Isnin, Februari 20, 2012

Skim SBPA, Sikap Kebertanggungjawaban

Lakaran ini adalah sambungan daripada lakaran-lakaran saya berkenaan Skim SBPA iaitu;

Alahai SBPA (Saraan Baru Perkhidmatan Awam) Malaysia

Kecelaruan SBPA, Mengundang Perpecahan Penjawat Awam?


Pada saya, kegagalan skim SBPA yang telah diperkenalkan akhir tahun lalu amat memalukan. Ianya bukan sahaja gagal dan menimbulkan pelbagai persoalan serta kecelaruan, malahan ianya telah turut menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan kakitangan awam, termasuklah juga rakyat Malaysia amnya.

Di kalangan penjawat awam khususnya mereka yang seolah-olah tidak mendapat faedah daripada pengumuman skim tersebut, SBPA dilihat seolah-olah hanyalah bersifat kosmetik semata-mata untuk mengindahkan penampilan para penjawat awam sempena piliharaya umum yang akan datang. Manakala dikalangan yang bukan kakitangan awam, ianya telah dilihat negatif seolah-olah para penjawat awam hanya menginginkan kenaikan gaji yang digambarkan tidak berbaloi berbanding dengan hasil kerja yang mereka laksanakan.

Pengamatan saya juga mendapati ramai yang melihat skim SBPA yang telah dirangka hanyalah untuk menguntungkan pihak atasan sahaja. Benarkah sedemikian yang telah berlaku? Seandainya jawapannya benar, maka malanglah sistem Pentadbiran Awam Negara ini kerana memiliki pegawai-pegawai yang bersikap sedemikian rupa. Sikap berpilih dan tidak mengutamakan kemaslahatan Ummah di dalam merangka dan melaksana segala tanggungjawab yang diamanahkan oleh Pemerintah khususnya, dan rakyat Malaysia amnya.

Pemimpin yang tidak adil dan kurang amanah, sudah pasti kelak akan menghancurkan organisasi dan negara ini. Seumpama peribahasa yang seringkali dituturkan berbunyi "seperti ketam menyuruh anaknya berjalan dengan betul".

Kesan daripada pengumuman skim SBPA bukanlah sedikit kerugiannya. Banyak!

Ianya termasuklah perbelanjaan yang digunakan oleh pegawai-pegawai yang terlibat di dalam merangka dan melaksana skim SBPA itu. Termasuklah juga pengorbanan masa yang terpaksa ditanggung oleh semua penjawat awam untuk mendengar celoteh berkenaan kandungan skim tersebut.

Lima minit masa yang diberikan oleh sejuta penjawat awam untuk mendengar ceritera skim SBPA bukanlah tempoh yang sedikit. Apatah lagi andai sejam atau dua jam. Banyak perkara sebenarnya yang boleh dihasilkan oleh sejuta penjawat awam seandainya lima minit, sejam atau dua jam itu digunakan untuk menghasilkan karya berjudul "Kesejahteraan Umat Negara Malaysia".

Lakaran ini saya hasilkan semata-mata untuk berkongsi rasa sebagai orang bawahan di dalam pentadbiran negara ini. Sebagai orang bawahan, saya sekadar menerima arahan daripada orang yang diatas. Sudah menjadi tradisi, bilamana orang yang berada di atas melakukan kesilapan, ianya dianggap sebagai kesilapan kecil, dan seandainya kesilapan kecil itu berlaku kepada orang yang dibawah, maka ianya boleh menjadi besar kerana yang diataslah yang telah menggubal segala peraturan-peraturan untuk diamalkan oleh orang yang dibawah.


(*___*)
Abgbent

p.s: Moga kemungkaran tidak akan berlaku berpanjangan.



Baca selanjutnya, Klik di sini...

Jumaat, Februari 10, 2012

Menikmati Kenikmatan yang Nikmat (*___*)

Petang ini, saya ingin meluangkan sedikit masa untuk bersama-sama dengan Anda. Anda yang masih terus sudi meluangkan masa untuk bersama-sama dengan saya di dalam blog Pedoman Hidup ini.

Kali ini, saya ingin menyatakan suatu kalimah yang dipancarkan oleh bakal anak murid saya dari negara seberang, Indonesia. Dari Acheh, orangnya tampan segak bergaya. Dia beriya-iya ingin menuntut ilmu sains daripada saya. Tak apalah, kisah itu akan saya panjangkan kepada Anda suatu hari nanti...

Berkenaan kalimah yang dipancarkan oleh bakal anak murid saya dari Acheh itu, ianya berbunyi;

Hati adalah wadah terindah yg dapat menampung semua kepahitan dan merubah semuanya menjadi manis dan indah.... (nuansahati.com)"

Tak semena-mena, hati saya terdorong pula untuk menambah dengan berkata;

"Manis dan Indah itu barangkali hanyalah fatamorgana bilamana Pancaindera yang merasainya tidak dijilbabkan dengan nama NYA"

Lalu, hari ini, saya pula terbaca nukilan adikku Tampan Bergaya yang memancarkan ungkapan berkenaan kehidupan indah, iaitu;


Hidup memang selalunya indah.

Tapi yang menjadikan hidup ini tidak indah adalah Anda. Anda menjadikan hidup Anda tidak indah dengan memikirkan yang buruk, bersangka buruk dan bersikap buruk, termasuklah berkata yang buruk-buruk.

Lihatlah orang yang berfikiran positif. Orang sebegitu hidupnya indah. Dia bahagia, dia nampak seperti orang bertuah kerana dia nampak bahagia.

Sebenarnya semua itu diusahakan melalui minda. Keindahan hidup boleh dibentuk. Caranya bagaimana? Melalui fikiran.

Fikiran kita ini bertindak sebagai doa. Lebih banyak kita berfikir tentang sesuatu, samalah seperti kita berdoa dan terus berdoa supaya apa yang kita fikirkan itu muncul menjadi realiti dalam kehidupan kita.

Sebagai contoh, tiap kali Anda memikir masalah, samalah seperti Anda selalu meminta masalah dimunculkan.

Setiap kali Anda geram dengan masalah, setiap kali itu jugalah Anda seolah-olah meminta makin banyak masalah dimunculkan dalam hidup Anda.

Setiap kali Anda dilanda situasi buruk yang tidak dijangka seperti kemalangan, kepokaian, masalah kewangan, tekanan perasaan, tekanan kerja, sikap kawan yang menyakitkan hati atau simply sesuatu berlaku di luar kemahuan Anda, alihkan perasaan sakit hati itu. Hentikan.

Bertenanglah. Berserahlah.

Apabila sesuatu sudah berlaku, Anda tidak ada kuasa mengubahnya. Tapi Anda akan kuasa mengawal apa yang bermain di fikiran Anda.

Orang yang selalu berfikir positif akan mendapat balasan positif.

Mungkin masa itu situasi tidak memihak kepada Anda, tapi di satu ketika lain, situasi akan memihak kepada Anda kesan dari sikap berfikiran positif, kesan dari sikap bersangka yang baik-baik.

Yang baik tetap akan mengatasi yang buruk walau kelihatannya yang buruk itu seolah-olah menang.

Ubah sikap Anda. Binalah sikap suka bersangka baik. Sebab, sikap itu akan menunjukkan kesannya.

Bezanya, cepat atau lambat saja.




Baca selanjutnya, Klik di sini...

Rabu, Februari 01, 2012

Kecelaruan SBPA, Mengundang Perpecahan Penjawat Awam?

Sebelum ini saya ada melakarkan pandangan mengenai skim SBPA yang telah menggantikan Skim SSM penjawat awam di negara Malaysia dengan tajuk "Alahai SBPA (Saraan Baru Perkhidmatan Awam) Malaysia".

Tidak sia-sia saya melakarkan pandangan itu kerana akhirnya, skim SBPA telah disemak semula oleh Kerajaan Malaysia.

Ini sekali gus menunjukkan bahawa skim SBPA yang baru diperkenalkan itu telah Gagal. Kebiasaannya, sesuatu yang gagal seharusnya dipertanggungjawabkan dan dikenakan tindakan yang berpatutan.


Lihat sahaja pelajar-pelajar sekolah. Bila mana mereka gagal memenuhi kriteria tertentu, mereka tidak akan dibenarkan memasuki kelas-kelas yang hebat.

Bukanlah bermaksud dinafikan keupayaan pelajar yang gagal itu untuk berada di dalam kelas-kelas yang hebat, tetapi yang lebih dikhuatiri ialah mereka akan mengalami mudharat di dalam proses pembelajaran seterusnya nanti. Begitu jugalah halnya kepada pelajar-pelajar yang memang hebat, seandainya tidak diasingkan daripada pelajar-pelajar yang telah gagal, berkemungkinan pula pelajar-pelajar hebat tidak akan dapat mengembangkan kehebatan mereka dengan cepat dan pantas di dalam proses-proses pembelajaran seterusnya.

Pandangan seumpama itu saya utarakan supaya kecemerlangan yang diharapkan di dalam sistem Perkhidmatan Negara Malaysia akan terus berkembang maju dan memenuhi citarasa semua pihak pada masa dan keadaan yang sering kali berubah.

Seumpama KPI (Key Performance Index) yang diperkenalkan untuk diterjemahkan oleh semua penjawat awam, seterusnya yang terbaru "Exit Policy" yang diharap kelak menyumbang pada prestasi penjawat awam seiring dengan kenaikan-kenaikan gaji yang dinikmati.

Masa tidak mengizinkan saya meneruskan lakaran ini, InsyaAllah saya akan menyambungnya lain kali untuk kita berkongsi pandangan mengenai SBPA yang disemak semula...


Baca selanjutnya, Klik di sini...