Jumaat, November 12, 2010

BerKasih-Sayang

Hati saya seolah-olah berasa girang hari ini. Berkat hari jumaat barangkali. (*__^)

Ada beberapa kerja yang saya perlu siapkan sekarang ini, tetapi tak apalah, saya biarkan kerja itu dahulu kerana saya ingin berkongsi cerita dengan Anda. Maklum sajalah, sudah beberapa hari saya tidak melakarkan sesuatu di sini, di blog Pedoman Hidup ini.

Alhamdulillah, saya panjatkan setinggi-tinggi kesyukuran kepada Tuhan Yang Maha Berkuasa kerana mengizinkan Anda menemani kehidupan saya. Anda sememangnya saya kasihi kerana DIA. Tanpa Anda, blog ini tidak akan ada maknanya. Terima kasih tidak terhingga saya tujukan khusus buat Anda. Sememangnya saya kasihi Anda kerana DIA.

Kisah 1


Saya dikejutkan oleh Isteriku Yang Tercinta semasa bersarapan awal pagi tadi. Dia menyatakan ada sms yang dihantar oleh seseorang semasa saya sedang tidur semalam. Paparannya agak pelik, menurutnya.

Memanglah dia berasa sangsi bila mana menelaah isi kandungan sms yang begitu. Anda nak tahu kandungannya? Nah saya berikan paparannya di bawah;

“Stiap mnsia y dlhrkn ddnia mmpunyai jln tkdr y bbza.. Tak smua y kte impikn, akn dpt kte kecapi.. Tak smua y kte hrpkn, sama dgn ap y kte inginkn.. Stiap y gmbre plu thu ad insn y sdg bsdih.. Stiap y bhgia plu sntiase igt msh ad insn y mndrita.. Dn bljrlh utk mndlmi pndritaannya..“

Bila mana Isteriku Yang Tercinta mengajukan pertanyaan siapakah gerangan empunya sms sedemikian, saya hanya menggelengkan kepala kerana sesungguhnya memang saya tidak mengetahui empunya nombor yang dipaparkan di telefon bimbit saya itu. Naluri saya berbisik mengatakan mungkinkah Isteriku Yang Tercinta sedang ditimbulkan perasaan curiga oleh para syaitan durjana?

Dan untuk meleraikan kecurigaan yang hinggap kepadanya, saya menyuruhnya mendail sahaja nombor itu, untuk mengetahui siapakah gerangan empunya sms sedemikian.

Maklum sajalah, semalam, saya bersama-sama dengannya menonton TV rancangan Datuk Dr. Fadzilah Kamsah yang bertajuk Poligami. Habis saya dijeling-jeling olehnya. (*___*)

Bila saja dia dail nombor itu, ternyata yang menyambutnya seorang lelaki. Nasib baik juga seorang jejaka, kalau wanita, bertambah-tambahlah pula kecurigaannya kepada saya. (*___^)

Realitinya, saya yakin bahawa kecurigaan yang ditimbulkannya adalah petanda bahawa dia amat mengasihi, menyayangi dan menyintai saya.

Dan saya yakin juga bahawa dia sekadar bergurau-gurau dengan saya pagi ini. Gurauan pasangan suami-isteri yang sebenarnya Anda perlu ketahui dan rasai sendiri. (*___^)


Kisah 2

Petang kelmarin, ketika bersantai-santai di depan TV bersama Isteriku Yang Tercinta dan anak-anak selepas pulang dari tempat kerja, tiba-tiba pula telefon bimbit Isteriku Yang Tercinta berdering.

Rupa-rupanya rakan sekerjaku yang sedang membuat panggilan. Sebenarnya dialah orang yang diberikan tanggungjawab membalas surat yang saya kirimkan kepada pihak atasan tempohari, seperti yang saya coretkan di dalam lakaran bertajuk Kecewa bersulam Gembira @ Gembira diselubungi Kecewa.

Rakan Sekerjaku itu memang baik orangnya. Sebab itulah walaupun sudah selesai bekerja, dia tetap menghubungi saya. Lebih kurang pukul 7.40 malam agaknya dia menghubungi saya dan bertanya mengenai Bengkel latihan di Manila Filipina itu.

Bila mana saya memberitahu kepadanya bahawa saya sudah pun menolak pelawaan itu, dia terus sahaja memberikan beberapa alasan-alasan untuk saya ketahui mengenainya. Dalam nada gembira, saya memberitahu semula kepadanya bahawa sebenarnya saya tidak kisah pun, andai tidak dapat menghadirinya.

Realitinya, alasan-alasan yang telah disusunnya memang saya hargai kerana menunjukkan bahawa dia juga mengambil berat akannya.

Paling penting di dalam hidup saya bukanlah kejayaan kerjaya, tetapi lebih jauh dari itu, saya ingin melimpahkan kasih sayang kepada anak-anak yang sememangnya saya kasihi dan sayangi. Lebih-lebih lagi buat julung-julung kalinya, anakku yang sulung membuat persembahan mewakili sekolahnya. Sememangnya saya tidak mahu ketinggalan melihat gelagatnya.

Pesanan buat rakan sekerjaku, usahlah bimbang kerana kita berusaha sedaya upaya, dan Tuhan Maha Berkuasa yang menentukannya. Sememangnya kehidupan di dunia begitu. Sering kali menuntut kita membuat pilihan, mana satu yang diinginkan.


Kisah 3


Beberapa hari lepas, tiba-tiba pula Isteriku Yang Tercinta menyuruh membeli lada setengah kilo dan limau sekilo.

Terkejut saya melihat senarai itu. Lada setengah kilo dan limau sekilo. Banyaknya!

Rupa-rupanya, Isteriku Yang Tercinta ingin mencuba-cuba resipi lamanya. Sambal Sos Sayap Panggang menurutnya. (*___*)

Isteriku yang Tercinta memang rajin orangnya. Antara penyebab hatiku tertawan dengannya dahulu adalah dek kerajinannya. Memang dia rajin.

Masih saya ingat bagaimana tiba-tiba hatiku tertawan dengannya. Bukanlah selepas bertentang mata. Memang bukan!.

Tetapi saya tertarik dengannya selepas mindaku menerawang berfikir-fikir mengenainya. Minda Separa Sedarku mengimaginasinya, lalu menafsirkan dialah wanita yang saya cari-cari sebenarnya. Sungguh! Mindaku menafsirkan dialah wanita idaman kalbu, lalu ku beri nama kepadanya Isteriku Yang Tercinta.

Oppsss...

Sebenarnya saya ingin bercerita resipi lamanya yang diberi nama “Sambal Sos Sayap Panggang”. Nantilah saya ceritakan pertemuanku dengannya di dalam kisah Pengalamanku Bertemu Jodoh.

Dulu, Isteriku Yang Tercinta memang penjual sayap ayam panggang. Dia membantu ibunya menjual sayap ayam bakar di gerai. Selepas bekerja pejabat, lebih kurang pukul 6.00 petang, dia akan bergegas ke gerai membantu ibunya menjual sayap ayam bakar. Itulah rutin hariannya sebelum bernikah dengan saya. (*___^)

Lalu, beberapa hari lepas, dia telah mencuba-cuba semula membuat resipi Sambal Sos itu sebab menurutnya sudah lama ditinggalkannya. Anda nak tahu rasanya?

Sukar untuk saya beritahu kepada Anda rasanya kerana silap-silap Anda tidak akan percaya. Lalu, apa salahnya saya mengajak Anda mencubanya.

Anda nak cuba? Beritahu sahaja di sini atau ke alamat email saya. InsyaAllah, akan saya kirimkan kepada Anda supaya dapatlah dikecapi rasanya.

Lebih baik begitu berbanding saya hanya menceritakannya kepada Anda. InsyaAllah, saya akan kirimkan kepada Anda. Sememangnya Anda saya kasihi kerana DIA.

Kalau Anda ingin cuba resipi Sambal Sos Sayap Ayam Isteriku Yang Tercinta, berikan sahaja alamat Anda kepada saya. InsyaAllah, akan saya usahakan cara mengirimnya kepada Anda. Manalah tahu tiba-tiba pula Anda berkenan, lalu melanggannya. Pasti Isteriku Yang Tercinta kelak gembira. (*___^)





Baca selanjutnya, Klik di sini...

Rabu, November 03, 2010

Kecewa bersulam Gembira @ Gembira diselubungi Kecewa

Terlalu sukar saya melelapkan mata ketika ini, walhal jam di dinding sudah menunjukkan hampir pukul 2.30 pagi. Peristiwa siang tadi semasa berada di tempat kerja masih lagi terbawa-bawa sehingga kini. Walhal ianya tidaklah penting mana. Cuma agak mengecewakan juga bila difikir-fikirkan semula.

Namun, sebenarnya saya tetap gembira menerima kesudahnnya kerana saya pasti, ini merupakan ujian kesabaran yang harus dilalui. Begitulah realiti yang harus saya semati di dalam hati dan naluri semasa melalui kehidupan duniawi ini.

Setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya.

Sebab itulah saya memberikan tajuk lakaran kali ini seperti di atas. Kekecewaan diselubungi Kegembiraan. Tajuk ini iras-iras menyamai Law of Rejection dan Law of Attraction.

Untuk itu, izinkanlah saya meluahkan rasa kekecewaan kepada Anda dahulu ketika ini. Saya berharap moga-moga minda yang saya miliki kelak beransur pulih dan merasakan sedikit kelegaan. Iaitu bukannya terus-terusan diiringi perasaan kekecewaan.

Sememangnya saya amat gembira walaupun minda saya menafsirkan sedikit kecewa di dalam hati sanubari ini.

Kisahnya bermula bila mana saya telah menerima email jemputan untuk menghadiri satu bengkel latihan di negara Filipina dua minggu lepas. Bengkel latihan itu adalah berkaitan dengan kajian saintifik dan disertai oleh sebahagian daripada negara-negara Asia Tenggara. Senarai jemputan peserta yang saya perhatikan dari Malaysia hanya dua orang sahaja, iaitu termasuk saya.

Paling menggembirakan ialah semua perbelanjaan termasuk tiket kapal terbang pergi-balik, penginapan di sana dan elaun harian akan ditanggung oleh pihak penganjur dengan syarat saya perlu mendahulukan duit saya dan akan dibayar semula bila sampai di sana, di Manila, Filipina.

Disebabkan saya bukanlah orang berharta, selain bergaji cukup-cukup untuk menampung keluarga, maka terpaksalah saya memohon wang pendahuluan daripada pihak majikan bagi mengurangkan bebanan kewangan yang saya terpaksa tanggung.

Maklum sajalah, anak pun dah tiga orang, Isteriku Yang Tercinta bukannya ada gaji, diakan suri rumah sahaja.

Gaji yang saya terima selain cukup-cukup untuk keluarga, saya juga perlu memberikan sebahagian kepada orang tua dan juga mertua. Campur lagi bayaran hutang bulanan rumah yang harus dilangsaikan dengan segera. Pastilah simpanan pun ala kadar sahaja. (*____*)

Disebabkan itulah saya memerlukan wang pendahuluan daripada majikan untuk meringankan sedikit bebanan kewangan. Itu pun bila dah kembali ke tanah air semula, selepas pihak penganjur membayarnya, pastilah akan saya kembalikan semula.

Namun, amat mendukacitakan bila mana pihak majikan tidak dapat memberikan wang pendahuluan perbelanjaan seperti yang saya harap-harapkan. Disebabkan itulah juga saya terpaksa menolak jemputan daripada negara Filipina itu.

Majikan saya sangat susah memberikan kemudahan begitu kerana tiada prosedur jelas mengenainya. Itu menurut mereka. Takkanlah pula saya memaksa-maksa. Apatah lagi meminjam dari Ah Long. Tak pasal-pasal saya bersama keluarga menerima padah (*___^)

Oleh kerana itu, tak apalah saya menyimpan rasa kecewa kerana tidak dapat memberikan sumbangan di dalam bengkel itu dan seterusnya membawa nama negaraku tercinta Malaysia. Lebih-lebih lagi menghargai jemputan yang diberikan kepada saya.

Walaupun saya kecewa dek terpaksa menolak tawaran itu, sebenarnya saya tetap berasa amat gembira kerana akhirnya dapat juga saya bersama-sama Isteriku Yang Tercinta dan Anak-Anak.

Sebenarnya pada tarikh yang sama dengan jemputan itu, Anakku yang sulung berusia menghampiri lima tahun dan sedang bersekolah di Tadika KEMAS akan membuat persembahan bersempena Akhir Tahun dan Penyampaian Sijil sekolahnya.

Inilah julung-julung kali dia akan membuat persembahan untuk sekolahnya bersempena cuti akhir tahun.

Oleh sebab itu, kegembiraan yang muncul di dalam hati saya ialah dapat melihat gelagatnya kelak. Dan dua hari selepas itu pula, mereka akan mengadakan lawatan ke suatu tempat.

Lawatan itu juga akan saya dapat sertai kerana tidak jadi ke Manila, Filipina. Hati saya memang gembira.

Syukur Alhamdulillah, kepada NYA jua, Tuhan Yang Maha Berkuasa, saya panjatkan kesyukuran ini kerana memberikan setiap kemudahan di dalam kesusahan.

ENGKAU menolak sesuatu dan pada masa yang sama, mendekatkan yang lain pula untuk saya hargai.

Berbanding kerjaya, pastilah keluarga lebih utama.

Saya tidak mahu merasa kecewa dek merahsiakan kasih sayang daripada Isteriku Yang Tercinta dan Anak-Anakku. Merekalah jantung hatiku.

Kehidupan di dunia ada titik nokhtahnya dan saya tidak mahu merasai kekecewaan selama-lamanya hanya kerana ingin merasai kegembiraan yang sementara.

Kegembiraan diakhiri dengan kekecewaan atau kekecewaan diakhiri dengan kegembiraan.




Baca selanjutnya, Klik di sini...

Isnin, November 01, 2010

Law of Attraction dan Alam Cakrawala

Ada ahli sains mempercayai kewujudan alam semesta berhubung-kait dengan hukum penarikan. Menurut kepercayaan mereka yang mengkaji tentang angkasa lepas iaitu ahli astronomi, kejadian alam semesta dipengaruhi oleh Hukum Penarikan.

Sebab itulah bumi dikatakan sentiasa berputar mengelilingi matarahari. Dan begitu juga halnya planet-planet lain, yang sedang mengelilingi matahari.

Menurut jangkaan, suatu hari nanti berkemungkinan bumi kelak menghampiri matahari dan akhirnya akan terbakar atau barangkali bercantum dengan matahari dan akan musnah dek kepanasan matahari.

Mungkinkah itulah yang dinamakan Akhir Zaman? lebih tepat lagi Hari Kiamat?

Saya memang tidak pasti mengenainya. Namun, tanggapan yang ada, begitulah.

Suatu ketika nanti, bumi akan terbakar dek kepanasan matahari. Sebab itulah pelbagai usaha sedang dilakukan supaya bumi tidak akan menghampiri matahari. Caranya? Kepintaran manusia akan berusaha melakukannya. Survival!

Sama ada berjaya atau sebaliknya, masa sahaja yang akan menentukannya kerana pada hemat saya, suatu hari nanti bumi tetap akan hancur musnah. Kalau bukan disebabkan mendekati matahari, ianya akan dilanggar oleh serpihan-serpihan yang ada di ruang alam cakrawala. Atau barangkali bumi itu sendiri akan termusnah dek kepintaran melampau manusia.

Ermmm... Kepintaran Melampau Manusia!

Mengimbau kejadian bumi, ianya memang ada kaitan dengan hukum penarikan dan Penolakan, Law of Attraction dan Law of Rejection iaitu Daya Tarikan dan Daya Tolakan Jisim.

Dinyatakan bahawa bila mana berlaku letupan yang maha dahsyat berbillion billion tahun dahulu, alam cakrawala telah dipenuhi serpihan-serpihan kecil ataupun puing-puing kecil yang terapung-apung di ruang alam semesta. Sehingga kini, puing-puing itu masih ada lagi yang terapung-apung.

Serpihan-serihan itu akan terus berlanggar, lalu bercantum atau tertolak dan berkemungkinan mengwujudkan planet-planet yang lain pula. Ianya akan terus berlaku iaitu hasil daripada Hukum Penarikan, juga Hukum Penolakan.

Begitulah antara tanggapan mengenai proses kejadian alam semesta dan planet bumi ini. Iaitu hasil daripada letupan yang maha dahsyat yang telah menghasilkan serpihan-serpihan kecil, seterusnya melalui proses percantuman dan perlanggaran di ruang alam cakrawala melalui Daya Tarikan dan Daya Tolakan Jisim.

Nak tahu bagaimana pula teori kejadian Bulan yang terletak berhampiran bumi?

Diantara tanggapan yang paling masyhur yang dipercayai oleh ahli astronomi ialah pada mulanya bulan merupakan asteroid yang telah melanggar bumi suatu ketika dahulu. Berjuta juta tahun juga lamanya.

Bilamana asteroid itu melanggar bumi, sebahagian kecil daripada asteroid telah terpisah, dan membentuk serpihan-serpihan kecil, tetapi tidaklah jauh jaraknya daripada bumi.

Serpihan-serpihan yang terpisah daripada asteroid dan bumi itu akhirnya melalui proses proses penarikan dan penolakan, lalu terbentuklah Bulan yang terdapat berhampiran bumi.

Ianya tidak menjauhi bumi kerana kuasa penarikan oleh bumi ketika ini menyebabkannnya sentiasa berada disamping bumi. Mungkinkah suatu hari nanti Bulan akan bercantum dengan bumi? atau barangkali kelak menjauhi bumi lalu terpisah jauh sejauh jauhnya? Ianya bergantung pada Daya Tarikan Bumi dan Bulan yang ada ketika ini.

Andaian kejadian Bulan berhampiran Bumi adalah sama seperti planet Zuhal yang sedang dilingkari oleh sesuatu. Dilingkari oleh air batu, debu, gas dan serpihan batuan pada ketika ini. Serpihan-serpihan itu sedang melingkari planet Zuhal dan berkemungkinan kelak bercantum dan tertolak lalu membentuk pula Bulan yang juga dikenali Satelit.

Nama lain bagi Bulan ketika ini ialah Satelit kerana sifatnya yang beredar mengelilingi sebuah planet yang bersaiz lebih besar. Iaitu bulan sedang mengelilingi Bumi.

Oklah, saya tinggalkan bab kejadian bumi dan bulan @ satelit itu dahulu kerana saya ingin memberitahu kepada Anda berkenaan Hukum Penarikan, Law of Attraction dan Hukum Penolakan, Law of Rejection yang memang hebat kerana dipercayai telah membentuk alam cakrawala yang kita duduki kini.

Tetapi ingat! Kehebatan sebegini belum memadai kerana lumrahnya ilmu seringkali berubah-ubah bila mana ditafsir oleh manusia. Apatah lagi manusia yang ditemani syaitan durjana. Kelak tersasarlah terjemahannya.

Sama ada tafsiran itu benar atau sebaliknya, hanya DIA sahaja yang mengetahuinya. Sememangnya kejadian alam semesta hanya DIA yang mengetahuinya kerana DIA yang menciptanya. Sebab itu saya berdoa memohon semoga Law of Attraction dari NYA berterusan menyinari rohani dan jasad saya ketika mengembara di dunia ini.

Kalau pun ada Law of Rejection, moga-moga ianya merupakan sinaran belas ehsan dari NYA. DIA yang saya imani, Tuhan Yang Maha ESA, Allah SWT, Tuhan Pencipta Seluruh Alam.

Kepada NYA jua saya berserah.



Baca selanjutnya, Klik di sini...