Sabtu, Mei 22, 2010

Gadis Ayu Terpikat Kepada Jejaka Tampan

Waduh! Waduh! Waduh!...
Rasanya adikku sedang diselubungi asmara ketika ini... Asmara Cinta sepasang kekasih.

Bergetar-getar pula tenaga yang dimilikinya, menyebabkan tanpa disangka-sangka abg pula yang ditariknya sehingga berupaya melakarkan sesuatu ketika ini. Moga-moga, adik S kelak menawan jejaka yang diidamkan, InsyaAllah. Amin.

Anggap sahajalah perkongsian ini seolah-olahnya abg sedang berbicara dengan adik S yang saya kasihi kerana DIA.

Dulu, pernahlah juga abg merasainya. Ingin mengorat gadis ayu yang kelihatan anggun cantik menawan. Namun, pada akhirnya, kedua orang tua jua yang menyelesaikannya. Heheheheee... :)

Nak saya kongsikan kisahnya?

Tak payahlah, nanti membazir ruang laman Pedoman Hidup pula. Selain membazir masa menelaahnya nanti. Tak pasal-pasal adikku S marah-marah pula. Adik kan nak bertanya, bukannnya nak mengetahui kisah peribadi saya, bukan?. Ada baiknya abg terus sahaja membicarakannya, dilema adikku S yang teringin meluahkan rasa cinta kepada jejaka kacak tampan segak berkarisma.

Berkenaan dilema adik, izinkanlah abg mengatakannya begini;

Seorang gadis, nilai yang amat berharga kepadanya adalah memiliki sifat malu.

Malu adalah salah satu senjata kewanitaan yang terhebat dan tidak dapat ditandingi oleh jejaka. Andai senjata malu telah hilang dari seorang wanita, akan ditelanjangkanlah kewanitaannya di dalam perjalanan kehidupan dunia.

Sungguh! iblis dan syaitan bersorak gembira bila mana seorang wanita sudah hilang senjata yang dinamakan Malu.

Pembeza wanita dan lelaki boleh juga dikategorikan dari sifat Malu. Kalau pun ada jejaka bersifat Pemalu, dia sebenarnya tidaklah sehebat Wanita Pemalu.

Andai sifat malu dilupakan wanita, saya yakin, perjalanannya di dunia diumpamakan sedang berbogel dan tiada rasa segan silu. Sebab itu saya berani mengatakan bahawa seorang wanita yang memiliki sifat kewanitaan bersulamkan malu amat tinggi harganya...

Namun, Malu juga tidak boleh terlebih-lebih kerana boleh memudaratkan seorang wanita. Kelak sukar memperolehi teman seperjalanan di dalam kehidupan duniawi ini. Teringat pula kisah peribadi saya berkaitan seorang wanita yang jual mahal, yang pada akhirnya berterus terang merasa kesal bila mengetahui saya telah bertemu jodoh. Oppsss... Maaflah, terconteng pula kisah peribadi sebegitu di sini. Wal hal, sebenarnya abg ingin berkongsi rasa dengan adikku S yang ayu yang sedang terpikat pada jejaka kacak, tampan segak berkarisma.

Bersederhanalah pada sifat malu kerana lumrahnya seorang manusia harus berpaksikan kesederhanaan. Manusia bukanlah malaikat dan bukan juga syaitan, tetapi Insan yang memiliki sifat kesederhanaan, wasatiyah.

Lumrah kejadian dan keistimewaan manusia ada pada sifat kesederhanaan. Sebab itulah juga manusia layak diamanahkan menjadi khalifah di dunia.

Jiwa lelaki dan wanita lumrahnya perlu bersatu agar berupaya mempelajari kehidupan duniawi. Tanpa wanita, jejaka yang sedang berjalan di dunia merasa kesepian. Begitu juga halnya wanita, tanpa jejaka dia juga berasa sepi. Oppsss... apa hal pula tiba-tiba saya berbicara di luar topik ketika ini. MasyaAllah!

Sabar duhai adikku S ... Sabar itu sebahagian daripada iman. :)

Ok, pasal dilema adik, nasihat yang abg boleh luahkan ialah;

1. Peliharalah sifat malu yang ada dengan sebaiknya. Usah terbawa-bawa perasaan tidak sabar. Kelak menderita olehnya. Lelaki ada kalanya berupaya mempergunakan wanita. Lebih-lebih lagi jejaka yang kurang keimanannya kepada Tuhan yang maha Esa. Berwaspadalah sentiasa...

2. Sebagai seorang gadis pemalu, sembunyikanlah dahulu perasaan asmara cinta yang sedang mekar menggoda. Pastikan betul-betul jejaka yang dimaksudkan. Adakah dia juga sedang diselubungi asmara cinta seperti mana yang sedang adik rasai?. Kalau tidak, ada kemungkinan adik akan kecewa dan kebarangkaliannya kelak adik hanya dipergunakannya nanti.

3. Andai adik amat menyukainya, bila bersua, pamerkan senyuman indah kepadanya, kalau boleh, berilah petunjuk-petunjuk kepadanya bahawa sememangnya adik sedang memendam rasa, terpikat dengannya. Heheheeee. Ini juga antara kaedah mengorat jejaka sebenarnya.

4. Paling penting, selidiki latar belakangnya. Andai sudah diperkenankan, teruskan sahaja bila sudah diteliti bahawa sememangnya dialah jejaka pilihan hati, tetapi ingat, usah gopoh meluahkan segala rahsia hati seorang wanita kerana sebahagian sifat malu terletak di dalam hati sanubari.

5. Dan akhir sekali, berdoalah kepada Tuhan Yang Maha Esa lagi Berkuasa supaya dibukakan hati jejaka yang diidamkan. Moga-moga adik akan dapat memikatnya dengan penuh kesopanan. Kesopanan yang dimiliki oleh seorang wanita muslimah yang amat berharga kerana masih ada rasa malunya.

Apapun yang abang kongsikan di sini, ianya bukanlah satu keputusan mutlak. Adik juga perlu menganalisa kewajarannya. Hati adik sememangnya lebih mengetahuinya.


4 Komen:

ShueQry berkata...

Assalamualaikum abangku.

apa khabar? Lama kita tidak bersua. Jujurnya saya menyukai post kali ini.

Suka yang benar-benar suka, hingga saya tersenyum sendirian jadinya (kena tempias pada diri sendiri pula)

Wanita, perempuan dan gadis diwarnai sifat pemalu. Benar, saya mengakuinya.

Bagi membantu seseorang yang bernama S itu, saranan saya tanyalah hati sendiri terlebih dahulu. Bila kita merasa tenang mengingati orang yang kita sayangi, orang yang kita cintai dan orang yang kita mahu miliki, itu petanda bahawa orang itu serasi dengan kita. Nilailah peribadinya dengan mata hati, bukan mata fizikal kita yang biasanya lebih banyak dikuasai nafsu nafsi.

Nafsu lebih banyak menilai seseorang dari cantiknya penampilan luaran. Penampilan luaran pula boleh dilakonkan, dihijabkan dan diperbolak-balikkan.

Untuk memandu mata hati, pasrahkan diri pada Yang Maha Esa kerana hanya DIA mengetahui apa yang terbaik untuk kita. Dekatkan diri sedekat yang mungkin, berdoa bersungguh-sungguh sesungguh yang mungkin, sekerap yang mungkin, sebanyak mungkin. Doa yang diucap dengan penuh kesungguhan pasti di dengar Allah Yang Maha Esa.

Selama 2 tahun ini, masalah paling banyak diutarakan pada saya adalah masalah cinta. Seorang gadis susah mahu meluah cinta sebab dia merasa malu, kemudian takut cintanya tak berbalas, takut si lelaki sudah ada kekasih, takut dia hanya bertepuk sebelah tangan.

Nilailah seorang lelaki dari ukuran agama,attitudenya dan kata-kata dari mulutnya kerana ketiga-ketiga hal tu adalah sebaik-baik ciri untuk menila peribadi seorang lelaki.

Moga saranan simple ini menjadi panduan buat si S itu. Panduan ini saya petik dari perspektif agama dan sikap positif.

lAl berkata...

Bagusnyer la kalo ada gadis ayu yg minat kat lelaki yang jugak tampan sikapnya...hoho

Zazas berkata...

merah mukaku mengingati kenangan lalu menyukai seseorang lelaki tp malu meluahkan..akhirnya terlepas begitu shj..dia bukan jodohku.

Tanpa Nama berkata...

sgt menarik post ni..kerana malu, diri sendiri dh byk kali terlepas peluang...tp mungkin tiada jodoh namanyerkan..

Catat Ulasan