Isnin, Mei 31, 2010

Kekejaman Yahudi Israel Bermaharaja Lela. Tiadakah Lagi Pembela Ummah?

Saya ingin mengajak Anda, saudaraku yang dikasihi kerana DIA untuk bersama-sama dengan saya berdoa kepada Tuhan Yang Maha ESA semoga saudara-saudara kita yang mengikuti konvoi kemanusiaan ke Gaza menaiki kapal Mavi Marmala berada di dalam keadaan sihat, selamat dan sejahtera - 3S. Mereka kini berada di dalam tahanan rejim Yahudi yang zalim.

Kebiadapan dan ketakutan rejim yahudi israel sendiri mengakibatkan kapal Mavi Marmala yang membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza telah diserang dengan senjata kira-kira jam 7.30 pagi tadi (waktu Malaysia). Ketika ini, seramai 19 sukarelawan telah terkorban dan 26 yang lain cedera.

Konvoi Freedom Tortilla adalah konvoi kemanusiaan terbesar yang disertai oleh 50 buah negara termasuk Malaysia. Rombongan kemanusiaan ini melibatkan lebih daripada 700 peserta dan kapal Mavi Marmala membawa seramai 540 orang penumpang.

Nasib 11 rakyat Malaysia yang turut serta dalam konvoi kemanusiaan itu masih tidak dapat dipastikan sehingga kini.

Seramai 12 sukarelawan Malaysia terlibat di dalam misi ini, termasuk dua wartawan dari berita Astro Awani iaitu saudara Ashwad Ismail dan jurukamera, Shamsul Kamal Latip. Sehingga kini, maklumat mengenai mereka masih belum diketahui.

Pagi tadi, Mavi Marmala telah diserang oleh tentera Israel menggunakan peluru hidup dan semburan gas sebelum sempat rombongan tersebut memasuki perairan Gaza.

Berita ini saya perolehi dari mstar bertajuk, Israel Serang Kapal Bantuan Ke Gaza: Nasib Rakyat Malaysia Belum Diketahui dan Utusan Malaysia.


Rakan saya J memaklumkan senarai berikut adalah nama-nama Sukarelawan Malaysia yg ke GAZA menaiki kapal Mavi Marvara dari Turki.

1. Noorazman Bin Mohd Samsuddin (Ketua Misi) - HALUANPalestin
2. Dr Mohd Arba’ai Bin Shawal - HALUANPalestin
3. Dr Syed Muhammad Haleem Syed Hasan al-Haddad - HALUANPalestin
4. Dr Selamat Bin Aliman - Jemaah Islah Malaysia (JIM)
5. Jamuliddin Bin Elias - Yayasan AMAL
6. Ust Al Hami Husain Bin Suhaimi - HALUANPalestin
7. Mohd Nizam Bin Mohamad - HALUANPalestin
8. Abd Halim bin Mohamed Redzuan - MuslimCare
9. Ust Hasanuddin Mohd Yunus - Aqsa Syarif
10. Ashwat bin Ismail (Wartawan - Astro)
11. Shamsul Kamal Latip (Jurukamera - Astro)

Seorang lagi wakil Malaysia dari MAPIM menyertai Mavi Marvara pada 29
Mei setelah kapal yang dinaiki rosak.

12. Mustafa Mansor - MAPIM






Baca selanjutnya, Klik di sini...

Cinta Agung Luar Biasa... bhg 1

Tiba-tiba minda saya terfikir mengenai Cinta Agung Luar Biasa untuk dikongsi dengan Anda.

Sejak akhir-akhir ini, jiwa saya sering kali diselubungi kecintaan ini, iaitu Cinta Agung Luar Biasa. Dorongannya amat mengesankan meresap ke dalam jiwa sanubari yang saya ada. Sungguh! amat luar biasa kesannnya di dalam jiwa.

Kalau Anda mengandaikan Cinta Agung Luar Biasa yang saya maksudkan sekarang ini ialah Kecintaan terhadap Tuhan Yang Maha ESA, sebenarnya Anda silap. Bukan itu yang saya maksudkan. Memang bukan!

Kecintaan terhadap Tuhan Yang Maha ESA sebenarnya tidak dapat diungkapkan dengan kata-kata kerana ianya melangkaui segala-galanya. Sebab itulah Cinta Agung Luar Biasa yang saya perkatakan di sini bukan merujuk Kecintaan kepada Tuhan Yang Maha ESA. Memang bukan itu yang saya maksudkan di sini.


Realitinya, saya ingin memperkatakan mengenai Cinta yang amat mengesankan di dalam hati yang saya miliki. Amat luar biasa kerana kecintaan yang saya maksudkan terlalu mendorong sehingga ada ketikanya terobek jua takwa yang ada dek menikmati lelehan cinta agung yang luar biasa rasanya. Sungguh!

Jujur saya beritahu bahawa sering kali saya menjadi korban akibat cinta ini. Seumpama lilin membakar diri agar memancarlah cahayanya menerangi kegelapan. Sebab itu saya mengistilahkannya sebagai Cinta Agung Luar Biasa. Ada ketikanya, memang takwa terobek jua olehnya.

Oppsss...

Tetapi sebelum itu, saya ingin mengenakan syarat untuk entri kali ini. Ianya hanya sesuai ditelaah oleh Anda yang telah bergelar seorang "Suami" atau "Isteri".

Lakaran ini memang dikhususkan untuk mereka yang telah berkeluarga sahaja. Maksud saya mereka yang bergelar seorang suami atau isteri.

Sekiranya Anda belum berstatus begitu, sebaiknya usahlah dibaca lakaran ini. Saya khuatir kelak Anda tidak mengerti dan merasai Cinta Agung Luar Biasa yang saya luahkan di sini.

Harap-harap Anda tidak akan emosi bilamana syarat begini saya kenakan untuk entri kali ini.

Sekali lagi, menjadi harapan saya seandainya Anda belum bergelar seorang Suami atau Isteri, sebaiknya Anda tinggalkan sahaja kisah mengenai Cinta Agung Luar Biasa yang saya lakarkan di sini.

Tolong!, sekali lagi saya mengharapkan agar usah ditelaah sekiranya Anda belum berkeluarga. OK?

Sekadar memberikan peringatan dahulu :) heheheeeee... sebelum kisah ini saya lanjutkan nanti.


Akan saya sambung... InsyaAllah.



Baca selanjutnya, Klik di sini...

Sabtu, Mei 29, 2010

Coretan Untuk Anda

Subuh ini saya mengambil kesempatan melakarkan sebuah coretan untuk dikongsikan dengan Anda. Sememangnya Anda saya kasihi kerana DIA. Lebih-lebih lagi Anda yang sering kali berziarah ke sini.

Ooo ya, pungutan akaun nuffnang untuk blog Abgbent Pedoman Hidup telah melebihi RM 100, tiga hari yang lepas. Saya pun telah memohon untuk ditunaikan jumlah itu oleh pihak Nuffnang Sdn Bhd. Sebelum itu, sudah tiga kali cek daripada pihak nuffnang saya terima. Kisahnya ada saya paparkan di sini, Terima kasih Nuffnang Sdn. Bhd., Penghargaan Buat Saudaraku, dan Cek Nuffnang

Terima kasih saya ucapkan kepada Anda yang sering mengklik iklan-iklan pihak nuffang yang dipaparkan di laman ini.

Untuk kali ini, saya ingin memberitahu kepada Anda bahawa sebahagian pungutan itu saya gunakan untuk membeli sebuah kitab terjemahan Al-Quran berbahasa Inggeris. Kitab itu nanti saya akan berikan kepada seorang insan yang berada di luar negara Malaysia dan ingin mengenali tentang agama Islam.

Mudah-mudahan terjemahan kitab Al-Quran berbahasa Inggeris itu kelak dapat memberikannya kefahaman mengenai agama Islam. Dan menjadi harapan saya juga agar kelak terpancarlah hidayah NYA di atas hati sanubarinya. Lebih-lebih lagi hidayah tentang kekuasaan Tuhan Yang Maha ESA, Allah SWT.

Saya sengaja memberitahu kepada Anda perkara ini supaya Anda juga mengetahuinya. Dan, menjadi harapan saya juga agar usaha yang kita lakukan bersama-sama seperti ini kelak mengeratkan lagi jalinan ukhuwah yang kita usahakan bersama. Mengapa?

Kerana kita mengharapkan keredhaan NYA. Keredhaan daripada Tuhan Yang Maha ESA, Allah SWT.

Saya tetap menyakini bahawa Insan-Insan yang bertemu dan berpisah, berkenal-kenalan kerana NYA, pasti kelak mendapat lindungan NYA. Itu adalah keimanan yang saya ada. Mudah-mudahan, Anda juga ada keimanan sebegini. Kehadiran kita ke dunia ini, pastilah antaranya untuk berkenal-kenalan antara satu dengan yang lain.



Baca selanjutnya, Klik di sini...

Isnin, Mei 24, 2010

Demam Kesakitan

Abg baru terbaca catatan itu. Izinkanlah komentar ini abg luahkan.

Kadang-kala ramai yang tidak menyedari bahawa demam kesakitan yang dialami, adakalanya merupakan rahmat dari Tuhan Yang Maha Esa agar insan menyedari kelemahan diri sendiri.

Sakit dikatakan antara ujian duniawi yang harus ditempuhi. Dan ada juga yang mengatakan bahawa ianya berupaya menghapus beberapa dosa. Barangkali itulah juga penyebab ia dikata sebagai rahmat dari NYA. Menjadi rahmat andai kita mengingati-NYA sentiasa. Tetapi andai sebaliknya yang berlaku, pastilah kita gagal di dalam ujian-ujian begini.

Kuasa minda adalah salah satu cara mengubatinya, tetapi abg berkeyakinan, usah terlalu bergantung dengan satu cara sahaja untuk mengubati sebarang musibah. Sememangnya ada pelbagai cara untuk mengubatinya. Usah terlalu bergantung dengan satu cara sahaja, usahakan juga cara-cara lain supaya penyembuhan dapat dilakukan dengan segera.

Moga adalah manafaatnya pandangan abg yang tidak seberapa ini. Sentiasa melihat musibah sebagai satu ujian sejauh mana keimanan yang kita ada, sentiasa mengingati NYA?.


Baca selanjutnya, Klik di sini...

Sabtu, Mei 22, 2010

Gadis Ayu Terpikat Kepada Jejaka Tampan

Waduh! Waduh! Waduh!...
Rasanya adikku sedang diselubungi asmara ketika ini... Asmara Cinta sepasang kekasih.

Bergetar-getar pula tenaga yang dimilikinya, menyebabkan tanpa disangka-sangka abg pula yang ditariknya sehingga berupaya melakarkan sesuatu ketika ini. Moga-moga, adik S kelak menawan jejaka yang diidamkan, InsyaAllah. Amin.

Anggap sahajalah perkongsian ini seolah-olahnya abg sedang berbicara dengan adik S yang saya kasihi kerana DIA.

Dulu, pernahlah juga abg merasainya. Ingin mengorat gadis ayu yang kelihatan anggun cantik menawan. Namun, pada akhirnya, kedua orang tua jua yang menyelesaikannya. Heheheheee... :)

Nak saya kongsikan kisahnya?

Tak payahlah, nanti membazir ruang laman Pedoman Hidup pula. Selain membazir masa menelaahnya nanti. Tak pasal-pasal adikku S marah-marah pula. Adik kan nak bertanya, bukannnya nak mengetahui kisah peribadi saya, bukan?. Ada baiknya abg terus sahaja membicarakannya, dilema adikku S yang teringin meluahkan rasa cinta kepada jejaka kacak tampan segak berkarisma.

Berkenaan dilema adik, izinkanlah abg mengatakannya begini;

Seorang gadis, nilai yang amat berharga kepadanya adalah memiliki sifat malu.

Malu adalah salah satu senjata kewanitaan yang terhebat dan tidak dapat ditandingi oleh jejaka. Andai senjata malu telah hilang dari seorang wanita, akan ditelanjangkanlah kewanitaannya di dalam perjalanan kehidupan dunia.

Sungguh! iblis dan syaitan bersorak gembira bila mana seorang wanita sudah hilang senjata yang dinamakan Malu.

Pembeza wanita dan lelaki boleh juga dikategorikan dari sifat Malu. Kalau pun ada jejaka bersifat Pemalu, dia sebenarnya tidaklah sehebat Wanita Pemalu.

Andai sifat malu dilupakan wanita, saya yakin, perjalanannya di dunia diumpamakan sedang berbogel dan tiada rasa segan silu. Sebab itu saya berani mengatakan bahawa seorang wanita yang memiliki sifat kewanitaan bersulamkan malu amat tinggi harganya...

Namun, Malu juga tidak boleh terlebih-lebih kerana boleh memudaratkan seorang wanita. Kelak sukar memperolehi teman seperjalanan di dalam kehidupan duniawi ini. Teringat pula kisah peribadi saya berkaitan seorang wanita yang jual mahal, yang pada akhirnya berterus terang merasa kesal bila mengetahui saya telah bertemu jodoh. Oppsss... Maaflah, terconteng pula kisah peribadi sebegitu di sini. Wal hal, sebenarnya abg ingin berkongsi rasa dengan adikku S yang ayu yang sedang terpikat pada jejaka kacak, tampan segak berkarisma.

Bersederhanalah pada sifat malu kerana lumrahnya seorang manusia harus berpaksikan kesederhanaan. Manusia bukanlah malaikat dan bukan juga syaitan, tetapi Insan yang memiliki sifat kesederhanaan, wasatiyah.

Lumrah kejadian dan keistimewaan manusia ada pada sifat kesederhanaan. Sebab itulah juga manusia layak diamanahkan menjadi khalifah di dunia.

Jiwa lelaki dan wanita lumrahnya perlu bersatu agar berupaya mempelajari kehidupan duniawi. Tanpa wanita, jejaka yang sedang berjalan di dunia merasa kesepian. Begitu juga halnya wanita, tanpa jejaka dia juga berasa sepi. Oppsss... apa hal pula tiba-tiba saya berbicara di luar topik ketika ini. MasyaAllah!

Sabar duhai adikku S ... Sabar itu sebahagian daripada iman. :)

Ok, pasal dilema adik, nasihat yang abg boleh luahkan ialah;

1. Peliharalah sifat malu yang ada dengan sebaiknya. Usah terbawa-bawa perasaan tidak sabar. Kelak menderita olehnya. Lelaki ada kalanya berupaya mempergunakan wanita. Lebih-lebih lagi jejaka yang kurang keimanannya kepada Tuhan yang maha Esa. Berwaspadalah sentiasa...

2. Sebagai seorang gadis pemalu, sembunyikanlah dahulu perasaan asmara cinta yang sedang mekar menggoda. Pastikan betul-betul jejaka yang dimaksudkan. Adakah dia juga sedang diselubungi asmara cinta seperti mana yang sedang adik rasai?. Kalau tidak, ada kemungkinan adik akan kecewa dan kebarangkaliannya kelak adik hanya dipergunakannya nanti.

3. Andai adik amat menyukainya, bila bersua, pamerkan senyuman indah kepadanya, kalau boleh, berilah petunjuk-petunjuk kepadanya bahawa sememangnya adik sedang memendam rasa, terpikat dengannya. Heheheeee. Ini juga antara kaedah mengorat jejaka sebenarnya.

4. Paling penting, selidiki latar belakangnya. Andai sudah diperkenankan, teruskan sahaja bila sudah diteliti bahawa sememangnya dialah jejaka pilihan hati, tetapi ingat, usah gopoh meluahkan segala rahsia hati seorang wanita kerana sebahagian sifat malu terletak di dalam hati sanubari.

5. Dan akhir sekali, berdoalah kepada Tuhan Yang Maha Esa lagi Berkuasa supaya dibukakan hati jejaka yang diidamkan. Moga-moga adik akan dapat memikatnya dengan penuh kesopanan. Kesopanan yang dimiliki oleh seorang wanita muslimah yang amat berharga kerana masih ada rasa malunya.

Apapun yang abang kongsikan di sini, ianya bukanlah satu keputusan mutlak. Adik juga perlu menganalisa kewajarannya. Hati adik sememangnya lebih mengetahuinya.



Baca selanjutnya, Klik di sini...

Sabtu, Mei 15, 2010

Bersetubuh dengan Isteri Orang

Teringat saya mengenai kisah seorang ”brother” yang memberitahu kisah silamnya kepada saya beberapa tahun lalu. Memanglah saya tergamam dan terkelu lidah bila mana mendengar kisah yang diceritakannya kepada saya. Sungguh! Saya tergamam dan terkelu lidah saat dia memberitahu pengalaman silamnya kepada saya mengenai perlakuan seperti tajuk di atas.

Hari ini, saya ingin berkongsi ceritanya dengan Anda agar dapatlah dijadikan ikhtibar. Moga-moga bermanafaat untuk renungan kita bersama.

Dia mengkisahkannya kepada saya semasa kami bersembang di suatu tempat yang menenangkan jiwa dan mententeramkan perasaan. Nak tahu tempatnya?

Surau.

Selepas solat maghrib berjemaah dengan brother itu, kami pun duduk bersembang-sembang sementara menunggu masuk waktu Isyak, seperti biasa. Dan entah macamana, tiba-tiba pula termasuk cerita seperti tajuk di atas.

Sejujurnya, bila mendengar kisahnya saya tergamam dan terkelu lidah. Tetapi dalam masa yang sama, saya juga bersimpati dengannya. Akan saya ceritakannya kepada Anda kerana ada pengajarannya. Ketika mendengar luahan perasaannya, memang saya kusyuk mendengarnya, sambil-sambil menatap wajahnya yang tidaklah kacak mana. :) Ketika itu, hanya kami berdua sahaja berada di dalam Surau.

Cerita ini saya paparkan di sini dengan harapan adalah manafaatnya. Moga-moga keinsafan akan hadir di dalam diri, InsyaAllah.

Pada mulanya, saya bersama brother itu sekadar bersembang-sembang mengenai penyelidikan yang kami lakukan. Dan ketika itu saya menyelitkan pertanyaan mengenai keluarganya di kampung. Dia memang ada memberitahu kepada saya bahawa isterinya sedang terlantar sakit di kampung dan ditemani seorang kiyai yang berusaha untuk mengubatinya. Rupa-rupanya pertanyaan saya tidaklah terhenti di situ, tetapi berupaya pula menyelongkar kisah silamnya yang curang terhadap isterinya dan isteri orang.

Jujur saya beritahu bahawa Brother yang saya maksudkan memang baik dan suka bergurau orangnya. Dia tidaklah handsome, tetapi perilakunya membuatkan orang senang dengannya. Peramah dan Budiman. Itulah gelaran yang dapat saya berikan kepadanya.

Di sebalik wajahnya yang periang, ramah dan suka bergurau senda rupa-rupanya jiwanya sedang menyembunyikan kisah hitam di sebaliknya. Dia meluahkan kisah silamnya, mengenai tajuk di atas dengan harapan untuk dijadikan suri teladan. Sudah pasti untuk diri saya. Dan kini, saya juga ingin memberitahu kepada Anda. Mudah-mudahan Anda terkesan bila mana menelaahnya.

Oppsss... tak sempat pula saya mengkisahkannya sekarang, nantilah ya... :)


Supaya Anda tidak berasa hampa, di sini saya muatkan sebuah kisah berkenaan Isteri Curang. Kisahnya saya perolehi dari pautan ini, Kisah Benar Isteri Curang (http://mkelana.wordpress.com/2005/11/12/kisah-pembalasan-isteri-curang/)


Kisah Benar Isteri Curang

“Akhirnya setelah dua tahun menghilang diri, Normah kembali ke rumahnya. Seperti dahulu, dia masih cantik bergaya. Lenggoknya masih gemalai, pinggang masih ramping, gincu masih merah dan mekap masih tebal. Jika berselisih, aroma pewanginya masih kuat menusuk hidung. Namun bezanya, Normah kelihatan tidak begitu ceria. Zahirnya dia begitu anggun tapi wajahnya terlukis warna yang muram dan lesu. Tutur katanya perlahan dan tidak bermaya seperti orang keresahan.

“Kenapa awak balik? Pergilah ikut jantan. Awak tak ada pun saya boleh jaga anak-anak kita ni!!” jerkah suaminya, Halim sebaik melihat Normah pulang dengan menjinjing sebuah beg besar.

Normah tidak menjawab kerana dia tahu, itu memang salahnya. Dia cuma berdiri di pintu dan menundukkan muka. Halim sebaliknya terus membelasah isterinya itu dengan kata-kata keras. Sudah lama geram itu menggelodak di hati, lalu inilah masa untuk melepaskannya.

Normah masih terpaku di muka pintu. Dikesat air mata yang bergenang. Tiada sepatah perkataan pun di balasnya kata-kata Halim itu kerana hajatnya pulang bukanlah untuk bertengkar. Hasratnya Cuma satu, untuk pulang ke pangkuan suami dan anak-anak.

Jika diikutkan hati memang hendak dihalaunya Normah, tapi disebabkan anak-anak, Halim menahan juga kemarahannya. Dibiarkan Normah masuk ke rumah yang telah lebih dua tahun ditinggalkannya itu.

Bagi Halim, kepulangan Normah tidak membawa apa-apa erti lagi dalam hidupnya. Malah ia cuma memulakan semula kekalutan yang sudah dirungkaikannya, mengeruhkan hidup yang mula jernih dan memarakkan semula api yang telah dipadamkan.

Dua tahun dahulu, Normah meninggalkan Halim dan dua anaknya, Iffa, 5, dan Aina, 2.Yang ditinggalkan hanyalah sekeping nota menyatakan yang dia ingin hidup bersama kekasihnya.

” Saya rasa kita dah tak ada persefahaman lagi. Saya mahu hidup bahagia dengannya” demikian antara lain nota yang ditinggalkannya untuk Halim.

Kesalnya dia dengan tindakan Normah tidak terkata. Halim akui sejak akhir-akhir ini Normah sudah berubah. Kalau dulu layanannya begitu baik, sekarang mula dingin. Pantang silap sedikit, mulalah naik angin. Kata-katanya pula, selalu saja diiringi sindiran. Sudahlah begitu, sering pula Normah meminta barang-barang mewah di luar kemampuan Halim. Itulah yang menghairankan Halim.

Lama-kelamaan, Halim terhidu pula berita Normah menjalin hubungan sulit dengan lelaki berada. Dia ada bertanya tentang hal itu, namun Normah lantas menafikannya. Walaupun Halim menekannya dengan cerita dan bukti-bukti, tapi Normah tetap tidak menidakkannya. Malah dituduh pula suaminya cemburu buta. Nah, sekarang terbukti sudah kebimbangannya itu. Tapi apa yang boleh dilakukan, nasi sudah menjadi bubur.

Sejak Normah meninggalkannya, hidup Halim tidak terurus. Terpaksalah dia membesarkan anaknya itu sendirian. Dialah ibu dialah bapa. Dengan gajinya sebagai penyelia kilang yang tidak seberapa dan menyewa pula di sebuah rumah di pinggir Kuala Lumpur, tentulah sukar untuk dia menguruskan hidup.

Kalau kanak-kanak lain selalu bertukar pakaian, anak-anaknya dengan baju dua tiga pasang itulah. Makan yang mewah jauh sekali, kecuali apabila dia mendapat gaji. Rutin hidupnya, awal pagi menghantar anak-anaknya ke rumah ibunya dan malam menjemput mereka pulang. Dialah yang memasak dan mengemas rumah. Kadangkala adik perempuannya turut membantu menguruskan keluarganya.

Memang hidupnya sukar, tapi Halim belum tergerak untuk berkahwin lagi. Baginya, biar susah macam mana pun, semua halangan itu akan dirempuhinya. Tambahan pula Normah masih tidak diceraikan.

Halim juga mahu membuktikan kepada Normah bahawa tanpa wnita itu, dia boleh menguruskan keluarga. Dan juga, kalau kemewahan yang menyebabkan Normah meninggalkannya, Halim ingin buktikan bahawa tanpa wang yang banyak sekalipun dia boleh hidup bahagia.

Ternyata tanpa Normah, Halim mampu membesarkan anak-anaknya seperti ibu bapa lain. Iffa dan Aina juga kian lama kian melupakan ibu mereka. Malah melihat gambar pun mereka benci. Bukan Halim yang menghasut tapi kerana Normah sendiri yang bengis terhadap anak-anak.

Kerana itulah, kepulangan Normah membangkitkan semula kemarahan Halim. Tambahan pula Halim mendapati ada sesuatu yang tidak kena dengan perut Normah. Ia membuncit seperti sedang hamil. Bagaimanapun dia tidak mahu bertanya kepada wanita itu.

“Tempat awak di sana!” kata Halim menunjukkan Normah ke arah sebuah bilik kecil. Di dalamnya ada sebuah tilam bujang yang kusam. Bertompok sana, bertompok sini. “Nak alas, cari sendiri,” kata Halim, lalu menyindir “itupun kalau awak ingat kat mana nak cari….” Normah ditinggalkan sendirian.

Malam itu, Normah tidur seorang diri dalam bilik sempit dan penuh barang-barang. Sementara Halim tidur bersama dua anaknya di bilik lain. Bila anak-anaknya pulang, Normah cuba membelai mereka tapi Iffa dan Aina segera menjauhkan diri. Dipujuk dengan bermacam-macam cara pun tidak berkesan. Terpaksalah Normah membawa diri ke dalam bilik dan menangis teresak-esak.

Begitulah keadaan mereka setiap hari. Normah menjadi orang asing di dalam rumahnya sendiri sementara Halim meneruskan hidup seperti biasa. Mereka tidur berasingan dan setiap pagi, anak-anak dihantar ke rumah ibunya tidak jauh dari situ.

Ternyata telahan Halim tepat. Dari sehari ke sehari dilihatnya perut Normah semakin membusung. Lain macam bulatnya. Setelah didesak dan dijerkah berkali-kali, Normah terpaksa mengaku dirinya berbadan dua.

“Aku dah agak. Patutlah awak balik…nak suruh aku jadi bapak pada budak tu, kan? Nak jadikan aku pak sanggup?” Halim melepaskan paku buah keras. “Bukan macam tu bang, saya…” tapi belum pun sempat Normah menghabiskan cakap, Halim memintas ” Saya apa?! Saya tak buat benda tak senonoh tu? Budak tu anak aku? Tolong sikit…. bila masa aku sentuh badan kamu tu? Hah?”

Bagi menutup malu, Normah memakan makanan yang tajam, pedas dan berasid untuk menggugurkan kandungannya, tetapi gagal. Perutnya terus-menerus membesar. Gagal cara itu, dia pergi ke klinik swasta pula. Bagaimanapun doctor tidak mengizinkan kerana risikonya terlalu tinggi. Kata doktor, kandungannya sudah besar dan jika digugurkan, ia boleh mengundang maut.

Semakin hari jiwa Normah semakin tertekan. Perut kian memboyot sedangkan anak dan suami pula tidak menghiraukan kehadirannya. Dia menjadi melukut di tepi gantang dalam rumah sendiri. Suami menjauhkan diri bila hendak mengadu dan anak pula tidak menganggapnya ibu untuk mereka bermanja.

Tidak ada jalan lain, Normah meminta Halim menghantarkan dia ke rumah ibunya. Tentu saja Halim tidak membangkang. Memang itu yang dia mahukan. Namun sambutan ibu bapanya juga mengecewakan.

“Dua tahun kamu tinggalkan suami dan anak, tiba-tiba baru dua bulan balik perut kamu dah besar macam ni. Huh…memang patut pun Halim buat macam ni. Kamu derhaka pada dia!” kata bapa Normah, Haji Shafie bila mendapati anaknya itu hamil.

Dari sehari ke sehari tekanan perasaannya tambah menebal. Ia kian merundung bila tumbuh pula cacar di badannya. Dari kecil ia membesar, dan dari sebiji-sebiji ia merata memenuhi badan. Di dalam cacar itu, menguning nanah busuk dan jelik baunya. Pada waktu yang sama, Normah mengidap darah tinggi pula.

Tekanan perasaan yang melampau itu menyebabkan Normah dibawa oleh ibu bapanya berjumpa dengan pakar jiwa. Bermacam-macam ubat dan rawatan diberikan tapi ternyata begitu sukar untuk dia dipulihkan. Disebabkan badannya terlalu lemah, doktor mencadangkan supaya Normah bersalin melalui cara pembedahan apabila usia kandungannya mencecah tujuh bulan lebih sedikit.

Pada waktu yang ditetapkan, Normah dimasukkan ke wad. Seminggu sebelum dibedah, dia mula meracau-racau dan meraung. Bermacam-macam dijeritkannya tanpa hujung pangkal. Dimaki hamunnya emak dan ayah serta jururawat yang datang. Kemudian Normah menangis pula hendak balik dan melihat anak-anak.

Dalam keadaan yang kritikal itulah ayahnya, Pak Cik Shafie menelefon saya dan menceritakan keadaan anaknya itu secara ringkas. ” Pak cik tak mahu nak salahkan sesiapa. Dua-dua ada buat silap. Tapi sekarang ni pak cik minta ustaz usahakanlah ubat anak pak cik tu,” katanya. Daripada suaranya itu saya tahu dia sedang menahan sebak.

“Saya di Sarawak sekarang ni pak cik. Dua hari lagi saya balik. Tapi buat sementara ni, usahakan baca Yasin dulu. Bila saya balik nanti, saya terus ke sana,” jawab saya. Sekembalinya ke Semenanjung saya terus menziarahi Normah. Keadaannya sama seperti yang diceritakan oleh bapanya.Mengerang kesakitan, meracau, meronta-ronta, dan bercakap tidak keruan. Keadannya ketika itu memang menyedihkan kerana dalam keadaan perut memboyot dia meraung seperti hilang akal.

Namun timbul pertanyaan di fikiran saya selepas dibacakan Yasin, keadaan Normah bertambah buruk. Keadaanya ibarat mencurah minyak ke api, makin disiram makin besar maraknya. Ibu bapa dan adik beradik Normah menangis milihat keadaan dirinya.

“Pak cik mana suami dengan anak-anaknya?” saya bertanya bila melihat suami dan anak-anak Normah tidak menziarahinya.

”Itulah yang saya nak cakap pada ustaz. Saya dah pujuk, rayu dia datanglah tengok anak saya ni. Kata saya, walau besar mana pun dosa anak saya, kalau dia menderhaka sekalipun, tapi dalam keadaan macam ni bukankah elok kalau dia di ampunkan? Tapi dia tak mau. Jengah pun tidak,” kata Haji Shafie kesal.

“Dia marah lagi agaknya,” saya menyambung.

“Saya tau… kalau jadi pada kita pun kita marah. Saya bukanlah nak salahkan dia, tapi yang sudak tu sudahlah. Anak saya pun bersalah, saya mengaku,” tambah Haji Shafie.

“Kalau macam tu,” tambah saya,” bawa saya jumpa menantu pak cik tu. Insya-Allah kita sama-sama pujuk dia.”

Seperti yang dipersetujui, beberapa hari kemudian saya dibawa oleh Haji Shafie berjumpa dengan menantunya itu.

“Yang sudah tu sudahlah Lim, ampunkanlah dia. Normah tengah tenat tu,” Haji Shafie merayu.

”Dua tahun dia tinggalkan kami anak beranak. Balik-balik, mengandung…suami mana yang tak marah, ayah ?. Mana saya nak letak muka saya ni ? Dayus, pucuk layu , tak ada punai, tak tau jaga bini, macam-macam lagi orang hina saya…’ tambah Halim melepaskan segala yang terbuku di hati. Bermacam-macam lagi di rungutkan hingga tidak sanggup kami mendengarnya.

”Ayah faham perasaan kau. Ayah tau Normah yang salah, derhaka pada kau , tapi dia tengah tenat sekarang ni,” Haji Shafie merayu lagi , Halim tidak menjawab sepatah pun Nafasnya saja yang turun naik manakala muka merah padam menahan marah.

Bila keberangan nya semakin reda saya menasihatkan Halim supaya melupakan perkara yang telah berlalu itu. “Mengampunkan orang lain lebih baik daripada membalas dendam . Isteri awak menderita sekarang ini pun sebab dia sudah sedar dengan kesalahan dia, jadi eloklah awak maafkan,” kata saya.

Ternyata Halim sudah berpatah arang berkerat rotan. ”Saya tak akan jenguk dan saya tak akan ampunkan dia. Isteri durhaka!” katanya.

Sampailah hari Normah di bedah , Halim langsung tidak menjengukkan mukanya. Iffa dan Aina juga di larang daripada menjengah ibu mereka. Bagaimanapun , di sebabkan keadaan Normah yang tenat, makan minum tidak menentu , bayi yang di lahirkannya meninggal dunia beberapa hari kemudian. Normah pula sejak sedar daripada pembedahan semakin teruk jadinya.

Setiap hari, terutamanya tengah malam dan senja dia akan meracau. Yang mengaibkan, racauannya kini mendedahkan segala pelakuan jelik yang di lakukannya selama meninggalkan Halim dan anak-anak.

Antaranya, Normah menceritakan yang dia telah mengikut lelaki hingga ke Siam dan kemudian hidup seperti suami isteri. Selepas berpisah dengan lelaki itu, dia bersekedudukan pula dengan lelaki lain. Tidak kurang dengan tiga lelaki telah dia berzina.

“Abang..ampunkanlah saya. Saya derhaka, saya jahat, saya malukan abang…maafkanlah saya…”dia terus menangis dan meratap.

Setiap hari bermacam-macam rahsia di dedahkannya; tentang tempat-tempat maksiat yang pernah dia pergi bersama teman lelaki, kawan-kawan lain yang sama saja perangai dengannya juga kekecewaannya bila dipermainkan lelaki-lelaki terbabit.

“Abang, Iffa, Aina…marilah tengok emak . Emak tak jahat lagi,. Emak nak jadi baik. Emak nak jadi lawa, pandai, suka masak, kita pergi sungai…” ratapnya lagi bercampur dengan kata-kata yang melalut.

Tidak dapat hendak di gambarkan bagaimana malunya Haji Shafie dan isterinya setiap kali Normah menelanjangkan keburukannya sendiri. Berbagai-bagai cara mereka lakukan supaya Normah berhenti meracau seperti menutup mulut, memujuknya diam dan kadangkala turut sama bercakap supaya orang-orang di sekeliling tidak mendengar , tetapi usaha itu tidak berhasil.

Setelah hampir sebulan Normah mendedahkan kecurangannya, keadaan wanita itu bertambah parah. Tekanan darahnya menurun dan kerap tidak sedarkan diri. Badannya yang kurus makin melidi kerana Normah tidak mahu menjamah makanan. Yang di lakukan sepanjang hari hanyalah menangis dan meminta ampun kepada Halim. Setelah itu dia kembali terkulai tidak sedarkan diri.

Haji Shafie sekali lagi menemui saya.

“Ustaz pujuklah menantu saya tu. Mintalah dia datang jenguk Normah dan ampunkan lah kesalahan dia. Memang anak saya bersalah , tapi dalam keadaan sekarang, Cuma keampunan suami saja yang boleh selamatkan dia,” kata haji Shafie. Isterinya sejak tadi saya tengok tiada berhenti-henti mengesat air mata .

”Kalau begitu, mari kita pergi jumpa Halim,” kata saya.

Puas kami memujuknya . Alhamdulillah, setelah berbagai-bagai alas an di beri, akhirnya Halim bersetuju. Bagaimanapun saya lihat dia seperti terpaksa saja. Langkahnya berat dan nampak kurang ikhlas.

”Sudahlah Lim, lupakan yang lepas-lepas. Buangkan dendam, gantikan dengan kemaafan. Insya-Allah, semua pihak akan dapat keberkatanNya,” kata saya semasa Halim hendak memasuki kereta. Dia cuma tersenyum tawar.

Demi terpandang saja Halim datang menjenguk, Normah dengan suara yang amat lemah memohon maaf kepada suaminya itu.

“Sa..sa..ya der…haa..ka pada abaaaang..” katanya antara dengar dengan tidak. Sambil air mata jatuh berlinangan , dia mengangkat tangannya untuk meminta maaf, tapi terlalu sukar. Ibunya cepat-cepat membantu.

“Yalah…”jawab Halim perlahan lantas menyambut tangan Normah. Reaksinya masih tawar. Dia belum benar-benar ikhlas.

Petang itu kami bersama-sama membacakan surah Yasin dan ayat-ayat suci al-Quran untuk Normah yang kelihatan semakin teruk. Bagaimana pun bila Normah meminta ampun sekali lagi, saya lihat Halim semakin ikhlas menyambutnya. Saya tersenyum. Mungkin hatinya sudah sejuk melihat penderitaan Normah.

Lebih kurang pukul 5.00 petang saya meminta diri kerana ada urusan penting. Sebelum pulang saya berpesan; ” Lim, sekarang ni awak saja yang boleh selamatkan Normah. Dia harapkan sangat keampunan daripada awak. Selepas itu, serahkan kepada Allah. Kalau sembuh, alhamdulillah, kalau tidak biarlah dia pergi dengan aman “.

”Terima kasih ustaz,” balas Halim.

Seminggu kemudian Halim datang ke rumah saya dan memaklumkan bahawa Normah telah meninggal dunia. Bagaimanapun, dia membawa juga kisah yang menginsafkan mengenai pemergian Normah.

“Ustaz,” Halim memulakan ceritanya, “Malam tu Cuma tinggal saya dan anak-anak saja duduk di tepi Normah. Ibu dan bapa dia ke kantin untuk makan. Bila saya bacakan Yasin , saya tengok air mata arwah mengalir setitik demi setitik. Saya tau dia benar-benar insaf dengan kesalahannya dulu, curang pada saya, derhaka pada suami, tinggalkan anak-anak.”

“Sampai di ayat salamun qaulam mirrabir rahim, saya ulang tiga kali. Setelah habis, saya usap dahi arwah. Saya lakukannya dengan ikhlas sebab tidak sampai hati tengok hati dia menderita.”

”Setelah menciumnya tiga kali tiba-tiba dia nazak. Nafasnya di tarik dalam-dalam tapi nampak susah sangat. Sekejap kemudian nafasnya laju, tapi lepas itu lambat betul. Saya cemas. Dah dekat ke?”

“Tiba-tiba Aina menangis Entah apa yang di gaduhkan dengan kakaknya saya pun tak tau . Kuat betul dia menangis sampai saya tak sanggup nak dengar. Berbelah bagi juga sama ada antara anak dan isteri yang tengah sakit, tapi bila fikirkan tangisan budak itu mengganggu pesakit lain, saya terus ambil Aina dan pujuk dia. Susah pula nak pujuk dia hari tu sampai terpaksa dukung dan bawa ke luar wad.”

“Namun bila kembali ke wad, saya dapati Normah dah tidak bernafas lagi.”

“Luka memang berdarah lagi, ustaz, tapi bila dia meninggal tanpa ada sesiapapun di sebelahnya, menitis juga air mata saya. Yalah, kalau orang lain pergi dengan baik, ada orang tolong bisikan syahadah, bacakan Yasin, dia pula pergi macam tu. Agaknya itulah balasan untuk isteri yang derhaka”



Baca selanjutnya, Klik di sini...

Khamis, Mei 13, 2010

Wajah "Charming" Bergelar Doktor

Alhamdulillah!
Izinkanlah saya memaparkan senyuman kepada Anda :) . Bukannya sekuntum senyuman, tetapi sejambak senyuman.

Sudah lama saya tidak menconteng di blog ini, Abgbent Pedoman Hidup. Hampir dua minggu ianya tidak diisikan entri baru. Sebenarnya, saya sengaja melakukannya kerana ingin memfokus pada satu tugasan yang amat penting untuk dilaksanakan. Akan saya beritahu kepada Anda sekejap lagi...

Ketahuilah bahawa sememangnya Anda saya kasihi kerana DIA. Sebab itulah, cerita peribadi sering kali saya kongsi dengan Anda. Seandainya kisah yang terpapar seolah-olah takbur atau bangga diri, maafkanlah saya. Bukan itu niat saya sebenarnya bercerita dengan Anda. Realitinya, saya ingin berkongsi sesuatu yang baik-baik dan seterusnya mengajak Anda bersama-sama melakukannya. Tak kanlah pula saya bercerita yang buruk-buruk kepada Anda. Tak pasal-pasal Anda kelak menyerapnya. Buruk padah akibatnya nanti.

Kalau saya berupaya melakukan sesuatu, saya pasti Anda juga berupaya melakukannya. Tetapi apa yang saya catatkan di sini bukanlah satu kemestian untuk Anda turuti. Memang bukan!. Yang baik ambillah, dan yang tidak elok itu, buangkanlah ia jauh sejauh-jauhnya.


Peristiwa 1

Minggu lepas, bertarikh 7 Mei 2010, bersamaan hari Jumaat, saya telah melalui satu ujian lisan atau dikenali "Viva-Voce".

Ujian lisan itu amat penting di dalam kehidupan saya kerana ianya adalah sebahagian daripada cita-cita yang harus saya gapai. Sebab itulah juga sepanjang minggu lalu, saya tidak berkesempatan membuat sebarang entri baru di sini, untuk ditelaah oleh Anda.

Hakikatnya, saya berusaha menyelesaikan beberapa perkara yang berkaitan ujian "Viva Voce" itu.

Sebelum dan sehinggalah selesai ujian Viva Voce itu, sokongan daripada Isteriku Yang Tercinta amat saya kagumi kerana selain memahami, dia juga menjadi perangsang dan pemberi semangat kepada saya. Tiada ucapan indah dapat dizahirkan untuknya selain saya memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Tuhan Yang Maha ESA kerana mengizinkan Isteriku Yang Tercinta menemaniku di sepanjang perjalanan kehidupanku ini. Sememangnya, Isteriku Yang Tercinta adalah Insan yang amat saya kasihi dan sayangi. Semoga Allah SWT terus meredhai dan memberkati hubungan saya dengan Isteriku Yang Tercinta.

Oh ya..., viva voce yang saya maksudkan ialah ujian lisan untuk membolehkan saya digelar sebagai seorang Doktor.

Bukan Doktor di hospital atau klinik, tetapi doktor di dalam bidang sains yang saya ceburi sekarang ini. Dalam istilah lain, membolehkan saya memperolehi Ijazah Doktor Falsafah.

Ijazah Doktor Falsafah adalah kemuncak di dalam pengajian formal akademik. Perjuangan menggapai kejayaan akademik bermula sejak di peringkat tadika, sekolah rendah, menengah dan seterusnya di peringkat universiti.

Di universiti pula, terdapat tiga tahap pengajian akademik. Di mulai Ijazah Sarjana Muda, seterusnya kalau berjaya memperolehi keputusan yang baik, disambung pula Ijazah Sarjana atau juga dikenali Master. Dan pada akhirnya, peringkat tertinggi iaitu Ijazah Doktor Falsafah.

Andai Anda berjaya memperolehi Ijazah Doktor Falsafah, nama Anda akan diiringi gelaran Doktor. Barangkali selepas ini saya akan dikenali Doktor Abgbent. :)

Alhamdulillah, selepas bertungkus lumus beberapa tahun, akhirnya dapat juga saya menyiapkan tesis phd itu. Selepas menghantarnya, saya kena menunggu lebih kurang lima bulan, barulah dijemput untuk melalui ujian lisan, iaitu "Viva Voce" pada 7 Mei 2010 bersamaan hari Jumaat.

Anda nak tahu apa keputusannya? Lihat sahaja foto yang saya sediakan disebelah dan baca selanjutnya. InsyaAllah, dalam tempoh sebulan, saya akan menyiapkan pembetulan tesis yang diminta oleh para ahli panel itu.

Tesis saya telah diperiksa oleh dua orang penilai luar dan seorang penilai dalam. Penilai luar adalah Professor dari luar universiti tempat saya mendaftar, manakala penilai dalam adalah Professor dari dalam universiti.

Anda nak tahu komen daripada dua orang Professor penilai luar itu? Saya kongsikan sebahagian sahaja laporan daripada mereka berdua. Besarkan foto yang saya paparkan di bawah. Moga-moga Anda memahami dan mengetahuinya nanti.














Peristiwa 2

Sehari sebelum saya menghadiri sidang viva voce itu, saya juga telah diberikan semangat oleh rakan sekerja ekspatriat yang pernah saya beritahu sebelum ini. Dia memaklumkan kepada saya yang dia amat yakin bahawa saya akan lulus ujian lisan itu disebabkan personaliti yang saya ada.

Menurutnya, selain memiliki wajah “charming”, saya juga mempunyai keyakinan dan karisma yang tinggi. Melalui keperibadian ini, dia yakin saya akan dapat meng"hipnosis" para ahli panel di dalam viva voce itu kelak. Itu keyakinan yang dia ada dan diberitahunya kepada saya. Geli hati saya mendengar penjelasannya ketika itu.

Hebat sungguh pujiannya kepada saya. Kebiasaannya, bila saya dipuji sebegitu, saya akan mengucapkan Astagfirullah! serta memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran kehadrat NYA kerana diberikan nikmat yang sedemikian rupa.

Pujian yang diucapkan oleh rakan ekspatriat itu, saya yakin adalah luahan jujur daripadanya kerana bebola matanya diselaputi cairan air mata serta kelopaknya berwarna merah ketika memberitahu perkara itu kepada saya. Kebiasaannya bila seseorang memaparkan wajah sedemikian, bicaranya lahir dari hati nuraninya sendiri. Itulah keyakinan saya.

Dan seperti biasa, dia juga memaparkan kesungguhan ketika menjelaskannya kepada saya dan mengulangi beberapa kali bahawa dia memang ada keyakinan begitu. Menurutnya, saya akan lulus ujian lisan, viva voce itu kelak disebabkan memiliki wajah "Charming", berkeyakinan, berkarisma dan berupaya menghipnosis para ahli panel viva voce itu nanti.

Tersenyum-senyum saya ketika ini :) mengingati peristiwa itu kembali. Saya digelarnya berwajah charming, berkeyakinan, berkarisma dan berupaya menghipnosis seseorang.

Betulkah?


Peristiwa 3

Saya juga sengaja tidak mahu membuat lakaran lebih kerap di blog Abgbent Pedoman Hidup kini, disebabkan teringin menguji sesuatu.

Dulu, masa mula-mula menghasilkan blog Pedoman Hidup, saya dapati blog ini tidak pun tersenarai di dalam carian google. Kalau dicari kata "Pedoman Hidup" menggunakan carian google, blog ini tidak pun tersenarai pada halaman pertama.

Itu dulu...

Selepas enam bulan mendirikan blog Abgbent Pedoman Hidup ini, akhirnya Google telah menyenaraikannya pada halaman pertama untuk carian kata “Pedoman Hidup“. Ini menunjukkan blog Abgbent Pedoman Hidup sudah berada disenarai ke sepuluh carian google ketika itu untuk kata "Pedoman Hidup".

Dan selepas setahun berlalu, saya mendapati blog Abgbent Pedoman Hidup telah berada disenarai lima yang teratas. Alhamdulilah, kini, blog Abgbent Pedoman Hidup sering berada di senarai teratas carian google bagi kata "Pedoman Hidup".

Saya tidak pernah mengimpikannya kerana niat saya adalah ingin berkongsi cerita dengan Anda. Nak tahu kenapa saya sering berkongsi cerita dengan Anda selalu? Sebenarnya kerana saya amat mengasihi Anda. Saya juga ingin mengajak Anda menikmati akan erti kejayaan dan kebahagiaan.

Tiada ucapan yang dapat saya luahkan kepada Anda selain Terima kasih. Kesudian Anda menelaah contengan saya di sini, membuatkan saya terasa yang Anda sedang bersama-sama saya berjalan mencari cahaya NYA untuk dijadikan Pedoman Kehidupan.

Terima Kasih tidak terhingga sekali lagi kepada Anda yang saya kasihi kerana DIA...


Baca selanjutnya, Klik di sini...

Sabtu, Mei 01, 2010

Wahai Kekasih, Kaulah Segalanya

Izinkanlah saya berkongsi dengan Anda tiga peristiwa yang telah saya lalui kelmarin di dalam kehidupan ini. Moga-moga adalah manafaatnya buat kita bersama. Memang saya mengasihi Anda sebenarnya. Tak perlu saya berpura-pura mengatakannya kerana DIA maha mengetahui dan maha melihat setiap perkara yang saya lakukan. Kepada NYA jua saya berserah.

Semoga Anda mengerti andai paparannya terlihat seolah-olah takbur atau bangga diri. Selayaknya ungkapan “Astagfirullah” saya pohonkan.

Ketika ini, saya sedang mendengar alunan nasyid berjudul “Wahai Kekasih, Kaulah Segalanya” yang didendangkan oleh saudaraku Nazrey Johani. Sengaja saya melakukannya agar timbullah perasan kasih sayang yang saya harapkan, seterusnya terhambur untuk tatapan Anda.

Seandainya Anda ingin merasainya, klik sahaja youtube yang saya telah sediakan di bawah, sambil-sambil menelaah lakaran saya ini.





Peristiwa 1

Segala puji-pujian hanya untuk NYA. Kandungan Isteriku Yang Tercinta sekarang ini sudah mencecah minggu ke 35. Hari ini juga dengan sukarelanya saya mengambil satu daripada tanggungjawabnya iaitu, Memasak.

Mulai hari ini, saya tidak mengizinkan Isteriku Yang Tercinta memasak sama ada untuk makan tengahari atau pun makan malam. Sebelum itu, memang dengan tekun dia melakukannya. Ada kala saya mempermudahkannya dengan mengajaknya makan di luar. Terutama pada hujung minggu, iaitu bukan hari bekerja.

Andai terlihat keletihan, walaupun hari bekerja, saya akan membawanya makan di luar. Kadang juga saya membeli makanan dan membawanya balik ke rumah. Semua itu saya melakukannya sejak Isteriku Yang Tercinta mengandung anak kami yang ketiga.

Hari ini, dengan penuh perasaan kasih-sayang, saya memberitahu kepadanya bahawa saya lebih suka andai dia tidak lagi memasak. Biar saya sahaja yang mengambil tanggungjawab itu.

Oppsss... bukanlah pula bermaksud saya memasak di rumah, tetapi sebenarnya saya akan membeli makanan siap dari luar, dan di bawa balik ke rumah untuk dijamah bersama-sama dengannya. Kaedah ini memang dapat meringankan dan memudahkan kerja hariannya.
Sememangnya saya amat mengasihi dan menyayanginya.

Alhamdulillah, kandungannya kini berusia melebihi 35 minggu. Tinggal lima minggu lagi barangkali. InsyaAllah, akan lahirlah anak kami yang ke tiga. Lelaki atau perempuan, saya tetap bersyukur menerimanya kerana yang menganugerahkannya kepada saya adalah DIA, Tuhan Yang Maha ESA, Allah SWT.

Anak saya yang pertama perempuan dan kini sedang bersekolah Tabika Kemas. Usianya baru sahaja melebihi empat tahun. Manakala Anak kedua adalah lelaki, baru melebihi setahun umurnya.


Peristiwa 2

Selepas saya membantu seorang rakan sekerja, tiba-tiba pula dia mengajukan satu soalan kepada saya. Rakan sekerja yang saya maksudkan itu digelar ekspatriat. Dia berasal bukan dari Malaysia. Dia berpengalaman dan lama bekerja di Australia. Soalan yang diajukannya kepada saya ialah,

“Why are you so efficient?”

Hah! kelu lidah, keliru, tergamam saya seketika. Lalu merenung tepat ke wajahnya. Dia juga sebenarnya merenung saya sambil mengukir senyuman. Ketika itu minda saya berfikir jawapan yang patut diluahkan kepadanya, walaupun hakikatnya saya masih keliru mencerna soalannya.

Selepas berlalu beberapa detik, sambil tersenyum, dia mengulangi soalannya kembali, “Why are you so efficient?”. Sempat saya membalas senyumannya dengan tersipu-sipu. Lalu mengajukan soalan dan penjelasan kepadanya, what do you mean? I do not understand, actually!.

Sambil tersenyum, dia menjelaskannya kepada saya bahwa sudah 20 minggu dia berada di Malaysia khususnya di tempat kami makan gaji ketika ini. Sudah ramai yang ditemuinya, tidak sama seperti saya.

Bersungguh-sungguh dia menerangkan bahawa di tempat kami bekerja ketika ini, terlalu ramai yang tidak effisien. Lambat melaksanakan dan menyelesaikan tugasan masing-masing. Menurutnya lagi, banyak kerjanya tergendala dek birokrasi yang melibatkan orang lain.

Saya tergamam, juga terkejut mendengar ulasannya. Betulkah saya ini effisien? Bentuk soalan yang diajukannya kepada saya terlalu berbeza, pertama kali saya menerima soalan sebegitu rupa.

Betulkah saya ini efficien melakukan tugasan?. Heheheee...

Sebenarnya saya sama sahaja berbanding rakan-rakan lain. Sungguh! Saya tidak berbeza dengan mereka. Itulah gambaran jelas di minda saya, lalu dilukiskan di hati. Sebenarnya saya memang sama dengan rakan-rakan sekerja yang lain.

Siapalah saya yang dikatakannya sebagai “so efficient”. Pujian sebegitu hanya layak untuk NYA. Tanpa bimbingan dan kekuasaan NYA, mana mungkin saya dapat melakukannya.

Memandangkan rakan ekspatriat lebih berusia dan tidak seagama dengan saya, lalu hati saya berbisik mengucapkan Astagfirullah di atas pujian itu, seterusnya, Alhamdulillah kerana DIA masih memberikan kekuatan kepada saya melakukan pelbagai kerja-kerja harian.

Barangkali, belum masanya saya memberitahu tentang kekuasaan Tuhan Yang Maha ESA kepadanya. Nantilah, andai ada kesempatan yang lebih baik, saya mesti menyatakan kepadanya.

Setiap perbuatan yang dilakukan oleh saya, penilai hasilnya bukanlah manusia. Penilaian daripada mereka memang tidak penting kepada saya kerana Keredhaan NYA yang lebih utama dan menjadi harapan kehidupan saya. Sememangnya DIA maha berkuasa di atas apa sahaja perkara yang saya lakukan.



Peristiwa 3

Saya bukanlah seorang yang gemar membaca novel. Memang bukan!. Apa lagi novel-novel berkisar cinta sesama manusia. Saya tidak pernah membacanya. Saya kurang mahir berimaginasi sebegitu.

Satu kegemaran saya yang masih dilakukan sehingga kini ialah mendengar alunan lagu sentimental. Lebih-lebih lagi yang dilabelkan “Nasyid”. Memang itulah kegemaran saya. Mendengar nasyid berirama sentimental.

Andai jiwa saya bergelora ditimpa masalah, kekusutan, dan pelbagai perkara yang tidak menyenangkan, saya akan mendengar dendangan nasyid dan zikir-zikir pujian kepada NYA. Lebih-lebih lagi nasyid yang amat saya gemari.

Alunan nasyid daripada saudara Nazrey Johani memang saya suka. Suara gemersiknya membuatkan saya terasa tenang seketika, sambil-sambil berfikir perkara yang perlu dilakukan seterusnya di dalam kehidupan ini.

Oh ya, dulu masa belajar di universiti di peringkat Ijazah Sarjana Muda, saya adalah seorang penyanyi utama nasyid. Sekejap sahaja sebenarnya. Selepas beberapa ketika, saya menjadi pemalu dan berhenti menjadi penasyid utama, walaupun dikatakan memiliki suara suprano.

Sebab saya berhenti adalah kerana ada gadis yang tertawan bila mendengar alunan suara saya. Cehhh! Heheheee... Memang betul. Itulah alasannya. Saya berhenti bernasyid dan tidak mengasah bakat yang saya punyai.

Namun begitu, saya tetap bersama rakan-rakan lain menubuhkan sebuah kumpulan nasyid di universiti dahulu. Peranan saya di belakang tabir sahaja. Kami berjaya menghasilkan dua buah album nasyid. Ketika itu kumpulan nasyid Raihan belum lagi muncul. Apatah lagi kumpulan nasyid Rabbani. Memang belum ada. Yang ada kumpulan nasyid Nada Murni dan kumpulan The Zikr.

Sebenarnya tujuan kumpulan nasyid kami wujudkan di universiti dahulu bukanlah semata-mata bernasyid. Memang bukan. Ada yang lebih utama kami perlu lakukan. Tak perlulah saya menjelaskannya di sini. Itu kisah perjuangan di dalam wadah. Mentarbiyah.

Peristiwa manis yang saya ingin kongsikan di sini ialah kami telah berjaya menghasilkan dua buah album nasyid. Saya tidak mengalunkan suara di dalam kedua-dua album itu. Tetapi untuk album pertama, saya menyumbang lirik di dalam sebuah nasyid yang digubah oleh sahabat saya. Manakala album kedua, saya menyumbang sebuah nasyid beserta liriknya. Sebelum ianya dirakamkan di dalam album kedua, gubahan nasyid yang saya sumbangkan sebenarnya telah diangkat menjadi naib johan di pertandingan nasyid antara kolej-kolej kediaman peringkat universiti.

Kenangan itu memang cukup indah di dalam hidup saya semasa belajar di universiti dahulu. Sebenarnya kedua-dua kaset nasyid yang saya maksudkan sudah tiada di dalam simpanan saya. Maklumlah, sudah melebihi 20 tahun peristiwa itu berlaku. Saya pun sudah tidak ingat di mana saya simpan.

Kelmarin, saya telah membeli dua buah CD Nasyid iaitu dendangan saudara Azhan Atan berjudul “Ku Milik Mu” dan alunan saudara Nazrey Johani bertema ”Nasyid Nostalgia Memori The Zikr”.



Bila saya mendengar alunan nasyid di dalam CD saudara Nazrey Johani, teringat pula saya sebuah kaset kumpulan nasyid The Zikr. Kaset itu dihadiahkan kepada saya oleh seorang adik perempuan semasa belajar di universiti 20 tahun lalu. Albumnya berjudul “Secerah Pawana”.

Masih saya ingat tajuknya kerana penasyidnya adalah saudara Nazrey Johani, dari kumpulan The Zikr sebelum namanya berubah menjadi kumpulan nasyid Raihan. Alunan nasyid di dalam album Secerah Pawana memang cukup indah.

Hari ini, bila saya mendengar CD saudara Nazrey Johani, di dalam album Nostalgia Memori The Zikr, saya cukup tersentuh. Nasyid yang paling saya suka dengar adalah ”Wahai Kekasih, Kaulah Segalanya”.

Terima kasih saudara Nazrey Johani yang mengalunkan nasyid ini. Saya tidak berlakon mengatakan bahawa air mata bergenang dikelopak ketika mendengar alunan nasyid Wahai Kekasih, Kaulah Segalanya.

Genangan air mata itu bukanlah bermaksud bersedih, tetapi mengingati Kekasih NYA yang luhur keperibadiannya memiliki akhlak mulia. Saya sebenarnya sedang berusaha menggapai keperibadian Baginda agar syafaatnya kelak melindungi saya di dalam kehidupan seterusnya. Selawat buat junjungan Rasulullah SAW.



Baca selanjutnya, Klik di sini...