali perbuatan sedemikian bila diterjemah oleh orang-orang yang berfikiran sempit dan jumud dianggap sebagai mencela kesucian dan kemurnian Islam. Pemikiran sempit dan jumud juga barangkali memandangnya dari perspektif negatif yang mencemarkan agama.

Tak apalah, kerana pemikiran yang dipunyai masih sempit dan jumud sehingga menghalang diri sendiri untuk menerokai kepelbagaian warna-warni di dalam berkarya.

Pembinaan tatabahasa yang baik dan elok, yang konon-kononnya indah belum tentu digemari oleh mereka yang sukakan paparan bercelaru dan comot.

Seperti mana juga Anda yang berfikiran sempit dan jumud, tidak mungkin menyukai apa yang disukai oleh mereka yang terbuka dan sering meneroka. Berusahalah mempelajari paparan bercelaru dan comot kerana darinya nanti, kelak diperolehi jawapannya.

Elakkan memandang mereka sebelah mata, lebih-lebih lagi mengistilahkan mereka sebagai pencemar agama, atau dianggap sebagai pencela bahasa Al-Quran dan bahasa Rasulullah SAW. Kelak Anda yang menerima akibatnya!

Dimensi berkarya terlalu luas paparannya untuk dinikmati. Ianya samalah seperti menikmati keindahan ciptaan Tuhan yang ada kepelbagaian paparan. Gaya jumud dan sempit pasti tidak sama dirasai bila dibanding dengan gaya terbuka dan kasar.

Anda yang berfikiran sempit dan jumud, usahlah pula menganggap mereka yang tidak berupaya menggunakan ejaan sempurna, tatabahasa yang betul, bahasa bercampur-aduk dan sering menggunakan 'bahasa rendah' sebagai memperlekehkan agama Islam. Lebih-lebih lagi menganggap mereka sebagai pencela bahasa Al-Quran dan bahasa Rasulullah SAW. Anda sememangnya Blogger Terlampau.

Siapalah Anda untuk menafsir yang terselit di dalam hati sanubari para blogger sedemikian. Pengadil yang sebenar-benarnya pastilah DIA, Tuhan Pencipta Alam. Kepada NYA jua saya berserah.



Baca selanjutnya, Klik di sini...

Jumaat, April 09, 2010

Seks, Wanita Yang Jadi Mangsa

Pagi ini saya ingin meluahkan rasa kasih kepada Anda. Lebih-lebih lagi yang bergelar wanita. Sememangnya saya amat mengasihi wanita, bukan sahaja kerana wanitalah yang telah melahirkan saya, iaitu Ibuku Yang Tercinta, tetapi wanita jugalah yang sedang menemani perjalanan hidup yang sedang dilalui ketika ini. Wanita yang saya maksudkan ialah Isteriku Yang Tercinta.

Kehadiran Isteriku Yang Tercinta di dalam perjalanan hidup ketika ini sememangnya terlalu istimewa dan banyak yang saya dapat kongsi dengannya, lebih-lebih lagi berkenaan kekuasaan Tuhan Yang Maha ESA. Syukur Alhamdulillah! pada NYA jua saya berserah di atas anugerah yang sedemikian rupa. Moga-moga DIA, Tuhan Yang Maha Berkuasa, Allah SWT, meredhainya.

Pagi ini saya ingin berkongsi dua cerita hidup berkenaan seks yang mana wanita sering menjadi mangsa. Cerita pertama adalah berkenaan seks suami yang tidak terluah menyebabkan si isteri disimbah asid. MasyaAllah!. Baca cerita selanjutnya di sini, Wanita di Simbah Asid Akibat Seks

Manakala cerita yang satu lagi berkaitan seorang gadis yang juga wanita telah menjadi mangsa rogol bapa saudara sendiri. Cerita selanjutnya di sini,
Gadis Dirogol dan Didera


Bila mana saya menelaah berita sebegitu, timbul pula kegusaran di hati tentang kedamaian yang diinginkan di dunia ini. Mungkinkah sinar kedamaian akan terserlah di dunia ini suatu hari nanti? atau mungkinkah ianya hanyalah seumpama mengimpikan bulan jatuh keribaan...


Baca selanjutnya, Klik di sini...

Khamis, April 08, 2010

Melampiaskan Syahwat, Mengecapi Inzal

Betul...
Saya bukanlah seorang motivator. Jauh sekali menjadi seorang penceramah agama. Lebih-lebih lagi konon-kononnya penulis terkemuka. Saya juga tidak menjual apa-apa produk di dalam blog Pedoman hidup untuk dibeli atau dilanggani. Memang tidak!. Tiada produk untuk saya jualkan kepada Anda.

Di sini, di blog Pedoman Hidup, saya cuba berusaha dan kalau boleh berkongsi perasaan dengan Anda tentang pengalaman hidup yang telah dilalui. Berkongsi sebuah perasaan mengenai kekuasaan Tuhan Yang Maha ESA, Allah SWT.

Saya ingin berkongsi dengan Anda kerana saya percaya, Anda mempunyai kehebatan, tetapi masih disembunyikan. Sebab itulah juga Anda terlalu jarang sekali memberikan komentar di sini, cuba menyembunyikan kehebatan yang dimiliki. heheheee

Saya yakin bahawa kehebatan yang Anda miliki sebenarnya menyamai pakar-pakar motivasi, penulis-penulis terkemuka, dan tokoh-tokoh agama yang ada. Itupun kalau Anda ingin memaparkannya.

Keyakinan sebegini sememangnya saya ada, bukan dibuat-buat, OK.

Hakikat yang sebenar-benarnya yang saya ingin beritahu kepada Anda ialah siapapun Anda, sebenarnya kita adalah serupa. Makhluk ciptaan Tuhan Yang Maha Berkuasa bernama manusia.

Manusia diciptakan adalah untuk melaksanakan tanggungjawabnya sebagai khalifah di dunia yang dilimpahi keindahan. Harus juga diperhalusi bahawa kesemua keindahan yang ada di dunia adalah pancawarna, bersulamkan fatamorgana. Kepelbagaian warna yang ada di dunia adalah fatamorgana yang saya namakan sebagai ujian kehidupan yang harus difahami agar cahaya keimanan yang terserlah adalah Satu, Cahaya Putih yang berseri-seri.

Sekarang, kita masih lagi meneruskan perjalanan kehidupan duniawi sebelum mengakhirinya di titik nokhta, Kematian namanya. Sudahkah bersedia menemuinya?

Sebelum bertemu titik nokhta yang dinamakan kematian, ada baiknya saya berkongsi dengan Anda satu persoalan. Persoalan asas tentang sebuah kehidupan yang masih menyembunyikan kekuasaan Tuhan, Allah SWT. Kehebatan kekuasaan Allah SWT sememangnya melebihi segala-galanya.

Anda juga sebenarnya memiliki kehebatan yang pancarannya terserlah bila mana bersungguh-sungguh menerokainya. Seperti Anda, saya juga sedang berusaha bersungguh-sungguh mempelajari apa sahaja yang dilalui di sepanjang kehidupan ini. Mencari jawapan-jawapan berkenaan erti sebuah kehidupan.

Adakah Anda sedang melakukan seperti mana yang saya lakukan? Mencari jawapan pada makna sebuah kehidupan?.

Kalau jawapan yang diberikan adalah Ya, maka sememangnya kita sedang berjalan beriringan. Walaupun hakikatnya gelagat masing-masing di antara kita tidak dapat diperhatikan, tetapi realiti yang saya ingin beritahu, saya dapat merasainya.

Barangkali tidaklah pula sampai merasa sedang berpegangan tangan dengan Anda, lebih-lebih lagi yang bergelar wanita. Oppsss... sebenarnya memang saya sedang berjalan berpegangan tangan dengan wanita, tetapi wanita yang terlalu istimewa yang dinamakan, Isteriku Yang Tercinta. Perjalanan kami sememangnya sedang mencari erti sebuah kehidupan.

Pernahkah Anda bertanya di dalam diri, apakah ertinya kehidupan ini? Persoalan tersebut tidak perlu Anda jawab kerana saya pasti ada dua jawapannya, barangkali Ya atau mungkin juga Tidak.

Andai jawapannya tidak pernah, maka sebenarnya Anda sedang berjalan di dalam sebuah kehidupan tanpa kompas. Anda tidak tahu matlamat sebenar perjalanan kehidupan ini, tidak akan bertemu titik inzalnya nanti. Masih tidak memahami makna sebuah kehidupan. Saya mengatakan sedemikian kerana persoalan asas sebegitu adalah antara rahsia alam yang perlu dirungkai agar diketahui ke mana perjalanan kehidupan ini.

Mana mungkin Anda mengetahui alasan-alasan yang ada, andai tidak pernah bertanya mengenainya.

Andai jawapan yang Anda berikan pula adalah Ya, pernah bertanya mengenai erti sebuah kehidupan, maka sememangnya Anda sedang berjalan pada landasan yang ada hala tujunya. Namun, saya ingin mengatakan bahawa belum tentu landasan itu adalah landasan yang sebenar-benarnya benar. Mungkin juga salah atau tersasar dari hakikat yang sebenar-benarnya.

Jawapan pada persoalan apa erti sebuah kehidupan sememangnya boleh diperolehi dari pelbagai dimensi. Ramai yang menjawab dari aspek agama, ada juga dari sudut sosial kemanusiaan, dan tidak kurang pula menggunakan teori-teori terkini iaitu ilmu sains namanya.

Saya tidak akan menyangkal kesemua jawapan yang ada berkenaan erti sebuah kehidupan kerana sememangnya saya sedang mempelajarinya. Alam ini saya yakin tetap menyembunyikan kebenaran berkenaan jawapan yang sepatutnya. Sememangnya dunia menyembunyikan pancawarnanya bermanikkan fatamorgana yang memerlukan penelitian berterusan untuk diketahui.

Kesemua jawapan-jawapan yang ada akan saya teliti sebaiknya dan terus berusaha menggapai titik inzalnya sehinggalah bertemu di penghujung kehidupan yang dinamakan kematian.

Pada NYA jua saya berserah, sama ada jawapan yang diperolehi kelak benar atau barangkali salah. Keredhaan NYA jua menjadi senjata untuk saya mengharungi lautan kehidupan yang terbentang luas untuk diterokai rahsianya.




Baca selanjutnya, Klik di sini...

Selasa, April 06, 2010

Bicara Soal Cinta

Bicara soal cinta memanglah mudah kerana penzahirannya diungkapkan melalui bibir sahaja. Ada kala boleh sampai ke tahap lapisan bibir berbuih-buih bila mana membicarakannya. Soal cinta sememangnya amat luar biasa jawapannya.

Pandangan mata boleh meluahkan rasa cinta. Lebih-lebih lagi cinta yang dipandang bersulamkan nafsu. Paparannya kelak berseri-seri, membuatkan para pencinta terpegun bila mana menatapnya. Cinta bersulamkan nafsu ada kalanya terlalu menggoda membuatkan para pencinta alpa dan lupa diri. Maklum sahajalah, cinta bersulamkan nafsu memang sedemikian sifatnya. Inginkan yang lebih-lebih...

Barangkali boleh juga diterokai istilah mengenai Hawa Nafsu yang berasal dari bahasa arab. Hawa bermakna “Sangat Cinta“ manakala Nafsu bermaksud Roh, Nyawa, Jiwa, kehendak atau Niat.

Realitinya kehidupan duniawi yang sedang dilalui ketika ini amat memerlukan Cinta. Tanpanya, mana mungkin kita boleh terus berada di sini, di dunia ini.

Sememangnya cinta amat diperlukan di dalam kehidupan ini. Lebih-lebih lagi cinta yang sujud kepada NYA, agar dapatlah diteroka akan erti kehidupan duniawi. Sememangnya kecintaan Tuhan Yang Maha ESA melebihi segala-galanya. Kecintaan NYA tidak terjangkau untuk diterjemahkan oleh kita yang bernama makhluk ciptaan NYA.


Entri tambahan mengenai;

Cinta Terhalang,

Putus Cinta atau Putus Kasih Sayang,

Kasih dan Sayang,

Petua Menyuburkan Kasih Sayang,

Mengenali Cinta.



Baca selanjutnya, Klik di sini...

Ahad, April 04, 2010

Hati Seksi, Memperkosa Jiwa Raga

Izinkanlah abg berkongsi bicara mengenainya, duhai adikku Aisyah yang manja. Tetapi sebelum itu, luahan ungkapan yang abg ingin zahirkan ketika ini ialah;

Tahniah! buatmu duhai adikku Aisyah kerana berkesungguhan mengubati penyakit hati sebegini, Hati yang ingin kelihatan Seksi. Tidak semua insan di dunia berupaya menyedarinya. Memang tidak semua manusia menyedarinya!

Bila mana hati berasa sakit dek kebaikan yang telah dilakukan tidak dibalas oleh sesiapa, ianya boleh dikategorikan hati berpenyakit, atau istilah yang saya gunakan, Hati Seksi.

Hati seksi sebegini ingin diperhatikan keindahannya oleh seluruh umat manusia agar mendapat puji-pujian berlipat kali ganda. Penyakit sedemikian juga berupaya merebak bila-bila masa ke seluruh anggota terutama minda yang berperanan mengawal jiwa-raga. Kalau nafsu, memanglah disukainya, apatah lagi jiwa raga diperkosa, pasti nafsu gembira melihatnya.

Ramai yang tidak menyedari penyakit hati seksi sebegini, lebih-lebih lagi mereka yang sedang bergelumang dengan "arak" duniawi. Masih terhoyong-hayang berjalan di dalam kehidupan ini, tergelincir dari landasan NYA, tidak mengerti tujuan sebenar dan apa yang harus dicari di dalam kehidupan ini.

Ketahuilah bahawa hanya yang dicurahkan hidayah oleh Tuhan Yang Maha ESA akan berupaya mendengar bisikan-bisikan hati seksi yang inginkan selimut sutera keimanan. Seperti mana yang adik alami ketika ini. Sebab itulah abg terdorong mengucapkan Tahniah! buatmu duhai adikku Aisyah yang manja. Moga-moga berupayalah menyelimuti hati seksi yang sedang ditusuk kedinginan salju duniawi.

Perkongsian yang abg dapat luahkan di sini ialah untuk merawat penyakit hati seksi sebegini, pertama-tamanya, hendaklah menetapkan keimanan kepada NYA di dalam diri pada tahap yang terlalu tinggi. Meyakini bahawa DIA sedang berada di sisi sepanjang masa semasa berjalan di dalam kehidupan duniawi ketika ini.

Bila mana merasai kehadiran NYA, usahakanlah juga agar setiap yang dilakukan kelak diredhai NYA, mendapat pentunjuk dan bimbingan NYA sepanjang masa. Lebih-lebih lagi perbuatan yang menyemburkan kebaikan kepada umat manusia.

Bisikanlah di dalam hati sanubari, terutamanya nafsu yang menyelimuti hati dan minda ketika ini bahawa semua yang dilakukan adalah semata-mata mengharapkan keredhaan NYA. Bukanlah puji-pujian umat manusia yang ditagih, tetapi mengharapkan DIA, Tuhan Yang Maha ESA, Allah SWT meredhai apa sahaja yang dilakukan ketika ini.

Ingat! apa sahaja yang dilakukan adalah didorong untuk mengharapkan keredhaan NYA. Sama ada gagal atau berjaya selepas melakukan sesuatu perkara, yakinilah bahawa DIA akan memberikan ganjaran setimpal dengan apa yang telah dilakukan, walaupun kelak manusia tidak menghargainya.

Sebaliknya, jika terlalu sukar merasai kerhadiran NYA di sisi sepanjang masa, tidak dapat merasakan DIA sedang dekat dengan diri sendiri, maka ketahuilah bahawa sememangnya DIA sedang memerhatikan setiap apa yang dilakukan.

Hatta sampai ke lubuk hati sanubari, DIA masih berupaya menerokainya. Kekuasaan Tuhan Yang Maha ESA sememangnya melebihi segala-galanya. Inilah yang dikatakan sutera keimanan yang harus membaluti bukan sahaja hati yang seksi tetapi juga jiwa yang dimiliki.

Sememangnya DIA berupaya mengetahui semua perkara sama ada yang zahir mahupun yang tersembunyi. Sebab itulah, usah bersedih andai kebaikan yang telah dilakukan tidak dibalas oleh sesiapa pun khususnya manusia, kerana pembalasan dari NYA adalah lebih berharga dari segala-galanya...

Itupun andai adik memiliki keimanan mengenai Kekuasaan Tuhan Yang Maha Berkuasa di atas segala-galanya. Ganjaran NYA berbanding ganjaran manusia teramat jauh bezanya kerana ganjaran daripada manusia sekejap sahaja dikecapi, berbanding ganjaran NYA yang akan kekal abadi buat selama-lamanya.

Ketahuilah juga bahawa diumpamakan seribu tahun menjalani kehidupan duniawi barulah menyamai sehari kehidupan di sana, kehidupan selepas duniawi ini.

Pembalasan daripada Tuhan Yang Maha ESA, sememangnya kekal selama-lamanya. Berbanding pembalasan umat manusia yang sementara sahaja, ganjaran NYA masih boleh dipilih ketika ini, sama ada ingin menduduki neraka yang penuh siksaan yang pedih, atau barangkali ingin mendiami taman-taman syurgawi yang mendamaikan dan membahagiakan...

Keimanan yang dimiliki walau sebesar biji sawi sekalipun, andai terus dibaja dan disuburkan di dalam hati sanubari, pasti DIA akan memberikan ganjaran yang setimpal dengannya. Berusahalah menyelimutkan hati seksi dengan sutera keimanan, lebih-lebih lagi sutera yang memaparkan pelbagai corak bunga-bungaan kekuasaan NYA yang luar biasa agar berolehlah kekuatan di dalam menghadapi segala rintangan dan cabaran kehidupan.

Paling penting, dari itu semua nanti, akan tersuluhlah arah haluan perjalanan kehidupan duniawi ini.

Gagal atau berjaya semasa melakukan apa sahaja pekerjaan di dunia, belum tentu selama-lamanya kerana kehidupan duniawi hanyalah persinggahan, sebelum meneruskan penerokaan di alam yang lain pula.

Berusahalah melakukan yang terbaik semasa menjalani kehidupan duniawi ketika ini. Semoga kekuatan diperolehi nanti untuk mengubati penyakit hati yang ingin kelihatan seksi. Seterusnya tiadalah dorongan jiwa raga yang dimiliki untuk terus diperkosa. Kepada NYA jua kita berserah, mengharapkan taufik dan hidayah dari NYA yang berterusan dan berkekalan.


Baca selanjutnya, Klik di sini...

Jumaat, April 02, 2010

Saja-Saja Berkahwin

Bila dah berkahwin, kehadiran si dia akan berupaya membakar semangat agar berusaha bersungguh-sungguh untuk mengecapi kejayaan di dalam kehidupan ini. Pastilah kejayaan dunia dan akhirat, InsyaAllah.

Kehadiran pasangan hidup di sisi akan berupaya merawat segala kesempitan dan kesengsaraan bila mana ditimpa musibah, masalah dan pelbagai lagi ujian kehidupan duniawi. Sebabnya, jiwa lelaki dan wanita adalah Satu sebenarnya.

Paduan jiwa bersatu akan berupaya menafsir sebahagian daripada erti sebenar perjalanan kehidupan duniawi. Itupun sebenarnya kalau masing-masing ingin mengetahui dan memahaminya... Kalau sekadar ingin mengecapi nikmat duniawi, mereka juga berupaya memperolehinya, tetapi bersifat sementara kebahagiaannya. Memang sementara...

Seumpama kekayaan yang boleh datang dan pergi. Kekayaan atau Duit, bukanlah segala-galanya di dunia ini. Memang bukan! duit boleh dicari bila-bila masa sahaja. Itupun memerlukan kesungguhan untuk mencarinya. Kalau sudah bersungguh-sungguh mencarinya, saya yakin pasti duit diperolehi bila-bila masa, di mana-mana sahaja.

Pasangan hidup juga perlu dicari supaya kehadirannya bukan sahaja menjadi teman seperjalanan, tetapi juga berupaya menyatukan jiwa yang satu. Paduan jiwa bersatu kelak berupaya menyelongkar segala rahsia mengenai kehidupan duniawi. Itupun kalau kedua-duanya mengerti dan memahami apa yang sedang dicari-cari semasa kehidupan ini.

Hidup di dunia ada penghujungnya. Rugilah bagi mereka yang tidak berkesempatan merasai sebahagian daripada rahsia yang sedang tersembunyi disebaliknya...

Begitu juga dengan hasilan akhirnya kelak. Andai masih tidak diketahui apa yang sedang dicari-cari di dalam dunia ini, pasti pada garisan akhir nanti tidak akan diperolehi...

Ketahuilah bahawa manusia wujud di dunia bukanlah sia-sia semata. Memang bukan! Ada rahsia yang sedang kita gali untuk dipelajari dan memerlukan kerjasama untuk menyelongkarnya agar di penghujung perjalanan nanti, masih ada pelbagai usaha untuk terus menggalinya.

Moga-moga DIA akan meredhai segala usaha-usaha pencarian yang dilakukan. Sememangnya DIA, Tuhan Yang Maha ESA, Allah SWT, mengetahui segala rahsia yang sedang tersembunyi disebalik kehidupan duniawi ini.


Salam kasih... buatmu duhai adikku yang dikasihi kerana DIA.


Baca selanjutnya, Klik di sini...