Ahad, Mac 29, 2009

Wahai hati, redhalah walau dihina

Pahatlah kiasan-kiasan indah, andai pahatan itu tidak terukir nama-Nya, akan ku terjah jua.

Lukiskanlah pemandangan-pemandangan nan indah, tetapi andai lukisan itu tidak menonjolkan keangungan-Nya, pasti akan ku koyak-koyakkannya.

Itulah perasaan gelora hatiku kini.

Buatlah pelbagai pahatan dan bermacam-macam lukisan indah pada pandangan mata, tetapi seandainya nama-Nya tidak dipahat dan dilukis, pasti akan ku hancurkan pahatan dan lukisan itu.

Memang inilah gelora perasaan hatiku. Pasti… memang pasti akan aku lakukan sebegitu.

Cercalah dan hinalah diri ini, namun ianya tidak akan melemahkan semangatku untuk terus melaungkan nama-Nya. Kerana aku tahu, ini sahajalah yang dapat aku lakukan.

Hinalah diri ini sehina manapun, sebab sememangnya diri ini hina seandainya tidak menyebut nama-Nya.

Walau pelbagai hinaan dan cercaan yang akan dilontarkan, sememangnya ia tidak akan melenturkan hati ini untuk melaungkan nama-Nya.

Ya, akan aku laungkan nama-Nya di segenap penjuru alam. Walau ku tahu betapa payahnya untuk aku melakukan begitu.

Sinisnya hinaan itu, tidak sedikitpun melemahkan hatiku untuk terus berusaha melaksanakan tanggungjawab ini, kerana aku tahu, inilah ujian-ujian-Nya padaku.

Akan aku suburkan hatiku untuk memohon kekuatan pada-Nya, diiringi genangan air mata keinsafan betapa kerdilnya diriku ini.

Aku tetap yakin, sesungguhnya DIA maha mendengar dan maha melihat akan apa yang aku lakukan.

Memang hatiku terguris akibat cakaran itu. Tetapi akan ku balut ia dengan daun-daun ketakwaan. Moga-moga akan ditiupkan bayu-bayu keredhaan untuk merawat hatiku yang tercalar.

Memang gurisan itu sedikit-sebanyak mencalarkan hatiku, tetapi aku redha dengannya kerana aku tahu, inilah tanggungjawabku.


.

0 Komen:

Catat Ulasan