Khamis, Disember 24, 2009

Memaafkan Diri Sendiri ? Antara Sifat "Law of Attraction" Yang Tersembunyi

Wah! Law of Attraction memang terpancar dari artikel itu. Betul-betul bercahaya sinarannya… ;) "Belajar Memaafkan Diri-Sendiri" Itulah tajuknya. Ukirannya penuh motivasi diri agar mendapat kekuatan untuk meneruskan perjalanan duniawi. Harap-harap tidaklah pula selama-lamanya bersifat begitu - Memaafkan diri sendiri.

Seperti kebiasaannya, bila mana membaca artikel seperti itu, abg akan terdorong melihat dari sudat yang lain pula. Izinkanlah abg melakukannya, seperti biasa, duhai adikku yang dikasihi kerana DIA.

Pandangan tambahan ini bukanlah bererti yang ukiran adik mengenai "Belajar Memaafkan Diri-Sendiri" tidak bagus. Memang bukan itu maksud coretan yang abg lakarkan ketika ini. Sebenarnya, abg menyokong apa yang adik ukirkan kerana ianya terluah hasil dari perasaan. Iaitu perasaan yang kita punyai, dari Jiwa Yang Satu.

Ukiran yang adik paparkan memanglah indah dan penuh makna - Belajar Memaafkan Diri Sendiri.

Sebab itu abg terdorong melontarkan kata-kata dan melakarannya di sini. Hanyalah lakaran yang abg dapat paparkan ketika ini, atau barangkali sekadar coretan sahaja sifatnya...

Memohon maaf pada diri sendiri? Mengapa pula begitu?  Diri Anda adalah tanggungjawab Anda, dan Anda berhak ke atasnya. Tiada yang lebih berhak selain daripada diri Anda sendiri. Anda yang akan menerima nasib kemudiannya. Itulah perjanjian yang telah dimeterai dengan NYA. Bukannya sesiapa. Tetapi saya dan Anda telah memeterai dengan NYA, sebelum kewujudan di dunia ini lagi. Itupun kalau Anda mengerti.

Anda bukannya ada dua, tiga atau lebih elemen, OK.

Ketahuilah bahawa Anda adalah diri Anda sendiri. Tiada dua, tiga atau lebih..., tetapi satu sahaja. Ingat!, Satu sahaja… iaitu Anda. Bukannya dua, tiga atau lebih... Ini abg kena kongsikan supaya adalah pengertian mengenainya. Terpulanglah andai Anda ingin menjadikan diri Anda terpecah-pecah menjadi dua, tiga atau lebih... selayaknyalah Anda memaafkan diri Anda sendiri kalau itulah sifat yang Anda imani.

Kalau ada selain daripada diri Anda, itu bermaksud Anda cuba mencari alasan mengenai kesilapan yang Anda telah lakukan. Ingatlah!, setiap apa yang dilakukan oleh Anda atau saya, Anda dan saya lah yang akan bertanggungjawab keatasnya. Bukannya sesiapa, tetapi saya dan Anda.

Anda perlu mengenali diri, barulah mengerti kepada siapa sebenarnya kemaafan yang ingin dipohonkan itu. Kalau sekadar berkata-kata di dalam diri, kelak tidak sampailah kemaafan yang diingini. Mengapa? kerana maaf yang dipinta telah tersalah haluannya. Anda memang berhak menghalakannya ke mana-mana yang Anda suka, tetapi persoalannya, betulkah kemaafan yang Anda pinta itu sudah termakbul maafnya? Apatah lagi kalau melibatkan orang yang selain daripada diri Anda sendiri. Pasti Anda kena meminta maaf kepadanya.

Persoalan lain yang abg ingin tanyakan ialah, adakah Anda memang betul-betul bersalah terhadap diri-sendiri? Kalau memanglah Anda bersalah, besar sangatkah kesalahan yang telah Anda lakukan sehingga menyebabkan Anda menjadi buta mata hati sehingga tidak dapat lagi menyifatkan tentang diri Anda sendiri?

Atau barangkali Anda suka-suka membuat kesalahan pada diri-sendiri? Menyebabkan Anda telah terdorong melakukan perbuatan seterusnya iaitu memaafkan diri Anda sendiri pula. Astagfirullah... Tidak salah Anda memuhasabah diri, tetapi selepas bermuhasabah, pohonlah kemaafan kepada yang selayaknya. Bukannya Anda pandai-pandai pula memaafkan kesalahan yang  telah Anda lakukan.

Kalau betullah Anda telah bersalah pada diri sendiri, dan Anda meminta maaf pada diri Anda, dan seterusnya kalau pun Anda memaafkan diri Anda sendiri, sebenarnya itu hanyalah satu ILUSI..

Ilusi dalam erti kata Anda hanyalah bermain-main dengan perasaan diri-sendiri. Anda dibayangi oleh mainan perasaan diri-sendiri. Sebab itu saya berkongsi perkara ini, moga-moga Anda akan mengerti mengenainya nanti.

Kalau pun Anda ada rasa bersalah, selayaknya Anda memohon kemaafan kepada NYA kerana ketahuilah bahawa jiwa dan diri kita, DIA yang telah menciptakannya. DIA yang saya kenali sebagai Tuhan Pencipta Sekelian Alam.

Mengapa?

Kerana DIA sahaja yang berkuasa dan DIA jualah yang akan mengadili setiap jiwa yang bersalah. Apatah lagi DIA sememangnya telah berpesan bahawa hamba-hamba yang paling dikasihi dan disayangi NYA ialah bilamana mereka bersalah, mereka akan cepat-cepat memohon kemaafan dari NYA.

Bagi saya, Tuhan Pencipta Sekelian Alam adalah Tuhan Yang Maha Esa.

DIA lah yang telah menciptakan jiwa dan diri saya. Seandainya adalah rasa bersalah di dalam diri saya selepas memuhasabah seperti kebiasaannya, pastilah saya akan cepat-cepat memohon kemaafan dari NYA, kerana kepada NYA lah selayaknya saya memohon kemaafan. DIA yang saya kenali sebagai Allah SWT, Tuhan Yang Maha Esa, itulah Tuhan Pencipta Sekelian Alam. Sebab itu di dalam coretan ini saya ingin mengajak Anda bersama-sama, andai adalah rasa bersalah di dalam diri, marilah kita memohon kemaafan kepada NYA.

Apa yang ingin saya nyatakan ialah, saya tidak akan memohon maaf pada diri-sendiri, dan seterusnya memaafkannya, kerana itu hanyalah ILUSI sifatnya.

Tetapi selayaknyalah saya memohon kemaaafan terus kepada NYA kerana itu adalah KEIMANAN namanya, iaitu mempercayai bahawa diri ini adalah Hamba yang tidak lekang dari melakukan kesilapan untuk berusaha mendapatkan ilmu-ilmu NYA yang ada di dunia maya.

Sebab itu saya tidak akan sesekali memohon maaf pada diri sendiri kerana saya ketahui bahawa diri saya ini hanyalah Satu, bukannya dua, tiga atau lebih... Tetapi Satu sahaja iaitu Jiwa yang sedang dimiliki dan pastilah Jiwa ini adalah tanggungjawab yang harus saya kendalikan sebaik-baiknya. Saya tahu bahawa tugas ini bukanlah mudah, ianya memerlukan pengorbanan dan pengharapan agar tercurahlah keredhaan NYA di sepanjang perjalanan dunia.

Moga-moga kelak matlamat di dalam menerokai kehidupan duniawi tercapailah nanti, itulah yang saya imani, Kehidupan Syurga Nan Abadi.

Sebagai penutup lakaran ini, saya ingin menyatakan bahawa Anda berhak untuk tidak sependapat dengan saya di dalam hal ini kerana masing-masing kita akan bertanggungjawab terhadap diri-sendiri. Hakikatnya, saya sekadar berkongsi mengenainya kerana ianya tersembunyi di dalam hati dan sanubari saya ketika ini. Apapun, saya tetap menghargai ukiran indah di dalam artikel "Belajar Memaafkan Diri-Sendiri"

Sebagai tambahan, telaahlah ayat-ayat di bawah, moga-moga adalah Nur Ilahi menyinari kehidupan harian yang sedang dilalui ketika ini, InsyaAllah.


Dan Dialah Tuhan yang menerima taubat dari hamba-hambaNya (yang bertaubat) serta memaafkan kejahatan-kejahatan (yang mereka lakukan) dan Dia mengetahui akan apa yang kamu semua kerjakan. (As-Syura, 42 : 25)

Kemudian sesudah itu kami maafkan kesalahan kamu, supaya kamu bersyukur. (Al-Baqara, 2: 52)

Allah maafkan apa yang telah lalu dan sesiapa yang mengulangi (kesalahan itu) maka Allah akan menyeksanya dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa, lagi Berkuasa membalas dengan azab seksa. (Al-Ma’idah, 5 : 95)

Orang-orang yang menjauhi dosa-dosa besar serta perbuatan-perbuatan yang keji, kecuali salah silap yang kecil-kecil (yang mereka terlanjur melakukannya, maka itu dimaafkan). Sesungguhnya Tuhanmu Maha Luas keampunanNya. Dia lebih mengetahui akan keadaan kamu semenjak Dia mencipta kamu (berasal) dari tanah dan semasa kamu berupa anak yang sedang melalui berbagai peringkat kejadian dalam perut ibu kamu; maka janganlah kamu memuji-muji diri kamu (bahawa kamu suci bersih dari dosa). Dialah sahaja yang lebih mengetahui akan orang-orang yang bertakwa. (An-Najm, 53: 32)

…Isteri-isteri kamu itu adalah sebagai pakaian bagi kamu dan kamu pula sebagai pakaian bagi mereka. Allah mengetahui bahawasanya kamu mengkhianati diri sendiri, lalu Dia menerima taubat kamu dan memaafkan kamu… Demikian Allah menerangkan ayat-ayat hukumNya kepada sekalian manusia supaya mereka bertakwa. (Al-Baqara, 2: 187)

Dan apa jua yang menimpa kamu dari sesuatu kesusahan (atau bala bencana), maka ia adalah disebabkan apa yang kamu lakukan (dari perbuatan-perbuatan yang salah dan berdosa) dan (dalam pada itu) Allah memaafkan sebahagian besar dari dosa-dosa kamu. (As-Syura, 42 : 30)

0 Komen:

Catat Ulasan