Rabu, Januari 06, 2010

Tabika KEMAS

Hari ini, kisah yang ingin saya kongsikan dengan Anda ialah berkenaan anak perempuan saya yang sulung. Dia telah memulakan persekolahannya pada 4hb. Januari 2009, bersamaan hari Isnin, dua hari yang lalu. Saya mendaftarkannya di pra-sekolah Kemajuan Masyarakat yang dikenali Tabika KEMAS.

Kalau dikira, anak perempuan saya baru berusia 4 tahun. Syukur Alhamdulillah kerana sekolah tersebut menerimanya sebagai pelajar. Lagipun anak saya memang teruja ingin bersekolah. Pagi tadi misalannya, sedang saya masih menjamah sarapan pagi, saya telah dipaksa olehnya menghabiskan dengan segera makanan pagi kerana dia tidak mahu terlambat hadir ke sekolah. Heheheee... memang saya suka melihat gelagatnya.

Selepas hari pertama bersekolah, anak saya menceritakan bahawa cikgunya sangat baik dan sudah ramai kawan-kawan yang dikenalinya. Saya juga teruja memberitahu kepada Anda bahawa Hati Nurani Ayah yang saya miliki ketika ini melonjak kegembiraan melihat anak sulung saya memulakan persekolahannya.

Barangkali perasaan sebegini Anda yang belum berumah tangga perlu merasainya. ;)

Ketahuilah bahawa perasaan yang saya alami bersama Isteriku Yang Tercinta di dalam hal ini amat sukar diluahkan kepada Anda. Sungguh! Hati saya terlalu excited! sejak kami mula berbelanja membelikan pakaian dan perkakasan sekolah...

Begitu juga dengan Isteriku Yang Tercinta. Dapat saya perhatikan bagaimana dia bersungguh-sungguh mempersiapkan segala-galanya. Bayangkan sejak akhir bulan november tahun lalu, Isteriku Yang Tercinta sudah merancang segala-galanya. Barangkali inilah juga yang dinamakan Kasih-Sayang Seorang Ibu.

Selain itu, saya juga sebenarnya tertanya-tanya di dalam hati, mungkinkah ini yang dinamakan Nikmat berKasih-Sayang?

Realitinya, saya perlu beritahu kepada Anda bahawa saya teramat menyukai peristiwa yang sedang saya lalui ini. Moga-moga DIA, Tuhan Yang Maha Esa sentiasa memberikan hidayah NYA kepada kami sekeluarga sepanjang mengecapi nikmat kehidupan ini.

Saya juga ingin memberitahu di sini bahawa rutin harian yang dilalui ketika ini telah berubah. Pastilah saya amat gembira merasainya - Anak Sulungku telah mula bersekolah, walaupun masih di peringkat Tabika. :)

Opsss... terlupa pula saya mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada Kerajaan Malaysia di bawah Jabatan Kemajuan Masyarakat kerana menyediakan Tabika sebegini.

Tabika KEMAS adalah singkatan daripada maksud Taman Bimbingan Kanak-Kanak yang diselia oleh Jabatan Kemajuan Masyarakat di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Malaysia. Namun begitu, kurikulum yang diguna pakai oleh Tabika ini adalah Kurikulum Prasekolah Kebangsaan iaitu daripada Kementerian Pendidikan Malaysia.

Sebenarnya pra-sekolah KEMAS mengenakan bayaran RM 15 sebulan, manakala kepada keluarga yang berpendapatan rendah, saya diberitahu ianya diberikan secara percuma sahaja. Baguslah kalau begitu. Sekurang-kurangnya ini menunjukkan Kerajaan Malaysia perihatin di dalam hal-hal begini. Kalau saya bandingkan dengan pra sekolah swasta, pastilah ia jauh lebih mahal, nak tahu berapa yuran dikenakan untuk prasekolah swasta? Hah! RM 100 – RM 200 sebulan. Itu yang saya tahu.

Usahlah pula dibandingkan pra-sekolah KEMAS dengan pra-sekolah swasta. Memanglah ianya berbeza, yuran bulanan sahaja sudah nampak perbezaannya. Bagi saya yang berpendapatan tidaklah seberapa, memang selayaknyalah menghantar anak ke Tabika KEMAS. Namun begitu, suka juga saya berkongsi maklumat hasil kajian ini. Cubalah Anda baca sendiri,

http://eprints.utm.my/2348/1/AziziYahaya_Keberkesanan_Pendidikan_Prasekolah_KEMAS.pdf

dan yang ini

http://www.kemas.gov.my/20


Memang kita berhak memilih mana satu yang diingini bergantung pada kemampuan sendiri. Sememangnya DIA, Tuhan Yang Maha ESA sahaja yang mengetahui apa yang terjadi pada kemudian hari. Saya tetap berdoa semoga anak saya ini menjadi anak yang solehah dan bertakwa kepada Tuhan Yang Maha Esa, InsyaAllah.

0 Komen:

Catat Ulasan