Memaparkan catatan dengan label Cinta. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Cinta. Papar semua catatan

Sabtu, Februari 27, 2010

Coretan Minda Bersalut Emosi Untuk Isteriku Yang Tercinta

Entri kali ini saya khususkan untuk Isteriku Yang Tercinta. Kalau Anda teringin sangat nak mengetahuinya, silakan... Saya tak kisah. Janji Anda suka membacanya.

Tapi entri kali ini saya iringkan sebuah lagu berirama indah bertintakan senikata yang menusuk kalbu. Itupun bagi yang dapat merasai keindahannya. Sebab itulah lakaran ini dikhususkan buat Isteriku Yang Tercinta.

Memandangkan sebelum bernikah saya tidak pernah bercinta dengannya, ada baiknya saya membuat warkah-warkah cinta untuknya di dalam blog ini. Saya yakin dia akan melihatnya. Kalau bukan hari ini, pasti suatu hari nanti. Moga-moga dia akan gembira bila menatap dan mendengarnya.

Andai dia ada perasaan kasih dan sayang, berkemungkinan mengalirlah air mata di pipinya nanti. Bukan kerana bersedih, barangkali kerana menghargai yang saya berikan di sini.

Memandangkan Anda masih teringin menelaah lakaran yang saya khususkan untuk Isteriku Yang Tercinta di sini, ada baiknya saya beritahu bahawa pertemuan dengannya berlaku hanya sekali sahaja sebelum kami mendirikan rumahtangga. Itupun dibantu oleh kedua orang tua saya.

Alhamdulillah, orang tua Isteriku Yang Tercinta juga bersetuju, maka termeterailah ikatan suami isteri antara diriku dengan dirinya, Dia yang saya namakan Isteriku Yang Tercinta.

Oleh kerana itu, saya teringin sangat dia mengetahui bahawa saya sememangnya amat mengasihi dan menyayanginya. Sebab itulah lagu ini ditujukan khusus untuknya. Moga-moga dia merasai emosi yang saya lontarkan di dalam lagu ini. InsyaAllah.









Baca selanjutnya, Klik di sini...

Sabtu, Januari 30, 2010

Siapa Yang Bersalah, Lelaki @ Wanita

Salamelekom, wbt duhai Adikku.

Izinkanlah saya berbicara menggunakan hati di dalam lakaran ini. Maklumlah, hatiku kini diselibungi emosi. Harap-harap tidaklah dikeji kerana sememangnya diriku seorang lelaki. Barangkali bukanlah Lelaki Sejati, tetapi yang pasti, seorang lelaki yang masih lagi tercari-cari cahaya Ilahi.

Seandainya coretan begini terlalu buruk paparannya, harap-harap dapatlah ditunjuki kesilapannya. Lakaran ini sememangnya khusus buatmu duhai Adikku yang saya kasihi kerana DIA.

Minda sedarku berimaginasi bahawa Adikku ini adalah seorang Gadis Berani Penuh Rasa. Sebab itulah barangkali luahan kata-katanya sebentar tadi adalah sindiran bersalut pedoman. Saya teruja menelaahnya kerana terpecik kilauan di sebaliknya yang menyinarkan sebuah misteri untuk saya ketahui. Semoga Adik mengerti bila mana menatap coretan begini. Lakaran hasil daripada imaginasi bersalut emosi dari sebuah hati untuk dimengerti..

Andai di dunia sukar dicari Lelaki Sejati, ketahuilah bahawa ianya terjadi dek kekurangan Wanita Mulia membisikan kepada lelaki-lelaki ini. Bisikan wanita sememangnya berhikmah, sebab itulah mereka dihadirkan untuk menemani kehidupan lelaki.

Perlu juga saya nyatakan bahawa syurga itu telah diibaratkan terletak di bawah telapak kaki wanita yang digelar Ibu.

Rasulullah sendiri pernah memberitahu sampai tiga kali orang yang patut disayangi di dunia adalah wanita bernama Ibu. Seandainya ibu kurang berperanan mendidik lelaki-lelaki ini, maka tersembunyilah pintu syurga kepada anak-anaknya.

Nak harapkan lelaki? saya juga pernah mendengar ungkapan begini;

“Syurga itu terletak di bawah telapak kaki Suami.”

Mungkinkah ini memberikan makna bahawa suami juga perlu berperanan agar pintu syurga tidak ditutup buat selama-lamanya?.

Harap-harap peranan Ibu dan Suami dapat melahirkan Lelaki-Lelaki Sejati dan Wanita-Wanita Mulia agar boleh menghuni dunia dengan aman sejahtera.

Dunia sememangnya menggoda, dan manusia sering terpedaya olehnya. Usahkan negeri serambi mekah, hatta tanah yang diduduki para Rasul dan Nabi mulia pun masih ada manusia yang kufur kepada NYA.

Itulah penangan dunia, penuh pancaroba dan memperdaya setiap manusia.

Berbanding bumi Malaysia yang sekangkang kera baru mengecapi kemerdekaan selama 52 tahun lamanya, pastilah masih ramai yang kurang kukuh akidah agamanya dek dijajah melebihi sehingga 300 tahun lamanya.

Namun, paling penting disebalik keluhan begitu, kita harus sedar bahawa perjalanan kehidupan dunia perlu diteruskan dengan berbekalkan cahaya Ilahi. Semoga, liku-liku kehidupan dapat disuluh dengan mudah nanti. Sememangnya segala rahsia dunia hanya DIA yang memilikinya, sebab itu kita harus menggapai cahaya NYA.

Bila mana membicarakan kekuasaan di dunia, pastilah kuasa NYA melebihi segala-galanya. Tidak terjangkau oleh minda kita, apatah lagi yang separa sedar sahaja sifatnya.

Dengan hanya ungkapan “Jadi”, maka terjadilah sesuatu itu atas kehendak NYA walaupun imaginasi minda tidak dapat mengkhayalkan kesemuanya. Selain daripada Law of Attraction yang Adikku bawa di lamannya, ada satu lagi hukum alam yang perlu diketahuinya iaitu “Law of Rejection”.

Hukum Penolakan begini boleh terjadi bilamana DIA tidak memperkenankan apa yang diminta. Ada ketikanya, hukum begini kelak menjadi, walaupun Law of Attraction sudah mahir diguna.

Ketahuilah bahawa fenomena Law of Rejection bakal terjadi disebabkan kasih sayang NYA sedang mencurah-curah. Mana mungkin Allah SWT tidak memperkenankan permintaan hamba-hamba yang dikasihi dan disayanginya.

Bila mana Hukum Penolakan terjadi, yakinlah bahawa kasih sayang NYA sedang disimbahkan oleh NYA agar keimanan yang dimiliki oleh jiwa, bertambah tingkatannya.

Jiwa akan mendapat Kejayaan Hakiki bila mana melepasi segala ujian-ujian yang terhasil daripada Law of Rejection sebenarnya.
Baca selanjutnya, Klik di sini...

Rabu, Januari 27, 2010

Mengenali Cinta... Coretan Buat Adikku

Salamelekom, wbt duhai Adikku yang dikasihi kerana DIA.

Waduh! baru saya teringat mengenai perkara ini. Saya perlu memberikan komentar mengenai Cinta di dalam lamannya. Itu pernah saya janjikan kepada Adiku beberapa hari yang lalu. Tetapi sehingga kini, rupa-rupanya saya belum menjelmakan lakaran Cinta di blognya.

Ketahuilah bahawa inilah kelemahan diri saya. Berkata-kata mengenai Cinta kepada Anda. Sememangnya Cinta yang saya miliki sesama manusia telah dikhususkan kepada Isteriku Yang Tercinta. Bolehkah saya menjelmakannya kepada Anda?

Barangkali boleh, tetapi agak samar-samar sahaja bila dilihat oleh pandangan mata. Terlalu sukar saya menggambarkannya untuk Anda telaah melalui mata sahaja. Apatah lagi kepada orang bujang seperti Adikku. Nanti memberontak pula minda separa sedarnya. Izinkanlah abg bergurau-gurau di dalam coretan ini duhai Adikku.

Cinta memang indah andai difahami sepenuhnya. Orang yang dicintai tidak semestinya hadir di depan mata kerana cinta terletak di dalam hati sanubari. Ramai pengkaji cinta mengkategorikan Cinta melalui pelbagai nama seumpama cinta monyet, cinta buta, cinta dunia dan lain-lain lagi. Sama juga dengan pengkaji minda yang membahagi-bahagikan minda mereka menjadi sedar sepenuhnya, separa sedar, super sedar, dan bermacam-macam lagi istilah, termasuklah juga gelombang-gelombang minda dinamakan alpha, beta, theta dan yang semacam dengannya. Sains juga secara umum membahagikan minda menjadi Otak kiri dan Otak Kanan.

Tidak salah untuk diketahui kesemuanya asal sahaja perjalanan kehidupan sentiasa mengarah kepada NYA. Pedulikan orang lain kata, kerana DIA sememangnya mengetahui segala-galanya. Hatta yang tersembunyi di dalam hati sanubari, DIA pasti mengetahuinya.

Itulah istimewanya kuasa Tuhan Yang Maha Esa melangkaui segala-galanya. Sampai bisikan hati pun DIA masih berupaya mengetahuinya. Walaupun realitinya luaran Anda nampak seolah-olah sudah sempurna, tetapi andai Hati masih kotor, pasti terluah jua kekotorannya. Itu sememangnya kuasa Tuhan Yang Maha Esa. Boleh membongkar segala-galanya. Aik! tersasar pula contenganku ini ya. Bukankah saya sedang memberitahu mengenai cinta kepada Anda? Oklah, saya teruskan sahaja.

Terkadang cinta terlalu sukar diluah kerana sifatnya pemalu seperti saya. Oppsss... Cinta itu Pemalu seperti saya? Betulkah saya ini Pemalu? Perasan pula... Cinta sama seperti saya, pemalu? Tak mungkin! kerana saya tahu bahawa cinta sifatnya tersembunyi di dalam sanubari hati saya. Itu yang saya tahu.

Sememangnya saya pemalu masa bujang dahulu. Sepertimana Adikku pemalu, barangkali saya lebih pemalu darinya. Antara bukti yang saya boleh beri, lihat sahaja di dalam blog Pedoman Hidup, wajahku masih tersembunyi di balik paparan cahaya. Sekali lagi abg bergurau-gurau denganmu duhai Adikku.

Ketahuilah bahawa kerana perasaan cinta, kadang kala ada masa terluang, saya akan berziarah ke blogmu, duhai Adikku yang saya kasihi kerana DIA. Walaupun Adik barangkali masih belum mengenali diriku yang sebenar-benarnya, tetapi dek penangan cinta, saya selalu menconteng-conteng di blog kepunyaannya. Adakah ini dinamakan Kuasa Minda yang diistilahkan sebagai Kuasa Penarikan atau Law of Attraction? Entahlah...

Yang pasti, saya hadir ke blognya adalah kerana DIA. Apapun istilah yang diberi, saya tetap mengimani bahawa Kuasa Tuhan melebihi segala-galanya. Moga-moga keyakinan seperti ini berkekalan sampai ke hujung nyawa di mana berlakunya Hukum Penolakan, yang saya beri nama Law of Rejection!.

Sememangnya cinta bersifat pemalu, kepada yang menghargainya. Cinta tidak mudah diluah kerana kedudukannya terletak di dalam jiwa. Hanya jiwa yang mengerti mengenainya akan pandai menghargainya. Malahan dari Cinta itulah kelak terjelma pelbagai pengorbanan kepada yang dicintai.

Opppsss... Minda sempurna saya baru teringat mengenai filem cinta yang saya pernah tontoni suatu ketika dahulu. Paparannya berkenaan cinta walaupun kurang sempurna, tetapi masih boleh dirasakan oleh jiwa yang memiliki cinta. Minda sempurna saya sedang mengimbas kembali lagu-lagu indah di dalam filem-filem itu. Nak tahu tajuk filemnya? ;)

Tak perlulah saya beritahu..., nanti terkejut pula Adikku bila mengetahuinya. Tetapi, Dek penangan cinta yang memerlukan pengorbanan, saya perlu memberitahunya di sini. Di blog Pedoman Hidup dan juga di blog yang Adikku miliki. Walaupun barangkali ada yang jelek menelaahnya nanti.

Antara filem cinta yang saya gemari ialah Mohabbatein dari negara India. Hero dan heroin filem tersebut pastilah Shah Rukh Khan dan Ashwarya Rai. Tak perlulah saya nyatakannya lebih-lebih kerana saya sememangnya amat meyukai filem itu. Cinta yang hadir di dalam Sanubari... walaupun realitinya yang dicintai sudah tiada di sisi. Tetapi dek penangan Cinta, Jantung Hati masih kekal tersimpan di dalam minda melalui imaginasi yang dikuasai.




Filem Titanic dari Amerika yang lagu latarnya dikumandangkan oleh penyanyi tersohor, Celine Deon namanya, juga saya suka tontoni. Watak yang dimainkan oleh Leonardo dicaprio sebagai Jack Dawson dan Kate Winslet sebagai Rose DeWitt Bukater.

Adegan yang paling saya suka lihat di dalam filem itu ialah bila mana Rose dipaksa masuk ke dalam bot kecil dan seterusnya diturunkan perlahan-lahan dari Kapal Titanic. Ketika itu, Jack Dawson kekasihnya masih berada di atas Kapal Titanic dan sugul serta sayu melihat Rose diturunkan perlahan-lahan dari Kapal Titanic menggunakan sampan.

Kekaguman saya mengenai cinta yang di miliki oleh Rose di dalam paparan filem itu ialah bilamana Rose sanggup melompat dari bot kecil yang sedang diturunkan ketika itu. Rose melompat dengan sekuat tenaganya agar dapat bertaut kembali ke kapal Titanic. Memang Rose tahu kapal itu akan karam bila-bila masa, tetapi dek penangan cinta kepada Jack, dia sanggup kembali kepangkuannya, walaupun dia tahu kelak musibah menimpa mereka berdua...




Begitulah gambaran cinta yang sememangnya sukar diluah oleh kata-kata. Cinta kadang-kala perlu juga berahsia kerana ianya malu untuk diluah. Dek kerahsiaan Cinta, ada baiknya saya hentikan coretan ini seketika. Harap-harap ada kelapangan pula menconteng-conteng di lain masa. InsyaAllah.



Entri tambahan mengenai;

Bicara Soal Cinta

Cinta Terhalang,

Putus Cinta atau Putus Kasih Sayang,

Kasih dan Sayang,

Petua Menyuburkan Kasih Sayang,

Mengenali Cinta.
Baca selanjutnya, Klik di sini...