Selasa, Mac 31, 2009

Sibuk --> Kelam Kabut @ Tenang ?

Tulisan ini aku telah coretkan selepas membaca komentar seorang rakan yang telah ku kenali melalui dunia blog. Ya, pasti aku menyayanginya. Sebab itulah aku melontarkan pandangan ku berkaitan perbuatan "kelam-kabut" yang sifatnya seolah-olah sama dengan ungkapan "sibuk".

Rasanya "kelam kabut" dan “sibuk” tu berlainlah. Kelam kabut adalah perbuatan tergesa-gesa, manakala Sibuk pula dikatakan terlalu banyak kerja.

Bila banyak kerja, kadang-kala orang buat secara tergesa-gesa. Itu sebab ternampak kelam-kabut. Apatah lagi kalau kesuntukan masa.

Umpama di jalan raya, bila dah kelam kabut, lorong yang tak sepatutnya dilalui pun lantak je. Mengapa? sebab nak cepat sampai. Itu namanya kelam kabut atau dalam erti kata lain, tergesa-gesa nak siapkan kerja. Biasanya bila berlaku seperti itu, hasilnya faham-faham sajalah.

Tapi tidak semestinya orang yang “sibuk” bersifat seperti itu. Orang yang tenang akan menunjukkan kewarasan fikirannya menyelesaikan setiap kesibukan itu satu persatu. Inilah dikatakan melakukannya di dalam ketenangan.

Perlu diketahui juga, tenang tidaklah bermaksud lemah-longlai atau tidak bermaya. Itu berbeza. lemah longlai atau tidak bermaya tu sama kategorinya dengan malas.

Fikiran yang dipandu dengan ketenangan akan rasional sifatnya. Umpamanya, setiap sesuatu kesibukan akan dilaksanakan satu-persatu mengikut keutamaanya. Dan sesuatu pekerjaan itu akan dilaksanakan setelah difikirkan baik dan buruknya.

Seperti perumpamaan yang saya sebutkan di atas. Perlukah saya memandu di lorong yang tidak sepatutnya? Tidak ada apa-apakah yang akan terjadi? Kepentingan saya lebih utama berbanding orang lain? Kemarahan orang sebab overtake mereka tak penting?. Sumpah maki orang itu lantak pi la? Barangkali ada trafik di depan, nanti kena saman?

Semua persoalan dan kemungkinan itu akan dapat difikirkan secara rasional bila mana di dalam ketenangan. Erti kata lain, tidak kelam kabut.

Selain itu, bila mana kita tenang, “kesibukan” kerja akan ditapis satu persatu. Yang mana harus didulukan untuk disiapkan. Tidak bermaksud terlalu sibuk sehingga tergesa-gesa menyiapkan semuanya. Kalau dah takdirnya tak siap. Nak buat macamana? terima sajalah kemarahan bos!. heheeee

Tapi sebaiknya diusahakanlah agar semua kesibukan tadi dapat disiapkan mengikut waktu-waktunya yang telah ditetapkan. Itu sebab matlamat itu utama. Takkanlah kerja yang kena hantar dlm tempoh sejam baru nak dilaksanakan apabila masa yang ada cuma tinggal 1 minit sahaja lagi? Pastilah tak siap jawabnya.

Sudah pasti di setiap apa yang kita lakukan di dalam kehidupan ini adalah untuk mengetahui ilmu-Nya. Oleh itu, mengapa harus tergesa-gesa mempelajari setiap ilmu-ilmu-Nya yang kita sedang fahami ini?

Moga-moga adalah manafaatnya apa yang saya kongsikan di sini.

“Maka Maha Tinggilah Allah, yang Menguasai seluruh alam, lagi Yang Benar (pada segala-galanya) dan janganlah engkau (wahai Muhammad) tergesa-gesa membaca Al-Quran sebelum selesai dibacakan oleh Jibril kepadamu dan berdoalah dengan berkata: Wahai Tuhanku, tambahilah ilmuku”. (Taha, 20: 114)

Tidak ada kesusahan (atau bala bencana) yang menimpa (seseorang) melainkan dengan izin Allah dan sesiapa yang beriman kepada Allah, Allah akan memimpin hatinya (untuk menerima apa yang telah berlaku itu dengan TENANG dan SABAR) dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu. (At-Taghabun, 64: 11)

:) lontaran senyuman buat Shemmi. Bila nak buat aktiviti lasak seperti hari tu? Saya nak ikutlah!
Baca selanjutnya, Klik di sini...

Isnin, Mac 30, 2009

Foto-Foto Lucah

Tiba-tiba pula hati saya ingin bercerita mengenai tajuk di atas. Ingat, bercerita… Bukannya memaparkan foto-foto terbabit di blog ini. Memaparkan dan menceritakan adalah dua perbuatan yang berbeza.

Saya pasti tajuk yang saya utarakan di atas ramai yang ingin melihatnya dan berusaha untuk mencari-carinya. Terutama para penggemar siber yang terdorong untuk melihat-lihat paparan gambar terbabit. Maklumlah, ilmu tanpa sempadan.

Mengapakah Anda terdorong melihat foto-foto yang saya maksudkan itu? Kalau Anda adalah remaja yang belum berumahtangga, saya memahaminya. Beberapa sebab yang dapat saya ungkapan iaitu berkemungkinan gelora nafsu atau mungkin disebabkan Anda ingin mengetahuinya. Dan sudah pasti di antara kemungkinan itu, ianya adalah didorong oleh para syaitan.

Kalau Anda sedari kehadiran syaitan yang membisik-bisikan perkara itu, barangkali Anda akan berasa malu atau barangkali takut. Tetapi nasib baik juga mereka dalam keadaan halimunan. Maka Anda tidaklah menyedari kehadiran mereka.

Bayangkanlah kalau mereka sedang mendampingi Anda ketika melihat-lihat foto itu. Betapa seronoknya mereka bersama Anda merenung-renung gambar itu. Tidakkah ada perasaan malu di dalam diri Anda semasa melihatnya?. Para syaitan yang sedang mendampingi Anda itu barangkali melihat-lihat akan telatah Anda. Renungkanlah.

Kepada Anda yang telah berumah tangga… Mengapa? Mengapa Anda melihat foto-foto terbabit? Apakah isteri atau suami tercinta Anda yang sedang menanti masih belum cukup untuk dicurahkan kasih sayang Anda itu? Perlukah Anda bersama-sama para syaitan melihat-lihat foto itu? Apakah Anda sedar bahawa mereka pasti bersorak gembira melihat perbuatan yang Anda telah lakukan iaitu mengenepikan isteri atau suami Anda sendiri?

Emmm… entahlah saya pun sukar nak menceritakannya panjang lebar. Memang itulah kehandalan para syaitan di dalam menjerat kehidupan kita.

(Semasa dia dihumbankan ke dalam Neraka Jahannam, dia mendakwa bahawa syaitanlah yang menjadikan dia sesat; pada saat itu) syaitan yang sentiasa menyertainya (di dunia dahulu) berkata: Wahai Tuhan kami, aku tidak menyesatkannya tetapi sememangnya dia sendiri berada di dalam kesesatan yang jauh terpesong.
(Qaf, 50: 27)


Wahai sekalian manusia, bertakwalah kepada Tuhan kamu dan takutilah akan hari (akhirat) yang padanya seseorang ibu atau bapa tidak dapat melepaskan anaknya dari azab dosanya dan seorang anak pula tidak dapat melepaskan ibu atau bapanya dari azab dosa masing-masing sedikit pun. Sesungguhnya janji Allah itu adalah benar, maka janganlah kamu diperdayakan oleh kehidupan dunia dan jangan pula kamu diperdayakan oleh bisikan dan ajakan syaitan yang menyebabkan kamu berani melanggar perintah Allah.
(Luqman, 31: 33)

syaitan telah menguasai dan mempengaruhi mereka, sehingga menyebabkan mereka lupa mengingati (ajaran dan amaran) Allah; mereka itulah puak syaitan. Ketahuilah! Bahawa puak syaitan itu sebenarnya orang-orang yang rugi.
(Al-Mujadila, 58: 19)

Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam agama Islam (dengan mematuhi) segala hukum-hukumnya dan janganlah kamu menurut jejak langkah syaitan; sesungguhnya syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata.
(Al-Baqara, 2: 208)
Baca selanjutnya, Klik di sini...

Ahad, Mac 29, 2009

Wahai hati, redhalah walau dihina

Pahatlah kiasan-kiasan indah, andai pahatan itu tidak terukir nama-Nya, akan ku terjah jua.

Lukiskanlah pemandangan-pemandangan nan indah, tetapi andai lukisan itu tidak menonjolkan keangungan-Nya, pasti akan ku koyak-koyakkannya.

Itulah perasaan gelora hatiku kini.

Buatlah pelbagai pahatan dan bermacam-macam lukisan indah pada pandangan mata, tetapi seandainya nama-Nya tidak dipahat dan dilukis, pasti akan ku hancurkan pahatan dan lukisan itu.

Memang inilah gelora perasaan hatiku. Pasti… memang pasti akan aku lakukan sebegitu.

Cercalah dan hinalah diri ini, namun ianya tidak akan melemahkan semangatku untuk terus melaungkan nama-Nya. Kerana aku tahu, ini sahajalah yang dapat aku lakukan.

Hinalah diri ini sehina manapun, sebab sememangnya diri ini hina seandainya tidak menyebut nama-Nya.

Walau pelbagai hinaan dan cercaan yang akan dilontarkan, sememangnya ia tidak akan melenturkan hati ini untuk melaungkan nama-Nya.

Ya, akan aku laungkan nama-Nya di segenap penjuru alam. Walau ku tahu betapa payahnya untuk aku melakukan begitu.

Sinisnya hinaan itu, tidak sedikitpun melemahkan hatiku untuk terus berusaha melaksanakan tanggungjawab ini, kerana aku tahu, inilah ujian-ujian-Nya padaku.

Akan aku suburkan hatiku untuk memohon kekuatan pada-Nya, diiringi genangan air mata keinsafan betapa kerdilnya diriku ini.

Aku tetap yakin, sesungguhnya DIA maha mendengar dan maha melihat akan apa yang aku lakukan.

Memang hatiku terguris akibat cakaran itu. Tetapi akan ku balut ia dengan daun-daun ketakwaan. Moga-moga akan ditiupkan bayu-bayu keredhaan untuk merawat hatiku yang tercalar.

Memang gurisan itu sedikit-sebanyak mencalarkan hatiku, tetapi aku redha dengannya kerana aku tahu, inilah tanggungjawabku.


.
Baca selanjutnya, Klik di sini...

Masalah, masalah dan masalah...

Tulisan ini saya telah pahatkan di dalam blog adik saya. Ya, saya paparkannya kembali di sini agar dapat dikongsi bersama-sama.

Pandangan ini saya lontarkan selepas membaca luahan hati seorang adik perempuan yang merasa terlalu berat meghadapi masalahnya, sehingga merasa tidak mahu lagi untuk hidup.

Terperanjat saya melihat luahan perasaannya itu. Selepas membacanya, saya telah usahakan melakarkan pandangan ini. Moga-moga adalah manafaatnya dibaca oleh rakan-rakan khususnya Anda yang sudi menziarahi blog Pedoman Hidup ini.

Sesiapa sahaja akan menghadapi masalah. Cuma yang berbeza tingkatan setiap masalah yang dihadapi. Ada masalah yang mudah bagi seseorang dan ada pula yang terlalu berat ditanggung oleh seseorang yang lain. Seperti yang sedang dihadapi oleh adik perempuan itu.

Sejujurnya, pada mulanya saya berasa gerun untuk membantunya kerana saya tahu, andai itu saya lakukan, pastilah sedikit sebanyak tempias masalahnya akan tertanggung oleh diri saya. Namun, atas kesempatan pada ketika itu, saya telah berusaha melakarkan pandangan ini untuk memberikannya sedikit kekuatan.

Siapalah saya untuk memberikan kekuatan itu andai tiada pertolongan-Nya. Siapalah saya andai DIA tidak memberikan bimbingan-Nya. Dan siapalah saya berbanding DIA yang memiliki segala-gala keajaiban dan kekuasaan di dalam dunia ini.

Kalau pun tidak saya, mungkinkah Anda akan dapat menghulurkan bantuan, sekurang-kurangnya barangkali memberikan pandangan untuk meringankan bebanan yang sedang dihadapinya. Moga adalah manafaatnya pandangan Anda kepadanya.

Dari DIA kita datang, kepada-Nya jua kita akan kembali. Redhakan apa yang telah terjadi, pasti ketenangan akan muncul di ruangan hati dan perasaan diri.

Setiap masalah, ada penyelesaiannya, dan setiap penyelesaian pasti ada matlamatnya. Setiap matlamat akan ada cabarannya, dan setiap cabaran pasti dapat di atasi andai diiringi usaha bersungguh-sungguh.

Kesungguhan di dalam berusaha belum tentu berjaya andai tidak diiringi DOA kepada-Nya. Ketahuilah bahawa DIA amat mengasihani dan menyayangi hamba-hamba yang sentiasa memohon kepada-Nya.

Mengiringi doa pada-Nya di dalam setiap usaha pastilah akan ada kejayaannya kerana DIA yang memiliki segala rahsia kehidupan di dunia ini. DIA juga Pemilik Kekuasaan dan Keajaiban dunia ini.

Kalau pun tidak kejayaan itu di kecapi semasa kehidupan di dalam dunia ini, mungkinkah kejayaan itu akan dikecapi selepas kehidupan ini.

Usah direnungi masalah yang menimpa diri, tetapi usahakanlah sedikit untuk mengatasi masalah itu.

Ketahuilah bahawa masalah yang dihadapi kini berkemungkinan terselit ujian-Nya yang bertujuan untuk meningkatkan martabat kita. Mungkinkah setelah lulus ujian-Nya itu kelak, kita akan memperolehi sesuatu yang amat bermakna di dalam kehidupan ini?.

Seandainya begitu, ketahuilah bahawa itulah dia ilmu-Nya agar dapat dijadikan panduan di dalam mengharungi kehidupan ini. Ujian-Nya pastilah bertujuan untuk mendidik diri kita agar kelak mempunyai keperibadian mulia. kerana apa? kerana itulah keperibadian penghuni di syurga.
Baca selanjutnya, Klik di sini...

Jumaat, Mac 27, 2009

Kehidupan vs Khayalan

Kehidupan yang sedang saya dan Anda kecapi ini adalah sesuatu yang nyata.

Ya, nyata pada pandangan mata dan perasaan diri Kita. Kehidupan ini merupakan suatu nikmat yang dianugerahkan oleh-Nya kepada saya dan Anda.

Untuk apa Kita menikmati kehidupan ini? Adakah untuk suka-suka sahaja? Adakah untuk mengumpul harta kekayaan dunia? Atau pelbagai lagi persoalan yang sedang terbit di minda saya dan Anda?

Persoalan itu akan terus beredar di ruangan pemikiran Kita, ditafsir di dalam hati dan seterusnya diterjemahkan di dalam perbuatan harian.

Bila mana Kita memahami kehidupan ini, pastilah saya dan Anda akan berusaha mengarahkan perjalanan kehidupan ini menuju matlamatnya, agar kelak, tercapailah kejayaan kehidupan ini.

Tetapi andai saya dan Anda tidak memahami kehidupan ini, kemungkinan besar Kita tidak akan mengetahui arah sebenar kehidupan ini.

Kehidupan yang tiada haluan dapatlah diungkapkan sebagai kehidupan di awang-awangan atau dikenali juga kehidupan di dalam khayalan.

Biasanya seseorang yang berada di dalam khayalan atau di awang-awangan akan digelar sebagi seorang yang sedang mabuk.

Ibarat peminum arak, apabila berada di dalam keadaan mabuk, jalannya tidak betul dan mindanya juga akan terganggu, menyebabkan kadang-kala dia tidak akan sedar apa yang sedang dilakukannya. Kadang juga dia sedar tetapi tidak dapat mengawal perbuatannya.

Begitu juga seseorang yang khayal akibat menagih dadah. Kehidupannya menjadi tidak penting kerana baginya, mendapatkan dadah itu adalah lebih utama berbanding mengusahakan sesuatu untuk kebaikan dirinya sendiri.

Sebab itulah ada ungkapan yang mengatakan orang yang berada di dalam kehidupan di awang-awangan atau di dalam khayalan, dikenali sebagai seorang yang mabuk duniawi.

Mengapa? Kerana dia tidak memahami ke mana arah haluan hidupnya.

Kejayaan kehidupan bukan calang-calang hebatnya. Sebab yang menganugerah dan mengiktiraf kejayaan kehidupan adalah DIA.

Mengapa? Kerana DIA sedang menguji sejauh mana saya dan Anda menghargai pemberian-Nya ini. Andai Kita berjaya di dalam ujian-ujian itu, ketahuilah bahawa DIA akan mengiktirafnya. Pengiktirafan dari siapa lagi yang Kita inginkan kalau bukan dari-Nya? Sememangnya pengiktirafan-Nya tiada tandingan.

Bagaimana nak mengelakkan kehidupan berada di awang-awangan atau di dalam khayalan? Dengan kata lain, mengelak mabuk duniawi?.

Apa yang dapat saya cadangkan ialah sama-samalah Kita memahami ilmu-Nya, kerana melalui ilmu-Nya lah Kita akan memahami erti dan matlamat kehidupan ini.

Bagaimana nak mendapatkan ilmu-Nya? Ya, melalui kitab-Nya. Kitab-Nya telah menjelaskan erti dan matlamat kehidupan ini.

"Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu." (Ad-Dzariyat, 51: 56)

"Katakanlah: Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam. (Al-Anaam, 6: 162)


DIA juga telah mengutuskan Rasul-Nya untuk memberikan bimbingan dan penjelasan tentang ilmu-ilmu Nya. Begitulah DIA yang amat PENGASIH dan PENYAYANG.

Dari itu, sama-samalah Kita berusaha menyelongkar ilmu-Nya di dalam kitab-Nya agar dapat digunakan untuk menyuluh dan memahami kehidupan ini.

Kelak dapatlah dielakkan kehidupan khayalan atau di awang-awangan itu. Seterusnya moga-moga dapatlah digapai kejayaan kehidupan ini untuk memperolehi pengiktirafan-Nya. Sesungguhnya, pengiktirafan dari-Nya tiada tandigan kerana DIA yang berkuasa di atas segala-galanya.


Wahai sekalian jin dan manusia! Bukankah telah datang kepada kamu Rasul-rasul dari kalangan kamu sendiri, yang menyampaikan kepada kamu ayat-ayatKu (perintah-perintahKu) dan yang memberikan amaran kepada kamu tentang pertemuan kamu dengan hari (kiamat) ini? Mereka menjawab: Kami menjadi saksi mengakui akan (kesalahan) diri kami sendiri (mendustakan Rasul-rasul itu) dan (sebabnya ialah) mereka telah diperdayakan oleh (kemewahan) hidup di dunia dan (kerana itulah) mereka menjadi saksi (pada hari akhirat) terhadap diri mereka sendiri: (Bahawa) sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang mengingkari (apa yang telah disampaikan oleh Rasul-rasul itu). (Al-Anaam, 6: 130)


Dan bagi tiap-tiap seorang (dari manusia atau jin), beberapa darjat (tingkatan balasan) disebabkan (amal baik atau jahat) yang mereka telah kerjakan dan (ingatlah) Tuhanmu tiadalah lalai dari apa yang mereka lakukan. (Al-Anaam, 6: 132)


Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk Neraka Jahannam banyak dari jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat); mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai. (Al-Araf, 7: 179)

...Demi sesungguhnya! Aku akan memenuhi Neraka Jahannam dengan semua jin dan manusia (yang pada masa hidupnya tidak berusaha untuk beriman dan beramal soleh).
(As-Sajda, 32: 13)

Kami hanya akan menguruskan hitungan dan balasan amal kamu sahaja (pada hari kiamat,) wahai manusia dan jin! (Ar-Rahman, 55: 31)
Baca selanjutnya, Klik di sini...

Khamis, Mac 26, 2009

Shoutmix Widget: Ucapan balas

Hari ini saya terdorong mencoretkan artikel ini. Sebenarnya sejak beberapa hari lepas, saya telah berusaha membalas ucapan yang dilontarkan oleh rakan-rakan yang bertamu di dalam Shoutmix Widget blog ini. Sememangnya saya telah mencuba beberapa kali, tetapi langsung tak berkesan. Saya pun tak tahu mengapa?.

Al-maklum saya ni tak mahir IT, saya pun mengambil keputusan untuk mencoretkannya di dalam artikel blog ini. Saya terdorong membuat arikel ini apabila membaca lontaran pandangan dan persoalan daripada saudara Datu83. Ya, saya akan berusaha memberikan penjelasan seperti yang diminta.

Kepada rakan-rakan yang mempunyai blog, saya telah berkesempatan membalas semua ucapan yang dilontarkan dengan melawati blog mereka. Tetapi ada juga rakan-rakan yang sukar saya jejaki, maka, saya membuat balasan di dalam artikel ini;

• aqies thanks abgbent..salam kenal
Details: 2009-03-25 11:33 AM

Abgbent: Sama-sama aqies, saya juga gembira berkenalan dengan aqies. Ada masa, lawatilah kembali blog saya.



• Taka salam kenal
Details: 2009-03-24 10:47 PM

• Taka salam kenal
Details: 2009-03-24 10:46 PM

Abgbent: Salam kenalan juga pada Taka. Jangan segan untuk sentiasa melawati blog saya.



• anakkangkung salam ziarah..
Details: 2009-03-24 6:55 PM

Abgbent: Terima kasih anakkangkung kerana sudi menziarahi blog saya. Jika ada kelapangan, saya amat berharap agar dapatlah berkunjung semula.


Teriakan daripada Datu83, sememangnya telah mendorong saya membalas lontaran pandangan itu di dalam coretan yang dimaksudkan. Bagaimana pun, saya memikirkan adalah kurang sesuai sekiranya pandangan balas saya lakukan di dalam artikel ini.

Oleh itu, saya mencoretkan balasan saya di dalam catatan saya itu. Terima kasih di atas pandangan itu dan harus diketahui bahawa itulah kelemahan yang kadang kala saya tidak sedari. Apapun, terima kasih di atas perhatian saudara Datu83.

Kesimpulan yang saya dapat utarakan di sini ialah, siapapun Kita, sememangnya Kita adalah bersaudara. Tidak kira apapun bangsa Kita dan agama Kita, pastilah mempunyai tujuan yang sama iaitu untuk mengetahui Ilmu-Nya. Jauh daripada itu, sudah pasti ingin berkenal-kenalan di antara satu sama yang lain. Usah menghina bangsa seseorang andai Kita tidak mahu dibalas hinaan. Harap saudara Datu83 dapat melihat kembali catatan balas yang saya telah lakukan di dalam coretan itu.
Baca selanjutnya, Klik di sini...

Selasa, Mac 24, 2009

Wajahku tiada di blog ini. Mengapa?

Kali ini saya ingin menjelaskan tajuk di atas. Ya, barangkali ada yang bertanya begitu kerana ingin mengetahui siapakah sebenarnya empunya blog ini. Bagaimanakah wajahnya yang sebenar? Mungkinkah handsome? Atau mungkinkah sebaliknya?. Itulah antara persoalan yang barangkali Anda ingin tahu.

Sebenarnya saya memang handsome.  Hehehee. Ceh! Perasan pula saya !.

Sebetulnya saya memang handsome. Itupun menurut luahan Isteriku Yang Tercinta. Siapa lagi yang harus saya percayai kalau bukan dia, Isteriku Yang Tercinta, bukan?.

Selain itu, ada juga rakan-rakan yang mengatakan bahawa saya ini handsome, tetapi saya musykil dengan keikhlasan mereka mengatakan begitu. Barangkali ada udang di sebalik batu? Siapa tahukan...

Namun, saya kena bersangka baik dengan apa yang rakan-rakan saya ungkapkan itu. Pastilah apabila ada rakan-rakan yang memuji saya handsome pada ketika-ketika tertentu, maka saya akan jawab dengan ungkapan “ALHAMDULILLAH”, yang bermaksud “Segala Puji-Pujian hany layak untuk-NYA”. Memang begitulah selayaknya ungkapan saya.

Sebenarnya sebab utama mengapa saya tidak memaparkan wajah di dalam blog ini bukanlah kerana handsome atau tidak. Saya yakin kehandsomean seseorang adalah subjektif sifatnya. Apatah lagi pelbagai ragam orang-orang yang melihatnya.

Tetapi sebab sebenar wajah saya tidak dipaparkan di dalam blog ini adalah kerana saya khuatir andai apa yang saya tuliskan di sini seolah-olah menunjukkan bahawa saya sudah sempurna dan hebat. Sedangkan hakikat sebenar, hebatnya dan sempurnanya tulisan saya di sini adalah kepunyaan-NYA semata. Apapun yang saya bicarakan di sini, andai ianya hebat, ketahuilah bahawa kehebatan itu adalah kepunyaan-NYA. Bukan saya.

Sebaliknya pula, saya juga khuatir andai apa yang saya coretkan di sini, dilihat seolah-olahnya tidak sesuai dan buruk hasilnya. Maka ketahuilah bahawa itulah sebenarnya kelemahan saya. Saya sememangnya belum sempurna. Sebab itu masih lagi mencari-cari cahaya-NYA. Moga-moga cahaya-NYA akan saya temui di penghujung perjalanan ini agar dapatlah disuluh sisa-sisa kehidupan saya nanti.

Pastilah menjadi harapan saya apapun yang tertulis di dalam blog ini, andai bermanafaat untuk Pedoman Hidup Kita, maka ambillah agar perjalanan hidup Kita dapat disuluh dengannya. Tetapi andai sebaliknya pula yang berlaku, saya juga mengharapkan agar Anda tidak mempraktikkannya, dan buangkanlah ia jauh, sejauh, jauhnya...

Kepada rakan-rakan yang memang mengetahui diri saya dan blog ini, saya berharap agar Anda tidak pula melihat kelemahan diri saya sebagai pengukur akan apa yang saya coretkan di sini. Pastilah saya memerlukan bimbingan dan nasihat daripada Anda untuk memperbaiki diri ini.

Ketahuilah bahawa saya juga sedang diiringi oleh para syaitan yang sentiasa membisik-bisikan sesuatu kepada saya. Mungkinkah syaitan itu dari kalangan yang biasa-biasa atau mungkinkah dari kalangan yang hebat-hebat?, sememangnya saya tidak pasti mengenainya.

Tetapi apa yang pasti, saya sebenarnya bukanlah seorang Rasul yang mempunyai sifat-sifat sempurna. Saya juga ada kelemahan yang harus saya akui dan perbaiki.

Apa yang saya nyatakan dan lakukan di dalam blog Pedoman Hidup adalah bertujuan untuk mengharapkan keredhaan-NYA semata. Seperti mana yang telah dinyatakan di dalam surah Al-Asr (103) yang menjelaskan Sesungguhnya manusia itu sentiasa di dalam kerugian, kecuali mereka yang berpesan-pesan pada kebenaran dan berpesan-pesan pada kesabaran.

Anda yang belum kenal dan Rakan-Rakan yang telah mengenali saya moga-moga akan memahami dan adalah manafaatnya perkenalan dan nasihat-menasihati yang kita lakukan di dalam blog Pedoman Hidup ini.
Baca selanjutnya, Klik di sini...

Isnin, Mac 23, 2009

Perempuan Pelacur!!!

Mungkin Anda terkejut dengan tajuk yang saya gunakan kali ini. Ya, saya ingin kongsikan kisah seorang perempuan pelacur. Kisah ini memang telah menjadi cerita yang amat penting di dalam hidup saya.

Kisahnya telah mengingatkan saya agar berhati-hati apabila menyuluh sesuatu di dalam dunia ini. Ianya memberikan ikhtibar dan mengajar hidup saya agar bersangka baik dengan sesiapapun jua. Apatah lagi sekiranya mereka itu adalah di kalangan saudara-saudara saya.

Sebenarnya kisah perempuan pelacur ini telah diceritakan di dalam beberapa Kitab yang saya pun dah lupa yang mana satu. Apa yang pasti, saya sememangnya menyukai buku-buku agama terutama terjemahan Imam Al-Ghazali bertajuk Bimbingan Mu’minin dan terjemahan kitab Shahih Muslim. Kedua-dua buku itu ada di jual di kedai-kedai buku agama. Carilah kalau Anda memang berminat membongkar sesuatu mengenai cahaya-Nya.

Di dalam buku yang saya pernah baca, diceritakan bahawa ada seorang wanita yang semasa hidupnya telah melacurkan diri. Ya, seorang perempuan yang dinamakan sebagai Pelacur. Suatu ketika, dia telah terjumpa seekor anjing yang sedang dalam kehausan. Apabila melihat keadaan anjing itu, perempuan pelacur itu berusaha memberikan minuman kepada anjing yang sedang dalam kehausan itu. Dia melakukannya dengan penuh rasa kesian dan keikhlasan untuk membantu makhluk-Nya.

Anda nak tahu apa yang berlaku seterusnya? Perempuan pelacur itu telah dianugerahkan Syurga-Nya. Dengan ungkapan lain, Kejayaan Hakiki dia telah perolehi di pengakhiran hidupnya. Mengapa? Dikisahkan di dalam buku itu bahawa keikhlasannya membantu seekor anjing tadi telah menyebabkan Allah redha kepadanya dan memberikannya ganjaran syurga-Nya.

Kisah ini saya coretkan di sini untuk Kita berfikir mengenainya. Ya, mungkin pada zahirnya seolah-olah tidak adil bukan? Tetapi siapalah Kita mempersoalkannya berbanding DIA yang MAHA MELIHAT dan MAHA MENGETAHUI akan segala sesuatu yang telah diciptakan oleh-Nya. Ketahuilah juga bahawa semua nikmat yang sedang Kita kecapi ini adalah kurniaan dari-Nya.

Sebab itu, kisah Perempuan Pelacur ini amat dekat di hati saya. Ianya telah mengajar diri ini agar sentiasa berusaha melakukan sesuatu yang boleh membuatkan DIA redha terhadap perbuatan saya.

Mungkin di mata sesetengah di kalangan Kita melihat bahawa kegagalan hidup di dunia ini sebagai sesuatu yang jelek dan perlu dijauhi. Tetapi hakikatnya, mungkin daripada ujian itu akan membuatkan DIA redha dan memberikan anugerah Syurga-Nya seperti mana yang telah berlaku kepada Perempuan Pelacur itu. Siapa tahu? DIA sesungguhnya mengetahui segala rahsia apatah lagi yang tersembunyi di dalam hati Kita.
Baca selanjutnya, Klik di sini...

Jumaat, Mac 20, 2009

Gambar Bogel

Hah! Rupa-rupanya Andalah diantara yang suka mengklik kata nama di atas. Heheheee...

Opsss saya kena bersangka baik. Barangkali Anda sengaja mengklik tajuk itu sebab ingin tahu apa yang saya ceritakan di sini.

Baiklah, coretan saya kali ini akan menyentuh mengenai tajuk di atas itu, tetapi tajuk sebenarnya ialah Gambar Bogel vs Gedung Ilmu.

Mungkin sekarang ini Anda malas nak baca. Opsss… sekali lagi kena bersangka baik bahawa Anda pasti meneruskan membaca coretan ini sebab ingin mengetahui apa yang diceritakan di sini.

Memang ramai yang memandang negatif apabila Anda berusaha melihat gambar-gambar itu di dalam internet ini. Sebab itu saya kena mempositifkan pemikiran saya kali ini. Ya, mungkin juga gambar itu boleh jadi ilmu kepada Anda. Maklumlah konon-konon nak belajar… Opsss.. Saya tak mahu cerita lebih-lebih… Nanti lain pula jadinya.

Sebenarnya saya tetap mengakui bahawa kadang-kala apabila telah melihat gambar-gambar itu, pasti naluri akan membawa ke arah lain. Ya, saya pasti. Apatah lagi Anda belum berumah tangga. Gelora perasaan Anda akan menjadi-jadi.

Oleh itu, di sini saya juga ingin menyatakan bahawa di internet ini juga masih banyak ilmu-ilmu lain yang Anda boleh terokai. Mengapa tak klik sahaja ilmu-ilmu lain itu?

Ooo, baru saya ingat. Jawapannya mudah iaitu sekutu-Nya sentiasa ada di samping Kita. Para iblis dan para syaitan akan berusaha membisikan kepada Kita agar berusaha mencari tajuk di atas itu. Walaupun kadang-kala memerlukan masa yang terlalu panjang. Heheee

Jadi Anda ingin mendengar bisikan mereka-mereka yang saya maksudkan itu? Terpulanglah pada Anda kerana saya pasti mereka itu akan gembira bilamana berjaya membuatkan Anda melakukan apa yang mereka bisikan. Maklumlah dah berjaya membuktikan bahawa Kita yang diciptakan oleh-Nya ini memang terlalu lemah berbanding mereka-mereka itu.

Sekiranya Anda memang nak mereka itu gembira dan berbangga bahawa mereka lagi hebat berbanding Kita, maka seharusnya saya bersedih. Mengapa? kerana coretan saya kali ini tidak berjaya memberitahu kepada Anda mengenai sesuatu tentang-Nya.

Tajuk di atas itu memang banyak terdapat di laman-laman internet ketika ini. Apatah lagi kalau Anda sudah mahir dengan ilmu internet. Terpulang pada Anda sebenarnya. Hakikatnya, inilah dia Dunia Ilmu Tanpa Sempadan.

Ibarat pisau, kalau Anda gunakan untuk membunuh, maka buruklah peranan pisau itu, tetapi andai Anda gunakannya untuk memotong sesuatu yang bermanafaat, pasti pisau itu melaksanakan peranannya yang baik. Begitu jugalah dengan dunia internet ini. Andai Anda gunakannya untuk meneroka ilmu, peranannya telah terlaksana tetapi andai sebaliknya, bukan sahaja internet ini buruk, malah menyia-nyiakan atau merugikan masa yang Anda ada.

Surah Al-Asr (103): Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian; Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.
Baca selanjutnya, Klik di sini...

Khamis, Mac 19, 2009

Dragon Ball Evolution ... yg tersirat



Kali ini saya ingin kongsikan pengalaman saya semalam berkenaan menonton filem Dragon Ball Evolution. Ya, saya menontonnya bersama isteri, sepasang anak saya (lelaki, 3 bulan dan yang perempuan berumur 3 tahun) serta dua orang adik ipar saya yang masing-masing berumur 10 dan 16 tahun yang kedua-duanya lelaki. Kami menonton filem itu pada pukul 9.15 pm – 10.50 pm.

Sememangnya saya suka melihat filem-filem berbentuk rekaan yang melibatkan paparan berkaitan dengan kesaktian (aura) dan semestinyalah cerita dari Negara China khususnya Kung Fu.

Saya memang tidak pernah membaca buku Dragon Ball, tetapi kedua-dua adik ipar saya suka membacanya. Bila selesai sahaja menonton cerita itu, saya bertanya kepada mereka. Ermmm mereka mengatakan bahawa filem itu banyak perbezaannya dengan apa yang diceritakan di dalam buku Dragon Ball.

Apapun, mereka tetap suka filem itu walaupun banyak perbezaannya. Bagi saya pula, Ya, saya menyukai filem itu kerana banyak aura-aura dan fictionnya, ditambah pula apabila anak perempuan saya yang duduk di sebelah saya memberikan penuh tumpuan melihat paparan pada skrin pawagam itu sambil menggunyah “popcorn”. Senyumannya kepada saya lihat sekali sekala diukirkan kepada saya sememangnya memberikan pelbagai makna.

Bagaimana pun, saya tidak menafikan ada juga adegan-adegan yang sepatutnya anak-anak Kita tidak patut tonton khususnya beberapa babak akhir filem itu yang menonjolkan budaya barat *bercium* yang pada budaya Kita amat tidak wajar dipertontonkan kepada kanak-kanak. Bila saya melihat kedua-dua adik ipar saya, ermmm… mereka menutup mata apabila menyedari babak-babak itu dipaparkan. Barangkali itulah didikan yang mereka perolehi daripada ibu bapa mereka. Atau mungkin juga sebab saya ada bersama-sama mereka ketika itu. Entahlah…

Kesimpulannya, walaupun saya tidak membaca buku Dargon Ball, setidak-tidaknya selepas melihat filem tersebut, saya telah mengetahui beberapa watak yang diceritakan di dalam buku itu.

Secara peribadi, saya amat tertarik melihat babak di mana Goku sedang dalam keadaan nazak selepas ditembak. Ya, ketika itu Roshi telah berusaha menyelamatkan Goku. Entahlah nama watak Roshi tu betulkah tidak, saya sebenarnya kurang pasti. Apa yang saya suka ialah apabila dibuat flash back Goku bertemu Atuknya yang telah meninggal dunia akbat dibunuh musuh.

Dalam flash back itu, Goku telah diberi pesanan oleh Atuknya dengan perkataan ini (lebih kuranglah kot) “PERCAYALAH PADA DIRIMU SENDIRI”. Pesanan itu diberikan oleh Atuknya agar Goku dapat menentang musuhnya nanti. Saya diberitahu oleh adik-adik ipar saya bahawa Goku sebenarnya ada dua personaliti. Satu manusia dan satu lagi haiwan. Ermmm… macam pernah dengar saja perkara ini.

Ungkapan “PERCAYALAH PADA DIRIMU SENDIRI” sememangnya penting di dalam Kita melalui liku-liku hidup untuk mengejar kejayaan-kejayaan di dunia ini.

Saya serahkanlah kepada Anda sama ada ingin menontonnya ataupun tidak. Bukan niat saya untuk mempengaruhi Anda tetapi saya ingin berkongsi sesuatu mengenai pengalaman yang telah saya lalui menonton filem ini. Apapun, terima kasihlah kerana membaca coretan saya berkaitan dengan filem ini. Heheee.. ;)
Baca selanjutnya, Klik di sini...

Rabu, Mac 18, 2009

Matlamat, Usaha, Cabaran & Takdir... Bhg. Akhir

Bahagian Akhir


Di dalam Kita melaksanakan segala usaha untuk mencapai semua matlamat-matlamat yang telah Kita gariskan, pastilah Kita akan menghadapi pelbagai cabaran. Ya, semua usaha yang Kita lakukan akan ada cabarannya. Cabaran dari pelbagai sudut.

Mengapa ini berlaku? Sudah pasti saya mengatakan bahawa inilah ujian yang harus Kita lalui sebelum nikmat kejayaan itu Kita dapat kecapi. Jangan difikir bahawa matlamat yang kecil tidak ada cabarannya. Cabaran-cabaran ini akan sentiasa mengiringi di setiap usaha yang Kita lakukan.

Sebagai contoh, di dalam matlamat kecil tadi, sekiranya Kita ingin membuang air besar, pastilah percarian tempat yang sesuai itu adalah cabarannya. Ianya tidak mudah kerana Kita terpaksa berfikir di manakah tempat yang sesuai untuk melakukan hajat itu. Selepas memilih, pastilah Kita akan ke tempat yang terpilih itu tadi. Sesampai sahaja di sana, mungkin ianya telah dipenuhi oleh orang ramai, atau barangkali tempat itu pula tidak sesuai untuk Kita melaksanakan hajat itu tadi. Selain itu, tiba-tiba pula kita dapati tempat itu sedang dibaiki atau dibersihkan dan segala macam yang menimpa, menyebabkan Kita terpaksa memikirkan cara lain untuk melaksanakan hajat itu. Saya nak tambah lagi, mungkin juga semasa melepaskan hajat ini tiba-tiba terputus bekalan air. Nah! Macam mana Kita nak menyelesaikannya. Itulah antara cabaran-cabaran yang dapat saya fikirkan pada ketika ini.

Selanjutnya, apapun yang Kita usahakan sudah pasti DIA yang akan menentukannya. Mungkinkah usaha yang Kita lakukan itu akan mendapat Kejayaan?, atau mungkinkah juga berakhir dengan Kegagalan?. Itulah yang dinamakan Takdir.

Takdir ini merupakan kuasa-Nya. Sama ada usaha yang Kita lakukan itu beroleh Kejayaan atau Kegagalan. Disamping itu, mungkin juga macam-macam cabaran dan rintangan yang akan ditempuhi untuk menggapai matlamat-matlamat Kita tadi. Semuanya ini hanya DIA yang mengetahuinya. Mengapa harus begitu? Kerana Kita adalah ciptaan-Nya dan Kita juga adalah hamba-hamba-Nya. DIA berhak melakukannya.

Dalam hal ini perlukah Kita membenci-Nya? Saya serahkannya kepada Anda kerana Kita masing-masing bertanggungjawab dengan apa yang Kita lakukan. Sudah pasti membenci itu adalah di antara sifat-sifat negatif.

Apa yang dapat saya katakan di sini ialah untuk DIA mengangkat martabat Kita, pastilah perlu melalui ujian-ujianNya. Andai Kita gagal dengan ujian-ujian-Nya, pastilah DIA berhak melakukan apa sahaja kepada diri Kita kerana Kita adalah ciptaan-Nya.

Umpama sebuah kereta yang dicipta oleh manusia, andai sudah tidak berguna lagi, perlukah Kita menyimpannya? Sudah pasti hantar saja ke bengkel besi buruk untuk dilupuskan. Itulah perumpamaan yang dapat saya nyatakan. Adakah kereta itu akan membenci Kita?

Di dalam setiap usaha dan cabaran itu, pastilah naluri Kita akan menzahirkan segala macam perasaan. Ya, perasaan yang bercampur-baur. Marah, sakit hati, benci, geram, memaki dan selainnya yang bersifat negatif. Semuanya itu akan terzahir apabila hasrat atau matlamat tadi tersekat akibat cabaran-cabaran yang menghalang.

Tetapi ada juga yang akan melahirkan perasan positif seperti mengucapkan terima kasih, memberikan senyuman walaupun menghadapi pergolakkan perasaan, redha dengan ketentuan takdir-Nya, bersyukur kerana diberikan kejayaan ataupun kegagalan, memulakan segala usaha dengan membaca bismillah, dan segala macam lagi sifat-sifat terpuji. Mengapa itu boleh berlaku kepadanya? kerana dia mengetahui bahawa dia sebenarnya sedang diuji oleh-Nya.

Mengapa ujian ini dilakukan? Apa yang dapat saya nyatakan ialah semua ujian ini perlu untuk mengangkat martabat Kita menjadi ciptaan-Nya yang penuh dengan keperibadian mulia. Mengapa begitu? Kerana penduduk di Syurga semuanya mempunyai sifat-sifat terpuji dan mulia.

.
Baca selanjutnya, Klik di sini...

Matlamat, Usaha, Cabaran & Takdir

Bahagian 1


Kali ini saya ingin berkongsi keempat-empat kata nama di atas. Kesemua kata nama itulah yang akan dilakukan di sepanjang perjalanan kehidupan Kita.

Untuk permulaannya, saya ingin kongsikan berkaitan dengan Matlamat. Ianya juga disebut sebagai Niat, Keinginan atau mungkin juga Hajat. Matlamat merupakan salah-satu perkara pokok di dalam Kita melakukan apa-apa perkara. Perlakuan Kita sering menzahirkan kata nama itu. Sama ada disedari atau tidak, di sepanjang kehidupan Kita, pastilah harus ada matlamat, Niat, Keinginan atau Hajat.

Sekiranya Kita tidak ada Matlamat, maka perjalanan kehidupan Kita tidak akan ada haluannya. Ke mana Anda akan bawa kehidupan ini andai Anda tiada matlamat yang jelas?

Matlamat harus difikirkan terlebih dahulu sebelum melakukan sesuatu perkara. Cuma bezanya, di kalangan Kita, ada yang menyedari ianya sebagai matlamat dan ada pula yang tidak sedar bahawa ia sedang melaksanakan beberapa matlamat. Berkaitan dengan Matlamat ini, saya telah menuliskannya di dalam coretan saya bertajuk Ingin Mengecapi Kejayaan Hakiki?. Ada lima bahagian kesemuanya khusus membicarakan berkaitan dengan Matlamat. Harap dapatlah dirujuk di ruangan sebelah kanan blog ini iaitu di dalam Artikel Terkumpul.

Berkaitan dengan matlamat, saya telah membahagikannya kepada Matlamat Kecil, sederhana besar, Matlamat Besar dan Matlamat Hakiki.

Contoh Matlamat kecil yang dapat saya ceritakan di sini ialah apabila ingin membuang air besar atau mungkin Kita ingin makan. Pasti kedua-dua matlamat itu merupakan perbuatan yang akan Kita lakukan dan amat mudah dilaksanakan. Manakala matlamat yang besar pula adalah seperti ingin menjadi Pekerja Cemerlang, Lulus Peperiksaan SPM, STPM atau lain-lain yang berkaitan dalam bidang Akademik dan ada juga yang ingin Mengembangkan Perniagaan agar mendapat keuntungan berlipat kali ganda. Kesemuanya itu adalah antara matlamat-matlamat yang ingin Kita gapai.

Selepas Matlamat, pastilah Usaha perlu dilakukan agar kesemua Matlamat-Matlamat yang telah difikirkan dapat dikecapi kejayaannya. Ya, berusaha melalui pelbagai strategi-strategi yang berkemungkinan dapat dilakukan agar kelak Matlamat tercapai dan merasai nikmatnya Kejayaan.

Sebagai contoh, di dalam matlamat kecil tadi, Kita berhajat untuk membuang air besar. Sudah tentu Usaha perlu dilakukan untuk mencari tempat-tempat yang sesuai digunakan untuk mezahirkan hajat itu. Selain itu, Kita juga harus memastikan adanya air atau bahan-bahan lain agar kelak, selepas melaksanakan hajat, bahan-bahan tersebut dapat digunakan untuk membersihkan tempat-tempat yang berkaitan. Kita juga perlu berusaha memastikan tempat-tempat yang digunakan untuk melepaskan hajat itu dalam keadaan selamat digunakan. Ini termasuklah perkara-perkara yang berkemungkinan boleh mengaibkan diri-sendiri. Malu kalau ternampak oleh orang lain bukan?. Jadi, sama ada Matlamat itu kecil atau besar, Usaha perlu dilakukan agar dapat mengecapi nikmatnya Kejayaan hasil usaha yang telah Kita lakukan.

Dalam hal ini, saya simpulkan bahawa Kita perlu berusaha dengan melakukan pelbagai strategi untuk menggapai matlamat yang telah Kita gariskan. Seandainya Kita telah memikirkan sesuatu matlamat, tetapi tidak berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapainya, mana mungkin Kita akan mengecapi kejayaan, bukan?.


(Coretan akan disambung lagi)
Baca selanjutnya, Klik di sini...

Selasa, Mac 17, 2009

Dasar PPSMI … Strategi Seorang Guru

Bahagian Akhir

Dalam beberapa hari ini saya akan terus dihimpit kesibukan oleh pelbagai tugasan yang harus saya siapkan. Walaupun sebelum ini saya telah menyatakan akan cuba berkongsi pengalaman mengenai dasar PPSMI, tetapi saya terpaksa mengambil keputusan untuk mengakhiri coretan saya di dalam perkara ini.

Antara sebabnya, ialah penulisan mengenai PPSMI ini telah banyak dinyatakan oleh pelbagai pihak termasuklah di dalam blog Ayahanda Tun yang pada saya padat dengan isi-isi untuk difikir-fikirkan, selain ruangan komen di dalam blog itu yang banyak membicarakannya. Dalam masa terdekat ini pun, kerajaan Malaysia akan memutuskan mengenai dasar ini.

Dalam pada itu, bagi pihak diri saya pula, pastilah kesibukan tugas menyebabkan saya terpaksa mengakhiri tulisan saya di dalam tajuk ini walaupun hakikatnya saya belum dapat berkongsi dengan Anda pengalaman yang telah saya lalui.

Namun begitu, saya juga ingin melontarkan pemikiran saya mengenai hal ini. Maklumlah, di samping berperanan sebagai seorang penyelidik sains, saya juga dalam masa yang sama berpeluang mengongsikan ilmu yang saya miliki dengan anak-anak generasi pelapis Negara Tercinta Ini. Dalam erti kata lain, saya juga sebenarnya seorang guru.

Perkara yang ingin saya lontarkan ialah matlamat kehadiran anak-anak Kita ke sekolah. Apakah matlamat mereka ke sekolah? Saya secara peribadi mengatakan bahawa tujuan anak-anak ke sekolah pastilah untuk belajar menguasai ilmu. Sebut sahaja ilmu, ya, ilmu dalam pelbagai perkara.

Baiklah, mari saya bawakan pemikiran saya mengenai perkara ini. Katakanlah saya sebagai seorang guru dan terdapat tiga orang pelajar yang saya namakan mereka sebagai Ahmad, Budin dan Siti. Ketiga-tiga mereka ini sedang belajar daripada saya mengenai pelbagai Ilmu.

Di dalam proses mereka belajar itu, saya akan meneliti kemahiran penguasaan ilmu setiap daripada mereka. Sudah pasti kebolehan setiap daripada mereka adalah berbeza-beza. Katakanlah si Siti lebih hebat penguasaan ilmunya berbanding si Ahmad dan si Ahmad pula lebih baik berbanding si Budin.

Sebagai seorang guru, saya ada beberapa pilihan strategi untuk meneruskan proses pengajaran kepada mereka agar mahir dalam setiap ilmu yang saya ajarkan. Antara pilihan strategi yang saya ada ialah;

Strategi pertama, saya akan teruskan sahaja proses pengajaran kepada mereka bertiga sama rata. Walaupun saya memahami bahawa si Siti lebih hebat penguasaan ilmunya berbanding yang lain. Bermaksud si Siti mempunyai IQ yang lebih berbanding si Ahmad dan si Budin. Dalam hal ini, sudah pasti si Siti akan terpaksa berkorban masanya kerana apabila saya mengajar, walaupun si Siti telah memahami ilmu yang saya telah ajarkan pada ketika itu, tetapi disebabkan si Ahmad dan si Budin masih belum faham mengenai Ilmu yang saya berikan, maka si Siti terpaksalah menunggu sehingga si Ahmad dan si Budin faham. Saya sebagai guru terpaksa melakukan itu agar ketiga-tiga daripada mereka menguasai ilmu yang sedang saya ajarkan. Bila mereka bertiga sudah faham, barulah saya akan berpindah kepada ilmu yang baru pula. Pastilah strategi ini akan merugikan si Siti kerana dia terpaksa berkorban masa menunggu si Ahmad dan si Budin.

Strategi kedua pula, Saya akan memberi pengajaran ilmu yang baru kepada mereka bertiga kerana si Siti telah menguasai ilmu yang saya ajarkan. Walaupun hakikatnya si Ahmad dan si Budin masih belum faham ilmu yang saya telah berikan itu. Dalam hal ini, saya berani mengatakan bahawa sebagai seorang guru saya telah gagal kerana kedua-dua pelajar saya iaitu si Ahmad dan si Budin masih belum faham akan ilmu yang saya perturunkan.

Strategi ketiga yang berkemungkinan saya lakukan pula, ialah saya akan terus mengajarkan si Siti ilmu-ilmu yang saya miliki. Manakala si Ahmad dan si Budin saya tinggalkan. Dalam erti kata lain, saya tidak mahu lagi mengajar si Ahmad dan si Budin kerana mereka mempunyai tahap IQ yang tidak mencapai tahap seperti yang saya inginkan. Dalam hal ini, sudah pasti saya sedih kerana murid yang bakal menguasai ilmu yang telah saya miliki hanya tinggal seorang sahaja akan menguasainya.

Manakala strategi keempat pula ialah saya akan mengasingkan si Siti, si Ahmad dan si Budin di dalam proses pengajaran yang saya lakukan. Ini kerana proses pembelajaran si Siti lebih ke hadapan berbanding si Ahmad dan begitu juga dengan si Budin. Hakikatnya, saya akan menggunakan masa yang lebih untuk mengajar kepada mereka bertiga. Ini terpaksa saya lakukan agar kebolehan si Siti menguasai ilmu dalam masa yang singkat tidak disia-siakan, manakala dalam masa yang sama, si Ahmad dan si Budin juga akan terus di dedahkan dengan ilmu walaupun sedikit terkebelakang berbanding si Siti tadi.

Persoalannya, mana satukah pilihan saya sebagai seorang guru untuk dilakukan? Pemikiran ini saya segaja utarakan di sini untuk Kita fikir-fikirkan bersama. Ini pastilah ada hubung kaitnya dengan Dasar Pembelajaran Sains dan Matematik di dalam Bahasa Inggeris itu.

Ya, sebelum menutup coretan ini, saya ingin menyatakan secara peribadi bahawa pilihan sama ada Kita bersetuju atau menentang akan dasar ini ada pada Kita. Sememangnya Kita inginkan generasi muda pelapis negara Kita ini berkemahiran di dalam pelbagai bidang ilmu.

Saya tidak mahu menyatakan pendirian saya di dalam blog ini, tetapi cukuplah sekadar saya menlontarkan pandangan bahawa pengalaman yang telah saya lalui telah mengajar saya sesuatu mengenai penguasaan ilmu di dalam bidang sains ini. Sememangnya saya amat bersetuju dengan apa yang telah ditulis oleh Ayahanda Tun Dr. Mahathir di dalam blognya. Dan banyak perkara yang diutarakan oleh Ayahanda Tun itu menyerupai akan apa yang telah saya alami di dalam menempuhi ranjau-ranjau kehidupan ini.

Pastilah pilihan proses pengajaran kepada anak-anak Kita pada ketika ini ada pada Kita. Pilihlah yang terbaik untuk mereka agar kelak mereka tidak ketinggalan di dalam menguasai pelbagai ilmu yang telah diberikan oleh yang MAHA ESA.

Sekian.
Baca selanjutnya, Klik di sini...

Sabtu, Mac 14, 2009

Dasar PPSMI .. bhg 2

Bahagian 2

Hari ini saya membaca blog Tun Dr. Mahathir berkaitan dengan dasar ini. Sememangnya saya tidak terkejut dengan lontaran pandangan Ayahanda Tun itu. Itulah kehebatannya. Semalam minda saya sememangnya merancang akan menyambung tulisan saya mengenai dasar PPSMI ini berkaitan dengan pengalaman saya sendiri apabila telah menjadi seorang penyelidik di dalam bidang sains.

Itulah kehebatan Tun Dr. Mahathir yang saya kagumi. Pandangannya, kadang kala melangkaui pandangan diri saya sendiri. Walau ada di kalangan manusia yang membenci beliau, tetapi pada saya, dia adalah seorang pemimpin di antara yang saya memang kagumi. Beruntung sungguh Ayahanda Tun kerana sentiasa diumpat dan dikeji. Perbuatan itu sememangnya menyebabkan beliau mendapat ganjaran yang amat-amat tinggi nilainya. Apatah lagi yang membenci beliau itu terdiri daripada ahli-ahli yang pakar dalam agama.

Saya harus mengakui bahawa beberapa dasar-dasar kerajaan sebelum ini telah mewujudkan peluang kepada saya sehingga saya menjadi seperti sekarang ini. Terima kasih kepada seluruh pemimpin yang telah memberikan peluang-peluang itu kepada saya.

Berbalik kepada pandangan Ayahanda Tun di dalam blognya perkara 9 dan 13, sememangnya itulah yang ingin saya kongsikan berkaitan dengan pengalaman saya. Walaupun Tun telah menjelaskannya, tetapi jika ada kelapangan, saya akan kongsikan pengalaman saya di dalam hal itu. Ya, pengalaman sebenar saya mengenainya.

Selain itu, saya juga sebenarnya merancang untuk berkongsi coretan pengalaman saya mengenai pembentangan di peringkat antarabangsa, dan sekali lagi Ayahanda Tun telah melangkaui keupayaan saya dengan menyentuhnya di dalam perkara 20 di dalam tulisannya itu.

InsyaAllah, jika ada keizinan, semua itu akan saya kongsikan bersandarkan pengalaman sebenar diri saya. Ya, InsyaAllah akan saya coretkannya di dalam blog ini walaupun Ayahanda Tun telah menzahirkan pandangannya.

Sememangnya, saya juga harus bersetuju dengan pandangan Tun iaitu;

"Saya bukan hendak memandang rendah bahasa bangsa saya sendiri. Tetapi saya perlu terima hakikat yang sebenar. Bahasa sesuatu bangsa akan dipelajari oleh orang asing jika bangsa itu amat maju dan terkenal dengan ilmu yang dimiliki dan diterokai olehnya. Demikian sebelum abad ke-15 Masihi orang Eropah terpaksa belajar bahasa Arab kerana tamadun Islam pada masa itu gah dan amat dihormati. Tetapi selepas orang Islam ketepikan sains, ilmu perubatan dan hisab, orang Eropah tidak lagi mempelajari bahasa Arab. Sebaliknya orang Arab dan Islam terpaksa belajar bahasa Eropah.

Dan saya ingin sambung tulisan Ayahanda Tun bahawa negara Kita sememangnya telah dijajah selama lebih kurang 450 tahun oleh bangsa Eropah dan Jepun, tetapi adakah selepas itu bahasa Kita telah dilenyapkan oleh mereka? Sudah pasti saya mengatakannya tidak. Oleh itu, mengapa masih ada yang gusar melalui dasar ini iaitu akan lenyaplah bahasa Kita, walhal sebenarnya Kita telah memerintah negara Kita sendiri. Adakah melalui dasar ini akan lenyaplah bahasa Kita? Sememangnya pandangan ini saya masih kurang pasti.

Tetapi jauh di sudut hati saya, Ya, saya akan berusaha untuk menguasai ilmu ini walaupun agak payah untuk saya lakukan. Terima kasih Ayahanda Tun kerana berkongsi tulisan itu. Dan akhirnya, terima kasih sekali lagi.

Apapun, saya tetap menghormati pandangan yang menentang dasar ini. Namun tidak bermaksud Anda harus memaksa saya untuk mengikuti pandangan Anda itu. Kita masing-masing ada pandangan dan saya serahkanlah kepada Anda untuk menilainya. Saya juga berharap agar Anda menghormati pandangan saya. Akhir sekali, saya memohon pertolongan agar Anda tidak memaksa saya menerima pandangan yang bertentangan dengan pandangan saya, tetapi saya masih memberi keizinan untuk anda mengutarakan pandangan Anda itu untuk saya fikir-fikirkan.

Sekian.
Baca selanjutnya, Klik di sini...

Dasar PPSMI

Bahagian 1

Kali ini saya ingin berkongsi cerita berkaitan dengan dasar ini. Dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik di dalam Bahasa Inggeris. Dasar ini sedang dipraktikkan di negara saya bernama Malaysia.

Sebelum saya menyatakan tanggapan saya mengenai dasar ini, sukalah saya berkongsi cerita pengalaman saya berkaitan dengan dasar ini suatu ketika dahulu semasa berada di Universiti. Pada ketika itu, memang belum ada lagi dasar ini.

Saya masih ingat ketika belajar di Universiti dahulu, beberapa orang Pensyarah saya mengeluh disebabkan sikap kami yang kurang mahir dengan Bahasa Inggeris. Mereka mengeluh kerana kami terlalu bergantung pada nota-nota kuliah mereka, terutama ketika menjawab soalan-soalan peperiksaan yang diberikan.

Mereka dapat mengesannya bersandarkan jawapan peperiksaan yang kami tuliskan di dalam kertas jawapan peperiksaan. Mereka berkata, tiada pengolahan mendalam di dalam jawapan-jawapan yang kami berikan. Di dalam hati saya berkata, bagi pihak diri saya, memanglah begitu sebab saya tidak membaca buku-buku rujukan. Bukanlah saya tidak mahu membacanya, tetapi disebabkan semua buku rujukan itu dalam bahasa Inggeris, maka timbullah rasa malas untuk membacanya. Maklumlah, saya tidak mahir di dalam bahasa itu. Bukan sahaja membaca atau menulis, hatta berkomunikasi pun saya memang tidak mahir.

Masih segar diingatan saya semasa berada di tahun dua pengajian, di mana kami telah diwajibkan mengambil Kursus yang dinamakan Meteorologi. Kursus ini adalah berkisar mengenai ilmu atmosfera terutamanya berkaitan dengan proses-proses cuaca.

Ketika itu Pensyarah yang mengajar kursus ini seorang warganegara Argentina. Pastilah bahasa pengantarnya bahasa Inggeris. Di sinilah kebolehan saya betul-betul teruji. Maklumlah saya tidak mahir dengan bahasa Inggeris. Disebabkan itu, semasa beliau mengajar, saya terpaksa menumpukan perhatian dan mencatatkan nota-nota yang beliau utarakan. Sungguh! Saya tidak mahir di dalam bahasa Inggeris pada ketika itu.

Bukan sahaja saya yang mengeluh dengan kursus ini, tetapi kesemua rakan-rakan coursemate saya merasa sukarnya kursus ini. Kenangan yang paling manis berkaitan dengan kursus ini ialah bila mana kami menghadapi peperiksaannya. Ya, masih saya terbayang bagaimana sukarnya beberapa hari sebelum menghadapi peperiksaannya itu.

Kenangan yang saya tidak dapat lupakan ialah ramai rakan-rakan yang memang sealiran dengan pemikiran saya yang amat tidak bersemangat dengan kursus ini. Setiap kali berbicara dengan rakan-rakan, pasti kami mengutarakan perasaan yang terlalu negatif mengenai kursus meteorologi ini.

Di hari-hari mendekati peperiksaan, ketika saya dan beberapa rakan lain sibuk mengulangkaji kursus ini, adalah seorang rakan saya yang tidak menunjukkan minat langsung untuk mengulangkaji. Dan dia pun tidak berusaha untuk menguasai kursus ini. Ya, saya dapat merasakan kepayahannya itu. Sungguh, saya merasai betapa payahnya kursus meteorologi pada ketika itu. Cuma bezanya saya dengan rakan saya itu ialah saya cuba berusaha manakala rakan saya itu telah patah semangatnya untuk berusaha menguasai kursus itu. Sampaikan dia mengatakan bahawa dia akan gagal dengan kursus itu.

Apa yang terjadi ketika saya dan rakan-rakan lain sibuk berusaha mengulangkaji terutama di malam sebelum hari peperiksaan diadakan, rakan saya yang telah patah semangatnya itu dengan selambanya membiarkan dirinya tidak berusaha.

Masih segar diingatan saya dia datang ke bilik saya pada malam sebelum peperiksaan itu dan berkata “tak perlu susah-susah, apa nak sibuk-sibuk mengulangkaji dengan menghafal itu dan ini.” Di situ saya memang dah perasan bahawa dia sebenarnya sedang berperang dengan jiwanya sendiri. Apa yang mampu saya katakan kepadanya ialah lebih baik mencuba daripada tidak berusaha langsung, bukan?.

Ketika peperiksaan berlangsung, saya dapat perhatikan rakan saya itu relaks sahaja duduk di bangku dan di hadapan mejanya, manakala sebahagian rakan-rakan lain sibuk menjawab kertas peperiksaan termasuklah saya sendiri. Dan apabila diumumkan masa peperiksaan akan tamat dan dibenarkan keluar, rakan saya itulah orang yang pertama keluar dari bilik peperiksaan.

Kenangan manis berkaitan dengan kursus meteorologi ini ialah bilama keputusan peperiksaan diumumkan. Saya dengan rasa penuh syukur kepada-Nya telah mendapat 78 % markah, manakala rakan saya yang tidak berusaha itu hanya mendapat 2 % sahaja. Akhirnya dia terpaksa mengulang sekali lagi kursus yang penuh mencabar itu.

Itulah kenangan manis yang saya tidak dapat lupakan. Ya, kita perlu berusaha memajukan diri sendiri. Andai ianya sukar dilakukan, apa salahnya dicuba pelbagai kaedah agar kita menguasainya dan memperolehi hasilnya kelak. Tanpa usaha, pastilah tiada hasil yang akan diperolehi.

Coretan ini akan saya sambung lagi di lain masa.
Baca selanjutnya, Klik di sini...

Jumaat, Mac 13, 2009

Sebutir Permata Tersembunyi Di Pondok Usang

Pagi ini saya membaca cerita akhbar mengenai sebutir permata yang sedang berlindung di sebuah pondok usang bersama keluarganya. Ya, saya membacanya dengan sedikit genangan air di dalam kelopak mata saya.

Bukannya bersedih tetapi berasa gembira kerana melihat kejayaan seorang insan yang tersembunyi di balik kepayahan hidup ini. Moga adik itu akan meneruskan kejayaannya nanti. Sila baca cerita mengenainya di sini

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0314&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_02.htm
Baca selanjutnya, Klik di sini...

Khamis, Mac 12, 2009

Jiwa Bergelora dan Lemah

Artikel ini saya lakarkan untuk berkongsi dengan seseorang yang telah mengadu yang dia merasa ingin membunuh dirinya sendiri. Memang saya terkejut, tetapi itulah hakikatnya dengan dirinya itu. Oleh itu, saya usahakan mencoretkan artikel ini. Moga adalah manafaatnya untuk difikirkan bersama-sama.

Jiwa atau ada yang menafsirkannya sebagai Roh merupakan elemen yang sangat penting di dalam diri Kita. Sememangnya ilmu berkaitan Roh ini amat terhad kerana DIA memang telah menyatakan bahawa Roh itu adalah urusan dan rahsia-Nya.

Artikel ini sudah pasti tidak akan berbicara mengenai Roh tetapi perkaitannya dengan Perasaan diri Kita. Ya, Jiwa ada kaitan dengan perasaan diri Kita. Andai Jiwa Kita sentiasa bergelora, maka perasaan Kita juga akan merasai geloranya. Dan begitu juga andai Jiwa Kita lemah, pastinya perasaan Kita juga terasa lemahnya yang kadang kala menjadi takut dengan pelbagai perkara. Melihat sahaja sesuatu bergerak-gerak di dalam gelap, perasaan akan merasa takut dan mengambarkan pelbagai perkara. Itulah dia perkaitan antara jiwa dan perasaan yang Kita miliki.

Sememangnya di kalangan Kita, pasti ada yang berperasaan sentiasa bergelora dan paling menyedihkan apabila mempunyai perasaan yang sentiasa merasa takut dengan pelbagai perkara. Saya tidak menafikan bahawa perasaan sebegini sememangnya sedang mengalami kesakitan Jiwa. Jiwa, bilamana sedang sakit, pastinya perasaan diri juga akan tidak stabil dan merasai kesakitannya.

Persoalannya bagaimana untuk merawatnya? Ermmm.. Dalam hal ini saya merasa ada dua kaedah yang boleh dilakukan. Pertama saya mengatakan berusaha sendiri mengubatinya, dan kedua, memohon kerjasama daripada seseorang yang pakar berkaitan dengan penyakit ini.

Untuk pertamanya, saya ingin kongsikan rawatan dengan kerjasama orang yang lebih arif atau memahami berkaitan penyakit ini. Sama ada Kita sedar atau tidak, apabila jiwa telah lemah, dikatakan bahawa perkara-perkara lain akan mudah menguasai diri Kita. Apatah lagi apabila Kita sudah tidak berupaya mengawal perasaan diri sendiri. Ini akan menambahkan beban diri Kita untuk mengawalnya. Oleh itu, kehadiran kerjasama orang yang pakar dalam hal sebegini amat penting bagi memberikan kekuatan kepada perasaan Kita yang bergelora dan lemah. Selain itu, mereka juga akan dapat menghindar perkara-perkara lain daripada menganggu perasaan diri Kita.

Bagi kaedah rawatan diri sendiri, caranya adalah berusaha melatih diri agar perasaan itu dapat dikuasai dan bukannya membiarkan perasaan itu menguasai diri Kita. Ya, agak sukar mempraktikkannya tetapi apabila Kita telah mahir melakukannya, pastinya Kita akan berjaya mengawal perasaan itu.

Para rasul telah menunjukkan caranya iaitu dengan memahami bahawa kehidupan di dunia ini hanyalah satu ujian untuk Kita mengenali-Nya dan memahami kuasa-Nya. Andai Kita memahami perkara ini, pasti Jiwa akan ada kekuatan dan dalam masa yang sama Jiwa juga akan mendapat kuasa sebenarnya. Dari itu, sinar cahaya-Nya akan sentiasa menyuluh perjalanan hidup Kita walau pelbagai seruan atau laungan untuk menyesatkan perjalanan Kita. Cahaya-Nya akan memberikan suluhan yang terang dan jelas andai Kita memahami mengapa kita berada di dunia ini dan kemanakah arahnya tujuan hidup ini.

Seandainya Kita memahaminya, saya berkeyakinan bahawa Jiwa dan perasaan Kita akan sentiasa dalam ketenangan walau gelora melanda. Begitu juga perasaan ketakutan itu pasti dapat dikuasai andai Jiwa telah mendapat kuasa sebenarnya. Andai Jiwa telah berkuasa dan memahami kenapa Kita berada di dunia ini, pastinya Kita akan merasa redha dengan apapun yang berlaku di sekeliling Kita.

Jauh dari itu, andai sesuatu yang diimpikan tidak dapat dipenuhi, dalam ertikata lain, gagal di dalam usahanya, maka ketahuilah sesungguhnya kembalilah kepada-Nya untuk memohon bantuan-Nya kerana sememangnya DIA sahaja yang berkuasa di atas segala apa yang ada di dunia ini. Sesuatu yang mustahil berlaku itu pasti akan terjadi dengan kuasa-Nya.

Ingatkah lagi peristiwa perjalanan Rasulullah ke langit ketujuh dalam masa semalam sahaja? Ingatkah lagi bagaimana tongkat nabi Musa berubah menjadi ular yang besar? Ingatkah lagi peristiwa air yang terpancur daripada batuan yang dipukul oleh tongkat Nabi Musa? Ingatkah lagi peristiwa Mariam yang mengandung Nabi Isa walau tidak pernah disentuh oleh seorang lelaki? Ingatkah lagi peristiwa Nabi Yunus dimakan ikan dan dimuntahkan semula? Ingatkah lagi peristiwa pemuda-pemuda yang telah ditidurkan oleh-Nya selama seratus tahun di dalam sebuah gua?

Semua yang saya sebutkan itu adalah perkara yang tidak mungkin berlaku melalui pemikiran Kita. Walaupun saya adalah seorang saintis yang berpegang kepada fakta, Namun saya tetap menyakini bahawa tiada yang mustahil bagi-Nya melakukan sesuatu.

Sebab itu, DOA amat penting di dalam membantu kehidupan Kita. Berdoalah sentiasa kepada-Nya kerana DIA MAHA MENDENGAR DAN MAHA MELIHAT.
Baca selanjutnya, Klik di sini...

Rabu, Mac 11, 2009

Kuatkan Semangat dan Jangan Bersedih!

Keputusan peperiksaan telah diumumkan sama ada peperiksaan STPM ataupun SPM. Kepada adik-adik yang telah berjaya, abg ucapkan tahniah dan bagi yang tidak berjaya jangan putus asa kerana di Negara Kita Malaysia ini, sekiranya keputusan kurang elok, adik-adik masih boleh melanjutkan pengajian. Ya, sama ada mengulang kembali atau mengikuti peringkat-peringkat pengajian yang lain seperti Sijil atau Diploma.

Rajin-rajinlah membuka akhbar dan lain-lain media untuk mengetahuinya. Nasihat abg ialah jangan bersedih dan merenung kegagalan itu. Yang penting, cuba berusaha mengatasinya daripada terus-terusan bersedih dan menyesali kegagalan itu.

Ketahuilah bahawa masih ada jalan lain untuk Adik mengatasi masalah itu dengan mencari peluang-peluang yang ada . Cuba singkap akhbar-akhbar tempatan atau media-media yang lain seperti internet ini. Teruskan usaha untuk meningkatkan pencapai akademik adik-adik.

Ingat, jangan bersedih, lebih baik teruskan perjuangan adik-adik itu dengan mengatasi kegagalan itu. Sekiranya adik terus bersedih maka peluang-peluang yang ada untuk adik kecapi akan turut terlepas. Sekarang bukan masanya untuk adik menyesal atau bersedih. Tetapi lebih jauh daripada itu ialah cuba menyelesaikannya dengan mencari peluang-peluang yang berkemungkinan untuk adik memperbaiki kesilapan atau kegagalan ini.

Teruskan usaha mencari peluang-peluang yang ada. Moga adik-adik akan berjaya!
Baca selanjutnya, Klik di sini...

Selasa, Mac 10, 2009

Berkahwin dengan diri-sendiri?

Saya tertarik membaca satu coretan mengenai persoalan kahwin. Ya, saya sememangnya tidak pernah pun terfikir mengenai soalan itu. Soalannya berbunyi;

Sudikah saya mengahwini diri saya sendiri?

Terkejut besar saya membacanya. Ya, sebab selain perkara-perkara positif yang terzahir di minda, perkara negatif juga terus tergambar. Apa tidaknya, nak berkahwin dengan diri sendiri?

Penulisan itu menghuraikan tentang kesudian diri Kita mengahwini individu lain yang mempunyai ciri-ciri sama seperti diri Kita sendiri. Sifat-sifat baik dan buruknya adalah sama seperti diri Kita. Adakah kita akan sudi menerimanya?

Itulah persoalan yang telah diutarakan oleh penulis itu. Ianya telah memberikan sedikit kefahaman kepada saya mengenai perlunya menghisab diri kita sendiri. Sekarang terpulang kepada Kita untuk berfikir mengenainya. Adakah Kita sudi menerima orang yang mempunyai persamaan ciri-ciri sepertimana yang kita miliki kini. Sifat-sifatnya yang positif dan negatif, pastinya.

Bila membaca komen-komen yang dicoretkan di dalam laman itu, ramai yang tidak sudi memandangkan mereka mengetahui keburukan diri mereka sendiri. Ermm… dalam hal ini saya berani mengatakan bahawa siapapun dia, selagi bernama insan, pasti tidak akan lepas daripada melakukan kesilapan. Dia pasti ada kehebatan dan kekurangannya. Saya tetap berfikiran bahawa selagi namanya manusia, sudah pasti tiada yang sempurna. Ketahuilah bahawa itulah perbezaan kita dengan malaikat dan syaitan.

Amat rugilah andai diri Anda menetapkan tidak akan menamatkan zaman bujang selagi mana belum bertemu dengan insan yang sempurna, sampai kiamatlah jawabnya diri anda tidak akan berkahwin kelak.

Ketahuilah bahawa setiap di antara Kita ada kehebatan dan kekurangnya. Itu mesti ditekadkan dalam diri apabila bertemu jodoh kelak. Sememangnya tiada yang sempurna, namun kekurangannya itu seharusnya sama-sama diperbaiki dan dipertingkatkan agar kelak menjadi lebih baik daripada sebelumnya. Setelah bernikah Kita mesti berkerjasama memperbaiki kekurangan masing-masing agar meningkat ke tahap yang lebih baik daripada sebelumnya. Itulah hakikatnya Kita yang bernama manusia.
Baca selanjutnya, Klik di sini...

Isnin, Mac 09, 2009

Bersetubuh vs Beronani ..Bhg 3

Bahagian 3

Kali ini saya ingin meneruskan coretan saya mengenai tajuk di atas. Ya, saya ingin berkongsi cerita mengenainya. Kepada Rakan-Rakan yang belum pernah mengikuti tulisan saya mengenai tajuk di atas, saya harap agar Anda dapat membacanya terlebih dahulu di bahagian artikel terkumpul di sebelah coretan ini. Saya telah menuliskan dua bahagian mengenai tajuk di atas itu sebelum ini.

Tajuk di atas telah memberikan saya peluang untuk bercerita. Ya, kali ini saya ingin mengatakan bahawa bagi yang telah berumah tangga, sesungguhnya apabila berahi menjelma, pasti ada tempat untuk menyalurkannya. Sebab itu Kita amat-amat dituntut untuk berumah tangga agar perkara-perkara yang berkaitan dengan dosa ini khususnya berkaitan dengan tajuk di atas dapat dielakkan. Saya pun dah mencoretkan mengenai hal berumah tangga ini.

Saya teringat sembang-sembang bersama rakan saintis suatu ketika dahulu ketika mengikuti satu persidangan antarabangsa. Dia pernah berkata kepada saya bahawa dikatakan secara saintifik bahawa setiap minda manusia secara puratanya pasti akan terfikir mengenai tajuk di atas itu setiap tiga minit sekali. Tak tahulah pula kebenaran mengenai pandangan rakan saya itu, tetapi dari segi pengalaman, saya sememangnya tidak menolak.

Setiap insan yang telah bernikah pasti dapat merasai nikmat mengenainya dan kepada yang belum berumah tangga, saya menasihatkan agar cepat-cepatlah mendirikan rumah tangga kerana memang tidak dapat dinafikan bahawa ianya merupakan salah satu daripada nikmat yang telah dikurniakan oleh-Nya untuk Kita syukuri.

Amat malanglah andai masih ada yang apabila berahi terjelma di minda, maka perkara yang dilakukannya adalah beronani. Perbuatan ini selalunya dilakukan oleh seseorang yang belum berumahtangga atau masih bujangan lagi. Beronani adalah perbuatan yang dilakukan seorang diri bagi melampiaskan nafsu diri sendiri yang sedang bergelora. Setiap insan pasti pernah melakukannya. Tetapi ingatlah bahawa perbuatan itu merupakan salah satu daripada dosa andai dilakukan seorang diri dan berasa malu sekiranya perbuatannya itu diketahui oleh orang lain. Sekali lagi saya nyatakan, bahawa perbuatan itu merupakan satu DOSA andai dia berasa malu sekiranya perbuatannya itu diketahui oleh selain dirinya sendiri.

Dosa dinyatakan seumpama setitik hitam yang akan melekat pada hati. Apabila sedikit-sedikit dosa dilakukan, maka hati akan sedikit-sedikit mempunyai titik hitam yang lama kelamaan apabila terlalu banyak dosa yang dilakukan, maka hati akan dipenuhi titik hitam yang akhirnya tidak akan dapat menyuluh ranjau-ranjau di sepanjang perjalanan ini kelak.

Apa yang dapat saya nyatakan, apabila seseorang itu beronani, maka sperma atau telur yang dikeluarkan merupakan satu perbuatan yang amat-amat merugikan dan menyedihkan kerana mungkinkah sperma atau telur itu bakal menjadi seorang insan yang mulia? Seorang insan yang soleh atau mungkin juga solehah? Jauh daripada itu, mungkinkah ianya bakal menjadi seorang Doktor? Peguam? Atau mungkin juga bakal Pemimpin yang berkaliber? Siapa tahu…

Oleh itu, nasihat saya, jimat-jimatkanlah telur atau sperma yang dibazirkan itu kerana selain daripada menjadi dosa, pasti ianya akan memudarat tubuh badan diri Anda sendiri. Elakkan daripada melakukannya.

Salah satu daripada kaedah perawatannya ialah dengan berpuasa. Berpuasa dikatakan dapat mengelakkan daripada perbuatan itu. Kedua, elakkan daripada bersendirian dengan kata lain, kalau boleh biarlah setiap masa diri Anda ditemani oleh rakan-rakan sejantina yang lain. Ini akan mengelakkan fikiran bertumpu ke arah itu. Ketiga, digalakkan juga agar mengamalkan hidup sihat dengan sentiada beriadah. Ini akan membolehkan masa lapang terisi dan kepenatan daripada beriadah itu kelak membolehkan tubuh badan beristirehat dan menjauhi fikiran-fikiran berkaitan dengan perkara itu.

Selain itu, tekadkan dalam diri untuk tidak melakukannya kerana apabila Anda telah melakukannya, pasti ia akan memudaratkan diri Anda sendiri. Pastinya Anda tidak mahu mendapat mudarat bukan? Salah satu daripada akibat terlalu mengamalkan perbuatan itu, dikatakan bahawa badan akan lemah dan kepada lelaki, badan menjadi kurus kering yang memburukkan penampilan kerana kebanyakkan daripada sumber protin yang ada di dalam badan telah dibazirkan begitu sahaja. Ketahuilah bahawa sperma itu adalah terdiri daripada protin. Sebaliknya pula kepada wanita, dikatakan mereka akan menjadi gempal kerana telur yang dibazirkan itu menyebabkan selera makan bertambah yang seterusnya meningkatkan berat badan mereka. ermm... dikatakan begitu, saya pun kurang pasti mengenainya. Anda yang ada pengalaman pasti mengalaminya. terpulanglah kepada Anda untuk memikirkannya.

Akhir sekali, paling utama ialah, Anda perlu mengetahui matlamat hidup diri yang sebenar. Andai matlamat diri ialah untuk sentiasa bergelumang dengan dosa, maka saya pun tidak dapat melakukan apa-apa kerana itu adalah pilihan Anda. Nasihat pun saya sudah berikan. Tetapi seandainya Anda inginkan Syurga, maka nasihat saya, elakkanlah melakukan perkara itu dan cuba tekadkan dalam diri agar Anda tidak terdorong melakukan dosa itu kerana tiada siapa yang dapat melakukannya kecuali diri Anda sendiri.
Baca selanjutnya, Klik di sini...

Marah

Bahagian 1

Kali ini saya ingin berkongsi berkaitan dengan sifat marah. Marah sememangnya TUHAN anugerahkan kepada setiap insan untuk digunakan di dalam melalui kehidupan ini.

Marah adalah sifat yang boleh jadi baik dan boleh pula sebaliknya. Ianya akan menjadi baik andai dizahirkan pada tempatnya. Dan ianya boleh jadi tidak elok andai dilakukan pada yang bukan tempatnya. Marah ada pelbagai bentuknya. Akan saya bicarakannya kelak.

Imam Al-Ghazali mengatakan bahawa marah itu umpama nyalaan api yang bersumber daripada api Allah yang bernyala-nyala. Panasnya naik ke pangkal hati dan kadang kala bersemadi di lubuk hati setiap insan. Sifat marah ini sememangnya bertentangan dengan sifat semulajadi manusia. Manusia dijadikan daripada tanah yang dikatakan mempunyai ketenangan berbanding api yang bernyala dan bergelora sifatnya.

Apabila api kemarahan setiap insan mula berkobar-kobar, maka pangilan syaitan akan menjadi semakin jelas didengari dan berkemungkinan besar terzahirlah perlakuan-perlakuan seperti yang syaitan serukan itu. Sebab itu ramai yang memandang sifat marah ini perlu dibendung agar Kita terlindung daripada panggilan-panggilan syaitan yang boleh memudaratkan hidup Kita kelak.

Kesan-kesan marah boleh dilihat pada tubuh anggota Kita seperti suka memukul, menyerang, melukai dan boleh sampai ke tahap membunuh. Selain itu, ianya boleh juga sampai ke tahap menganiyai diri sendiri, memukul-mukul diri dan menjahanamkan harta benda kepunyaan diri-sendiri atau mungkin juga barang-barang orang lain. Biasanya terjadi juga orang yang berkelakuan ini tidak perasan dengan perbuatannya sehingga semua daripada tindakannya seolah-olah menggambarkan orang yang tidak siuman atau sudah hilang akalnya.

Imam Al-Ghazali menambah bahawa orang yang dalam keadaan begini tidak mustahil merosakkan harta benda, menganiyai binatang, memecahkan pinggan-mangkuk ataupun sampai ke tahap memaki hamun binatang. Ditambah pula sampaikan ke tahap apabila binatang itu menendangnya, pasti dibalasnya tendangan binatang itu. Heheee… sampai begitu sekali akal manusia yang diselaputi sifat marah ini, iaitu hilang pertimbangan insaniah mereka.

Selain itu, kelancangan lidah juga bertambah dengan menyebutkan caci-maki, kata-kata keji hasil daripada percakapan, yang mana apabila orang yang waras fikirannya mendengar sebutan perkataan daripada orang yang sedang marah itu pasti berasa malu dan segan mendengarnya. Ketika marah menjelma, percakapan juga menjadi kelam kabut, tidak teratur sehingga semua perkataan yang terzahir daripada mulut orang yang sedang marah seolah-olahnya diluar pertimbangan akal fikiran yang waras…

Coretan akan disambung di lain kali. InsyaAllah
Baca selanjutnya, Klik di sini...

Sabtu, Mac 07, 2009

Bergantung pada keputusan Famili

Bergantung dengan keputusan family bukanlah suatu yang salah!, saya juga sering melakukannya. Sampaikan keperingkat mendapatkan calon isteri saya sekarang ini pun, sebenarnya ianya adalah pilihan bersama saya dan keluarga.

Walaupun saya tidak pernah “bercinta” dan hanya sekali bertemu dengan isteri saya, iaitu ketika keluarga memperkenalkan saya kepada keluarga isteri saya, tetapi pandangan pertama itulah yang telah mengikatkan kami sehingga kini.

Alhamdulillah dengan anugerah-Nya. Saya tetap berfikir bahawa keputusan yang dibuat secara BERMUSYAWARAH itu adalah lebih baik daripada berfikir SENDIRIAN.

Di dalam hal-hal penting, saya rasa tidak salah andai sesuatu keputusan yang diambil itu terlebih dahulu mendapatkan pandangan family, apatah lagi keputusan itu akan melibatkan mereka kelak, dalam hal rumah tangga misalnya.

Saya juga masih ingat ketika saya memperolehi peluang untuk melanjutkan pengajian ke peringkat kedoktoran (phd). Saya mempunyai pilihan di dalam atau di luar negara untuk menyambung pengajian. Tetapi pada akhirnya, keputusan yang saya ambil ialah belajar sahaja di dalam negara. Itu adalah keputusan saya selepas berbincang dengan family!. Sebenarnya, ramai juga rakan-rakan yang kurang bersetuju dengan keputusan itu.

Ya, pasti ada baik dan buruknya di dalam keputusan saya itu. Dan saya tidak pernah menyesali keputusan yang diambil hasil perbincangan bersama family itu.

Hakikatnya, apabila family saya ditimpa musibah yang amat menekan di peringkat awal pengajian saya, saya ada disamping mereka. Saya rasa peristiwa yang berlaku ketika itu tidak akan dapat saya ulangi di dalam hidup ini!.

Mungkin, itulah rahsia disebalik keputusan saya untuk belajar di dalam negara. Kehadiran saya bersama family semasa musibah yang berlaku itu, setidak-tidaknya dapat mengurangkan beban adik beradik terutama ibu saya sendiri. Sudah pasti ianya tidak sama sekiranya pada ketika itu saya berada di luar negara.

Apa yang ingin saya kongsikan di atas ialah untuk menyatakan bahawa kehadiran pandangan family di dalam kita mengambil sesuatu keputusan atau tindakan adalah suatu yang amat penting untuk PEDOMAN HIDUP KITA. Dan perlu diingat, bahawa keputusan yang kita telah ambil, apabila menemui kegagalan, tidak seharusnya menyalahkan mereka kerana pandangan mereka tidak bermaksud itulah keputusan akhir yang harus kita ambil.




Baca selanjutnya, Klik di sini...

Cabaran!

Majoriti umat manusia mungkin tidak suka dengan perkara-perkara yang mencabar. Saya juga sebenarnya menghadapi masalah ini tetapi saya lebih suka mengatakannya begini “saya tidak suka cabaran kecuali cabaran itu ada kepentingannya”.

Segaja saya tambah kecuali pada masalah itu supaya dapat kita fikir-fikirkan bersama. Saya memang tidak suka dengan cabaran andai ianya hanya merugikan masa dan kesempatan yang saya ada. Umpamanya, rakan-rakan mencabar saya untuk mengorat awek!. Sudah pasti saya menolak cabaran itu sebab saya merasakan perbuatan itu hanyalah sia-sia pada saya. Maklumlah, saya pun dah berumah-tangga. Dah ada anak pun, takkan nak melaksanakan cabaran sebegitu pula?

Cabaran yang kita katakan sebagai sesuatu yang mencabar itu pun bergantung pada setiap individu. Ada yang berkata perbuatan seperti berjogging, berenang, berbasikal, mendaki gunung dll itu sebagai sesuatu yang mencabar dan ada pula sebaliknya. Begitu juga membuat kerja-kerja seperti mengaji Quran, membuat blog, software, tesis, laporan, buku dll itu sebagai sesuatu yang amat mencabar. Oleh itu, suka saya mendefinisikan cabaran itu sebagai sesuatu yang naluri kita mengatakannya amat sukar untuk dilakukan atau dicapai oleh diri kita sendiri.

Persoalannya, bagaimana untuk menghadapinya? ermm, saya pun tidaklah arif mengenainya, tetapi saya lebih suka berkongsi-kongsi pandangan dan merenung-renung sesuatu persoalan itu.

Pada saya, untuk menghadapi sesuatu cabaran itu, sudah pasti akan saya persoalkan apakah matlamat sebenar di dalam melakukan sesuatu cabaran itu. Andai ianya memberikan manfaat, sudah pasti saya akan melakukan cabaran itu dan sebaliknya pula.

Selepas matlamat, sudah pasti saya akan fikirkan sama ada ianya selari dengan tuntutan agama atau tidak. Ini adalah perkara pokok untuk saya melaksanakan sesuatu cabaran itu. Andai ianya bertentangan pasti akan saya lupakan sahaja cabaran itu, walaupun ianya dikatakan memberikan keuntungan berlipat kali ganda jadinya. Disebalik itu semua, perlu juga diingatkan dalam diri bahawa setiap yang mencabar pasti ada risikonya, oleh itu, jangan lupa untuk diambil kira perkara itu, sebelum tindakan akhir dilaksanakan.

Seterusnya DOA harus dipohon. Moga ada keredhaan dari-Nya. Saya tetap berkeyakinan bahawa sesuatu yang mustahil itu pasti terjadi dengan keizinan dari-Nya sahaja.

Dan akhir sekali, pada minda, akan saya tetapkan bahawa apapun berlaku selepas itu, saya akan redha sama ada gagal atau berjaya. Setidak-tidaknya, cabaran itu telah saya lakukan. Ini pada saya amat penting disaat-saat cabaran yang dihadapi menemui kegagalan.



Baca selanjutnya, Klik di sini...

Selasa, Mac 03, 2009

Panggilan Syaitan

Sebut sahaja tajuk di atas seolah-olahnya ia amat menakutkan. Terasa juga yang ianya mengerikan. Panggilan daripada Syaitan?, Nyata sekali kalau boleh Kita tidak mahu mendengar panggilan itu. Namun, hakikatnya, panggilan syaitan akan sentiasa mengiringi perjalanan kehidupan Kita sehingga ke nafas terakhir sekali pun.

Sesiapapun, sekiranya mengetahui panggilan itu daripada syaitan, sudah pasti akan cuba mengelak daripada menyahut panggilan itu. Tetapi disebabkan kehalimunan syaitan, maka ramai yang terpedaya dan menyambut panggilannya. Bukan sahaja menyahut panggilannya itu, tetapi kadang-kala turut sama bersahut-sahutan menggemakan alunan panggilannya.

Sesiapa yang banyak menyambut panggilannya di sepanjang kehidupan ini, pasti akan digolongkan di kalangan para syaitan. Nau’zubillah!.

Perlu juga diketahui bahawa tiada tempat yang dapat Kita gunakan untuk mengelak daripada mendengar panggilan para syaitan itu. Alunan panggilannya akan sentiasa bergema untuk Kita dengari. Ini memang hakikatnya. Kerana MAHA PENCIPTA telah membuat perjanjian dengan kebiadapan mereka. Selain itu, perjanjian itu juga bertujuan untuk MAHA PENCIPTA menguji sejauh mana keimanan yang dimiliki oleh yang namanya Insaniah, untuk DIA mengangkat lagi martabat mereka berbanding para syaitan. Sudah pasti hanya insan-insan yang penuh dengan Pelita Hati dan Keimanan Jitu pada-Nya sahaja yang akan berusaha untuk mengelakkan panggilan para syaitan itu.

Andai Keimanan Kita berada di tahap biasa-biasa sahaja, pasti syaitan yang ditugaskan untuk memanggil Kita adalah dikalangan syaitan yang biasa-biasa juga. Tetapi seandainya Keimanan Kita sudah mencapai tahap yang agak tinggi, pastilah pula syaitan yang bertugas bukan calang-calang hebatnya.

Hidup Kita memang penuh dengan ujian kerana daripada ujian-ujian itulah Kita akan lebih mendekati-Nya. Andai ujian-ujian itu membuatkan Kita tewas untuk mengenali-Nya, sudah pasti rugilah kehidupan Kita di dunia ini. Sebab itu Kita kena sentiasa memohon kepada-Nya agar dilindungi daripada mendengar alunan seruan para syaitan dan moga-moga sentiasa mendapat petunjuk dari-Nya.

Sesungguhnya MAHA PENCIPTA amat-amat mengasihi semua hamba-hamba-Nya andai selepas melakukan kesilapan, segera bermunajat kepada-Nya memohon keampunan dari-Nya.
Baca selanjutnya, Klik di sini...