Khamis, Februari 25, 2010

Lakaran Peribadi...2

Satu perkara yang saya paling suka lakukan semasa berada di rumah ialah membaringkan anakku lelaki di atas dada. Walaupun dada yang saya ada tidaklah luas ukurannya, tetapi anakku yang lelaki yang baru melepasi usia setahun amat suka dibaringkan di atas dada. Lebih-lebih lagi bila dia terkejut dari lenanya. Akan saya meletakkannya di atas dada sambil ditepuk-tepuk di belakangnya supaya tangisannya tidak berpanjangan.

Kehangatan tubuhnya amat luar biasa dapat saya rasai. Memang dia suka diperlakukan sedemikian rupa. Lebih-lebih lagi awal pagi ketika dia menyedari Isteriku Yang Tercinta sudah bangkit dari tidur dan sudah tidak berada di sisinya.

Isteriku Yang Tercinta pasti bangun awal subuh untuk menyiapkan pelbagai perkara. Termasuklah mempersiapkan anak kami perempuan yang baru bersekolah Tabika. Itulah rutin hariannya sebagai suri rumah tangga. Pada saya, hasil kerja Isteriku Yang Tercinta amat cemerlang sebenarnya. Tetapi ada kala juga saya berlakon konon-konon tidak puas hati dengan hasil kerjanya. :)

Sengaja saya meluahkan rasa tidak puas hati agar adalah peningkatan rutin harian yang dilakukannya. Realitinya, dia memang seorang Isteri yang amat bertanggungjawab pada suami. Sebab itulah saya amat mengasihi dan menyayanginya. Teringat saya pesanan seorang Akak yang mengatakan bahawa Isteriku Yang Tercinta seumpama sebutir berlian yang tiada tandingannya. Dia juga sempat menasihati saya agar menjaga dan memeliharanya dengan penuh hemah. :)

Walaupun tiada sijil-sijil penghargaan atau pengiktirafan yang diterimanya, tetapi perlu saya beritahu bahawa hasil kerjanya teramat cemerlang sebenarnya. Semoga Tuhan Penguasa Alam akan mengikhtirafnya, InsyaAllah.

Oppsss... Berbalik pada cerita mengenai anakku lelaki yang baru berusia setahun, sememangnya dia amat suka diletakkan di atas dadaku dan bila mana saya mengusap-usap belakangnya, ada kalanya dia terlena. Tetapi itu jarang-jarang berlaku. Hanya sekali-sekala sahaja sebenarnya. Ada kalanya saya tidak pun berupaya menidurkannya, dalam hal-hal sedemikian rupa, sebenarnya Isteriku Yang Tercinta lebih arif dan amat memahaminya. :)

Sungguh luar biasa kurniaan Tuhan yang Maha Esa di dalam hal-hal yang sedemikian rupa.

Bagi anak perempuanku yang sudah mencecah umur empat tahun dua bulan, dia juga sering berada di sisiku bila mana tidur malam. Terkadang semasa saya membaca blog rakan-rakan sebelum beradu, anakku yang perempuan akan memujuk rayu supaya segera tidur di sampingnya. Memang setiap malam dia akan beradu disisiku... Itu dulu.

Baru semalam, dia sudah belajar tidur sendirian di bilik yang berlainan. Alhamdulillah! Pada usianya yang baru empat tahun, dia sudah belajar tidur sendirian di bilik berasingan. Sebab itulah sengaja saya membuat satu lakaran pagi ini agar diketahuinya nanti bahawa malam tadi dia sudah mulai belajar tidur bersendirian.

Tadi, sempat juga saya memeriksa biliknya dan mendapati dia masih lagi dibuai mimpi. Sekejap lagi akan saya mengejutkannya kerana dia perlu pergi ke sekolah hari ini. Sekolah Tabika KEMAS namanya.

Semalam juga saya baru ketahui bahawa anakku yang perempuan ini sudah berupaya membaca surah Al-Fatihah. Bukan saya yang mengajarkannya, tetapi sekolah Tabikanya. Itu yang diberitahu oleh Isteriku Yang Tercinta.

Lagi satu, dia juga sering mengumandangkan lagu Negaraku Malaysia yang tercinta. Dengan lancar dia menyanyikannya. Beberapa hari yang lalu, sering sahaja saya mendengar lagunya. :)

Kalau lagu Negeri, sebenarnya dia masih belum berupaya melagukan ke semua rangkapnya. Masih tersekat-sekat. Apapun, syabas dan tahniah buat Cikgu sekolahnya. Sekolah Tabika KEMAS namanya.

0 Komen:

Catat Ulasan