Selasa, Februari 02, 2010

Motivasi 1 - Berjalan Di Dunia, Menyelesai Masalah, Mencari Ketenangan Jiwa

Sebenarnya saya tertarik membaca luahan hati seorang adik yang bernama Siti. Sebab itulah saya melakarkan coretan ini, di blog Pedoman Hidup. Moga-moga ianya bermanafaat untuk menyuluh ranjau berduri di sepanjang perjalanan duniawi.

Syabas! duhai adikku Siti kerana berusaha mencari semangat diri. Tatapilah coretan-coretan begini, moga-moga adalah manafaatnya nanti untuk kebaikan bersama.

Ketahuilah bahawa tiada sesiapa yang dapat membantu, kecuali diri kita sendiri. Oleh itu, bilamana adik mengatakan "mencari kata-kata semangat melalui internet untuk membangunkan diri sendiri", saya mengagumi sifat begitu. Bukannnya mudah mendapat kekuatan begini sebenarnya. Selayaknyalah adikku Siti mengecapi kejayaan nanti kerana berusaha melakukan sesuatu untuk faedah sendiri.

Memang saya tidak menafikan tekanan kerja harian terlalu mencabar. Pelbagai kerja-kerja harian kena disiapkan mengikut waktunya. Tekanan... memanglah Tekanan...

Tetapi nasihat saya, usahlah difikirkan kesemuanya itu sebagai tekanan kehidupan. Seharusnya difikirkan perbuatan-perbuatan sedemikian sebagai sebahagian daripada Ibadah kepada NYA. Lebih penting lagi, berusahalah memikirkan kaedah penyelesaian pada setiap masalah atau tekanan yang menimpa.

Lebih baik digunakan masa yg ada ketika ini untuk menyelesaikan setiap tugasan yang ada daripada memikirkan tugasan itu sebagai sebuah masalah berpanjangan. Lebih-lebih lagi sekiranya di dalam minda diimaginasi seolah-olah masalah itu terlalu sukar dan sudah tiada lagi kaedah penyelesaiannya. Memang tak baik untuk kesihatan minda andai berfikir sebegitu rupa.

Saya pernah melakarkan satu coretan mengenai Mencari Masalah atau Menyelesai Masalah. Coretan itu sebenarnya berlakar sedikit abstrak. Harap-harap akan terbukalah mata hati di dalam menafsirkannya.

Bilamana pemikiran selalu sahaja terhala ke arah sukar melaksanakan setiap tugasan, pastilah motivasi diri menurun. Dan seterusnya, tidak berusaha menyelesaikan setiap daripada tugasan yang ada. Dalam erti kata lain, tidak berusaha menyelesaikannya satu persatu. Saya istilahkan perbuatan sedemikian sebagai tidak mahu lagi berusaha mempelajari ilmu-ilmu-NYA di dunia ini.

Nasihat saya, berusahalah dan gunakanlah pemikiran yang ada untuk menyelesaikan setiap daripada tugasan yang ada, lebih-lebih lagi setiap daripada masalah yang timbul harus diselesaikan satu persatu. Ingat! urai dan selesaikan satu persatu...

Seumpama mencari semangat diri melalui internet ketika ini, moga-moga lapanglah minda dan seterusnya mengorak langkah menafsirkan setiap daripada masalah yang tertimpa pada diri-sendiri. Perbuatan sedemikian lebih baik daripada membiarkan tugasan harian, permasalahan atau tekanan perasaan berlegar-legar di dalam minda dan ditafsirkan seolah-olah sudah tiada lagi kaedah penyelesaiannya.

Semua penyakit pasti ada ubatnya. Begitu juga dengan perasaan duka. Salah satu daripada ubat kedukaan adalah menangis. Menangis merupakan penawar yang amat mujarab merawat perasaan yang duka lara.

Kalau ada sesiapa menyatakan jangan menangis, saya pula berpandangan sebaliknya. Menangislah... menangislah Anda sepuas-puasnya, tetapi ingat! menangis di hadapan-NYA. Usah menunjuk-nunjuk tangisan Anda pada orang lain. Nanti diejek pula oleh mereka.

Menangislah dan berdoalah di hadapan NYA agar jiwa yang duka lara mendapat ketenangan semula. Berdoalah kepada NYA agar tekanan perasaan yang dihadapi dapat dirawati. Rasailah bahawa DIA ada di sisi sentiasa, agar mendapat bimbingan dan kekuatan semula. Kalau Anda tidak dapat merasai kehadiran NYA, yakinilah bahawa DIA sedang memerhatikan setiap gerak langkah semasa berjalan di dunia.

Saya ulangi, menangislah di sisi-NYA, kerana sesungguhnya DIA maha melihat dan maha mengetahui. DIA juga menguasai segala keajaiban yang ada di dunia ini. Itu memang pasti... Sesungguhnya DIA amat Pengasih dan maha Penyayang. Apatah lagi hamba-hamba yang sentiasa menadah tangan di hadapan-NYA untuk memohon pertolongan-NYA. Pasti tersimbahlah Rahmat NYA. Kalau bukan di sini - di dunia ini, yakinilah bahawa kejayaan akan diperolehi di sana nanti, kehidupan di akhirat yang kekal abadi.

Semoga selepas menangis di hadapan NYA nanti, dan berdoa kepada NYA, akan diperolehilah ketenangan jiwa. Bilamana memahami kehadiran ke sini - ke dunia ini, pasti ketenangan jiwa sentiasa mengiringi kehidupan duniawi, walau cabaran yang datang bertimpa-timpa.

Sama-samalah kita membaca ayat-ayat NYA yang saya paparkan di bawah untuk ditelaah bersama-sama menggunakan mata. Semoga pesanan NYA meresap jauh ke lubuk hati sanubari iaitu Kalbu namanya. InsyaAllah


Tidak ada kesusahan (atau bala bencana) yang menimpa (seseorang) melainkan dengan izin Allah dan sesiapa yang beriman kepada Allah, Allah akan memimpin hatinya (untuk menerima apa yang telah berlaku itu dengan tenang dan sabar) dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu. (At-Taghabun, 64: 11)


...Dialah yang menurunkan semangat tenang tenteram ke dalam hati orang-orang yang beriman (semasa mereka meradang terhadap angkara musuh) supaya mereka bertambah iman dan yakin berserta dengan iman dan keyakinan mereka yang sedia ada; pada hal Allah menguasai tentera langit dan bumi (untuk menolong mereka) dan Allah adalah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana. (Al-Fath, 48: 4)


Maka Kami beri Nabi Sulaiman memahami hukum yang lebih tepat bagi masalah itu dan masing-masing (dari mereka berdua) Kami berikan hikmat kebijaksanaan dan ilmu (yang banyak) dan Kami mudahkan gunung-ganang dan unggas memuji Kami bersama-sama dengan Nabi Daud dan adalah Kami berkuasa melakukan semuanya itu. (Al-Anbiya, 21: 79)


Dan Allah tidak menjadikan (bantuan malaikat) itu melainkan sebagai berita gembira dan supaya hati kamu tenang tenteram dengannya dan kemenangan itu pula hanyalah dari sisi Allah. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. (Al-Anfal, 8: 10)


Dan bahawa sesungguhnya, Dialah yang menyebabkan (seseorang itu bergembira) tertawa dan menyebabkan (seseorang itu berdukacita) menangis; (An-Najm, 53: 43)


Serta kamu tertawa (mengejek-ejeknya) dan kamu tidak mahu menangis (menyesali kesalahan kamu serta takutkan balasan buruk yang akan menimpa kamu)? (An-Najm, 53: 60)


Semoga adikku Siti beroleh ketenangan Jiwa nanti. Ingatlah! masalah tidak selesai andai tidak difikirkan cara penyelesaiannya dan berusahalah melakukan penyelesaian itu satu persatu supaya setiap masalah dapat disegerakan penyelesaiannya. InsyaAllah.

1 Komen:

ami auni n auji berkata...

mmg susah kalu nangis kat depan org lain.. bukan ego tapi itulah kenyataannya.. mmg kena ejek sbb pernah kena tapi tak laa ejek masa tgh nangis tue.. selang beberapa hari setelah sedih hilang... huhu..

nangis didepan-Nya mmg dapat ketenangan.. kalau tak mengadu akt sape2 maybe ble jadi depression kot.. luahkan segala2nya di hadapan-Nya.. insyaallah dapat jln penyelesaiannya..

tapikan abg bent.. camner yer nak bagi diri kita megelak dari masalah.. bukan nak cuba selesaikan tapi menjauhkan diri.. dan benda tue last2 kena dihadapi jugak... hmmm... buntu..

Catat Ulasan