Isnin, Ogos 03, 2009

Air Mata Gadis Jepun, Bicara Soal Iman Pada-Nya

Rupa-rupanya, kehadiran saya ke Jepun bukan sekadar menimba ilmu mengenai sains, tetapi juga membicarakan soal keimanan pada-Nya.

Walaupun sekadar berkesempatan menyatakan kepada dua orang gadis Jepun sehingga kini, itupun secara tidak sengaja, tetapi sekurang-kurangnya, adalah juga manafaatnya saya berbicara dengan mereka berdua tentang keimanan kepada Tuhan.

Seorang darinya telah menitiskan air mata kerana terkejut dengan penjelasan mengenai Tuhan Yang Maha Esa.

Barangkali saya terlalu terburu-buru menyatakan kepada gadis Jepun itu tempoh hari sehingga dia merasa terlalu jauh sudah saya menjelaskan kepadanya. InsyaAllah, akan saya kongsikan ceritanya dengan Anda.

Manalah tahu, ianya juga berguna untuk Anda gunakan semasa berbicara mengenai agama Suci iaitu mempercayai adanya Tuhan di sebalik minda yang tidak dapat menafsirkan segala macam kerahsiaan alam yang tersembunyi.

Kebanyakan penduduk Jepun kini mengamalkan kepercayaan tiada agama, Buddha dan ada juga yang bersandarkan pada ilmu sains semata. Itulah yang saya diberitahu oleh rakan-rakan yang ada di sini. Selain itu, masih ada juga yang mengamalkan agama Shinto, tetapi semakin sedikit jumlahnya.

Disebabkan ingin mengetahui mengenai agama Shinto, akhirnya saya terbaca pula keterangan mengenai agama Islam di Jepun iaitu dikarang di dalam akhbar Utusan Malaysia, Negaraku Tercinta.

Dinyatakan bahawa orang Islam Jepun yang pertama menunaikan fardu haji bernama Kotaro Yamaoka yang memeluk agama Islam pada tahun 1909 dan mengambil nama Omar Yamaoka.

Seorang lagi bernama Bunpaciro Ariga yang berniaga ke India dan memeluk agama Islam setelah berkenalan dengan orang-orang India Islam. Beliau kemudian mengambil nama Ahmad Ariga.

Dengan lahirnya masyarakat kecil Islam, beberapa buah masjid telah dibina iaitu yang utama diberi nama Masjid Kobe, dibina pada tahun 1935 dan Masjid Tokyo pada tahun 1938 (diperbaharui pada tahun 1990-an).

Bilangan sebenar orang Islam di Jepun tidak begitu jelas kerana kerajaan Jepun tidak bertanya mengenai agama dalam borang-borang banci dan lain-lain dokumen rasmi.

Dijelaskan oleh akhbar Utusan Malaysia itu juga bahawa masyarakat Islam muncul di negara Jepun apabila ratusan orang Turkoman, Uzbek, Tajik, Kirghiz, Kazakh dan lain-lain pelarian Islam dari Asia Tengah dan Rusia tiba di jepun iaitu akibat revolusi komunis . Mereka telah diberi perlindungan oleh Jepun dan selanjutnya bermastautin di beberapa buah bandar.

Coretan lanjut akan saya lakukan, InsyaAllah.

Bacalah juga karangan ini (Utusan Malaysia 1 dan Utusan Malaysia 2)

0 Komen:

Catat Ulasan