Jumaat, Mac 12, 2010

Keputusan SPM 2010 dan Adik Afiq

Kelmarin, keputusan peperiksaan SPM 2009 atau Sijil Pelajaran Malaysia tahun 2009 telah diumumkan oleh Kementerian Pendidikan. Saya tumpang gembira bila mengetahui adik sepupu berjaya memperolehi 9A dan 1B.

Sebab itulah saya meluangkan sedikit masa subuh ini membuat coretan berlatarkan motivasi. Mudah-mudahan adik-adik yang baru melepasi ujian SPM akan mengerti dan terus mengorak langkah mencari hala tuju kehidupan seterusnya.

Jujur saya beritahu bahawa 21 tahun yang lalu, keputusan SPM yang saya perolehi tidaklah secemerlang itu. Saya sekadar lulus cukup-cukup makan sahaja. Tetapi itu bukanlah penghalang untuk saya terus mengorak langkah mengecapi kehidupan dunia. Memang tidak!. Kepada adik-adik yang memperolehi keputusan SPM kurang cemerlang, InsyaAllah akan saya berkongsi motivasi mengenainya dalam masa terdekat ini.

Tetapi biarlah entri kali ini saya khususkan kepada adik-adik yang telah berjaya memperolehi keputusan cemerlang. Saya juga mengambil kesempatan mengucapkan Tahniah! kepada adik-adik yang telah berjaya. Ucapan itu untuk adik sekeluarga sebenarnya.

Moga-moga dapatlah kita berkongsi kegembiraan itu di sini. Jika ada kesempatan, luahkanlah sedikit kegembiraan itu di sini agar menjadi pembakar semangat kepada adik-adik yang lain pula, InsyaAllah.

Afiq adalah nama adik sepupu saya yang memperolehi keputusan cemerlang, 9A, 1B. Dia kini sedang meneruskan pengajian di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di dalam bidang kejuruteraan. Tak silap saya dah dua bulan lamanya dia di sana. Dia layak diterima masuk ke Universiti Teknologi Malaysia menggunakan keputusan Percubaan SPM.

Afiq adalah seorang remaja yang kacak dan aktif bersukan. Kalau Anda memandang wajahnya, ada kemungkinan Anda akan tergoda, maklumlah kekacakan dan kepintarannya agak-agak barangkali macam saya. Cehhh!

Keputusan SPM yang diperolehinya saya ketahui melalui sms yang dihantarkan oleh Isteriku Yang Tercinta kelmarin, ketika sedang sibuk mempengerusikan satu sesi seminar. Nasib baik juga Isteriku Yang Tercinta memahami kepentingan berita-berita begini dan terus sahaja memberitahu kepada saya melalui khidmat pesanan ringkas, sms.

Bila mana menerima pesanan daripada Isteriku Yang Tercinta, terus sahaja saya segera melayangkan dua sms TAHNIAH! kepada Pakcik dan Makcik yang merupakan orang tua Afiq. Minda Sedar saya masih lagi menyimpan memori 20 tahun yang lalu ketika saya mula-mula memasuki alam Universiti.

Ibubapa Afiqlah yang telah banyak memberikan bimbingan dan menghulurkan pelbagai bantuan. Ketika itu, Afiq belum lagi dilahirkan ke dunia.

Kedua orang tuanya memang banyak memberikan dorongan dan bantuan kepada saya. Maklumlah, Ayahnya merupakan adik kepada Ayah saya. Sebab itulah Ayah Afiq terdorong melakukannya.

Lagipun ketika itu orang tua saya masih tidak memahami berkenaan akademik. Lebih-lebih lagi alam universiti. Memang jauh sekali. Bukan sahaja kedua orang tua saya sebenarnya. Bahkan orang di kampung juga kurang faham dan belum mengerti mengenai akademik dan universiti. Bila mana saya memulakan langkah ke alam universiti, wah! mashyurlah nama ibubapa saya di kampung. Itu 20 tahun yang lalu...

Tetapi kini, orang di kampung sudah berlumba-lumba mengejar kejayaan-kejayaan akademik seperti itu. Malahan sudah ramai pun yang bekelulusan dari universiti. Dua orang adik perempuan saya juga kini sedang berada di universiti awam Malaysia. Sememangnya saya amat gembira di atas kesedaran pencapaian akademik sebegini.

Sejurus selepas sms saya terbangkan kepada Pakcik dan Makcik, balasan daripada mereka saya terima dan memaparkan pesanannya begini;

“Terima kasih... kejayaan ini kejayaan kita bersama... kejayaan ini juga atas doronganmu“

Bilamana saya menerima sms begitu, tiba-tiba jiwa yang saya miliki merasainya dan tak semena-mena kelopak mata saya digenangi sedikit air mata. Nasib baik juga saya sedang mempengerusikan sesi seminar. Kalau tidak, ada kemungkinan genangan itu berubah menjadi aliran yang melimpah-limpah di pipi pula. :)

Syukur Alhamdulillah. Kepada NYA jua saya panjatkan segala puji-pujian sebegitu rupa.

Sekali lagi, saya mengucapkan Tahniah! kepada adik-adik yang telah berjaya jua kepada kesemua ahli keluarga, khususnya Ibu dan Ayah. Tidak dilupa, Anda yang bergelar Cikgu Sekolah Menengah. Tahniah! buat Anda semua kerana hasil didikan Andalah mereka akhirnya berjaya mengecapinya.

0 Komen:

Catat Ulasan